WAJAH
cemberut suaminya tidak berani dipandang. Alah… nak gurau pun tidak boleh. Sudah
lama rumah tangganya hambar, tanpa ada gurau senda. Biarpun kasar, tetap
namanya gurau senda. Dia memerhatikan sahaja suaminya berleter. Sebenarnya
sepatah haram pun dia tidak faham. Lantaklah, asalkan suaminya bahagia dan
melepaskan rasa marah di dada. Marah ke?
Aleeya memerhati suaminya memakai baju, berkerut dahinya. Nak tegur ke
tidak ini? Kalau tidak ditegur agak-agak suaminya akan diketawakan tak? Dia
memeluk tubuh. Serba salah jadinya. Dari tadi memerhati, dia bila pula hendak
bersiap? Dia memandang jam di tangan. Alamak, sudah terlambat 10 minit. Terkejar-kejar
dia bersiap.
“Abang nak ke mana?’ tanya Aleeya
setelah selesai bersolek dan mencantikkan diri.
“Nak ke pejabatlah! Nak ke mana
lagi?” soal Ikmal, rasa marah masih berbaki. Ada ke patut, wajahnya disolek? Apa
punya isteri! Terkejut dia melihat wajah sendiri di cermin. Ingatkan dia
ternampak hantu subuh, rupanya diri sendiri.
“Leya tahulah abang marah, tapi…
rasa-rasanya, baik abang belek diri di cermin,” suruh Aleeya sebelum suaminya
melangkah keluar dari bilik tidur mereka.
“Leya cakap apa ni? Leya permainkan abang
lagi ke?” bentak Ikmal. Dia sudah terlambat gara-gara membersihkan wajahnya. Hendak
ambil Nadia dan anak-anak lagi. Memang menyusahkan. Hendak bergurau pun
tengoklah hari dan masanya. Ini pagi-pagi buta, orang sibuk hendak ke tempat
kerja.
“Takkan marah lagi? Nak bergurau pun
dah tak boleh sekarang ni ya?” Aleeya menjelirkan lidah. Serius memanjang boleh
sakit jiwa..
“Bukan tak boleh, tapi nak bergurau
jangan waktu hari bekerja, pilihlah hari minggu ke?” ujar Ikmal. Dia terus
melangkah ke tingkat bawah.
Aleeya mengejar dari belakang. Alamak!
Tak sempat nak beritahu. Orang lelaki, semuanya sama. Kalau marahnya
berbaki-baki. Campur tolak dan bahagi, biarlah berbaki kosong, taklah terasa
hati. Ini tidak simpan dalam hati. Aduh, sukar mahu dipujuk!
“Abang!” panggil Aleeya.
Ikmal tidak menoleh. Dia terus
membuka pintu rumah dan menuju ke keretanya. Panggilan Aleeya langsung tidak
diendahkan. Malas nak melayan.
“Uh!” Aleeya mendengus kasar melihat
kereta Ikmal meluncur laju meninggalkan pekarangan rumah tanpa sempat dia
bersalaman. Marah sangatlah agaknya. Kemudian, senyuman terukir di bibirnya. Perlahan-lahan
pecah gelaknya. Habislah kau, Ikmal. Sekejap lagi pasti ada yang menegur. Aleeya
menggeleng laju. Dia menapak ke keretanya setelah pintu rumah dikunci rapat.
IKMAL
memandu laju menuju ke rumah Nadia. Dia sudah terlambat dari biasa. Tentu
muncung Nadia akan panjang sedepa. Sudah tentu letih telinganya mendengar
leteran bekas isterinya itu. Susah betullah tinggal dengan orang perempuan,
macam-macam kerenah. Buat pening kepala sahaja. Tapi, hidup tanpa perempuan,
sunyi dan sepilah dunia ini. Ikmal tersenyum sendiri.
Nadia menjegilkan mata. Hari ini
Ikmal lewat. Mengulit isteri di rumah agaknya. Api cemburu mencanak tiba. Dia
menarik anak-anaknya masuk ke dalam kereta sebaik sahaja kereta Ikmal berhenti
di hadapan rumahnya. Dia menghempas pintu dengan kuat, tanda protes.
“Awak kenapa? Nak rosakkan pintu
kereta saya ke?” herdik Ikmal. Hatinya sedang panas bertambah panas dengan
sikap bekas isterinya. Dia punyalah jaga kereta miliknya itu. Apa pun jenama,
biarlah rahsia. Nanti dikatakan nak menunjuk kemewahan pula. Alah, kereta
biasa-biasa sahaja.
“Kenapa lambat? Awak tahu tak, saya
ada mesyuarat pagi ni,” marah Nadia.
“Kalau dah tahu lambat, pandulah
sendiri. Kereta tu dah lama tak bergerak, awak nak jadikan tukun ke?” sindir Ikmal sambil memandu keretanya meninggalkan pekarangan
rumah Nadia. Anak-anak tersandar di sofa, mungkin masih mengantuk.
“Uh!” Nadia memeluk tubuh dan
memandang ke arah lain.
Usai menghantar Nadia dan anak-anak.
Ikmal terus ke tempat kerja. Dia meletakkan keretanya di tempat biasa. Memang
dikhaskan untuk keretanya. Dia mencapai beg bimbit dan terus ke pejabatnya. Anak-anak
buahnya yang sudah pun berada di ruangan masing-masing ditegur dengan ramah,
ada juga yang sempat menegurnya. Dia hanya membalas dengan senyuman dan
anggukan.
“Bos! Kena loteri ke semalam?” tanya
salah seorang pegawainya yang bernama Shukri.
“Kau ni Shukri, saya mana main itu
semua, judi tu. Haram!” balas Ikmal. Dia tergeleng-geleng.
“Tahulah bos. Tapi…” Shukri membelek
tubuh majikannya itu. Rasanya dia tidak silap pandang. Takkanlah majikannya itu
tidak perasan?
“Awak belek apa? Saya kacak sangat
ke hari ni?” Ikmal ketawa nipis.
“Bos!” sapa setiausaha Ikmal yang
bernama Juita.
“Selamat pagi, Ju…” balas Ikmal dan
terus masuk ke dalam biliknya.
“Kenapa kau tak tegur, yang bos
pakai baju terbalik?” tanya Juita setelah Ikmal berada di dalam biliknya.
“Kaulah tegur, kaukan setiausaha
dia,” suruh Shukri. Dia tidak berani menegur majikannya itu, melainkan soal
kerja.
“Uh! Tak berani aku… dulu aku tegur
sebab dia pakai stoking berlainan warna, dia herdik aku, kata dia, fesyen,”
cerita Juita. Dia menggeleng laju. Tidak mungkin.
“Hisy… kejap lagi ada mesyuarat
dengan wakil syarikat dari Jepun. Takkan kau nak biarkan bos pakai macam tu
masuk mesyuarat?” Shukri menggaru kepala.
“Erk… isteri dia tak perasan ke?” Juita
mengeluh.
“Taklah kot?” teka Shukri.
“Ini memo untuk mesyuarat kejap
lagi. Pandai-pandailah kau tegur, Shuk… Ju tak berani.” Juita mengangkat kedua
belah tangan. Dia menyambung tugasnya semula. Berderetan fail yang perlu
dikemas kini dan dimasukkan datanya ke dalam komputer.
“Hishy Apalah yang tak kena, sampai
pakai baju terbalik tu,” bisik Shukri sendiri.
“Encik Shukri, wakil dari Jepun itu,
sudah sampai. Mereka ada di bilik mesyuarat,” beritahu salah seorang staf
bawahannya.
Shukri mengangguk. Dia meminta Juita
memanggil majikan mereka ke bilik mesyuarat. Dia menunggu sehingga Ikmal keluar
dari ruang biliknya.
“Jom Shukri…” ajak Ikmal.
“Bos… rasanya bos kena ke bilik
airlah,” cadang Shukri.
“Kenapa pula? Saya tak terasa nak
buang air,” tolak Ikmal.
“Masalahnya bos, takkan nak jumpa
wakil dari Jepun tu dengan pakai baju terbalik? Hilang keyakinan mereka pada
kita nanti, bos,” terang Shukri. Kalau setakat duduk dalam pejabat, dia biarkan
sahaja majikannya itu pakai baju terbalik. Bukan salah pun. Shukri tersenyum.
“Baju terbalik? Kenapa tak bagitau
dari tadi?” Ikmal mendengus kasar. Dia mengerut dahi. Takkan isterinya tidak
perasan dia pakai baju terbalik? Aleeya ini sudah melampau, sengaja hendak
mengenakannya. Sengaja hendak memalukan dirinya.
“Takkan orang rumah bos tak
perasan?” tanya Shukri sewaktu membantu majikannya menukar pakaian.
“Dia keluar awal daripada saya,”
jelas Ikmal. Tidak mahu memalukan Aleeya.
“Ooo…” Shukri tersenyum. Padanlah
tidak perasan. Setelah selesai, mereka terus melangkah masuk ke bilik
mesyuarat.
Berbakul-bakul makian terhambur di
hatinya. Geram bercampur marah dengan Aleeya yang tidak perasan dia memakai
baju terbalik. Apa punya bini! bentaknya dalam hati. Balik nanti, tahulah dia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan