Senja
USJ, Subang Jaya, Selangor
Suara muazin yang melaungkan azan dari sebuah surau berdekatan
membuatkan dia teringatkan kampung halaman. Lembayung senja sudah mula
menjengah alam ketika dia bersiap-sedia untuk menunaikan solat maghribnya. Sayup-
sayup kedengaran suara bilal yang melaungkan azan itu. Bunyi kenderaan yang
lalu-lalang juga masih boleh kedengaran walau dia berada tingkat lima
pangsapuri kediamannya kini. Dia pasti disaat ini, ayah sudah berada di surau.
Dia juga pasti, guru mengajinya Pak Hassan yang datang dengan bertongkat sudah
siap sedia dengan kerusi plastiknya mengambil tempat di saf hadapan untuk
berjemaah.
Dia segera menunaikan solat maghrib setelah
azan selesai. Pesan ayah, jangan suka menangguhkan solat kerana takut nanti,
urusan lain akan tertangguh juga. Usai solat, dia membaca al-fatihah.
Dihadiahkan surah yang menjadi ibu al-Quran itu kepada Nabi Muhammad SAW, para
sahabat nabi, anbia`k serta syuhada dan kepada ayah ibu juga kaum keluarga. Dia
meneruskan zikirnya dengan membaca ayatul-qursi dan beberapa surah lazim. Kemudian,
ditadahkan kedua-dua telapak tangannya untuk mendoakan kesejahteraan ayah, ibu,
adik-beradik, guru-guru dan para sahabatnya. Akhir sekali, Adik membuat sujud
syukur kerana ALLAH telah mempermudahkan segala urusannya untuk berhijrah. Air matanya
berlinang.
‘Hanya KAU dan Ri sahaja yang tahu,
Ya ALLAH. Semoga apa yang berlaku ini memberi hikmah kepada aku dan kaum
keluargaku. KAU lindungkanlah ayah dan ibuku serta insan-insan yang aku
kasihi.’
Johari dan Alice telah
keluar rumah pada pukul 6.00 petang dan hingga kini masih belum pulang. Mahu
membeli barang-barang untuk sarapan esok pagi, kata Johari. Setelah melipat
sejadah, dia melabuhkan punggung di katil empuk milik Johari. Dicapainya
telefon bimbit dan menekan nombor rumah. Pasti emak risau kerana dia lambat
menelefon. Tetapi, sedari tiba di hentian Pudu, kemudian di bawa pulang ke
rumah sewa Johari, makan tengahari, berbual-bual sebentar dan kemudian terus menunaikan
solat zohor. Oleh kerana waktu asar sudah hampir, dia terus berzikir di sejadah
dan menantikan seruan azan.
Memang waktu begitu singkat dan dia
agak kalut sedari pagi. Oleh kerana itu, janjinya kepada emak tidak dapat
ditunaikan. Masa yang begitu padat membuatkan dia tidak dapat meluangkan masa
untuk menelefon emak. Dia juga tidak mahu menelefon emak dan bercakap sedikit
sahaja. Jika boleh, dia mahu berbual-bual dengan emak. Dia mahu bercakap
lama-lama dengan emak. Emak pula tidak ada telefon bimbit. Adik perlu menanti
waktu yang sesuai untuk menelefon rumah. Memang betullah kata ramai
orang...hidup di kota, serasa dua puluh empat jam itu begitu singkat dan tidak
mencukupi. Segalanya berlalu dengan pantas. Manusia berlari-lari mengejar masa.
Mengejar kemewahan. Mengejar kesenangan. Mungkin hanya segelintir sahaja yang
mengejar bekalan untuk dibawa ke akhirat.
Setelah beberapa
deringan, telefon di rumah itu diangkat.
“Hello,
assalamualaikum,” suara Fidah di hujung talian.
“Waalaikumus salam, Fidah,
Adik ni.”
Eh Adik...awak dah
selamat sampai KL?” Soalan pertama dari kakak iparnya. Walau umur Fidah baru
dua puluh tahun dan dia pula akan berumur dua puluh enam tahun, pangkat Fidah
tetap sebagai kakak ipar.
“Dahhh...tengahari
tadi kita dah sampai. Si kenit buat apa?” Dia tersenyum teringatkan anak
saudara sulungnya. Walau itu anak abang Khalid, abang yang membencinya,
namun...dia tetap kasih kepada anak saudaranya itu.
“Lepas mandi tadi, dah
tidur dah. Malam nanti, berjagalah dia,” terang Fidah.
Dia tersenyum. Teringat
dia akan Khairul Naim. Nama si kecil yang diberi oleh ayah. Dipersetujui oleh
Pak Hassan dan imam surau. Anak sulung abang Khalid. Cicit sulung Tok Bidin.
Cucu sulung Abdul Ghani dan Salimah. Rumah emak dan ayah meriah dengan
kehadiran jiran tetangga kerana ingin menjenguk si kecil yang baru melihat
dunia. Abang Kamaruddin dan Kasih Alia juga pulang pada hujung minggu kerana
ingin melihat anak saudara pertama. Tok Bidin dan nenek siap menyewa teksi
untuk datang ke rumah untuk melawat cicit pertama mereka.
Syukurlah dia tidak bekerja hujung
minggu semasa Fidah keluar dari hospital bersalin. Dapat juga dia membantu emak
yang agak letih melayan cucu dan memasak makanan untuk Fidah yang berpantang. Saban
hari emak memasak ikan singgang. Adakalanya, daging kicap dengan lada hitam.
Sup ayam atau daging dimasak dengan hirisan halia muda. Sibuk sungguh emak melayan jiran
tetangga yang bertandang. Dia juga sibuk ke depan ke belakang menyediakan air,
kuih-muih dan kerepek untuk dihidangkan kepada tetamu. Oleh kerana ayah itu
ahli jawatankuasa surau, jemaah surau boleh dikatakan semuanya datang. Terasa
seperti sambutan Aidilfitri meriahnya. Kehadiran Khairul Naim itu umpama rahmat
dan sinar untuk rumah mereka.
“ Fidah, kita nak cakap dengan mak.
Mak dah siap sembahyang ke?”
“ Dah...mak baru aje
turun ke dapur. Kejap eh, orang panggil... .” Dia terdengar Fidah memanggil
nama emak. Terbayang di wajahnya emak memanjat tangga dapur dan menuju ke ruang
tengah di mana telefon rumahnya diletakkan di atas meja bulat.
“ Hello, Dik,” suara
emak yang dirindu kedengaran di hujung talian. Kedengaran suara nafas emak
turun naik. Emak pasti tergopoh-gopoh menaiki tangga dari dapur untuk ke ruang
tengah di mana letaknya meja telefon.
“ Assalamualaikum, mak.
Tengah panaskan lauk, eh?” Lembut suaranya bertanya. Entah kenapa, dia sebak. Dadanya
terasa sempit. Dia mencuba sebaik mungkin mengawal suara agar emak tidak
perasan yang dia sedang sebak.
“ Haah...nanti ayah
balik sembahyang, sibuk tanya nasi dah panaskan ke belum,” emak memberitahu
sesuatu yang rutin. Macamlah dia sudah berapa bulan tinggalkan kampung.
Padahal, baru pagi tadi dia masih mandi-manda dan bersarapan nasi lemak di
rumah.
“ Haa, iyalah. Mak
masak sedap, mestilah ayah nak makan. Mak masak apa hari ni tadi?” Tanya Adik
sambil tersenyum.
“ Tadi...mak masak ikan
selar kuning masak gulai asam pedas dengan masak lemak kacang. Ada ikan kering
sikit, mak goreng.” Terbayang dimatanya menu ringkas emak. Walaupun ringkas,
sudah cukup untuk buat dia dan ayah menambah nasi dua tiga kali, “ Ayah kau
marah mak sebab bagi Fidah makan gulai,” adu emak di hujung talian.
Memang itulah rasmi
emak. Segala benda hendak diberitahu padanya. Ayah hendak makan itu, ayah
hendak ini. Tok Bidin minta masak pengat. Nenek minta buat soto. Kak Nora jual
kain sutera. Kak Nora tempah kek buah-buahan dengan ibu Faezah Hanim. Mak Bedah
pergi rumah anak perempuannya. Apabila dia pulang bekerja, kadang-kadang sambil
menikmati air milo dan biskut, emak akan memberi ulasan secara langsung tentang
aktiviti hariannya.
“ Kenapa pulak ayah
marah emak?” Nadanya bimbang.
“ Sebab...sebenarnya
tak boleh bagi orang dalam pantang makan gulai asam pedas!” Emak tergelak kecil
di hujung talian.
“ Ohhh...tak boleh eh
mak?” Keningnya berkerut. Bukan dia tahu makanan apa yang boleh atau tidak
boleh semasa wanita berpantang bersalin.
“ Kalau ikutkan tak
boleh. Tapi tengok oranglah. Ada orang tak ada apa-apa. Macam mak dulu, mak tak
ada apa-apa. Tapi tadi, si kenit tu tercirit-cirit pulak. Tu yang ayah marah
tu,” seperti biasa, emak bercerita seakan-akan dia di hadapan emak.
“ Laaa, iya ke?
Alahai...kesian si kenit tu,” dia memberi respon dengan cerita emak.
Terbayang-bayang wajah anak saudaranya.
“ Dik...kau dah jumpa kawan kau tu?”
“ Dah mak...ini, kita
kat rumah dialah ni.”
Penjelasan dari Adik
membuatkan Salimah senang dan lapang hati. Sedari tengahari tadi, dia merasa
bimbang. Lebih-lebih lagi, Adik tidak menelefonnya.
“ Kawan kau yang mana
ni, Dik? Mak kenal ke?”
“ Alah...Ri laa mak.”
“ Ri? Ri mana?” Salimah
mengerutkan kening di hujung talian. Payah hendak dia mengingati. Ingat-ingat
lupa dengan kawan-kawan Adik. Boleh dikatakan, semua anak-anak kampung ini,
kawan Adik. Kebanyakkannya bersekolah di sekolah yang sama.
“ Johari anak mak Bedah
laaa, mak,” Adik menegaskan.
“ Haa? Johari? Johari
anak pakcik Tapa?” Suara emak agak terkejut.
“ Iya, mak. Mana Adik
ada kawan lain nama Johari,” Adik tersengih di hujung talian. Dia pasti ibunya
terkejut kerana memang sudah sekian lama Johari tidak pulang ke kampung.
Mungkin emak fikir, dia sudah tidak berkawan dengan Johari atau hubungan
persahabatan mereka sudah terputus
“ Laaa...mana kau jumpa
dia?” Seingat Salimah, dia tidak pernah lagi nampak batang hidung Johari di kampung.
Hendak bertanya kepada Zabedah, dia tidak mahu dikata menjaga tepi kain orang.
Zabedah pula tidak pernah bercerita tentang anak lelakinya yang seorang itu.
“ Adik memang selalu contact dia, mak. Kita orang tak pernah
putus kawan pun,” Adik menjelaskan kepada emaknya. “ Itu yang Adik bawa nasi
lemak tadi. Untuk diberi pada si Ri sebenarnya. Dah nak dekat sepuluh tahun dia
tak makan nasi lemak yang emak masak.”
“ Ohh...alahai...kalau
mak tahu, mak bekalkan sambal tumis lebih-lebih tadi. Si Johari kan suka banyak
sambal.” Salimah memang kenal benar dengan Johari. Sedari kecil memang itulah
sahabat anaknya. Sudah biasa benar si Johari itu makan minum tidur baring di
rumahnya. Apabila mengetahui anaknya di rumah kawan yang Salimah kenal, hatinya
lapang. Johari dan Adik itu seperti adik beradik. Di kota nanti, bolehlah
mereka menjaga kebajikan antara satu sama lain.
“ Mak...hmmm...abang
Khalid dah balik?” tanya Adik. Walau dia boleh mengagak jawapan emak, dia
berharap jawapan emak adalah positif.
“ Huh...tak ada,” di
hujung talian, wajah Salimah mencemik. “ Petang tadi, ayah yang keluar pergi
beli pampers untuk Naim,” jelas emak
lagi. Ada kesal di nada suara emak.
Adik menarik nafas.
Entah apalah hendak jadi dengan abangnya itu, hanya ALLAH yang tahu. Dia yang
hanya bergelar ayah saudara pun, terasa rindu dengan Khairul Naim. Semasa di
tempat kerja, terbayang-bayang wajah comel si manja itu. Apabila si kecil itu
tersenyum-senyum padanya, terasa hilang segala penat lelah seharian. Apa Khalid
tidak ada perasaan seperti itukah? Apa Khalid tidak rindukah pada Khairul Naim?
Apa Khalid tidak terbayang-bayangkah senyum comel si kecil itu? Adik tidak
tahu.
“ Mak...Isnin nanti,
Adik pergi tempat kerja baru, mak doakan eh,” Adik memohon doa restu emak. Dia
yakin dengan kekuatan doa ayah dan emak.
Salimah
mengangguk-angguk walau tidak kelihatan di mata Adik.
“ Yelah, mak doakan.
Nanti kau pergi kerja macam mana?”
“ Buat masa ni, Ri
tolong hantarkan, mak.”
“ Apa nama bandar
tempat Ri duduk ni?”
“ Subang Jaya, mak.”
“ Ohhh...dekat dengan
lapangan terbang Subang tu eh?”
“Eh, bukan mak. Nama
tempat ni, Subang Jaya. Adik pun tak tahu dekat ke tidak dengan lapangan
terbang Subang tu. Kawasan kat KL ni semua besar-besar mak. Entah-entah, Subang
Jaya ni aje lebih besar dari Batu Pahat.” Adik menerangkan.
Dia tidak pasti samada emak boleh
membayangkan keadaan tempatnya sekarang ini. Dengan pasaraya yang beberapa kali
ganda lebih besar dari pasaraya di bandar Batu Pahat itu. Dengan jalanraya yang
sesak dan orang yang ramai, pasti emak tidak boleh hendak bayangkan.
Dari arah ruang tamu,
dia terdengar orang membuka pintu dan suara Johari dan Alice.
“ Mak, nanti esok-esok,
Adik telefon lagi eh. Itu Ri dah balik tu. Nak tolong-tolong dia sediakan makan
malam.”
“
Haah, iyalah. Jaga diri eh nak. Jangan tinggal sembahyang. Jaga makan minum.
Kalau kau sakit, nanti susah, mak dengan ayah jauh. Kirim salam pada Johari.
Kalau ada apa-apa, telefon mak ya.” Itulah pesan emak setiap kali jika dia
menelefon ketika masih belajar di Perak dahulu. Hingga kini, setelah dia besar
panjang, pesan itulah yang juga yang akan diingatkan.
“ Iyalah mak. Assalamualaikum mak. Kirim
salam ayah, Kak Nora dan Fidah ya.”
“Yooo hooo Dik! Adikkk!
Kita orang dah balik!” kedengaran suara Johari setelah pintu dibuka.
Adik segera meletakkan
telefon bimbitnya di meja sisi katil dan bangun menuju ke ruang tamu. Sebaik
pintu dibuka, dilihat Johari dan Alice membibit beberapa beg plastik. Dia
segera ke arah mereka dan membantu. Adik membawa beg-beg plastik yang berisi
roti, telur, salad dan beberapa barangan runcit yang lain lalu di bawa ke
dapur.
“ Eh...aku datang sini,
banyak pulak kau kena belanja, Ri,” Adik merasa serba-salah apabila melihatkan
sahabatnya membeli bermacam-macam makanan.
“ Alaa...bukan pasal
kau datang kita orang belanja. Memang seminggu sekali, kita orang beli
barang-barang pasar buat stok. Kalau dah kerja, macam dah takde masa nak
keluar,” ujar Johari meringankan resah di hati Adik.
“ Juls...ini spaghetti,
I rebus dulu hor...,” tanya Alice sambil mengeluarkan sebungkus spaghetti dari
salah satu plastik yang tertulis dengan nama Giant.
“ Haah moy...you rebus dulu. Nanti yang lain I buat.”
Adik hanya menjadi
pemerhati. Johari memang sedari remaja memang gemar memasak. Bila dia datang ke
rumah Mak Bedah, ada-ada sahaja makanan yang dimasak oleh Johari. Yang paling
menjadi kegemaran Adik adalah cucur udang dan mihun goreng.
“ Dik, malam ni makan
spaghetti Italian. Ok tak?” tanya Johari sambil tangannya tangkas mengeluarkan
barang-barang yang dibeli.
Adik tersenyum, “ Aku,
makan apa pun boleh, Ri. Asalkan yang senang,” jawabnya jujur.
“ Juls...itu spaghetti I sudah rebus. I mahu mandi dulu ok..., ” jelas Alice setelah dia mengisi air di
dalam periuk dan meletakkan sebungkus spaghetti di dalamnya.
“ Ok moy...you pergi mandilah. Lepas mandi, kita
boleh makan sama-sama.”
Alice berlalu masuk ke
dalam biliknya. Tinggallah dua sahabat itu di dapur. Adik seraya terkenangkan
zaman remaja mereka. Bila Johari diamanahkan oleh Mak Bedah untuk memasak makan
petang untuk dua orang adik perempuannya. Adik yang kadang-kadang kebetulan ada
di rumahnya, akan turut membantu.
“ Mak aku kirim salam
dengan kau, Ri. Dia suka sangat bila aku cakap, aku duduk dengan kau.”
“ Waalaikumus salam,” Johari memberikan
senyuman ketika menjawab salam kiriman Salimah. “Kau telefon mak kau eh? Lama
betul aku tak jumpa mak kau, Dik. Macam mana mak kau? Sihat? Mmm...dia tahu
kenapa kau datang sini?” Soalan Johari diajukan serentak sambil tangannya
tangkas mencapai sebiji bawang besar, beberapa biji bawang kecil, bawang putih
dan tomato. Adik masih lagi berdiri di sebelahnya.
“ Mak aku sihat.
Mungkin penat sikitlah menjaga orang dalam pantang. Pasal kenapa aku datang
sini...hmm...mak aku tak tahu. Biarlah mak aku tak tahu, Ri. Kalau dia tahu
nanti, aku takut dia sakit.”
Johari memandang wajah
Adik. Dia melepaskan keluhan dan menggeleng-gelengkan kepala.
“ Takpelah, Dik.
Biarlah ALLAH balas. Lambat-laun, mak kau dan keluarga kau akan tahu juga,”
suara Johari seakan memujuk.
Terdetik ucapan syukur
di dalam hati Adik apabila sahabatnya itu bercakap tentang balasan ALLAH. Masih
ada hidayah di dalam diri Johari. Adik takut, Johari telah pergi jauh dari
landasan agama kerana sedari tengahari, hingga kini...hampir masuk solat isya`,
dia tidak melihat Johari mendirikan satu pun tiang agamanya.
“ Mak aku terkejut betul bila aku
cakap dengan dia yang aku akan tinggal dengan kau. Dia marah aku kenapa tak
cakap awal-awal yang aku akan jumpa kau. Kalau dia tahu, dia akan bekalkan
sambal tumis banyak-banyak,” Adik tersenyum mengingatkan kata-kata emak
sebentar tadi.
“ Hehe...sayang juga Mak Uda dengan
aku, eh?” Johari tersengih sambil tangannya masih mengupas bawang-bawang yang
diambil.
“ Eh...sayaaang... Ri. Mak aku
anggap kau macam anak sendiri. Kau aje yang tak balik-balik kampung sampai raya
pun tak balik. Bila raya aje, mak aku selalu cakap, kalau pagi raya, kau lah
orang pertama yang akan beraya di rumah aku,” Adik cuba meny
ampaikan soalan yang berlapik. Sebenarnya hingga kini, dia juga tidak
tahu mengapa Johari tidak pernah pulang lagi ke kampung.
Johari melepaskan keluhan.
"Kau merajuk dengan siapa, Ri?”
Johari berhenti dari
mengupas bawang dan menoleh ke arahnya.
“ Tak ada merajuk
dengan sesiapa, Dik. Cuma...hmm...entahlah...mmm...bukan semua orang boleh terima
aku.” Nadanya suaranya berubah. Agak sedih suara Johari ketika dia menyatakan
yang bukan semua orang boleh menerimanya.
Adik memegang-megang
bahu Johari.
Iya...dia faham. Bukan
semua orang boleh menerima. Bukan semua orang faham atau cuba untuk faham.
“ Tapi aku tak lupa
kirim duit pada mak dan adik-adik aku. Kadang-kadang, aku poskan juga baju-baju
kurung dan tudung pada mak aku sebelum raya,” suaranya perlahan dan tangannya
yang tadi tangkas mengupas kulit-kulit bawang tadi pun sudah berubah rentak. Lambat-lambat
pisau di tangan mengupas kulit-kulit bawang yang akan dibuat rencah masakannya
sebentar nanti.
“ Takpelah, Ri. Aku
faham. Dahlah, jangan sedih-sedih. Satu hari nanti, kalau kau dah sedia.
Keluarga kau dah sedia, kau baliklah,” Adik memujuk. Adik tetap percaya, hujan
emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negeri sendiri tetap di
hati. Dia juga yakin, setiap pengembara harus kembali di tempat dia bermula.
Mereka bertiga akhirnya
menikmati makan malam sewaktu jam di dinding menunjukkan ke angka sembilan.
Semasa makan malam ini, barulah Adik tahu yang Alice akan mula masuk bekerja
pada pukul 10.00 malam ini dan hanya akan pulang pada pukul 4.00 atau 5.00
pagi.
Selepas mandi tadi,
Alice sudah bersiap-siap dengan baju kerjanya. Skirt hitam pendek hingga
menampakkan pehanya yang putih gebu dan baju blaus nipis berwarna merah jambu
tanpa lengan. Mekapnya malam ini juga agak tebal. Alice memakai bulu mata palsu
yang sangat lentik. Memang ayu dan seksi. Sudah pasti menggugah naluri seorang
lelaki. Melalui Johari juga, Adik mengetahui yang Alice bekerja di salah sebuah
kelab malam yang terkenal di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Bermula
sebagai seorang penari, kemudian naik pangkat menjadi penyanyi dan kini, Alice
adalah pegawai hubungan awam dan pegawai promosi kelab malam berkenaan.
“ Sebab itulah aku ajak
kau duduk dengan aku. Si Amoy ni macam burung hantu! Masa kita semua tidur, dia
kerja. Kita pergi kerja, dia tidur. Tiap-tiap malam, aku tinggal seorang, Dik,”
Johari menerangkan sementara Adik mengangguk-angguk sambil menikmati spaghetti
Italian masakan Johari.
“ Juls...itu Kajol dan
Diana jadi datang breakfast ka esok?”
Tanya Alice sambil menolak pinggan makannya dan mencapai pula air teh lemon
suam.
“ Eh...jadiklah. Kata
nak buat american breakfast?”
Alice hanya
mengangguk-angguk.
“ Esok, you balik, tidur aje Moy. I siapkan semua. Adik ada, boleh tolong.
Dah siap semua, Kajol dan Dee pun dah datang, I kejutkan you, ok?”
Alice mengangguk-angguk
lagi sambil meneguk air teh lemon suam digenggaman sedikit demi sedikit.
“ Esok ada apa, Ri?”
“ Alah, tak ada apa-apa
pun. Aku panggil dua tiga orang kawan rapat aku kat sini untuk kenalkan kau
pada dia orang. Aku beritahu dia orang, kau ni macam kembar aku,” jawab Johari
bersahaja sambil menyenduk lagi spaghetti dan dibubuh di dalam pinggannya.
Rasa sebak menjalar di
dalam dirinya.
‘Ri...kau lah kawan,
teman dan sahabat dunia akhirat.’
“Esok Dik, bangun
pagi, tolong aku masak eh. Aku nak buat chicken
and mushroom sup, roti bakar bawang putih, kentang goreng, sosej dan cucur
udang,” Johari tersengih-sengih. Apabila bercerita tentang masakan dan makanan,
dia merasa gembira.
“ Wahhh...ada cucur
udang jugak, ka Juls?” Alice sempat bertanya sebelum dia bangun dan menuju ke
dapur meletakkan pinggan dan gelasnya yang sudah kosong.
“ Habis...Dee dengan
Kajol sibuk merengek hari-hari suruh aku buat cucur udang dengan sambal cicah.
Selagi I tak buat Moy, selagi itulah dia orang tuntut.
Meluat aku!” Johari membuat mimik muka. “ Hah esok, aku buat sampai sekilo!
Biar puas dia orang makan!”
Adik tersengih-sengih memandang gelagat
Johari.
“Ri...kalau kawan-kawan kau kat sini pun rindu nak makan cucur udang
kau...aku ni haa...lagi lamaaaa tak merasa,Ri,” jelas Adik sambil tersenyum
memandang Johari.
Memang sudah hampir sepuluh tahun
rasanya dia tidak merasa cucur udang dari air tangan Johari. Resepi Johari
memang cukup klasik. Nampak mudah, namun bila sudah merasa sebutir, memang akan
berulang kali tambahnya. Udang kecil akan dikupas kulit, bawang besar yang
dipotong dadu, lada merah, lada hijau dan daun sup yang dihiris akan digaul
bersama dengan tepung gandum yang dibubuh pula dengan perencah udang kering
yang sudah ditumbuk. Lemak dan enak. Cucur udang yang panas rangup itu dicicah
pula dengan sambal lada cuka yang masam-masam manis dan pedas...fuh, memang tak
cukup sekilo tepung jika dibuat makan untuk tiga orang. Jika pemakannya ada
resdung, memang menggaru hidunglah jawabnya dek penangan udang dan rencah udang
kering yang ditumbuk.
“ Laaa, iya tak ya ek,
kau pun dah lama tak makan cucur udang aku!” Johari tergelak-gelak kecil.
Memang cucur udangnya menjadi kegemaran Adik. Kadang-kadang, setelah menggoreng
cucur udang, dia, Adik dan Faezah Hanim akan duduk-duduk makan di pangkin hadapan
rumah Kak Nora. Kak Nora pula, sudah pasti akan menyediakan kopi O atau teh O
pandan untuk mereka.
Ada juga kalanya yang
mereka bertiga berpakat untuk makan sambil duduk-duduk di jeti penambang sambil
melihat air sungai Simpang Kanan di waktu petang. Faezah Hanim akan membawa
tikar mengkuang kecil, Adik akan membawa air teh dan dia pula akan membawa
sebekas cucur udang rangup. Amat menenangkan perasaan apabila melihat abang Ajis
dan abang Sahak mengayuh sampan mereka perlahan-lahan merentas sungai membawa
penumpang-penumpang yang dari pekan Penggaram untuk ke kampung Peserai Pantai.
Sampan kayu sederhana besar yang
boleh memuatkan lebih kurang sepuluh orang penumpang pada satu-satu masa
beroleng-oleng dikayuh oleh abang Ajis atau abang Sahak. Kadang-kadang, sampan
itu penuh dengan murid- murid sekolah. Kadang-kadang penuh dengan surirumah dan
barang-barang runcit yang dibeli dari pasar. Adakalanya, sampan itu penuh
dengan muatan beg-beg baju kerana penumpangnya hendak menaiki bas ekspress
untuk ke destinasi pilihan. Dari jeti penambang itu, ketiga-tiga rakan karib
itu akan menikmati panorama kehidupan penduduk kampung. Sambil berbual, mereka
akan menikmati cucur udang dan dicicah dengan sambal cuka. Ketika matahari
merangkak masuk ke kamar alam untuk memberi laluan kepada sang rembulan,
barulah ketiga-tiga sahabat karib itu bangun dan meninggalkan jeti penambang.
Indahnya kenangan zaman remaja.
Andainya dia boleh memutar masa, dia ingin kembali ke zaman itu. Satu zaman
yang menyeronokkan. Satu zaman yang menghiburkan, yang mengasyikkan. Dia tidak
akan dapat melupakan zaman kanak-kanak dan remajanya. Kini, kawan karib yang
dianggap seperti saudara kandung, berada di hadapan mata. Dia puas. Dia gembira
dan teruja dengan kehadiran Adik. Walau di kota ini, dia punya ramai kawan
baharu, namun Adik ini adalah sahabat yang amat memahami jiwa dan raganya.
“Oklah Dik... sebab kau
pun rindu nak makan...mak buat dua kilo cucur udang untuk kau nyah!” Alice dan
Adik terkekeh-kekeh ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan