Jumaat, 24 Jun 2016

ADUH, PENING! -BAB 40



PERANG dingin bermula, kalau selama peperangan Jerman Barat dan Jerman Timur, 51 tahun! Erk… anggap sahajalah 51 bulan sudahlah atau 51 hari, atau 5 campur 1. Aleeya tersenyum dalam hati. Wajah kelat Ikmal sejak semalam langsung tidak menarik perhatiannya. Selagi suaminya itu masih melayan Nadia, dia akan terus mengadakan perang dingin. Kalau terpaksa berhari-hari, berbulan-bulan, bertahun-tahun pun dia sudah tidak kisah. Nampak sangat Nadia dan anak-anak tirinya itu lebih penting pada suaminya.
Sarapan dan pakaian Ikmal tetap disediakan seperti biasa. Dihidangkan juga, cuma dia tidak bercakap dengan suaminya. Memanglah tidak baik bermasam muka dengan suami sendiri, berdosa. Bukan dia tidak tahu. Tetapi rasa sakit yang menjerut hatinya membuatkan dia sukar untuk bermanis muka. Dia bukan pandai berpura-pura, kalau suka, tampak suka, kalau dia tak suka, jangan suruh dia suka. Muktamad!
            “Ni, tak nak bercakap sampai bila?” tanya Ikmal. Matanya membulat merenung wajah Aleeya.
            Aleeya menjeling. Dia mencapai beg tangan, mengambil kunci kereta dan melangkah ke pintu. Dia mengeluh. Memandang seketika laman rumah dan keretanya yang berada di hadapan. Kena tunggu Ikmal keluar barulah dia boleh ke tempat kerja. Dia mengherotkan mulut. Kena bercakap juga ke? Tak mungkin! Dia ada akal.
            “Leya!” panggil Ikmal.
            Aleeya menoleh.
            “51 tahun!” kata Aleeya sambil melangkah ke keretanya. Dia masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan, lantas dia menekan hon beberapa kali, minta Ikmal mengundurkan keretanya.
            “51 tahun?” Ikmal mengira. Masih hidup ke dia waktu itu? Wah! Perang dingin paling lama itu. Biar betul? Bukan main lagi isterinya, nak perang dingin 51 tahun? Ingat main-main ke? Kalau mati sebelum sempat berdamai, dan dia tidak mengampunkan dosa Aleeya bagaimana? Tak ke naya. Tidak pasal-pasal dapat murka ALLAH kerana derhaka. Ikmal menggeleng kesal. Orang sedang marah, cakap pun boleh merapu juga.
Bunyi hon kereta mengganggu lamunannya. Uh! Dia mendengus kasar. Ikmal terus ke ruang laman. Dia menggeleng laju. Kesal dengan sikap Aleeya sejak akhir-akhir ini. Melawan sahaja tahunya. Salah dia ke? Mungkin jugalah. Masalahnya dengan Nadia masih ada hutang yang perlu dijelaskan. Kena selesaikan sehingga habis. Kalau tidak pasti Nadia datang macam ceti haram, menuntut dan menuntut! Padahal dia tidak ada hutang apa-apa lagi dengan Nadia melainkan nafkah anak-anak. Pening, pening!
            Hon terus berbunyi. Sudah bermacam-macam gaya bunyi. Sekejap sekali, sekejap dua kali. Sekejap berkali-kali. Malulah dengan jiran tetangga. Nanti mereka ingat Aleeya sudah buang tabiat. Mata Aleeya terjegil memandangnya. Mulut isterinya pula sekejap herot ke kiri, sekejap herot ke kanan.
            Ikmal mendekati kereta isterinya. Diketuk cermin tingkap.
            Aleeya buat tak tahu. Menegak duduk macam patung. Memandang ke arah pintu rumah, buat tidak peduli dengan keletah suaminya. Semakin kuat ketukan di cermin. Aleeya mengetap bibir. Nak pecahkan tingkap kereta dia ke? Eeii… alihkanlah kereta, dia sudah lewat ke tempat kerja. Ini kes naya! Tidak pasal-pasal punch kadnya merah nanti.
            Ikmal semakin tidak sabar dengan kerenah Aleeya yang merajuk dan sukar dipujuk. Betul-betul nak perang dingin sampai 51 tahun ke? Aduh! Ya ALLAH, apa nak jadi dengan rumah tangganya? Ikmal menepuk dahi. Dia mengunci pintu rumah. Terus ke keretanya dan memandu keluar. Pintu pagar memang sudah sedia terbuka. Dia berhenti seketika sementara menunggu kereta yang dipandu Aleeya keluar dari laman rumah.
            Aleeya mencebik. Dia memandu laju meninggalkan kawasan rumah. Terasa nak menangis sahaja. Sebak dadanya. Tidak suka hidup begini. Geram, marah dan sakit hati, menapak dalam diri. Kenapa hatinya sakit sangat? Kenapa begini jadinya? Dia sayangkan suaminya, dia sayangkan rumah tangganya. Ingin bahagia sehingga ke syurga. Ujian tetap ada, seharusnya dia kuat dan tabah, tidak kalah dengan hasutan syaitan yang sentiasa memujuk manusia agar berbuat noda dan dosa. Aleeya menangis juga. Bukan kerana suaminya, tetapi tangisan sedih kerana dia kalah dengan ajakan iblis dan syaitan. Kalau dia berterusan begini, rumah tangganya tidak akan bertemu bahagia. Itulah yang paling dia takutkan.
Ya, ALLAH!  Kau berilah hamba-MU ini petunjuk dan jalan yang kau redhai! Sejak semalam sehingga hari ini, dia sudah menyakitkan hati suaminya. Dia sudah menjadi isteri yang derhaka. Tidak sepatutnya dia bertindak di luar batasan seorang isteri. Seharusnya, dia bersabar biar apa pun terjadi. Selagi suaminya tidak membawa dirinya ke jalan kemungkaran, selagi itulah dia harus taat. Sesungguhnya, dia manusia yang lemah dan pendek akal. Semakin kuat tangisan Aleeya di dalam keretanya. Sama laju dengan meter di keretanya 110 sejam. Hebat air matanya boleh keluar selaju itu. Mahu tercabut matanya. Aleeya tersenyum. Dalam tangisan dan hatinya sebal, dia masih mampu tersenyum. Hatinya masih ada sedikit rasa ihsan untuk diri sendiri.
            Perjalanan ke pejabat terasa lambatnya. Ditambah dengan kenderaan yang begitu banyak di jalan raya. Kesesakan pada waktu pagi, perkara biasa di Kuala Lumpur. Kenalah tahan sabar. Kalau ikut nak marah, silap hari bulan tidak pasal-pasal kena herdik dan dimarahi dengan pemandu lain. Aleeya terus memandu keretanya menuju ke tempat kerja. Semoga rakan tiga serangkai itu mampu menceriakan hari-harinya. Aleeya menyeka air mata. Biarlah dia pujuk hatinya sendiri. Dia akan cuba bersabar dan tabah dengan ujian ini.

SAMPAI di pejabat, dia terus ke tempatnya. Duduk bertenang seketika, biar ada damai di hati. Sudah macam tajuk lagu pula. Memang, dia inginkan kedamaian dan ketenangan ketika ini. Tidak mahu memulakan kerjanya dalam fikiran yang berserabut. Rakan-rakan memberi salam dan menegurnya dengan mesra, dijawab dengan mesra juga. Tidak mahu menyusahkan fikiran mereka dengan masalah yang sedang melanda hidupnya. Jika masih boleh diselesaikan, akan diselesaikan sendiri.
            Sehingga ke petang, suaminya langsung tidak menelefon. Manalah tahu nak pujuk dirinya yang sedang dilanda rajuk. Aleeya mengeluh. Inilah jadinya. Ini semua Nadia punya angkara. Kalau perempuan itu tidak mengganggu rumah tangganya, tentu keadaan hidupnya dan Ikmal tidak akan jadi seperti ini. Kelam-kabut semuanya. Ini semua angkara Nadia dan anak-anaknya.  Dia boleh jadi seorang ibu yang baik, tidak kiralah anak tiri sekalipun. Tidak diberi peluang, mana mereka tahu, dia seorang yang jahat? Cuba dululah duduk di rumahnya sebulan dua, baru mereka boleh menilai dirinya. Ini tidak, belum apa-apa sudah anggap dia ibu tiri yang jahat dan hanya tahu mendera. Sudah pastilah Nadia yang jadi tukang ceritanya.
Kenapalah dia harus memikirkan masalah yang sedang melanda dirinya. Padahal semakin dia memikirkannya, hati tidak pernah aman, malah sakit sangat-sangat.  Redha, dia harus redha dengan apa yang berlaku. Tidak boleh berputus asa. Ikmal tetap suaminya. Nadia tidak boleh sewenang-wenangnya merampas haknya itu. Tidak kira bagaimana sekalipun. Aleeya mengetap bibir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan