Khamis, 16 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 32



WAJAH cemberut suaminya tidak berani dipandang. Alah… nak gurau pun tidak boleh. Sudah lama rumah tangganya hambar, tanpa ada gurau senda. Biarpun kasar, tetap namanya gurau senda. Dia memerhatikan sahaja suaminya berleter. Sebenarnya sepatah haram pun dia tidak faham. Lantaklah, asalkan suaminya bahagia dan melepaskan rasa marah di dada. Marah ke?  Aleeya memerhati suaminya memakai baju, berkerut dahinya. Nak tegur ke tidak ini? Kalau tidak ditegur agak-agak suaminya akan diketawakan tak? Dia memeluk tubuh. Serba salah jadinya. Dari tadi memerhati, dia bila pula hendak bersiap? Dia memandang jam di tangan. Alamak, sudah terlambat 10 minit. Terkejar-kejar dia bersiap.
            “Abang nak ke mana?’ tanya Aleeya setelah selesai bersolek dan mencantikkan diri.
            “Nak ke pejabatlah! Nak ke mana lagi?” soal Ikmal, rasa marah masih berbaki. Ada ke patut, wajahnya disolek? Apa punya isteri! Terkejut dia melihat wajah sendiri di cermin. Ingatkan dia ternampak hantu subuh, rupanya diri sendiri.
            “Leya tahulah abang marah, tapi… rasa-rasanya, baik abang belek diri di cermin,” suruh Aleeya sebelum suaminya melangkah keluar dari bilik tidur mereka.
            “Leya cakap apa ni? Leya permainkan abang lagi ke?” bentak Ikmal. Dia sudah terlambat gara-gara membersihkan wajahnya. Hendak ambil Nadia dan anak-anak lagi. Memang menyusahkan. Hendak bergurau pun tengoklah hari dan masanya. Ini pagi-pagi buta, orang sibuk hendak ke tempat kerja.
            “Takkan marah lagi? Nak bergurau pun dah tak boleh sekarang ni ya?” Aleeya menjelirkan lidah. Serius memanjang boleh sakit jiwa..
            “Bukan tak boleh, tapi nak bergurau jangan waktu hari bekerja, pilihlah hari minggu ke?” ujar Ikmal. Dia terus melangkah ke tingkat bawah.
            Aleeya mengejar dari belakang. Alamak! Tak sempat nak beritahu. Orang lelaki, semuanya sama. Kalau marahnya berbaki-baki. Campur tolak dan bahagi, biarlah berbaki kosong, taklah terasa hati. Ini tidak simpan dalam hati. Aduh, sukar mahu dipujuk!
            “Abang!” panggil Aleeya.
            Ikmal tidak menoleh. Dia terus membuka pintu rumah dan menuju ke keretanya. Panggilan Aleeya langsung tidak diendahkan. Malas nak melayan.
            “Uh!” Aleeya mendengus kasar melihat kereta Ikmal meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah tanpa sempat dia bersalaman. Marah sangatlah agaknya. Kemudian, senyuman terukir di bibirnya. Perlahan-lahan pecah gelaknya. Habislah kau, Ikmal. Sekejap lagi pasti ada yang menegur. Aleeya menggeleng laju. Dia menapak ke keretanya setelah pintu rumah dikunci rapat.

IKMAL memandu laju menuju ke rumah Nadia. Dia sudah terlambat dari biasa. Tentu muncung Nadia akan panjang sedepa. Sudah tentu letih telinganya mendengar leteran bekas isterinya itu. Susah betullah tinggal dengan orang perempuan, macam-macam kerenah. Buat pening kepala sahaja. Tapi, hidup tanpa perempuan, sunyi dan sepilah dunia ini. Ikmal tersenyum sendiri.
            Nadia menjegilkan mata. Hari ini Ikmal lewat. Mengulit isteri di rumah agaknya. Api cemburu mencanak tiba. Dia menarik anak-anaknya masuk ke dalam kereta sebaik sahaja kereta Ikmal berhenti di hadapan rumahnya. Dia menghempas pintu dengan kuat, tanda protes.
            “Awak kenapa? Nak rosakkan pintu kereta saya ke?” herdik Ikmal. Hatinya sedang panas bertambah panas dengan sikap bekas isterinya. Dia punyalah jaga kereta miliknya itu. Apa pun jenama, biarlah rahsia. Nanti dikatakan nak menunjuk kemewahan pula. Alah, kereta biasa-biasa sahaja.
            “Kenapa lambat? Awak tahu tak, saya ada mesyuarat pagi ni,” marah Nadia.
            “Kalau dah tahu lambat, pandulah sendiri. Kereta tu dah lama tak bergerak, awak nak jadikan tukun ke?” sindir  Ikmal sambil memandu keretanya meninggalkan pekarangan rumah Nadia. Anak-anak tersandar di sofa, mungkin masih mengantuk.
            “Uh!” Nadia memeluk tubuh dan memandang ke arah lain.
            Usai menghantar Nadia dan anak-anak. Ikmal terus ke tempat kerja. Dia meletakkan keretanya di tempat biasa. Memang dikhaskan untuk keretanya. Dia mencapai beg bimbit dan terus ke pejabatnya. Anak-anak buahnya yang sudah pun berada di ruangan masing-masing ditegur dengan ramah, ada juga yang sempat menegurnya. Dia hanya membalas dengan senyuman dan anggukan.
            “Bos! Kena loteri ke semalam?” tanya salah seorang pegawainya yang bernama Shukri.
            “Kau ni Shukri, saya mana main itu semua, judi tu. Haram!” balas Ikmal. Dia tergeleng-geleng.
            “Tahulah bos. Tapi…” Shukri membelek tubuh majikannya itu. Rasanya dia tidak silap pandang. Takkanlah majikannya itu tidak perasan?
            “Awak belek apa? Saya kacak sangat ke hari ni?” Ikmal ketawa nipis.
            “Bos!” sapa setiausaha Ikmal yang bernama Juita.
            “Selamat pagi, Ju…” balas Ikmal dan terus masuk ke dalam biliknya.
            “Kenapa kau tak tegur, yang bos pakai baju terbalik?” tanya Juita setelah Ikmal berada di dalam biliknya.
            “Kaulah tegur, kaukan setiausaha dia,” suruh Shukri. Dia tidak berani menegur majikannya itu, melainkan soal kerja.
            “Uh! Tak berani aku… dulu aku tegur sebab dia pakai stoking berlainan warna, dia herdik aku, kata dia, fesyen,” cerita Juita. Dia menggeleng laju. Tidak mungkin.
            “Hisy… kejap lagi ada mesyuarat dengan wakil syarikat dari Jepun. Takkan kau nak biarkan bos pakai macam tu masuk mesyuarat?” Shukri menggaru kepala.
            “Erk… isteri dia tak perasan ke?” Juita mengeluh.
            “Taklah kot?” teka Shukri.
            “Ini memo untuk mesyuarat kejap lagi. Pandai-pandailah kau tegur, Shuk… Ju tak berani.” Juita mengangkat kedua belah tangan. Dia menyambung tugasnya semula. Berderetan fail yang perlu dikemas kini dan dimasukkan datanya ke dalam komputer.
            “Hishy Apalah yang tak kena, sampai pakai baju terbalik tu,” bisik Shukri sendiri.
            “Encik Shukri, wakil dari Jepun itu, sudah sampai. Mereka ada di bilik mesyuarat,” beritahu salah seorang staf bawahannya.
            Shukri mengangguk. Dia meminta Juita memanggil majikan mereka ke bilik mesyuarat. Dia menunggu sehingga Ikmal keluar dari ruang biliknya.
            “Jom Shukri…” ajak Ikmal.
            “Bos… rasanya bos kena ke bilik airlah,” cadang Shukri.
            “Kenapa pula? Saya tak terasa nak buang air,” tolak Ikmal.
            “Masalahnya bos, takkan nak jumpa wakil dari Jepun tu dengan pakai baju terbalik? Hilang keyakinan mereka pada kita nanti, bos,” terang Shukri. Kalau setakat duduk dalam pejabat, dia biarkan sahaja majikannya itu pakai baju terbalik. Bukan salah pun. Shukri tersenyum.
            “Baju terbalik? Kenapa tak bagitau dari tadi?” Ikmal mendengus kasar. Dia mengerut dahi. Takkan isterinya tidak perasan dia pakai baju terbalik? Aleeya ini sudah melampau, sengaja hendak mengenakannya. Sengaja hendak memalukan dirinya.
            “Takkan orang rumah bos tak perasan?” tanya Shukri sewaktu membantu majikannya menukar pakaian.
            “Dia keluar awal daripada saya,” jelas Ikmal. Tidak mahu memalukan Aleeya.
            “Ooo…” Shukri tersenyum. Padanlah tidak perasan. Setelah selesai, mereka terus melangkah masuk ke bilik mesyuarat.
            Berbakul-bakul makian terhambur di hatinya. Geram bercampur marah dengan Aleeya yang tidak perasan dia memakai baju terbalik. Apa punya bini! bentaknya dalam hati. Balik nanti, tahulah dia!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan