Selasa, 28 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA- BAB 16- SASYA ZAINAL



Senja
USJ, Subang Jaya, Selangor

Suara muazin yang melaungkan azan dari sebuah surau berdekatan membuatkan dia teringatkan kampung halaman. Lembayung senja sudah mula menjengah alam ketika dia bersiap-sedia untuk menunaikan solat maghribnya. Sayup- sayup kedengaran suara bilal yang melaungkan azan itu. Bunyi kenderaan yang lalu-lalang juga masih boleh kedengaran walau dia berada tingkat lima pangsapuri kediamannya kini. Dia pasti disaat ini, ayah sudah berada di surau. Dia juga pasti, guru mengajinya Pak Hassan yang datang dengan bertongkat sudah siap sedia dengan kerusi plastiknya mengambil tempat di saf hadapan untuk berjemaah.

Dia segera menunaikan solat maghrib setelah azan selesai. Pesan ayah, jangan suka menangguhkan solat kerana takut nanti, urusan lain akan tertangguh juga. Usai solat, dia membaca al-fatihah. Dihadiahkan surah yang menjadi ibu al-Quran itu kepada Nabi Muhammad SAW, para sahabat nabi, anbia`k serta syuhada dan kepada ayah ibu juga kaum keluarga. Dia meneruskan zikirnya dengan membaca ayatul-qursi dan beberapa surah lazim. Kemudian, ditadahkan kedua-dua telapak tangannya untuk mendoakan kesejahteraan ayah, ibu, adik-beradik, guru-guru dan para sahabatnya. Akhir sekali, Adik membuat sujud syukur kerana ALLAH telah mempermudahkan segala urusannya untuk berhijrah. Air matanya berlinang.

‘Hanya KAU dan Ri sahaja yang tahu, Ya ALLAH. Semoga apa yang berlaku ini memberi hikmah kepada aku dan kaum keluargaku. KAU lindungkanlah ayah dan ibuku serta insan-insan yang aku kasihi.’

            Johari dan Alice telah keluar rumah pada pukul 6.00 petang dan hingga kini masih belum pulang. Mahu membeli barang-barang untuk sarapan esok pagi, kata Johari. Setelah melipat sejadah, dia melabuhkan punggung di katil empuk milik Johari. Dicapainya telefon bimbit dan menekan nombor rumah. Pasti emak risau kerana dia lambat menelefon. Tetapi, sedari tiba di hentian Pudu, kemudian di bawa pulang ke rumah sewa Johari, makan tengahari, berbual-bual sebentar dan kemudian terus menunaikan solat zohor. Oleh kerana waktu asar sudah hampir, dia terus berzikir di sejadah dan menantikan seruan azan.

Memang waktu begitu singkat dan dia agak kalut sedari pagi. Oleh kerana itu, janjinya kepada emak tidak dapat ditunaikan. Masa yang begitu padat membuatkan dia tidak dapat meluangkan masa untuk menelefon emak. Dia juga tidak mahu menelefon emak dan bercakap sedikit sahaja. Jika boleh, dia mahu berbual-bual dengan emak. Dia mahu bercakap lama-lama dengan emak. Emak pula tidak ada telefon bimbit. Adik perlu menanti waktu yang sesuai untuk menelefon rumah. Memang betullah kata ramai orang...hidup di kota, serasa dua puluh empat jam itu begitu singkat dan tidak mencukupi. Segalanya berlalu dengan pantas. Manusia berlari-lari mengejar masa. Mengejar kemewahan. Mengejar kesenangan. Mungkin hanya segelintir sahaja yang mengejar bekalan untuk dibawa ke akhirat.

            Setelah beberapa deringan, telefon di rumah itu diangkat.
            “Hello, assalamualaikum,” suara Fidah di hujung talian.
            “Waalaikumus salam, Fidah, Adik ni.”
            Eh Adik...awak dah selamat sampai KL?” Soalan pertama dari kakak iparnya. Walau umur Fidah baru dua puluh tahun dan dia pula akan berumur dua puluh enam tahun, pangkat Fidah tetap sebagai kakak ipar.

            “Dahhh...tengahari tadi kita dah sampai. Si kenit buat apa?” Dia tersenyum teringatkan anak saudara sulungnya. Walau itu anak abang Khalid, abang yang membencinya, namun...dia tetap kasih kepada anak saudaranya itu.

            “Lepas mandi tadi, dah tidur dah. Malam nanti, berjagalah dia,” terang Fidah.

            Dia tersenyum. Teringat dia akan Khairul Naim. Nama si kecil yang diberi oleh ayah. Dipersetujui oleh Pak Hassan dan imam surau. Anak sulung abang Khalid. Cicit sulung Tok Bidin. Cucu sulung Abdul Ghani dan Salimah. Rumah emak dan ayah meriah dengan kehadiran jiran tetangga kerana ingin menjenguk si kecil yang baru melihat dunia. Abang Kamaruddin dan Kasih Alia juga pulang pada hujung minggu kerana ingin melihat anak saudara pertama. Tok Bidin dan nenek siap menyewa teksi untuk datang ke rumah untuk melawat cicit pertama mereka.

Syukurlah dia tidak bekerja hujung minggu semasa Fidah keluar dari hospital bersalin. Dapat juga dia membantu emak yang agak letih melayan cucu dan memasak makanan untuk Fidah yang berpantang. Saban hari emak memasak ikan singgang. Adakalanya, daging kicap dengan lada hitam. Sup ayam atau daging dimasak dengan hirisan  halia muda. Sibuk sungguh emak melayan jiran tetangga yang bertandang. Dia juga sibuk ke depan ke belakang menyediakan air, kuih-muih dan kerepek untuk dihidangkan kepada tetamu. Oleh kerana ayah itu ahli jawatankuasa surau, jemaah surau boleh dikatakan semuanya datang. Terasa seperti sambutan Aidilfitri meriahnya. Kehadiran Khairul Naim itu umpama rahmat dan sinar untuk rumah mereka.

“ Fidah, kita nak cakap dengan mak. Mak dah siap sembahyang ke?”
            “ Dah...mak baru aje turun ke dapur. Kejap eh, orang panggil... .” Dia terdengar Fidah memanggil nama emak. Terbayang di wajahnya emak memanjat tangga dapur dan menuju ke ruang tengah di mana telefon rumahnya diletakkan di atas meja bulat.

            “ Hello, Dik,” suara emak yang dirindu kedengaran di hujung talian. Kedengaran suara nafas emak turun naik. Emak pasti tergopoh-gopoh menaiki tangga dari dapur untuk ke ruang tengah di mana letaknya meja telefon.
            “ Assalamualaikum, mak. Tengah panaskan lauk, eh?” Lembut suaranya bertanya. Entah kenapa, dia sebak. Dadanya terasa sempit. Dia mencuba sebaik mungkin mengawal suara agar emak tidak perasan yang dia sedang sebak.

            “ Haah...nanti ayah balik sembahyang, sibuk tanya nasi dah panaskan ke belum,” emak memberitahu sesuatu yang rutin. Macamlah dia sudah berapa bulan tinggalkan kampung. Padahal, baru pagi tadi dia masih mandi-manda dan bersarapan nasi lemak di rumah.
            “ Haa, iyalah. Mak masak sedap, mestilah ayah nak makan. Mak masak apa hari ni tadi?” Tanya Adik sambil tersenyum.
            “ Tadi...mak masak ikan selar kuning masak gulai asam pedas dengan masak lemak kacang. Ada ikan kering sikit, mak goreng.” Terbayang dimatanya menu ringkas emak. Walaupun ringkas, sudah cukup untuk buat dia dan ayah menambah nasi dua tiga kali, “ Ayah kau marah mak sebab bagi Fidah makan gulai,” adu emak di hujung talian.

            Memang itulah rasmi emak. Segala benda hendak diberitahu padanya. Ayah hendak makan itu, ayah hendak ini. Tok Bidin minta masak pengat. Nenek minta buat soto. Kak Nora jual kain sutera. Kak Nora tempah kek buah-buahan dengan ibu Faezah Hanim. Mak Bedah pergi rumah anak perempuannya. Apabila dia pulang bekerja, kadang-kadang sambil menikmati air milo dan biskut, emak akan memberi ulasan secara langsung tentang aktiviti hariannya.

            “ Kenapa pulak ayah marah emak?” Nadanya bimbang.
            “ Sebab...sebenarnya tak boleh bagi orang dalam pantang makan gulai asam pedas!” Emak tergelak kecil di hujung talian.
            “ Ohhh...tak boleh eh mak?” Keningnya berkerut. Bukan dia tahu makanan apa yang boleh atau tidak boleh semasa wanita berpantang bersalin.
            “ Kalau ikutkan tak boleh. Tapi tengok oranglah. Ada orang tak ada apa-apa. Macam mak dulu, mak tak ada apa-apa. Tapi tadi, si kenit tu tercirit-cirit pulak. Tu yang ayah marah tu,” seperti biasa, emak bercerita seakan-akan dia di hadapan emak.
            “ Laaa, iya ke? Alahai...kesian si kenit tu,” dia memberi respon dengan cerita emak. Terbayang-bayang wajah anak saudaranya.
“ Dik...kau dah jumpa kawan kau tu?”
            “ Dah mak...ini, kita kat rumah dialah ni.”

            Penjelasan dari Adik membuatkan Salimah senang dan lapang hati. Sedari tengahari tadi, dia merasa bimbang. Lebih-lebih lagi, Adik tidak menelefonnya.

            “ Kawan kau yang mana ni, Dik? Mak kenal ke?”
            “ Alah...Ri laa mak.”
            “ Ri? Ri mana?” Salimah mengerutkan kening di hujung talian. Payah hendak dia mengingati. Ingat-ingat lupa dengan kawan-kawan Adik. Boleh dikatakan, semua anak-anak kampung ini, kawan Adik. Kebanyakkannya bersekolah di sekolah yang sama.

            “ Johari anak mak Bedah laaa, mak,” Adik menegaskan.
            “ Haa? Johari? Johari anak pakcik Tapa?” Suara emak agak terkejut.
            “ Iya, mak. Mana Adik ada kawan lain nama Johari,” Adik tersengih di hujung talian. Dia pasti ibunya terkejut kerana memang sudah sekian lama Johari tidak pulang ke kampung. Mungkin emak fikir, dia sudah tidak berkawan dengan Johari atau hubungan persahabatan mereka sudah terputus
            “ Laaa...mana kau jumpa dia?” Seingat Salimah, dia tidak pernah lagi nampak batang hidung Johari di kampung. Hendak bertanya kepada Zabedah, dia tidak mahu dikata menjaga tepi kain orang. Zabedah pula tidak pernah bercerita tentang anak lelakinya yang seorang itu.
            “ Adik memang selalu contact dia, mak. Kita orang tak pernah putus kawan pun,” Adik menjelaskan kepada emaknya. “ Itu yang Adik bawa nasi lemak tadi. Untuk diberi pada si Ri sebenarnya. Dah nak dekat sepuluh tahun dia tak makan nasi lemak yang emak masak.”
            “ Ohh...alahai...kalau mak tahu, mak bekalkan sambal tumis lebih-lebih tadi. Si Johari kan suka banyak sambal.” Salimah memang kenal benar dengan Johari. Sedari kecil memang itulah sahabat anaknya. Sudah biasa benar si Johari itu makan minum tidur baring di rumahnya. Apabila mengetahui anaknya di rumah kawan yang Salimah kenal, hatinya lapang. Johari dan Adik itu seperti adik beradik. Di kota nanti, bolehlah mereka menjaga kebajikan antara satu sama lain.

            “ Mak...hmmm...abang Khalid dah balik?” tanya Adik. Walau dia boleh mengagak jawapan emak, dia berharap jawapan emak adalah positif.
            “ Huh...tak ada,” di hujung talian, wajah Salimah mencemik. “ Petang tadi, ayah yang keluar pergi beli pampers untuk Naim,” jelas emak lagi. Ada kesal di nada suara emak.

            Adik menarik nafas. Entah apalah hendak jadi dengan abangnya itu, hanya ALLAH yang tahu. Dia yang hanya bergelar ayah saudara pun, terasa rindu dengan Khairul Naim. Semasa di tempat kerja, terbayang-bayang wajah comel si manja itu. Apabila si kecil itu tersenyum-senyum padanya, terasa hilang segala penat lelah seharian. Apa Khalid tidak ada perasaan seperti itukah? Apa Khalid tidak rindukah pada Khairul Naim? Apa Khalid tidak terbayang-bayangkah senyum comel si kecil itu? Adik tidak tahu.
           
            “ Mak...Isnin nanti, Adik pergi tempat kerja baru, mak doakan eh,” Adik memohon doa restu emak. Dia yakin dengan kekuatan doa ayah dan emak.
            Salimah mengangguk-angguk walau tidak kelihatan di mata Adik.
            “ Yelah, mak doakan. Nanti kau pergi kerja macam mana?”
            “ Buat masa ni, Ri tolong hantarkan, mak.”
            “ Apa nama bandar tempat Ri duduk ni?”
            “ Subang Jaya, mak.”
            “ Ohhh...dekat dengan lapangan terbang Subang tu eh?”
          “Eh, bukan mak. Nama tempat ni, Subang Jaya. Adik pun tak tahu dekat ke tidak dengan lapangan terbang Subang tu. Kawasan kat KL ni semua besar-besar mak. Entah-entah, Subang Jaya ni aje lebih besar dari Batu Pahat.” Adik menerangkan.
Dia tidak pasti samada emak boleh membayangkan keadaan tempatnya sekarang ini. Dengan pasaraya yang beberapa kali ganda lebih besar dari pasaraya di bandar Batu Pahat itu. Dengan jalanraya yang sesak dan orang yang ramai, pasti emak tidak boleh hendak bayangkan.

            Dari arah ruang tamu, dia terdengar orang membuka pintu dan suara Johari dan Alice.
            “ Mak, nanti esok-esok, Adik telefon lagi eh. Itu Ri dah balik tu. Nak tolong-tolong dia sediakan makan malam.”
            “ Haah, iyalah. Jaga diri eh nak. Jangan tinggal sembahyang. Jaga makan minum. Kalau kau sakit, nanti susah, mak dengan ayah jauh. Kirim salam pada Johari. Kalau ada apa-apa, telefon mak ya.” Itulah pesan emak setiap kali jika dia menelefon ketika masih belajar di Perak dahulu. Hingga kini, setelah dia besar panjang, pesan itulah yang juga yang akan diingatkan.

“ Iyalah mak. Assalamualaikum mak. Kirim salam ayah, Kak Nora dan Fidah ya.”
           “Yooo hooo Dik! Adikkk! Kita orang dah balik!” kedengaran suara Johari setelah pintu dibuka.
            Adik segera meletakkan telefon bimbitnya di meja sisi katil dan bangun menuju ke ruang tamu. Sebaik pintu dibuka, dilihat Johari dan Alice membibit beberapa beg plastik. Dia segera ke arah mereka dan membantu. Adik membawa beg-beg plastik yang berisi roti, telur, salad dan beberapa barangan runcit yang lain lalu di bawa ke dapur.

            “ Eh...aku datang sini, banyak pulak kau kena belanja, Ri,” Adik merasa serba-salah apabila melihatkan sahabatnya membeli bermacam-macam makanan.
            “ Alaa...bukan pasal kau datang kita orang belanja. Memang seminggu sekali, kita orang beli barang-barang pasar buat stok. Kalau dah kerja, macam dah takde masa nak keluar,” ujar Johari meringankan resah di hati Adik.
            “ Juls...ini spaghetti, I rebus dulu hor...,” tanya Alice sambil mengeluarkan sebungkus spaghetti dari salah satu plastik yang tertulis dengan nama Giant.
            “ Haah moy...you rebus dulu. Nanti yang lain I buat.”

            Adik hanya menjadi pemerhati. Johari memang sedari remaja memang gemar memasak. Bila dia datang ke rumah Mak Bedah, ada-ada sahaja makanan yang dimasak oleh Johari. Yang paling menjadi kegemaran Adik adalah cucur udang dan mihun goreng.

            “ Dik, malam ni makan spaghetti Italian. Ok tak?” tanya Johari sambil tangannya tangkas mengeluarkan barang-barang yang dibeli.
            Adik tersenyum, “ Aku, makan apa pun boleh, Ri. Asalkan yang senang,” jawabnya jujur.
            “ Juls...itu spaghetti I sudah rebus. I mahu mandi dulu ok..., ” jelas Alice setelah dia mengisi air di dalam periuk dan meletakkan sebungkus spaghetti di dalamnya.
            “ Ok moy...you pergi mandilah. Lepas mandi, kita boleh makan sama-sama.”

            Alice berlalu masuk ke dalam biliknya. Tinggallah dua sahabat itu di dapur. Adik seraya terkenangkan zaman remaja mereka. Bila Johari diamanahkan oleh Mak Bedah untuk memasak makan petang untuk dua orang adik perempuannya. Adik yang kadang-kadang kebetulan ada di rumahnya, akan turut membantu.

            “ Mak aku kirim salam dengan kau, Ri. Dia suka sangat bila aku cakap, aku duduk dengan kau.”
             “ Waalaikumus salam,” Johari memberikan senyuman ketika menjawab salam kiriman Salimah. “Kau telefon mak kau eh? Lama betul aku tak jumpa mak kau, Dik. Macam mana mak kau? Sihat? Mmm...dia tahu kenapa kau datang sini?” Soalan Johari diajukan serentak sambil tangannya tangkas mencapai sebiji bawang besar, beberapa biji bawang kecil, bawang putih dan tomato. Adik masih lagi berdiri di sebelahnya.

            “ Mak aku sihat. Mungkin penat sikitlah menjaga orang dalam pantang. Pasal kenapa aku datang sini...hmm...mak aku tak tahu. Biarlah mak aku tak tahu, Ri. Kalau dia tahu nanti, aku takut dia sakit.”
            Johari memandang wajah Adik. Dia melepaskan keluhan dan menggeleng-gelengkan kepala.
            “ Takpelah, Dik. Biarlah ALLAH balas. Lambat-laun, mak kau dan keluarga kau akan tahu juga,” suara Johari seakan memujuk.

            Terdetik ucapan syukur di dalam hati Adik apabila sahabatnya itu bercakap tentang balasan ALLAH. Masih ada hidayah di dalam diri Johari. Adik takut, Johari telah pergi jauh dari landasan agama kerana sedari tengahari, hingga kini...hampir masuk solat isya`, dia tidak melihat Johari mendirikan satu pun tiang agamanya.
           
“ Mak aku terkejut betul bila aku cakap dengan dia yang aku akan tinggal dengan kau. Dia marah aku kenapa tak cakap awal-awal yang aku akan jumpa kau. Kalau dia tahu, dia akan bekalkan sambal tumis banyak-banyak,” Adik tersenyum mengingatkan kata-kata emak sebentar tadi.
           
       “ Hehe...sayang juga Mak Uda dengan aku, eh?” Johari tersengih sambil tangannya masih mengupas bawang-bawang yang diambil.
           
       “ Eh...sayaaang... Ri. Mak aku anggap kau macam anak sendiri. Kau aje yang tak balik-balik kampung sampai raya pun tak balik. Bila raya aje, mak aku selalu cakap, kalau pagi raya, kau lah orang pertama yang akan beraya di rumah aku,” Adik cuba meny
ampaikan soalan yang berlapik. Sebenarnya hingga kini, dia juga tidak tahu mengapa Johari tidak pernah pulang lagi ke kampung.

          Johari melepaskan keluhan.
           
          "Kau merajuk dengan siapa, Ri?”

           Johari berhenti dari mengupas bawang dan menoleh ke arahnya.
            “ Tak ada merajuk dengan sesiapa, Dik. Cuma...hmm...entahlah...mmm...bukan semua orang boleh terima aku.” Nadanya suaranya berubah. Agak sedih suara Johari ketika dia menyatakan yang bukan semua orang boleh menerimanya.

            Adik memegang-megang bahu Johari.
            Iya...dia faham. Bukan semua orang boleh menerima. Bukan semua orang faham atau cuba untuk faham.

            “ Tapi aku tak lupa kirim duit pada mak dan adik-adik aku. Kadang-kadang, aku poskan juga baju-baju kurung dan tudung pada mak aku sebelum raya,” suaranya perlahan dan tangannya yang tadi tangkas mengupas kulit-kulit bawang tadi pun sudah berubah rentak. Lambat-lambat pisau di tangan mengupas kulit-kulit bawang yang akan dibuat rencah masakannya sebentar nanti.

            “ Takpelah, Ri. Aku faham. Dahlah, jangan sedih-sedih. Satu hari nanti, kalau kau dah sedia. Keluarga kau dah sedia, kau baliklah,” Adik memujuk. Adik tetap percaya, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negeri sendiri tetap di hati. Dia juga yakin, setiap pengembara harus kembali di tempat dia bermula.

            Mereka bertiga akhirnya menikmati makan malam sewaktu jam di dinding menunjukkan ke angka sembilan. Semasa makan malam ini, barulah Adik tahu yang Alice akan mula masuk bekerja pada pukul 10.00 malam ini dan hanya akan pulang pada pukul 4.00 atau 5.00 pagi.

            Selepas mandi tadi, Alice sudah bersiap-siap dengan baju kerjanya. Skirt hitam pendek hingga menampakkan pehanya yang putih gebu dan baju blaus nipis berwarna merah jambu tanpa lengan. Mekapnya malam ini juga agak tebal. Alice memakai bulu mata palsu yang sangat lentik. Memang ayu dan seksi. Sudah pasti menggugah naluri seorang lelaki. Melalui Johari juga, Adik mengetahui yang Alice bekerja di salah sebuah kelab malam yang terkenal di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bermula sebagai seorang penari, kemudian naik pangkat menjadi penyanyi dan kini, Alice adalah pegawai hubungan awam dan pegawai promosi kelab malam berkenaan.

            “ Sebab itulah aku ajak kau duduk dengan aku. Si Amoy ni macam burung hantu! Masa kita semua tidur, dia kerja. Kita pergi kerja, dia tidur. Tiap-tiap malam, aku tinggal seorang, Dik,” Johari menerangkan sementara Adik mengangguk-angguk sambil menikmati spaghetti Italian masakan Johari.
            “ Juls...itu Kajol dan Diana jadi datang breakfast ka esok?” Tanya Alice sambil menolak pinggan makannya dan mencapai pula air teh lemon suam.
            “ Eh...jadiklah. Kata nak buat american breakfast?”
            Alice hanya mengangguk-angguk.
            “ Esok, you balik, tidur aje Moy. I siapkan semua. Adik ada, boleh tolong. Dah siap semua, Kajol dan Dee pun dah datang, I kejutkan you, ok?”
            Alice mengangguk-angguk lagi sambil meneguk air teh lemon suam digenggaman sedikit demi sedikit.
            “ Esok ada apa, Ri?”
            “ Alah, tak ada apa-apa pun. Aku panggil dua tiga orang kawan rapat aku kat sini untuk kenalkan kau pada dia orang. Aku beritahu dia orang, kau ni macam kembar aku,” jawab Johari bersahaja sambil menyenduk lagi spaghetti dan dibubuh di dalam pinggannya.

            Rasa sebak menjalar di dalam dirinya.
            ‘Ri...kau lah kawan, teman dan sahabat dunia akhirat.’

            “Esok Dik, bangun pagi, tolong aku masak eh. Aku nak buat chicken and mushroom sup, roti bakar bawang putih, kentang goreng, sosej dan cucur udang,” Johari tersengih-sengih. Apabila bercerita tentang masakan dan makanan, dia merasa gembira.
            “ Wahhh...ada cucur udang jugak, ka Juls?” Alice sempat bertanya sebelum dia bangun dan menuju ke dapur meletakkan pinggan dan gelasnya yang sudah kosong.
            “ Habis...Dee dengan Kajol sibuk merengek hari-hari suruh aku buat cucur udang dengan sambal cicah. Selagi I  tak buat Moy, selagi itulah dia orang tuntut. Meluat aku!” Johari membuat mimik muka. “ Hah esok, aku buat sampai sekilo! Biar puas dia orang makan!”
             Adik tersengih-sengih memandang gelagat Johari.
           “Ri...kalau kawan-kawan kau kat sini pun rindu nak makan cucur udang kau...aku ni haa...lagi lamaaaa tak merasa,Ri,” jelas Adik sambil tersenyum memandang Johari.

Memang sudah hampir sepuluh tahun rasanya dia tidak merasa cucur udang dari air tangan Johari. Resepi Johari memang cukup klasik. Nampak mudah, namun bila sudah merasa sebutir, memang akan berulang kali tambahnya. Udang kecil akan dikupas kulit, bawang besar yang dipotong dadu, lada merah, lada hijau dan daun sup yang dihiris akan digaul bersama dengan tepung gandum yang dibubuh pula dengan perencah udang kering yang sudah ditumbuk. Lemak dan enak. Cucur udang yang panas rangup itu dicicah pula dengan sambal lada cuka yang masam-masam manis dan pedas...fuh, memang tak cukup sekilo tepung jika dibuat makan untuk tiga orang. Jika pemakannya ada resdung, memang menggaru hidunglah jawabnya dek penangan udang dan rencah udang kering yang ditumbuk.

            “ Laaa, iya tak ya ek, kau pun dah lama tak makan cucur udang aku!” Johari tergelak-gelak kecil. Memang cucur udangnya menjadi kegemaran Adik. Kadang-kadang, setelah menggoreng cucur udang, dia, Adik dan Faezah Hanim akan duduk-duduk makan di pangkin hadapan rumah Kak Nora. Kak Nora pula, sudah pasti akan menyediakan kopi O atau teh O pandan untuk mereka.

            Ada juga kalanya yang mereka bertiga berpakat untuk makan sambil duduk-duduk di jeti penambang sambil melihat air sungai Simpang Kanan di waktu petang. Faezah Hanim akan membawa tikar mengkuang kecil, Adik akan membawa air teh dan dia pula akan membawa sebekas cucur udang rangup. Amat menenangkan perasaan apabila melihat abang Ajis dan abang Sahak mengayuh sampan mereka perlahan-lahan merentas sungai membawa penumpang-penumpang yang dari pekan Penggaram untuk ke kampung Peserai Pantai.

Sampan kayu sederhana besar yang boleh memuatkan lebih kurang sepuluh orang penumpang pada satu-satu masa beroleng-oleng dikayuh oleh abang Ajis atau abang Sahak. Kadang-kadang, sampan itu penuh dengan murid- murid sekolah. Kadang-kadang penuh dengan surirumah dan barang-barang runcit yang dibeli dari pasar. Adakalanya, sampan itu penuh dengan muatan beg-beg baju kerana penumpangnya hendak menaiki bas ekspress untuk ke destinasi pilihan. Dari jeti penambang itu, ketiga-tiga rakan karib itu akan menikmati panorama kehidupan penduduk kampung. Sambil berbual, mereka akan menikmati cucur udang dan dicicah dengan sambal cuka. Ketika matahari merangkak masuk ke kamar alam untuk memberi laluan kepada sang rembulan, barulah ketiga-tiga sahabat karib itu bangun dan meninggalkan jeti penambang.

Indahnya kenangan zaman remaja. Andainya dia boleh memutar masa, dia ingin kembali ke zaman itu. Satu zaman yang menyeronokkan. Satu zaman yang menghiburkan, yang mengasyikkan. Dia tidak akan dapat melupakan zaman kanak-kanak dan remajanya. Kini, kawan karib yang dianggap seperti saudara kandung, berada di hadapan mata. Dia puas. Dia gembira dan teruja dengan kehadiran Adik. Walau di kota ini, dia punya ramai kawan baharu, namun Adik ini adalah sahabat yang amat memahami jiwa dan raganya.

            “Oklah Dik... sebab kau pun rindu nak makan...mak buat dua kilo cucur udang untuk kau nyah!” Alice dan Adik terkekeh-kekeh ketawa.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan