Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat
Salimah menyuap nasi ke dalam mulutnya dan mengunyah perlahan-lahan. Dia
memandang pinggan nasi itu dengan pandangan kosong. Tekaknya terasa tawar.
Barangkali dia lupa hendak meletak garam di dalam lauk-pauk yang dimasak
sebentar tadi. Tangisan cucu sulungnya kedengaran samar-samar di dalam bilik
paling hadapan. Bilik tidur milik Khalid, anak sulungnya yang sudah seminggu
tidak pulang ke rumah. Ke mana perginya anak itu, dia tidak tahu. Fidah isteri
Khalid juga tidak tahu mengapa suaminya itu tidak pulang-pulang. Sayup-sayup
dari dapur, kedengaran suara Fidah menantunya memujuk anak kecil yang
merengek-rengek itu. Mungkin si kecil itu mahu menyusu.
Bilik tengah yang menjadi milik
Kamaruddin dan Adik juga kini sudah kosong. Sekosong hati Salimah yang
kerinduan terhadap tiga orang anaknya yang berada di perantauan.
“ Mah...awak tak ambil
lauk?” teguran dari suaminya Abdul Ghani membuatkan lamunannya terhenti.
“ Eh...patutlah saya
terasa tawar. Saya lupa ambil lauk rupanya,” Salimah seakan-akan baru tersedar
dari lena yang panjang. Dia akhirnya mengambil kuah gulai dan ikannya lalu
dibubuh di dalam pinggan nasi.
“ Ehh...awak ni, tak
lain, terkenang si Adik laa ni,” tekaan suaminya tepat sekali. Abdul Ghani
memandang tepat wajah isterinya yang semakin dimamah usia.
“ Haah Bang...dah biasa
dia ada di rumah, bila dia tak ada, macam sunyi sangat.”
“ Alah...awak anggap
sajalah si Adik pergi kerja. Selalunya pun, dia memang bukan ada di rumah
waktu-waktu macam ini. Dia pun, dah malam kita nak tidur baru balik dari kerja,”
pujuk si suami sambil menyuap nasi lembik ke dalam mulut.
Salimah melepaskan
keluhan. Perlahan.
Iya,benar. Adik hanya akan sampai di
rumah pukul 11.00 malam. Pasaraya di bandar hanya ditutup pada pukul 10.00
malam. Selalunya, dia akan menanti kepulangan anaknya itu. Kemudian, pada hari
minggu pula, Adik selalunya membantu
Nora memasang pelamin, menggubah bunga-bunga ataupun membuat barang hantaran.
Selalunya, jika sudah siap memasak, membasuh dan melipat baju, Salimah juga akan
datang bertandang ke rumah Nora. Berbual-bual sambil melihat kemahiran Nora dan
anaknya menghias barang-barang perkahwinan. Di dalam hatinya, terdetik rasa
bangga dengan bakat kesenian Adik. Dia bukan pernah menghantar anaknya itu ke
kelas gubahan atau kelas jahit-menjahit. Tetapi darah seni itu mengalir dengan
sendirinya atas kekuasaan ALLAH.
Adik memang jarang ada di rumah
sebenarnya. Selalunya, anak itu hanya akan sampai di rumah pada pukul 11.00
malam setelah pasaraya tempat dia ditutup pada pukul 10.00 malam.Tetapi, malam
ini, pada pukul 11.00 malam, dia tidak akan menanti kepulangan Adik. Malam ini,
dia tidak akan dapat berbual-bual dengan anaknya itu.
Salimah mengeluh lagi. Rindu
seorang ayah dan rindu seorang ibu, manakan sama. Rindu seorang ibu, rasanya
seperti tidak tertahan. Apatah lagi jika anak itu, anak yang baik, anak yang
ringan tulang, yang memahami perasaan dan hati seorang ibu. Abdul Ghani
berhenti menyuap makanan ke mulutnya dan memerhati isterinya. Memang kasih
benar Salimah dengan anak lelakinya yang seorang itu.
“ Macam mengejut sangat
dia dapat kerja kat KL tu bang,” ujar Salimah sambil menyudu gulai asam pedas
daun kesum ke dalam pinggan nasinya.
“ Dah rezeki dia, Mah.
Saya suka dia dapat kerja di KL tu. Sesuai dengan kelulusan dia. Kalau dia
kerja kat sini, apalah sangat gaji dekat supermarket
tu. Macam tak berkembang nanti hidup si Adik, ” Abdul Ghani pula menyuarakan
pendapatnya.
Memang benar kata suaminya itu.
Adik punya kelulusan
diploma. Memang amat tidak sesuai jika dia hanya menjadi promoter di tempat pakaian lelaki di pusat membeli-belah di bandar.
Adik boleh pergi lebih jauh dengan kelulusannya. Anaknya itu juga berhak
berjaya. Anak lelakinya yang ketiga itu juga berhak berjaya seperti abang
keduanya, Kamaruddin. Walaupun dia redha, namun sebenarnya dia terkilan kerana
bagai suntuk benar waktu dia dapat bersama-sama Adik. Dia cuma diberitahu
seminggu sebelum anaknya itu diminta untuk melapur diri di pejabat. Pada
Salimah, seminggu itu, bagaikan dua hari. Sewaktu Kasih Alia pergi ke Kuala
Lumpur untuk melanjutkan pelajaran di pusat matrikulasi, dia sudah menyiapkan
dirinya dari segi mental. Sejak Kasih Alia mendapat keputusan yang cemerlang di
dalam SPM, dia tahu bahawa anak gadisnya itu akan meninggalkan kampung dan menyambung
pengajian. Dia sudah bersedia ketika Kasih Alia pergi. Tetapi...dengan Adik?
Seperti ada sesuatu yang tidak kena.
“ Saya tahu kalau dia
kerja di sini, dia tak ke mana, tapi, macam cepat sangat pulak dia tinggalkan
kita,” perlahan suara Salimah ketika menyatakan perasaannya kepada Abdul Ghani.
“ Hish awak ni, Mah.
Awak ni cakap, macamlah si Adik tu tak akan balik-balik lagi. Nanti, dia dah
dapat gaji, muncullah dia depan mata awak.” Suara Abdul Ghani kedengaran kasar
namun sebenarnya dia sedang memujuk hati Salimah.
Abdul Ghani tahu, Adik
itu buah hati pengarang jantung isterinya. Walaupun Kasih Alia itu seorang
sahaja anak perempuan mereka, namun kasih Salimah memang terpaut benar kepada
Adik. Mungkin kerana wajah Adik itu mirip wajah isterinya. Nora jiran sebelah
rumah mereka pula selalu berkata yang Adik punya ‘ muka kasihan’. Hati mudah
terpaut apabila memandang wajah Adik. Abdul Ghani juga mengakui yang Adik itu
memang pandai menambat hatinya dan hati Salimah. Sejak bekerja di pasaraya di
bandar, banyak kemeja ‘T’ dan seluar berjenama yang Adik belikan untuknya.
“ Buat apa kau belikan
untuk ayah ni, Dik? Ayah bukan kerja lagi. Dah pencen dah pun. Takkan nak pakai
baju dengan seluar mahal pergi kebun?” Usiknya kepada Adik ketika anaknya itu
menghadiahkan dua pasang seluar dan baju jenama Durban dan Johnmaster pada ulangtahun kelahirannya.
“ Alah ayah ni. Ini
hadiah kecik aje untuk ayah. Lagipun, kalau Abang Din nak bawa kita pergi
bercuti ke mana-mana, ayah sudah ada baju dan seluar. Takkan hendak pakai baju
kebun yang penuh dengan getah pisang tu buat masuk hotel, yah? Buat malu
aje...,” Anaknya itu menjawab sambil berlawak.
Iya.
Abdul Ghani tahu,
hatinya juga terpaut pada Adik walau anaknya itu punya ciri-ciri lelaki lembut
seperti pelakon Jaafar Onn. Kadang-kadang ada juga dia terdengar jemaah di
surau mengata-ngata si Adik. Panas juga hati Abdul Ghani. Namun, dia hanya
mampu berdoa agar Adik berubah. Asalkan anaknya itu masih menjaga solat, dia
bersyukur. Asalkan anaknya itu tidak menyimpan rambut panjang, bertindik atau
memakai pakaian menyerupai perempuan, dia sudah cukup senang hati. Mudah-mudahan,
hanya perwatakannya sahaja yang lembut, namun naluri dan hatinya masih lagi
seorang lelaki sejati.
“ Saya tahu dia akan balik. Tapi, dia pergi
tu, macam hendak lari dari sesuatu,” ujar Salimah sambil mengunyah nasinya
perlahan-lahan. Salimah akhirnya menyuarakan isi hatinya. Entah kenapa, seperti
ada sesuatu yang tidak kena.
“ Apa pulak dia nak
lari, Mah. Dia dapat kerja kat KL, memanglah dia kena pergi ke sana. Hendak
lari dari apa pulak? Dia bukan suka bergaduh dengan orang sampai nak melarikan
diri ke KL tu, ” pujuk Abdul Ghani, lembut.
“ Bila dia minta kerja
di KL tu, bang? Mana dia ada pergi ke KL pergi temuduga? Adik tu, apa semua dia
mesti beritahu saya...tak pun, dia mesti beritahu Nora. Ini Nora pun
terperanjat dia tak aleh-aleh dapat kerja di KL,” Salimah menyuarakan pula syak
wasangkanya
“ Awak mana tahu, Mah.
Sekarang ni, budak-budak sudah guna internet. Tak perlu datang temuduga.
Semuanya tekan kat komputer tu haa,” Abdul Ghani menegaskan. Dia tidak mahu
isterinya itu risau. Sejak kes Khalid kahwin mengejut, Salimah selalu mengadu
sakit-sakit dada. Abdul Ghani akur, isterinya sudah berusia. Mereka berdua akan
menghampiri umur enam puluh tahun tidak beberapa lama lagi. Emosi dan perasaan
mereka sering terganggu jika anak-anak buat hal.
Wajah Fidah tersembul
di muka pintu dapur sambil mendukung bayinya yang masih di dalam hari. Belum
cukup empat puluh hari umur anaknya itu. Abdul Ghani dan Salimah menoleh ke
arah menantu sulung mereka.
“ Kenapa dia menangis,
Fidah?” tanya Salimah mengambil berat. Dia merasa belas melihat menantunya itu.
Salimah tahu, Fidah merasa canggung
tinggal di rumahnya. Sebagai seorang wanita, dia tahu bagaimana perasaan
seorang menantu yang perlu tinggal di rumah mentua. Sebagai seorang isteri yang
masih berada di dalam pantang, dia tahu yang Fidah mungkin lebih selesa jika
dapat berpantang di rumah ibunya sendiri. Tetapi, apa boleh buat - Khalid sudah
mengarahkan yang Fidah perlu tinggal di rumah mereka. Yang Salimah geram, anak
dan isteri ditinggalkan di rumah ayah dan emak, Khalidnya hilang entah ke mana.
Salimah amat berharap yang Khalid
akan berubah setelah berumahtangga. Salimah sentiasa berdoa agar Khalid berubah
apabila sudah bergelar ayah. Nampaknya, ALLAH belum memakbulkan doanya. Sebagai
ibu mentua, dia menerima Fidah seadanya. Menantunya itu pun, baik budi bahasa.
Orang kampung sepertinya juga. Tidak banyak bicara. Seorang perempuan kampung
yang patuh kepada emak ayah dan suami. Entah apalah yang Khalid lakukan pada Fidah,
Salimah tidak mahu fikir. Jika difikir hingga ke akar umbi, rasa malunya macam
mahu gali lubang dan terjun ke dalam lubang itu!
“ Dia berak, mak,”
jawab Fidah pendek.
Abdul Ghani ketawa.
Salimah tersenyum. Melihat cucu sulungnya, hatinya sejuk. Terbayang di matanya
wajah Khalid, wajah Kamaruddin dan wajah Adik sewaktu mereka masih bayi. Cucu
sulungnya itu memang ada iras-iras wajah anak-anak lelakinya.
“ Kau makan gulai mak
tadi tak Fidah? Takut perut budak tu kembung,” Salimah risau. Dia tadi tidak
sampai hati hendak menegah Fidah dari memakan gulai asam pedas yang dimasaknya.
Takut-takut jika menantunya itu kecil hati.
“ Kau makan gulai ni, Fidah?”
tanya Abdul Ghani pula sambil keningnya berkerut.
“ Haah, ayah. Sedap gulai
yang mak masak tu,” jawab Fidah jujur sambil tersenyum.
“ Ehh...orang dalam
pantang mana boleh makan gulai-gulai ni. Awak pun Mah, ada ke diberi budak ni
makan gulai asam pedas. Buatnya bentan nanti, susah pulak,” bebel Abdul Ghani.
Berkerut dahinya memandang Salimah.
Abdul Ghani memang
jenis yang menjaga pantang macam dia yang meneran anak. Tetapi bagi Salimah
pula, asalkan makanan itu baru dimasak, ikan, ayam atau dagingnya segar, dia
tidak alah walaupun di dalam masa berpantang. Pada Salimah, seorang wanita yang
baru bersalin perlu memakan makanan yang berkhasiat. Makanan berkhasiat akan
menghasilkan susu badan yang banyak dan baik.
“ Saya tak sampai hati
nak melarang bila tengok orang tengah sedap makan, bang,” jawab Salimah serba
salah.
“ Eh...tak apalah mak,
ayah. Budak ni memang tak berak dah dua hari sebenarnya. Bagus juga dia
membuang hari ni,” Fidah cuba menyelamatkan ibu mentuanya. Dia tidak mahu ayah
mentuanya memarahi ibu suaminya yang memang amat baik hati.
“ Pampers budak tu, ada lagi Fidah?” tanya Abdul Ghani sambil mencuci
tangannya di sinki. Dia kemudian duduk kembali di hadapan Salimah yang masih
belum menghabiskan nasi di pinggan. Diambilnya segelas air sirap ros yang sudah
siap dituang.
“ Ada sikit lagi, yah?”
Jawab Fidah sambil berhati-hati membasuh najis anak kecilnya.
Setelah menantunya siap
membersihkan punggung si kecil, Fidah berlalu ke bahagian atas rumah mereka. Abdul
Ghani memandang isterinya yang akhirnya menyuap sisa nasinya yang terakhir.
“ Mah...sudah seminggu
Khalid tidak balik rumah, kan?” suara Abdul Ghani seakan berbisik ketika
bertanyakan hal anak sulungnya.
Angguk.
“ Manalah dia pergi?
Kat mana tidurnya? Bertuah betul si Khalid ni tau,” keluh Abdul Ghani. Dia
menggeleng-gelengkan kepalanya beberapa kali.
“ Si Fidah pun tak
tahu, bang. Geram saya. Dah ada anak, masih hendak berlagak bujang. Tinggalkan
bontang aje anak dengan bini kat sini. Duit tak diberi. Nasib baiklah si kecik
tu menyusu badan. Kalau minum susu tin, siapa yang hendak beli? Kita juga,
kan?” Salimah menyuarakan apa yang terbuku di dalam hatinya. Jika ada Adik,
anak itulah tempat dia mengadu. Salimah pula bangun menghantar pinggan nasinya
ke sinki setelah menghabiskan sisa nasinya dengan suapan terakhir. Pinggan
dibasuh sebentar dan dia kembali duduk
di hadapan suaminya.
Salimah memang jarang hendak mengadu
dengan suaminya perihal si Khalid kerana takut kalau-kalau Abdul Ghani
mengaruk. Lagipun, si Khalid itu bukan rebung lagi. Sudah menjadi buluh. Amat
susah hendak melenturnya. Bila sudah dewasa dan bekerja, pantang ditegur, si
Khalid akan menjawab dan ini menambah rasa kecewa pada Salimah dan Abdul Ghani.
Lagi pula, Salimah tidak mahu membuat Abdul Ghani susah hati. Suaminya itu
perlu memikirkan kebajikan ayah dan ibunya yang sudah terlalu tua dan uzur.
“ Tak apalah, petang nanti saya
pergi belikan pampers si kecik tu.
Awak tanya dengan Fidah apa jenamanya. Saya bukan tahu hendak pilih yang mana
satu nanti,” ujar Abdul Ghani. Sudah menjadi tanggungjawabnya menjaga kebajikan
anak menantu dan cucunya.
“ Awak ada duitnya, bang?”
Angguk.
“ Adik ada tinggalkan duit
untuk si kecik tu pagi tadi,” beritahu Salimah.
Abdul Ghani tersenyum.
Salimah juga senyum kelat.
Inilah.
Inilah yang buat hati
mereka terpaut dengan Adik. Dia tahu pencen Abdul Ghani tidak seberapa. Hendak
buat tanggung Kasih Alia lagi, hendak buat bayar bil-bil di rumah, buat beli
makan setiap hari, jika diikutkan tidak cukup. Syukurlah Kamaruddin dan Adik
membantu setiap bulan. Kini, tanggungan Abdul Ghani bertambah lagi dengan anak
menantu dan cucu.
“ Tak apalah, Mah. Awak
simpan saja duit tu dulu. Sebelum dia bertolak tadi, dia beri juga saya lima
puluh ringgit.”
Serta-merta air mata
Salimah bergenang. Dia amat merindui anaknya yang seorang itu walau baru
beberapa jam Adik meninggalkan kampung.
Abdul Ghani memandang
Salimah-sayu.
“ Dahlah, Mah. Kita
doakan dia selamat dan berjaya. Sudah sampai agaknya dia di KL.” Abdul Ghani
membuat andaian sambil memandang jam di dinding dapur.
“ Saya tengah tunggu dia
telefon, bang. Katanya hendak telefon kalau dia sudah sampai.”
“ Dia tengah sibuk
agaknya mencari rumah kawannya kat KL tu,” Abdul Ghani cuba menyedapkan hati Salimah.
Sebenarnya, dia juga cuba menyedapkan hatinya sendiri. Walau Adik itu sudah
besar panjang, sudah cukup dewasa namun hati ayah dan ibu sebenarnya sama
sahaja bagi anak yang masih kecil atau sudah dewasa. Perasaan bimbang dan risau
sentiasa ada di dalam diri ayah dan ibu jika anaknya berjalan jauh.
“ Assalamualaikum...”
suara Nora memberi salam membuatkan Salimah dan Abdul Ghani menoleh ke arah
pintu belakang mereka yang sentiasa terbuka.
“ Waalaikumus salam.
Nora...masuklah,” pelawa Salimah.
Nora tersenyum.
Melepaskan selipar jepunnya dan memasuki ruang dapur rumah Salimah.
“ Kau dah makan Nora?”
tanya Abdul Ghani sambil bersedia untuk menaiki ke ruang atas rumah mereka. Dia
perlu tidur seketika setelah kembali dari solat Jumaat. Perut pula sudah
kenyang, kelopak mata sudah semakin layu. Abdul Ghani akui, tenaganya sudah
tidak seperti dahulu. Semasa di dalam umur tiga dan empat puluhan, selepas
pulang dari solat jumaat, selesai makan tengahari, dia sudah boleh segera ke
kebun. Tetapi kini, tubuhnya sudah tidak seperti dahulu. Kerja sedikit, sudah
penat. Kerja di kebun barang dua jam, dia sudah tersandar di perdu pohon
pisang.
“ Dah bang Ghani,”
jawab Nora sambil tersengih. Dia segera ke kerusi di meja makan tempat Abdul
Ghani duduk dan melabuhkan punggungnya.
“ Kak Uda masak apa
tadi?”
“ Gulai dengan sayur
lemak kacang panjang,” jawab Salimah sambil mengambil sebiji gelas kosong dan
menuang air sirap untuk Nora.
“ Fidah mana?Tidur?”
“ Menyusu agaknya.
Anaknya baru lepas buang air besar tadi.”
Nora mengangguk-angguk.
“ Adik dah telefon kak Uda?”
Geleng. Wajah Salimah
berubah.
Nora seraya memegang
tangan Salimah yang memang terletak di atas meja dengan tangan kanannya. Dia
memegang erat tangan jirannya itu. Dia tahu, Salimah merasa sebal. Dia juga
merasa begitu. Seolah-olah Adik mahu melarikan diri. Tetapi dia tidak tahu adik
angkatnya itu hendak melarikan diri dari apa. Kali ini, Adik seperti
menyembunyikan sesuatu darinya. Dia tidak seperti selalunya – berkongsi segala
cerita dengan Nora. Tetapi, Nora tidak boleh meneka apakah yang Adik cuba
sembunyikan. Mengapa dia seperti tergesa-gesa meninggalkan kampung. Bila waktu
yang dia ke Kuala Lumpur untuk memohon kerja pun tidak diberitahu kepada Nora.
“ Macam mengejut aje
dia pergi ke KL tu, kan Kak Uda?”
Angguk. Perlahan. Sayu
mata Salimah memandang Nora yang sudah seperti adiknya sendiri.
“ Akak pun rasa begitu.
Tetapi...entahlah Nora...,” satu keluhan halus dilepaskan. Nora menepuk-nepuk
perlahan tangan Salimah sebelum melepaskannya.
“ Khalid pun, dah
berapa hari saya tidak nampak batang hidungnya, Kak Uda. Dia tidak balikkah?”
Tanya Nora prihatin. Keluarga Salimah itu sudah seperti keluarganya juga.
Anak-anak Salimah sudah seperti anaknya. Lebih-lebih lagi Adik dan Kasih Alia.
Geleng. “ Akak tak tahu
mana dia pergi. Memang sudah nak dekat seminggu tak nampak batang hidung. Apa
nak jadi dengan Khalid ni, aku tak tahulah, Nora. Orang kalau ada anak kecik,
balik kerja saja sudah terus mahu balik. Main-main dengan anak. Dekat tempat
kerja, mesti terbayang muka anak. Ini tidak. Balik pun tidak. Jenguk pun tidak.
Dia ingat dia masih bujang agaknya.” Adu Salimah panjang lebar kepada Nora.
Nora sekadar memandang
simpati kepada Salimah. Apa yang boleh dilakukannya selain menjadi pendengar
yang setia.
“ Fidah tak cuba
telefon handphone dia, kak?”
“ Tak berjawab. Luar
kawasan, kata Fidah.”
“ Kemana pula dia eh,
kak?”
“ Entahlah, Nora...,”
Salimah mengeluh lagi. “ Akak kasihankan Fidah dengan si kecik tu. Kita ni,
kata orang...dah tahu dengan fiil si Khalid tu. Tapi, dah berbini, dah kahwin,
buatlah cara orang kahwin. Kau pergi mana tak balik-balik?” Berkerut kening
Salimah memikirkan perihal anak sulungnya.
“ Dia balik rumah sewa
dia tak, kak?”
“ Mana ada lagi rumah
sewa. Dia dah serah kunci sebulan lepas dia nikah.”
“ Duduk dengan
kawan-kawan bujang dia agaknya?” Nora membuat pelbagai andaian.
“ Mungkin juga. Ehhh...entahlah,
Nora! Geram akak. Tetapi, kau dah kahwin! Balik tengok anak bini kau ni haaa,
kat sini! Kalau Fidah mengadu dengan mak ayah dan abangnya, macam mana?!” Suara
Salimah meninggi.
“ Sabar Kak
Uda...sabar. Jangan marah-marah kak. Nanti akak sakit dada lagi. Adik tak ada
kat sini. Nanti, susah pula Abang Ghani,” pujuk Salimah memegang-megang bahu
Salimah sambil mengurut-ngurutnya perlahan.
Salimah menarik nafas
panjang lalu beristigfar.“ Aku kasihan si Fidah. Dia diam saja. Takut dia
memendam perasaan banyak sangat...meroyan pulak...bukan ke susah?”
“ Jangan fikir macam
itu, Kak Uda. Kita beri sokongan pada Fidah. Nora pun kasihan tengok dia. Baru
kahwin, dah ditinggalkan macam ini...,” Nora menggeleng kesal.
“ Perangai siapalah yang
si Khalid ikut, Nora. Ayah dengan atoknya, tak ada perangai macam ini...,”
keluh Salimah.
“ Kak, kata
orang...dalam setandan pisang, bukan semuanya baik, kak. Ini ujian ALLAH pada
akak dan Bang Ghani,” lembut suara Nora memujuk. Walau dia tidak mempunyai
anak, namun dia amat faham dengan perasaan Salimah. Naluri seorang wanita.
Salimah
mengangguk-angguk. Dia beristigfar lagi.
“ Ini Adik tak ada,
apa-apa hal, Kak Uda beritahu Nora tau. Kalau Nora tak boleh tolong pun, Nora
tolong dengar dan Nora tolong doakan, eh kak...Kak Uda jangan simpan seorang,
nanti akak sakit...,” pujuk Nora lagi sambil menepuk-nepuk lembut bahu Salimah.
“ Nora...kau ni...,”
Salimah seakan-akan kehilangan kata-kata. “ALLAH sajalah balas budi kau, Nora.
Kalau kau tak ada, akak tak ada tempat nak mengadu,” sambung Salimah sambil tepat
memandang wajah Nora yang masih lagi cantik walau sudah dimamah usia.
“ Kak Uda...akak lagi
rapat dengan saya dari adik-beradik saya, kak. Akak yang paling dekat dengan
saya. Akak yang hari-hari jumpa saya. Kita dah macam keluarga, kak. Yang Nora
mampu, jadi tukang dengar dan tolong akak apa yang boleh.”
“ Kau memanglah sahabat
dunia akhirat, Nora,” Salimah mengambil tangan kanan Nora lalu digenggamnya
erat. Dipandangnya sahabat dan jirannya itu dengan penuh kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan