Suasana
di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur agak lengang.
Matahari yang memancar terik memanah tubuhnya yang sedikit berisi itu
langsung tidak dihiraukan. Jika panas
cuaca, panas lagi hatinya ketika itu. Dia
melangkah laju menuju ke kenderaan yang diletak tidak berapa jauh dari ruang
mahkamah syariah itu. Pintu kereta
Toyota Vios miliknya dibuka dengan kasar, melambangkan rasa sakit dan marah
yang sedang berlegar difikirannya. Sudahlah dia terseksa hidup dengan suami
seorang penagih tegar, terpaksa pula bayar duit tebus talak sebanyak 10k. Jika tidak berbuat begitu, suaminya tidak
mahu menceraikannya. Hancur lulur
hatinya. Manusia tiada hati. Sudahlah dia tidak mempunyai pendapatan
tetap, hanya berniaga kecil-kecilan dalam talian, berapa sangatlah
pendapatannya.
“Kau tak guna Razif! Tak guna!” jerit Riana sendirian.
“Kau tak guna Razif! Tak guna!” jerit Riana sendirian.
Mana
hendak uruskan anak lagi. Riana
menghentak tangannya ke stereng kereta, dia menangis sepuas-puasnya. Dia minta bercerai cara baik. Tidak sanggup lagi hidup bersama lelaki yang
hanya tahu mengabdikan diri dengan menjadi penagih dadah. Puas dipujuk agar berubah dan berhenti dari
menagih. Ada ketika dia memaksa suaminya
agar masuk pusat serenti untuk menghilangkan rasa ketagihannya itu. Namun semuanya itu hanya sia-sia. Apabila diugut untuk meminta cerai,
berubahlah seketika, sehari dua, selepas itu buat semula.
Sebagai
seorang isteri, selama mana dia mampu bertahan!
Sudahlah makan minum dan segala urusan rumah tangga terpikul di
bahunya. Dengan perniagaan kecil-kecilan
itulah dia menyara kehidupan dan dua anaknya.
Suaminya hanya tahu meminta jika keperluan mendesak, ketagihan tidak
mampu ditahan lagi.
Dia mengahwini suaminya setelah
hatinya terpaut dengan kelembutan dan kesopanan suaminya itu. Dia langsung tidak sedar yang suaminya
seorang penagih. Setelah beberapa bulan
berumah tangga barulah dia menyedari kegiatan buruk suaminya itu, Namun semuanya sudah terlambat apabila dia
disahkan mengandung anak sulong. Malah
suaminya berjanji akan berubah dan
berhenti menagih. Riana percaya dan
yakin kerana ketika itu rasa sayang masih menebal di hati.
Minggu berganti, bulan. Bulan berganti tahun, tahun berganti tahun,
terlalu lama dia bersabar. Hampir 11 tahun dia bertahan, akhirnya dia tidak mampu menunggu lagi. Ada ketika suaminya melepaskan gian di
hadapan anak-anak. Dia tidak mahu
anak-anak mewarisi perkara hina
itu. Dia akhirnya ke Pejabat Agama Islam
untuk permohonan fasakh terhadap suaminya.
Segala bukti diserahkan. Namun
suaminya bijak, tetap tidak mahu melepaskannya selain dari dia membayar duit
tebus talak.
“Di
mana aku hendak cari duit sebanyak itu?”
Tangisan Riana semakin mendayu.
Terbayangkan
wajah kedua anak-anak yang masih kecil.
Stereng kereta Toyoto Vios digenggam erat. Kereta ini!
Dia memejamkan matanya seketika.
Air mata yang mengalir di pipi dibiarkan sahaja. Bertambah sesak dadanya. Kereta yang dibeli dengan duit titik peluhnya
sendiri, dibeli untuk kemudahannya berniaga.
Bertambah sakit hatinya. Hanya
kereta ini sahajalah yang dia ada.
Nampak gayanya dia terpaksa menjualkan kereta ini, biarpun dia amat
menyayanginya.
“Tergamak kau Razif, sudahlah kau
tidak memberikan aku apa-apa, kini kau rampas pula harta yang aku ada!” Riana menghidupkan enjin kereta dan
meninggalkan perkarangan mahkamah syariah dengan hati berbuku resah.
Kereta
diparkir di bawah pokok berhadapan dengan flat yang menjadi tempat tinggalnya
selama ini. Dia mengesat air mata yang
berbaki di pipi. Dia tidak akan dapat
berbuat apa-apa, selagi tidak membayar 10k yang diminta oleh Razif di mahkamah
tadi. Hampir gugur jantungnya
mendengar jumlah yang diminta. Biarpun
diterangkan kepada pihak mahkamah dia tidak mampu membayar permintaan
tersebut. Namun talak di tangan suami, dia terpaksa akur. Pulang dengan yang sakit, apa yang diharapkan tidak menjadi.
Setelah memberi salam, dia memulas
tombol pintu dan melangkah masuk. Flat
kos rendah itu sudah bertahun-tahun didiami.
Sewanya yang murah menyebabkan dia
dan suami, ketika itu menyulam bahagia, menyewa di situ. Suasana di kawasan perumahannya di waktu
siang begini agak sunyi sepi. Hanya
kedengaran suara deruman enjin kenderaan yang lalu lalang di hadapan flat
tersebut. Jiran-jirannya yang terdahulu,
kebanyakkannya sudah keluar dari flat tersebut dan menyewa atau membeli rumah
di kawasan lain. Di situ hanya didiami
oleh rakyat Bangladesh atau pekerja asing berasal dari Indonesia. Kadangkala dia terasa bukan tinggal di Negara
sendiri.
Mengeluh
pun tiada gunanya, jika lelaki yang sepatutnya bekerja rata-rata hidup seperti
suaminya. Sudahlah tidak bekerja,
menagih pula. Memeras ugut hasil titik
peluh isteri sendiri. Jika susah sangat mendapatkan duit, itulah
yang sampai sanggup menjadi peragut, mencuri dan merompak hak orang lain. Bukan di Negara ini tidak ada pekerjaan,
pilih sahaja, apa yang penting tidak memilih.
Razif, suaminya, sebelum ini bekerja di sebuah kilang di Shah Alam,
diberhentikan kerana tertangkap sewaktu sedang gian di dalam tandas
kilang.
Sejak itu dia terpaksalah berusaha
mencari pendapatan sendiri untuk meneruskan hidup. Di suruh mencari pekerjaan lain, pelbagai
alasan diberi. Akhirnya menjadilah
peladang anggur di tanah sendiri, tanam tak hidup-hidup, malah menjadi bangkai bernyawa yang sukarnya hendak
dicabut nyawanya. Kalau ikutkan hati,
mahu sahaja diracun, biar mampus, apabila memikirkan dosa, dia pendamkan sahaja kelukaan di hati,
jauh di sudut hati yang paling
dalam. Kepada siapa dia hendak
bercerita? Kepada keluarganya? Atau keluarga mertua? Jiran tetangga? Tentulah sekali tidak, bukan nanti akan
mendapatkan simpati, malah takut pula kejian menanti. Biarlah dia tanggung sendiri, luka yang
berdarah tidak tahu bila akan sembuhnya nanti.
“Mama…” sapa suara kecil yang amat
dikenali.
Riana melemparkan senyuman,
memaniskan muka. Wajah dua orang anaknya
yang sedang meningkat remaja dipandang lama.
Lantas ditarik dalam pelukannya.
Dicium berkali-kali, melepaskan rasa rindu dan beban berat di hati.
“Macam mana Rin? Sudah selesai?” tanya Rafeah, jiran sebelah rumah dan merupakan
teman baiknya.
Wajah temannya itu dipandang
seketika sebelum dia beralih memandang wajah anak-anaknya semula. Dia menahan sebak. Apa yang diharapkan, belum lagi bakal
terjadi. Bukan ingin menjadi isteri
derhaka, tetapi dia tidak mahu lagi membela mayat hidup yang langsung tidak
berguna.
“Belum! Selagi dia tidak bayar pada
aku jumlah yang aku minta, jangan harap aku akan tinggalkan rumah ini!” sampuk seseorang.
Riana dan Rafeah serentak memandang
ke arah pintu utama.
Razif menyengih menampakkan barisan
giginya yang berwarna kekuningan. Dia
melangkah masuk. Matanya tajam menikam
wajah Riana dan Rafeah. Dia mencebik.
Langkah diatur terus ke dalam bilik.
“Ayah…” tegur Marlia, cuba mendekati Razif, lalu
dihalang oleh Riana.
“Mari
sayang,” panggil Razif.
Marlia
dan Iqmal menolak tangan Riana dan memeluk Razif.
Riana dan Rafeah memandang dengan wajah penuh kebencian dan dengan hati yang sebal.
“Kalau
kau sanggup bayar segera, hari ini juga aku boleh ceraikan kau!” Razif menyengih lagi.
Rasa
meluat menumbuk hati Riana. Dia mengetap
bibir. Sudah hampir enam bulan dia tidak
lagi sebilik dengan suaminya itu. Dia
tahu perbuatannya berdosa, tetapi apa dayanya.
Hatinya tawar, tidak mampu bertaut kasih yang layu dengan janji manis
suaminya itu. Dia tidak mampu menahan
lelaki itu pulang ke rumah, kerana lelaki itu masih lagi suaminya yang sah.
“Anak-anak
ayah pergi tengok tv, ayah nak masuk berehat.”Razif mencium pipi kedua orang
anaknya sebelum berlalu meninggalkan mereka semua di ruang tamu. Dia hanya melemparkan senyuman sinis kepada
Riana dan Rafeah yang memerhatikan bagaikan
beruang lapar.
“Rin…” Rafeah mengenggam erat tangan Riana. Tahulah dia apa yang berlaku.
“10 ribu Feah! Aku kena bayar dia 10 ribu, baru dia akan
lepaskan aku!” kata Riana sedikit
tegang.
Marlia dan Iqmal kembali menonton
televisyen setelah disuruh oleh Razif. “Subhana-ALLAH… apa kau nak buat
sekarang?” Rafeah mengerut dahi. Simpati menyinggah.
“Aku tak tahulah Feah, tapi aku
cadang nak jual kereta aku tu… lebih baik aku susah naik turun tangga bas, dari
susah hati melihat suami yang tidak menguntungkan itu,” luah Riana, tidak mampu bertahan lagi.
“Sayanglah… kau kan suka sangat
dengan kereta tu?” Rafeah mengeluh.
“Apa lagi yang aku nak buat? Duit simpanan aku tak ada sebanyak itu… hanya itu sahaja caranya Feah,” getus Riana.
“Sabarlah Riana, nanti kita fikirkan
sama-sama. Kau jangan putus asa ya,”
pujuk Rafeah.
“11 tahun aku bersabar, Feah… mana
mampu untuk aku bertahan sehari sahaja
lagi,” keluh Riana, sebak dadanya.
Rafeah mengusah belakang Riana. Dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak
membantu. Dahinya berkerut.
Riana menarik nafas panjang dan
melepaskannya perlahan. Inikah dugaan
hidup untuknya. Selama ini dia impikan
sebuah rumah tangga yang bahagia, harmoni dan aman. Biarpun tidak senang, bersederhana, itu sudah
cukup, asalkan hatinya tenang dan bahagia.
Suaminya pula seorang yang bertanggungjawab, walaupun tidak bergaji
besar atau berpangkat. Tidak kisahlah
jika hanya pekerja kilang. Kalau pun ada
harta berkepuk, tapi penagih dadah, tiada siapa yang mampu mengapai bahagia?
Baru temui blog kak Asmah Hashim, memilih untuk mula dengan membaca cerita ini. Jalan cerita yang sangat menarik & penulisan yang mudah difahami. Moga terus maju berkarya! :)
BalasPadamTerima kasih dik
Padam