A
|
syikin pula tidak rasa kecil hati. Dia
merenung setiap langkah kekasihnya itu dengan mata yang berkaca. Sedih dan
belas. Dia berfikir lama. Apakah cara untuk dia membantu memulihkan jiwa
Muhayat yang sedang sakit itu?
Tidak lama, dia
mendapat kekuatan dan ilham. Dia perlu berbuat sesuatu. Muhayat tidak boleh
dibiarkan hanyut dengan kesombongannya. Syurga seorang anak ialah di bawah
telapak kaki seorang ibu.
Akhirnya dia memandu
ke rumah Muhayat.
“Asyikin, masuklah. Tapi Hayat tak ada di
rumah. Belum balik lagi,” kata Kartina ketika menyambut Asyikin di muka pintu.
“Mak cik, Syikin datang nak jumpa mak
cik. Syikin dah jumpa Hayat tadi. Dia
tak tahu pun Syikin ke sini,” balas Asyikin pula.
“Oh, ya ke? Kalau
macam tu, duduklah. Mak cik buat minuman dulu ya. Kebetulan mak cik ada buat
karipap ayam untuk minum petang. Tunggu ya,” kata Kartina, mesra.
“Mak cik, boleh
Syikin jumpa pak cik sekali?” tanya Asyikin sebelum kaki Kartina melangkah
pergi.
“Ada apa sebenarnya
Syikin? Pak cik tu tak boleh terkejut. Jantungnya belum begitu kuat. Mak cik
tak nak dia terkejut,” jawab Kartina dengan cuak. Asyikin tidak pernah datang
tanpa Muhayat. Dan sekarang dia minta untuk bercakap dengan Ahmad Adham juga.
Hati Kartina menjadi tidak keruan. Muhayat ada buat salahkah?
“Mak cik, tak ada
apa yang mustahak. Syikin saja nak kita bertiga duduk berbincang. Ada perkara
yang nak Syikin cakap, tapi percayalah. Ia bukan cerita yang mengejutkan,” kata
Asyikin dengan senyum. Dia tahu hati Kartina sedang mengesyaki sesuatu.
Kartina segera
memenuhi hajat Asyikin. Dia segera ke bilik bacaan. Ahmad Adham sedang
berbaring sambil membaca sebuah buku.
“Abang, bakal
menantu kita datang. Dia nak cakap dengan abang,” kata Kartina.
“Siapa? Asyikin?”
Kartina angguk
bersama senyuman. Ahmad Adham bangun. Dia membetulkan baju dan kain pelikat
yang dipakainya. Hatinya juga berdenyut cuak. Mereka berjalan ke ruang tamu.
“Apa khabar pak
cik?” tegur Asyikin, sambil bangun dengan hormat menyambut Ahmad Adham.
“Alhamdulillah
Syikin. Pak cik ni macam nilah,” jawab Ahmad Adham, dengan mesra.
Mereka duduk.
Kartina menuangkan minuman kemudian menghulurkan kepada Ahmad Adham dan kepada
Asyikin.
“Pak cik, mak cik,
Syikin minta maaf kalau apa yang akan Syikin kata ini akan mengganggu fikiran
mak cik dan pak cik. Syikin memang dah habis fikir. Dan inilah keputusannya.
Dah tak ada cara lain cara lagi,” kata Asyikin.
“Katakanlah Syikin.
Baik atau buruk, kami akan terima,” balas Ahmad Adham pula. Kartina duduk di
sebelah suaminya dengan dada berdebar.
Asyikin mencari-cari
ayat yang sesuai untuk memulakannya.
“Apakah yang Muhayat
dah buat pada kamu? Adakah dia...” Wajah Kartina semakin cuak.
“Mak cik, tolong jangan syak dia yang bukan-bukan. Dia
lelaki yang baik. Ini tak ada kena mengena dengan kami. Ini mengenai mak cik
dan ayahnya,” potong Asyikin dengan cepat.
Kartina dan Ahmad
Adham berpandangan. Mereka semakin keliru.
“Berterus teranglah
Asyikin. Jangan buat kami semakin berdosa dengan syak wasangka,” kata Ahmad
Adham.
Asyikin tidak
berlengah lagi. Semua yang dia tahu diceritakan. Peristiwa Kartina keluar dari
bilik Kamaruzaman itu diluahkan dengan teragak-agak. Namun, selepas semuanya
terluah dia menarik nafas lega. Sangat lega.
Kartina menahan sebak.
Air matanya menitik
laju. Sejak Muhayat mengesyakinya, dia seperti direjam. Sangat terluka dan
sakit hatinya. Namun, sebelum ini dia masih kurang yakin dengan kemarahan
Muhayat itu. Dianggapnya Muhayat hanya terkeliru dan tersalah anggap.
“Abang,
hinanya saya di mata dia ...” Kartina tersedu-sedu. Merembes air matanya. Ahmad Adham ikut sendu dengan sedu sedan
isterinya. Dadanya bergoncang.
“Mak
cik Tina memang ke bilik Pak cik Zaman malam itu. Pak cik yang suruh sebab Pak
Cik Zaman demam. Hayat dah salah sangka. Dia mengesyaki tanpa usul periksa. Dia
melukakan hati kami, Syikin,” kata Ahmad Adham, perlahan.
“Syikin
percaya cakap Hayat tu? Sebesar kuman pun mak cik tak ada niat nak curang pada
suami mak cik. Kami bertiga dah berjanji untuk menjadi sahabat dunia dan
akhirat. Sumpah, mak cik tak ada perasaan apa-apa kepada Pak Cik Zaman,” kata
Kartina dengan tangisannya.
Ahmad
Adham menarik tubuh Kartina ke dalam pelukannya. Sangat belas dia
melihat keadaan kartina itu.
“Mak
cik, maafkan Syikin. Syikin dah cuba nasihatkan dia. Hari ni, dia marah sangat
dengan Syikin kerana suruh dia minta ampun pada mak cik, pak cik dan ayahnya.”
Air mata Asyikin ikut menitis lantaran bersimpati melihat dan mendengar
rintihan Kartina.
“Terima
kasih kerana Syikin tak mengesyaki kami,” kata Ahmad Adham.
“Syikin memang percaya mak cik tak
bersalah. Hayat yang salah faham. Tapi, Syikin gagal pujuk dia. Tak tahulah apa
jadi pada hubungan kami selepas ini. Dia memang tak suka ditegur dan
dinasihati. ”
“Maafkan
mak cik. Kerana mak cik, Syikin dan Hayat bergaduh.”
“Jangan cakap macam tu,
mak cik. Yang
benar tetap Syikin akan benarkan. Dia memang bersalah. Cuma dia yang tak nak mengaku
kesalahannya,” balas Asyikin dengan cepat.
KARTINA merenung kembali
kepada masa lalunya. Hidupnya disia-siakan oleh Kamaruzaman lalu dia membawa
diri bersama bayi yang dikandungnya. Muhayat dilahirkan tanpa sesiapa. Kemudian
Ahmad Adham telah memberikan kehidupan yang mewah dan sempurna segalanya kepada
mereka.
Namun, kenapa Muhayat tidak mengenang
budi? Kenapa dia begitu tega melukakan hati orang yang pernah berjasa kepadanya?
“Tina, sabar ya.”
Ahmad Adham selalu memujuknya.
“Tina yang
sepatutnya cakap macam tu dengan abang.”
“Kenapa Tina cakap
macam tu?”
“Sebab Muhayat tu ...”
“Abang tak pernah
bezakan Muhayat dan anak-anak abang. Abang dah bela dia selama dua puluh lapan
tahun. Abang sayang dia sejak dia dalam kandungan Tina lagi. Dia anak abang.”
Kartina semakin
terharu dan rasa kesal.
“Kita beri peluang
Hayat berfikir dulu. Jangan marah dengan dia,” kata Ahmad Adham menggenggam tangan
Kartina.
Mereka memang cuba
memberi peluang. Setiap hari menunggu Muhayat sedar dan datang memohon maaf.
Namun sudah beberapa bulan, semuanya tidak berlaku. Muhayat pergi dan balik ke
rumah itu dengan muka selamba. Dia seperti tidak pernah melakukan kesilapan
yang melukakan hati Kartina dan Ahmad
Adham.
Hubungan mereka
semakin renggang. Muhayat seolah-olah cuba menghindarkan diri dari bertembung
dengan Kartina dan Ahmad Adham. Rumah itu semakin sepi. Mukhlis dan Masyila
sibuk dengan urusan kerja mereka.
“Kenapa kita mesti
lalui semua ini? Masa kecil, dia sangat menghormati dan sayang kita. Bila dah
dewasa, dia syak kita tanpa usul periksa. Sepatutnya dia kenal siapa ibunya ini,”
kata Kartina, perlahan.
Ahmad Adham hanya
diam. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu. Tingkah laku Muhayat ibarat angin di musim
tengkujuh. Ia juga ibarat tsunami yang sangat dahsyat!
Tsunami itu telah membadai laut hati Ahmad Adham, Kartina dan Kamaruzaman. Ketiga-tiganya lemas
dan hanyut serta hampir musnah jiwa raga mereka.
SELEPAS pertemuan di
hospital tempoh hari, Kamaruzaman semakin susah untuk dihubungi. Puas Ahmad
Adham menelefon, namun tidak berjawab. Puas juga dia mengirim
mesej, juga tidak dijawab.
“Benar-benar dia
merajuk dengan kita, Tina.”
“Dia merajuk dan
terluka. Kasihan dia, bang,” keluh Kartina pula. Dia tahu memang Kamaruzaman
sangat terluka.
“Tak mengapalah
kalau Muhayat tetap tak nak terima saya, tapi dia tak boleh nak tolak awak. Dia
juga tak boleh nak marahkan Tina. Ini ibu dia...” kata Kamaruzaman dengan wajah
sedih, sebelum mereça bertolak balik ke Ipoh.
“Biarlah. Dia masih
nak berfikir tentang kita. Kita berikan dia masa untuk berapa lama pun,” jawab
Ahmad Adham pula.
“Maafkan saya,
Adham.”
“Untuk apa?”
“Anak saya telah melukai hati awak. Tentu
awak amat kecewa dengan dia.”
“Saya kecewa kerana dia tak hargai awak
sebagai ayah kandungnya.”
“Dia berhak berbuat
begitu sebab saya tak pernah jaga dia. Dia tak rasa kasih sayang dan perhatian
saya.”
“Itu bukan salah awak. Awak sendiri tak
tahu kelahiran dia ke dunia ini.”
“Tidak ada sesiapa
yang bersalah. Kita sedang menjalani ujian dan dugaan ALLAH. Kalau kita sabar
dan berserah, maka kita akan berjaya dalam ujian ini. Sabarlah bang,” pujuk
Kartina. Dia bukan sekadar memujuk Ahmad Adham, tetapi memujuk hatinya juga.
Kalau boleh dia tidak mahu langsung menyimpan rasa kecil hati terhadap Muhayat.
Dia mahu melupakan dan menganggap Muhayat tidak pernah berkata apa-apa dan
menyakitkan hatinya. Namun, dia tidak mampu. Hati seorang ibu sangat
tersinggung.
“Janganlah kecil
hati dengan dia, Tina.” Itu yang selalu Ahmad Adham ucap setiap kali dia
merungut. Sayang sungguh suaminya itu dengan Muhayat.
“Kenapa dia tak
datang dan tanya saya? Kenapa mesti nak simpan syak itu di dalam hatinya.
Itu yang buat saya tersinggung. Selama
berpuluh tahun, dia tak pernah simpan rahsia dari. Saya tahu semua isi hatinya.
Kali ini ...”
Ahmad
Adham hanya mampu mengeluh. Lama dia diam berfikir.
“Nampaknya
kita kena pergi jauh dari sini, Tina.” Akhirnya itu yang keluar dari bibir Ahmad
Adham.
“Nak ke mana bang? Inikan rumah kita.”
“Tak salah
kalau kita tinggalkan rumah ini seketika demi kebaikan semua.”
“Maksud abang?
Kita pindah dari sini?”
“Bukan pindah
tapi berhijrah. Mungkin selepas kita tiada, baru Muhayat dapat berfikir dengan
tenang dan waras,” jawab Ahmad Adham sambil merenung ke langit malam yang
kelam.
“Tapi, kita
nak ke mana? Nak ke rumah Marsyila di Kota Kinabalu?”
Geleng.
“Habis kita
nak ke mana?”
“Kita ke
Johor. Kita cari Kamaruzaman. Kita tinggal dengan dia di sana.”
“Abang?
Kenapa abang berfikir macam ni?” Kartina tersentak. Dia benar-benar tidak
menyangka kalau cadangan itu keluar dari bibir suaminya. Ahmad Adham mengajak
dia tinggal dengan Kamaruzaman, bekas suaminya!
“Entahlah.
Hanya ini yang mampu abang fikir sekarang. Abang rasa bersalah pada Zaman.
Abang juga rasa kesal dengan sikap Hayat. Jadi, rasanya tak salah kita pergi
dari sini dan tinggal dengan Zaman. Mungkin kita dapat mengubati luka hatinya,”
jawab Ahmad Adham.
“Tidakkah
kita akan buat Abang Zaman semakin rasa bersalah? Tidakkah kita akan terus
menyusahkan perasaannya. Abang, Tina tak sanggup nak tengok dia sedih dan
tertekan lagi. Tina bimbang kita akan mengeruhkan lagi keadaan.”
Ahmad Adham
angguk. Benar juga kata-kata Kartina
itu.
“Lagipun, dia
dah tak jawap panggilan kita. Macam mana kita nak ke sana. Kita tak tahu dia
ada di mana,” tambah Kartina lagi.
“Kita cuba tanya
pada Firdaus. Biar abang telefon dia sekarang,” kata Ahmad Adham. Dia mencapai
telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Firdaus.
Kartina cuba
mendengar. Tidak lama, Ahmad Adham mengucapkan selamat salam dan mematikan talian.
Wajahnya murung.
“Kenapa bang?”
“Zaman tak ada di
JB.”
“Dia ke mana?”
“Kata Firdaus, dia
ada di satu tempat. Tapi dia tak boleh beritahu tempat itu. Kamaruzaman tak nak
jumpa sesiapa. Ya ALLAH, dia benar-benar terluka,” rintih Ahmad Adham.
“Abang kena cakap
dengan Hayat suruh minta maaf. Kita tak boleh tunggu dan lihat macam ni, bang. Hayat
mesti bertanggungjawab atas semua ni,” kata Kartina, cuba bertegas.
Ahmad Adham mencuba.
Malam itu, dia menunggu Muhayat pulang di ruang tamu. Kartina tidak ada
bersamanya. Dia diberi peluang bersendirian dengan Muhayat. Bercakap secara
lelaki.
Lama. Ketika matanya
hampir terlelap, baru dia mendengar deruan enjin kereta Muhayat memasuki
halaman.
“Hayat, boleh abah
cakap sikit?”
“Cakaplah abah. Ada
yang mustahak ke?” tanya Muhayat dengan senyum sinis.
“Kenapa Hayat cakap
macam tu? Apakah ada yang mustahak baru abah boleh bercakap dengan Hayat?” Ahmad
Adham rasa kurang senang.
“Bukan macam tu. Tapi
sejak akhir-akhir ni, kita seperti tak ada suara lagi nak bercakap. Abah dan
ibu berubah wajah. Saya jadi terasing dan takut nak menegur,” jawab Muhayat.
Ahmad Adham seperti
diberi ruang untuk bercakap.
“Hayat, pernahkah
Hayat tanya kenapa ada benteng antara kita sekarang?”
“Tak perlu tanya.
Hayat tahu abah marahkan Hayat kerana lelaki itu.”
“Lelaki mana? Dia
ayah kandung kamu! Kamu sedar tak?” Suara Ahmad Adham mula meninggi.
Muhayat rasa sebal.
Sejak Kamaruzaman muncul, nada suara Ahmad Adham sering meninggi kepadanya.
“Abah tahu kenapa kamu
benci dan marah sangat dengan kami.”
“Hayat tak pernah benci abah. Hanya Hayat
tak suka dengan ...”
“Kamu patut minta ampun dari ibu dan ayah
kamu, Hayat. Kamu dah salah sangka. Memang malam itu, ibumu ada ke bilik
ayahmu. Ayahmu demam. Abah yang suruh ibumu hantar ubat. Mereka tak lakukan
apa-apa. Kamu berdosa kerana menaruh syak kepada ibumu yang setia,” potong
Ahmad Adham. Dia sudah tidak tertahan dengan sikap Muhayat.
Muhayat diam. Di wajahnya langsung tidak
terukir rasa bersalah.
“Hayat, pergilah
minta ampun pada ibumu. Pergilah juga kepada ayah kandungmu.” Ahmad Adham
sangat mengharap.
“Tengoklah nanti,
abah.” Muhayat bangun dan berjalan ke arah biliknya tanpa menoleh.
Hati Ahmad Adham tiba-tiba berdenyut. Nasib baik Kartina tidak ada bersama
ketika itu. Kalau dia ada sudah tentu hatinya semakin terluka!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan