Jumaat, 24 Jun 2016

USAH MENANGIS LAGI! - BAB 2



Bunyi ketukan di pintu utama meragut waktu rehat Riana, dia lantas menarik anak-anaknya masuk ke dalam bilik yang ketika itu sedang leka menonton televisyen. Televisyen terus ditutup. Hatinya berdegup kencang. Kipas yang terpasang laju tidak pintu utama membuatkan kakinya menggigil. Bukan takut, tetapi geram.membantu menghilangkan rasa panas hatinya ketika itu. Dia mengurut dada. Suara di luar
“Rin… aku tahu kau ada di dalam! Buka pintu ini!” jerit Razif.
“Mama… ayah di luar!” Marlia menarik tangan Riana.
“Syyy…” Riana meletak jari telunjuk di bibirnya.
 “Tapi…” Marlia ingin keluar.
“Marlia… tolong beri kerjasama dengan mama,” pinta Riana. Dia tahu Marlia sayang sangat dengan ayahnya itu. Apa sahaja perbuatan Razif baginya bukan satu kesalahan. Biar diterang berkali-kali. Marlia bagaikan tidak mahu mengerti.
“Kenapa mama tak benarkan ayah masuk?” tanya Marlia dengan wajah cemberut dan suara sedikit tinggi.
“Marlia tak nampakkah, apa yang telah ayah buat pada mama dan keluarga kita?” Riana sudah letih menerangkan hal tersebut. Malu dengan jiran tetangga. Setiap kali Razif pulang, pasti jeritannya akan didengari hampir satu blok flat kos rendah itu. Siapa yang tidak kenal suaminya. Jika ada kecurian, suaminyalah yang disasarkan oleh penduduk flat tersebut. Biarpun dinafikan berkali-kali, namun mereka tidak percaya. Siapa yang hendak percaya dengan penagih dadah?
“Ayahkan sakit! Cikgu kata, orang yang hisap dadah adalah pesakit!” jerit Marlia. Dia membuka pintu bilik dan berlari keluar.
“Marlia!” jerit Riana, turut berlari mengejar Marlia, dia tidak mahu Marlia membuka pintu untuk suaminya itu.
Marlia meronta minta dilepaskan. Tubuh Riana yang agak berisi tidak mampu dipegang oleh Riana.
“Lepaslah mama… Biarlah ayah masuk! Dah dua hari ayah tak balik.” Marlia menolak Riana dengan kasar.
“Marlia! Jangan buat mama macam ni, tolonglah! Biarlah ayah tinggal di tempat lain! Mama tak sanggup lagi, duit mama dah habis hanya semata-mata hendak beli ‘ubat’ untuk ayah! Kenapa Marlia tidak mahu memahami keadaan mama.” Sayu hatinya. Kecewa dengan apa yang berlaku. Bukan dia hendak memisahkan Marlia dengan suaminya tetapi dia tidak mahu keadaan Razif akan mempengaruhi Marlia.
“Mama,” panggil Iqmal yang berdiri kebingungan di muka pintu bilik.
“Iqmal masuk bilik! Tutup pintu!” arah Riana.
Terlalai seketika, Marlia sudah pun berlari ke muka pintu, daun pintu terus dibuka.
“Marlia!” jerit Riana, hatinya benar-benar kecewa.
Razif sudah pun melangkah masuk. Dia terus mendekati Riana.
“Kau tak benarkan aku masuk, kenapa? Ini masih rumah aku! Jangan nak memandai-mandai halau aku dari sini,” Razif menarik rambut Riana.
“Lepaslah bang! Sakit!” jerit Riana.
“Tahu sakit! Hati aku lagi sakit, bila kau tak buka pintu!” marah Razif.
“Kalau dah tahu sakit hati, tak payahlah pulang ke sini! Baliklah ke rumah orang tua abang!” Riana cuba menarik kembali rambutnya. Namun genggaman Razif begitu kejap di rambutnya.
“Amboi! Celuparnya mulut kau!” satu tamparan hinggap di pipi Riana.
“Ayah!” jerit Marlia, berlari mendekati Riana yang tersungkur di lantai.
“Marlia jangan campur!” arah Razif.
“Inikan yang Marlia mahu, biarkan mama dipukul oleh ayah!” tangis Riana. Bukan sengaja menyalahkan anaknya itu, tetapi ingin Marlia faham kenapa dia bertindak tidak benarkan Razif kembali ke rumah itu biarpun mereka masih suami-isteri.
“Mama…” Marlia memeluk Riana. Dia menangis di bahu Riana. Kedua-duanya dia sayang.
“Aku nak duit! Barang aku dah habis! Tak payah nak berdrama kat sini!” Razif merentap tangan Riana.
“Mana saya ada duit, bang! Kalau ada pun cukup untuk belanja makan minum saya dan anak-anak,” kata Riana. Bosan dia dengan sikap Razif yang hanya tahu memeras duitnya. Bekerja tidak mahu. Menyusahkan hidup orang lain sahaja.
“Kau bohong! Kaukan berniaga, takkan tak ada duit?” jerkah Razif.
“Demi ALLAH bang! Tak ada!” Riana cuba melepaskan diri. Dia menolak tangan Razif dengan kuat.
Razif menarik Riana masuk ke dalam bilik tidur mereka. Daun pintu ditolak kasar. Iqmal tersungkur di lantai.
“Iqmal!” Riana menerpa ke arah anak bongsunya yang mengerang kesakitan.
 Iqmal menangis kesakitan
Razif mencebik. Dia tidak memperdulikan keadaan Iqmal. Tiada siapa suruh berdiri di belakang pintu, getus hati kecilnya. Tangan Riana dilepaskan. Dia menyelongkar almari pakaian, almari plastik. Semua barang, pakaian yang ada di dalam almari ditarik keluar, bersepah di sana sini. Beg tangan Riana diperiksa teliti. Sesekali dia mengelap hidungnya yang berair. Rambutnya yang kusut-masai ditolak berkali-kali. Mukanya yang berpeluh, dibiarkan sahaja. Comot dan berbau.
“Ini… duit apa ini?” Razif menunjukkan sejumlah duit ke muka Riana yang masih memeluk Iqmal.
“Ya ALLAH, bang… itu duit belanja dapur! Tolonglah jangan ambil,” rayu Riana, sayu, pilu, dan sedih dengan apa yang berlaku.
“Banyak ni… berhari-hari bekalan untuk aku,” Razif menyengih.
“Abang memang kejam! Kejam!” jerit Riana. Air matanya tidak mampu ditahan lagi. Apalah nasib dirinya. Kalau boleh dia ingin segera berpisah dengan Razif, biar mereka tidak lagi ada apa-apa hubungan. Dia tidak mahu hidup begini. Dia tidak mahu terus ditindas dan dihina begini.
“Terima kasih Marlia,” kata Razif sambil mengenyitkan mata. Badannya yang kurus melidi itu terhoyong-hayang jalannya. Bagaikan orang mabuk sahaja. Matanya kuyu memandang wajah Riana yang menangis di lantai, langsung tiada perasaan belas ehsan. Iqmal masih mengerang kesakitan. Dahinya sedikit berdarah. Mungkin kesan dari hentakann pintu yang kuat tadi.
“Ayah, pulangkanlah duit mama tu,” rayu Marlia.
“Ayah sakit Marlia, ayah nak beli ubat,” kata Razif, tangannya mengusap rambut anak perempuan yang memandangnya dengan wajah tidak keruan.
“Ayah tak sembuh lagi ke?” tanya Marlia.
“Nanti dah makan ‘ubat’, ayah sembuhlah. Ayah pergi dulu ya.” Duit dimasukkan ke dalam poket.
“Abang!” jerit Riana.
Razif memandang sekilas dan berlalu pergi.
“Marlia buat apa ni?” Tangis Riana. Kecewa dengan anak gadisnya itu. Serba salah jadinya. Dia tahu, Marlia sayangkan dia dan juga sayangkan Razif.
“Biarlah ayah keluar dari rumah kita ini Marlia,” pinta Riana. Matanya memandang tepat wajah Marlia yang merenungnya tidak berkelip.
                        “Marlia nak ayah juga!” getus Marlia. Dia berlari masuk ke biliknya dan menutup pintu dengan kasar.
Riana memeluk Iqmal dan menangis sepuas hatinya. Pilu yang mencengkam, merobek seluruh jantungnya. Merentap seluruh jiwanya. Duit yang ada untuk modal berniaga, untuk makan minum selama sebulan, habis diambil oleh suaminya. Ya ALLAH, apalah dayaku… bisik hati kecilnya. Kenapa dia jatuh cinta dengan Razif? Kalaulah dia tidak terpikat dengan lelaki itu, pasti hidupnya tidak akan jadi seperti ini. Ah! Dia bukan menyalahkan takdir tetapi menyalahkan dirinya sendiri yang begitu mudah jatuh cinta. Hanyut dengan rayuan dan pujuk rayu Razif. Kalaulah… kalaulah… kalaulah… penyesalan mencengkam kemas di hati.
Iqmal terlena dalam dakapannya setelah puas menangis kesakitan. Riana mengesat air mata yang berbaki. Tubuh kecil Iqmal dicempung dalam dokongan, diletakkan di katilnya. Dia mengetap bibir. Berkali-kali keluhan dilepaskan. Terasa sakit tubuh badannya. Terasa sakit di kepala. Lagi sakit hatinya, terluka dan bernanah, sehingga bila dia harus bersabar dan bertabah? Selama mana dia mampu bertahan? Persoalan yang jawapannya terletak pada jumlah 10k. Di mana dia hendak cekau duit sebanyak itu? Siapa yang sudi meminjamkan kepadanya? Bank? Bank mana yang hendak memberi pinjaman untuk membayar tebus talaknya? Saudara mara, kawan dan kenalan? Siapa yang sanggup, bukan kecil jumlahnya. Pinjam dengan ceti haram? Tidak mungkin, silap haribulan diri sendiri terjual nanti. Semakin pening kepalanya memikirkan Marlia.
Semakin terasa berat bahunya, semakin terhimpit rasanya. Duit untuk memulakan perniagaan jualan tudung dalam taliannya juga ada bersama dengan duit yang diambil oleh Razif tadi. Ya ALLAH… keluhnya berat. Berminggu-minggu dia berehat, mencari kekuatan diri untuk memulakan langkah berniaga semula. Kes penceraian yang tidak selesai membuatkan perasaannya lemah longlai untuk berbuat apa-apa. Dia yang bodoh! Kalaulah dia tidak selemah ini, leka melayan perasaan kecewa, sudah pasti dia sudah ada barang untuk meneruskan perniagaannya. Duit tiada, bagaimana dia hendak memulakan langkah pertama, mengubah hidupnya? Dia sudah mengiklankan keretanya untuk dijual. Masih tiada sesiapa bertanya.
Riana meraup wajahnya, melepaskan lelah di hati. Mengumpul kekuatan diri. Duit tiada sedikit pun yang tinggal. Keretanya masih tidak terjual. Duit sebanyak 10k masih belum diperolehi. Dia mengeluh kasar. Penat, letih dan lelah menghadapi dugaan ini. Air matanya bagaikan tidak mahu kering, terus mengalir laju. Menangisi nasib diri. Menangisi nasib anak-anaknya. Menangisi arah tuju kehidupannya. Gelap dan bagaikan tiada jalan pulang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan