Salimah membuka pintu rumahnya perlahan-lahan. Sangkanya anak-anaknya
sudah tidur kerana waktu telah menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Ketika dia melangkah
masuk, masih kedengaran bunyi suara dari televisyen rumahnya di ruang tengah.
Kamaruddin dan adiknya sedang melingkar berbaring di hadapan televisyen.
“Adik, Din…tak tidur
lagi?” tegur Salimah sambil berjalan menuju ke ruang tengah rumah kayunya.
“Eh Mak…tak dengar pun
motor ayah tadi?” Adik bingkas bangun dan menuju ke arah ibunya yang membimbit
beberapa bekas beg plastik. Diambil beg-beg plastik yang berisi pakaian dari
tangan ibunya.
“Ayah kau matikan enjin
motor depan rumah Kak Nora lagi. Sudah malam, kalau prang prung prang prung
macam Abang Long kau, terjaga semua orang kampung nak tidur,” jawab Salimah .
Adik mengangguk.
Ayahnya memang seorang yang mempunyai nilai sivik yang tinggi. A gentleman kata orang putih. Sikap dan sifat ayah itu,
lebih kurang macam pelakon Richard Gere di dalam filem Pretty Woman kegemaran
Johari. Kalau Pak Noja Hassan sakit, ayahlah orang pertama yang muncul di rumah
Pak Noja. Jikalau surau hendak buat majlis Maulidur Rasul, ayah juga orang
pertama yang akan muncul dalam majlis rewang masak nasi beriani. Membantu
menyembelih ayam sampai seratus ekor dan melapah kambing dan lembu. Kalau Kak
Nora demam, ayahlah orang yang akan belikan Kak Nora ubat apabila disuruh oleh
emak. Mujurlah emak bukan seorang yang kuat cemburu. Kak Nora memang dianggap
sebagai saudara sendiri.
Adik masih ingat pesan Pak Noja
Hassan, jagalah hati dan hubungan kita dengan jiran kerana jiran itu lebih
rapat hubungannya dengan saudara-mara kita sendiri. Jika kita sakit, jiranlah
yang paling rapat dengan kita. Kak Nora pula, memang pandai jaga diri walau apa
pun tohmahan orang kampung kepadanya. Pernah juga beberapa orang kampung
mencucuk emak dengan mengatakan yang Kak Nora mahu mengorat ayah. Tetapi emak
amat mengenali Kak Nora. Kak Nora itu sudah menjadi jiran emak sejak dia masih
kecil lagi. Susah-senang Kak Nora, cerita-cerita peribadi kak Nora, kenapa Kak
Nora berkahwin dengan duda yang berumur dan punya ramai anak, semuanya dalam
kocek emak. Kak Nora pernah mengatakan yang dia sanggup bujang sampai ke tua
namun untuk mengambil suami orang atau bermadu, tidak sekali. Setelah suaminya
meninggal dunia, Kak Nora akhirnya pulang ke rumah pusaka ayah dan ibunya.
Rumah yang ada pohon mempelam yang rahat berbuah.
Akhirnya
perempuan-perempuan kampung yang mencucuk-cucuk emak itu, putus asa dan diam
begitu sahaja. Adik tahu, mereka semua itu cemburu dengan hubungan emak dan Kak
Nora. Adik juga tahu yang mereka cemburu dengan kecantikan Kak Nora. Walau Kak
Nora sudah mencecah umur 31 tahun, namun
wajah Kak Nora bagai anak dara yang berumur awal 20 tahun. Sudahlah arwah suami
Kak Nora meninggalkan beberapa tanah pusaka untuk Kak Nora, makin cemburulah
perempuan-perempuan kampung dengan kekayaan dan kecantikan Kak Nora.
“ Baju siapa tu, mak?”
tanya Kamaruddin sambil bangun dan duduk bersila mengadap ibunya yang mula
menghantar badan ke tilam nipis untuk berbaring dekat dengannya. Salimah
kelihatan letih.
“Baju siapa lagi, baju-baju
nenek dengan atok. Kasihan nenek, tidak boleh bangun langsung,” jelas Salimah
kepada anak keduanya.
“Teruk ke nenek sakit, mak?” Adik pula bertanya setelah beg-beg
plastik yang berisi pakaian kotor itu diletakkan di dalam besen di hadapan
pintu bilik air.
“Sakit orang tua, dik. Bila demam,
susah hendak baik. Orang-orang tua kata, sakit ni, datang macam ribut, pergi
macam siput.”
“Alia mana, mak?” Kamaruddin baru
terperasankan yang adik bongsunya tidak kelihatan ketika ayah sudah pun
mengunci pintu rumah mereka.
“Alia dah tidur masa emak dengan
ayah hendak balik. Atok suruh tinggalkan saja di rumah atok. Esok, mak dengan
ayah ambil Alia balik,” jelas Salimah sambil matanya dipejamkan. Memang dia
keletihan kerana membantu suaminya mengemas rumah mentuanya dan memandikan ibu
mentuanya yang sudah uzur.
“Esok, Adik hendak pergi tengok
neneklah,” Adik menyuarakan hasratnya sambil mengambil sebiji bantal dan
memeluknya.
“Hmm, bagus juga kamu pergi. Kasihan nenek,
hendak bangun dari katil pun payah. Kalau emak dan ayah tak datang tadi,
alamatnya tak mandilah nenek kau,” ayah bersetuju. Wajah ayah juga kelihatan
letih. Sejak pulang dari sembahyang Jumaat, ayah terus mengambil emak dan pergi
ke rumah Atok.
“Esok, suruh Abang Long hantarkan Adik. Ayah bawa emak,” emak
memberi cadangan.
“Alah mak, malaslah hendak naik dengan
Abang Long,” Adik memasamkan mukanya. “Emak sajalah yang naik dengan abang.
Adik bonceng dengan ayah eh?”
“Iyalah, iyalah. Apalah kau ni,
asyik tak sebulu saja dengan abang tu,” komen ayah sambil mengikat kain
pelikatnya. Ayah juga mengambil tempat di salah sebuah tilam nipis yang
dibentang oleh Kamaruddin. Berbaringlah suami isteri itu di hadapan televisyen.
“Alah yah, nanti dia bising-bising
kalau kita nak suruh dia hantar kita. Ini pun belum balik lagi. Mesti dia akan bangun
lambat esok pagi,” jelas Adik mengerutkan keningnya.
“Kau pergi sendiri naik basikal eh, Din?” Usul Salimah kepada anak keduanya.
“Din ok aje, mak,” jawab anak kedua
Salimah yang tidak banyak kerenah.
“Memang patut kau kayuh basikal aje, Din. Ayah tengok kau ni, makin
membuntal!”
Berderai ketawa Adik
dan emak ketika ayah menggeletek perut Kamaruddin yang boroi. Anak tengah
Salimah itu turut ketawa. Dia tidak pernah ambil hati jika emak dan ayahnya
mengatakan dia buntal, badak berendam atau boyak.
“Turunkan sikit badan kau tu. Kalau
badan kau macam Abang Long, barulah hensem anak ayah.”
Kamaruddin hanya
tersengih.
“Alah yah, Abang Din
boyak, tapi dia pandai, yah,”Adik menyokong abang tengahnya sambil mengangkat
kening dengan Abang Din.
“Alah, apa salahnya jaga badan.
Tengok Atok, smart aje sampai tua. Sudah lama pencen pun, orang
kampung masih panggil Atok kau Kopral Bidin,” Abdul Ghani terbayangkan wajah
ayahnya yang sudah dimamah usia, namun masih nampak segak di mata mereka.
“Haah Din, jaga badan sikit. Mana
tahu kalau kau dapat masuk universiti kat KL, Din…mestilah kena nampak hensem,”
ujar Salimah pula sambil memandang wajah anak tengahnya yang bulat berisi.
“Alah mak…mak asyik
masak sedap aje, macam mana Din nak kurus?” Kamaruddin membela dirinya disambut
dengan gelak ketawa ayah, emak dan Adik.
“Dah kalau macam itu,
mak tak payah masak lagi. Kau makan di kantin sekolah aje, boleh?”
“Alah makkkk...mana
boleh macam tu? Kita orang hendak makan apa kalau mak tak masak?” Kamaruddin
mengeluh dan mereka yang lain ketawa lagi.
Kamaruddin dan Adik
menonton televisyen hingga hampir ke pukul 1.00 pagi. Filem Hollywood yang
memaparkan cerita seram itu benar-benar menarik minat mereka berdua. Salimah
dan Abdul Ghani yang keletihan, akhirnya tertidur juga di hadapan televisyen.
Adik tidak sampai hati hendak mengejutkan ayah dan emaknya.
“Dik, kau tidur dalam
biliklah. Abang ngah tidur sini dengan mak ayah,” Kamaruddin memberi cadangan.
Adik mengangguk. Sebelum masuk ke bilik, dia sempat menjeling ke jam yang
tergantung di dinding rumah. Jam menunjukkan ke pukul 1.10 pagi dan bayang
Abang Long masih tidak kelihatan.
‘Abang Long tak balik lagi. Hmm,
esok kalau emak kejutkan dia pagi-pagi, mesti mengamuk.’
Matanya masih
terkebil-kebil. Susah benar dia hendak melelapkan mata. Hendak baca buku
sekolah, jangan haraplah. Mana mungkin masuk sebarang ilmu malam-malam buta
begini. Adik bangun semula dari perbaringan. Dengkuran ayah dan Abang Din
bersilih-ganti di ruang tengah rumahnya. Abang Khalid masih belum muncul-muncul.
Malam-malam minggu begini, Adik pasti, abangnya itu melepak bersama-sama kawan sekerjanya
di bandar Batu Pahat. Adik tahu Abang Long joint
grup motor di bandar. Duduk melepak di warong-warong kopi atau kedai-kedai
mamak, itulah kerja Abang Khalid di malam Sabtu dan Ahad. Semasa hendak
mengambil periksa SPM juga, Abang Long sudah ada perangai begitu. Itulah
sebabnya untuk periksa SPM, Khalid hanya mampu dapat pangkat 3 aliran sastera.
Mujur juga lulus, kalau dapat SAP ( gagal) lagi parah. Walau dapat pangkat 3
pun, Atok Bidin tetap belikan sebuah motorsikal untuk Abang Long. Kononnya senang
untuk Abang Long pergi kerja kilang SHARP di Sri Gading.
Adik mengiring ke kiri
dan ke kanan. Matanya masih payah hendak ditutup. Kantoknya hilang setelah dia
meneguk kopi buatan Abang Din sebelum filem seram bermula di RTM 2. Abang Din,
walau gelas kopinya lebih besar dari Adik, masih boleh membuta. Ternyata, air
kopi yang mengandungi kafein itu tidak memberi kesan kepada Kamaruddin.
‘Baik aku lipat baju.
Esok, mesti duduk seharian di rumah nenek.’
Dia akhirnya keluar
semula dari bilik dan menuju ke ruang tengah rumah. Dia tepi kabinet televisyen
terdapat bakul yang berisi baju-baju bersih yang belum dilipat. Adik
terjengkit-jengkit perlahan menuju ke tempat letak bakul baju tersebut. Rumah
kayu memang senang berbunyi jika dia menapak laju-laju. Diangkatnya bakul
tersebut dan dibawa ke dalam biliknya.
Adik memunggah
baju-baju bersih yang dicuci oleh emak pagi tadi. Diasingkan baju-baju ahli
keluarganya. Baju ayah emak, baju Alia, baju Abang Khalid dan baju Abang Din.
Dia mula melipat sehelai demi sehelai. Jika baju hari ini tidak dilipat, maka
esok akan bertambah sebakul lagi baju yang bakal dicuci oleh emak. Ditambah
pula dengan baju nenek dan atok yang dibawa tadi. Sekurang-kurangnya dia dapat
meringankan beban emak.
Ketika dia melipat
sehelai kain batik emak yang terakhir, dia terhenti seketika. Adik lantas
bangun berdiri. Dia kemudiannya menyarungkan kain batik emak pada dirinya.
Selepas itu dia berdiri di hadapan cermin yang terdapat di almari bajunya.
Cermin tinggi yang membolehkan dia melihat penampilannya dari atas ke bawah.
Dia tersenyum. Adik memang suka dengan kain batik. Kain batik jawa bercorak
halus. Kain batik Terengganu dan Kelantan juga mempunyai corak yang bunga-bunga
dari negara Malaysia yang sangat cantik. Alangkah baiknya jika dia ini menetap
di Kelantan atau Terengganu, pasti tidak canggung melihat seorang lelaki
memakai kain batik. Adik kurang suka dengan kain pelikat. Coraknya cuma
berpetak-petak tidak ubah macam rupa ketupat di hari raya. Lerang kainnya juga
besar, susah hendak dia mengikat kain pelikat di pinggangnya yang ramping. Adik
tersenyum-senyum. Dia menggayakan kain batik emak yang dipakainya di hadapan
cermin almari itu. Adik kemudiannya mengambil sehelai kain kaftan emak berwarna
merah yang dihadiahkan oleh Kak Nora ketika Kak Nora pulang dari rombongan ke
Kelantan. Cantik benar lukisan pada baju kaftan itu. Ada corak paku-pakis dan
bunga anggerik yang dilukis di bahagian hadapannya.
Bunyi motor Abang Long
memaksa dia terkocoh-kocoh membuka semula baju kaftan emak yang dipakai. Jarum
jam menunjukkan hampir ke pukul 2.30 pagi. Ketika semua penduduk kampung tidur
lenyak, ketika Pak Noja Hassan bangkit untuk solat tahajjud dan ketika Johari
mengigau bermimpi berjumpa dengan Richard Gere, barulah Khalid sampai ke rumah.
Betul kata emak, Khalid bukan ada minda sivik macam ayah yang mematikan enjin
motor ketika sampai di hujung jalan. Deruman enjin masih berbunyi ketika dia
memarkir motornya di tepi rumah.
Adik dengan segera melipat kain
batik dan baju kaftan emak dan menyusun semua baju-baju yang dilipatnya.
Beberapa minit setelah Abang Khalid mematikan enjin motornya, kedengaran pintu
rumah dibuka. Adik hanya mendiamkan diri di dalam biliknya. Malas dia hendak
bersua muka dengan Khalid. Dia lantas memadamkan lampu dan berbaring di katil
bujangnya. Entah kenapa dia teringatkan Johari. Adakah malam ini sahabatnya itu
akan memakai baju blaus dan skirt pendek hitam yang dibeli di pasar malam
petang tadi? Adik tersenyum sendiri dan cuba melelapkan mata.
Pagi-pagi lagi emak dan
ayah sudah meninggalkan rumah. Selesai sahaja solat subuh, Abdul Ghani membawa
isterinya ke rumah ayah dan ibunya. Risau benar Abdul Ghani dengan keadaan
ibunya yang agak uzur. Lagi pula, Salimah risaukan Kasih Alia yang bermalam di
rumah mentuanya.
“Dik, mak sudah basuh kain. Adik tolong emak bilas dan sidaikan, iya
nak,” pesan Salimah kepada Adik ketika dia hendak turun dari rumah. Anak itu
cuma mengangguk. Sebelum pergi, Salimah sempat membuat nasi goreng untuk
anak-anak bujangnya yang tinggal di rumah.
“Kalau Adik sudah siap, kejutkan
Abang Long untuk hantar ke rumah Atok, ya,” pesan Ayah pula. Adik angguk lagi.
Setelah ayah dan ibunya
hilang dari pandangan, Adik mengeluh halus.
‘Kalau kejut Abang
Long, mesti dia mengamuk.’
Dia lantas menuju ke bilik air dan
membuka paip air. Dua besen disediakan untuk membilas semua pakaian yang sudah
dicuci emak dari mesin basuh jenama Toshiba yang dibeli ayah dari kedai
Kooperasi Kakitangan Kerajaan di bandar Penggaram. Selesai membilas pakaian
atok dan nenek juga baju-baju kaum keluarganya, Adik keluar semula dari bilik.
Dia kemudiannya memasukkan sedikit demi sedikit pakaian tersebut di tempat spin untuk memerah kering baju-baju
tersebut.
Ketika matahari memancarkan sinarnya
di seluruh alam, Adik mengambil sehelai demi sehelai pakaian yang telah siap
dicuci dan diperah separa kering dari mesin. Cuma pakaian keluarganya sahaja
yang disidai. Pakaian Atok Bidin dan neneknya diletak semula di dalam beg
plastik untuk disidai di rumah Atok. Tempat sidai pakaian terletak bersempadan
rumah dia dan Kak Nora. Nampaknya Kak Nora sudah terlebih dahulu menyidai
pakaiannya, sepasang baju kebarung kuning cair dan selendang. Pasti semalam Kak
Nora ada jemputan kahwin.
Adik menyelesaikan semua tugasan
yang diamanahkan oleh ayah dan ibunya tepat pukul 8.30 pagi. Abang Din berada
di ruang tamu dan sedang menelaah pelajaran disamping segelas air kopi Ó. Adik
mundar-mandir. Sekejap ke bilik, sekejap ke ruang tamu. Sekejap dia memandang
jam di dinding, sekejap dia memandang keluar tingkap yang terbuka luas.
“Dik, yang kau kehulu kehilir macam
Ali Baba baru dapat harta karun ni, kenapa?” tegur Kamaruddin yang melihat
adiknya seperti serba-salah.
“Mak suruh Abang Long hantar Adik ke rumah Atok. Dia tidur lagi,
macam mana?” keluhnya. Dahinya berkerut.
“Alah, kau kejutkanlah dia.”
“Abang Din tahulah Along. Tak pasal-pasal nanti dia mengamuk pulak.”
“Kejut aje, cakap mak dengan ayah suruh hantar kau ke rumah Atok.
Dia pun, patut jenguk Atok dengan nenek tu,” ujar Abang Din sambil meneguk kopi
O yang dibancuhnya.
Dengan hati yang berat, Adik membuka pintu bilik Abang Long. Dia
pasti Abang Long tinggal solat subuh. Sejadah yang digantung Adik di tempat
gantung besi di tepi dinding masih kelihatan tidak terusik. Semalam, ketika
emak ke rumah Atok, Adiklah yang membantu emak mengemaskan bilik Abang Long
yang tidak terurus. Pakaian, kain pelikat, baju uniform kerja, stokin semuanya
dicampak merata-rata. Entah ikut perangai siapa, Adik tidak tahu kerana ayah,
emak dan Atok Bidin semuanya orang yang suka berkemas.
“Abang…Bang…bangun Bang,” lembut
suaranya menggerakkan Abang sulungnya. “Bang…bang Khalid…,”
“Mmmm…,” Khalid makin memeluk bantal
peluknya erat-erat.
“Bang…tolong hantar kita pergi rumah
Atok, Bang,” gerak Adik lagi di bahu Abang Long.
“Kau pergilah sendiri…,” tidak
terbuka sedikit pun mata Khalid.
“Kita nak pergi dengan apa? Lagipun,
kita nak bawa baju-baju basah Atok dan nenek.”
“Alah…aku mengantuklah.”
“Tolonglah
Bang…hantarkan kita. Emak dengan ayah suruh Abang hantarkan kita. Bang...bangun
bang...,” rayu Adik.
“Hei!” bingkas Khalid
bangun sambil membeliakkan matanya. “Kau ni tak faham ke, aku mengantuk! Kau
ingat aku ni hamba kau?”
Adik tersentak dengan
jerkahan Khalid. Memang sudah dapat diduga jawapan dari Khalid itu.
“Dahlah, kalau Abang
tak dapat hantar, tak apalah,” dia berlalu keluar dari bilik itu.
“Ha…itu nanti mengadu dengan mak
ayah. Merengek depan mak ayah cakap aku tak mahu
hantar!”
“Kalau Abang dah tak boleh hantar,
tak apalah, kita pergi sendiri aje, tak payah bising-bising,”Adik menjawab.
“Apa kau kata?” Dengan tidak
semena-mena Khalid keluar dari bilik dengan hanya memakai seluar pendek dan
singlet pagodanya menarik rambut Adik dari belakang.
“Eh, apa ni, Bang? Aduiiii…,”
kedua-dua tangan Adik memegang tangan Abangnya yang mengenggam segumpal
rambutnya.
“Sudahlah kau kacau aku tidur, membebel-bebel
kat telinga aku! Perangai kau macam betina, kau tahu tak?”
“Janganlah buat kita
macam ni, Bang. Abang tak nak hantar, kita pergi sendiri aje,” rayu Adik kepada
Khalid yang masih mengenggam segumpal rambut Adik.
“Kalau aku tidur, jangan memekak!”
“Abang Long! Apa kau buat ni?”sergah Kamaruddin
yang terus meninggalkan pembelajarannya ketika mendengar jeritan Adik.
“Kau diam, Din!”
“Kenapa kau buat Adik
macam ni? Kalau kau tak nak hantar dia pun, tak payah buat dia macam ni!”
Kamaruddin membela adiknya.
Khalid akhirnya
melepaskan genggaman tangannya dari menarik terus rambut Adik. Kolam air mata
Adik yang ditahan-tahan, akhirnya tumpah jua. Sayu benar hatinya ketika Abang
Khalid memanggilnya ‘betina’ sebentar tadi.
“Lain kali, kalau aku
tidur, jangan kacau. Aku dahlah balik pukul tiga pagi!” bebel Khalid.
“Yang kau balik pukul
tiga pagi, siapa suruh? Bukan kau pergi kerja pun!” Kamaruddin membalas alasan
Khalid.
“Kau jangan nak cari
pasal dengan aku, Din! Ini semua tak ada kena-mengena dengan kau!” jawab Khalid
dari dalam biliknya. Dengan Kamaruddin, Abang Long tidak angkat muka sangat.
Samada Abang Long segan dengan Abang Din kerana Abang Din itu budak bijak ataupun
Abang Long takut dengan Abang Din yang bertubuh besar darinya, Adik tidak tahu.
“Nenek sakit, kau sikit
tak menjenguk!” marah Kamaruddin kepada Abangnya. Memang pada pandangan mereka,
Khalid patut menjenguk nenek yang telah mengasuhnya sejak dia masih kecil lagi.
“Ahhh, kau diamlah, Din!” bentak
Khalid dan masuk semula ke dalam bilik. Khalid hanya memekakkan telinga dan
melontarkan badannya ke katil.
Adik mengambil dua
bungkus beg plastik pakaian basah nenek dan atoknya lalu dibawa turun ke bawah
rumah. Air matanya yang mengalir, cepat-cepat dikesatnya dengan lengan bajunya.
“Dik…meh sini Abang Din
bawakan sebungkus kain baju tu. Kau bawa sebungkus lagi eh,” Kamaruddin yang
hanya berlenggeng terus mengambil dan memakai sehelai t-shirtnya yang disangkut
di kerusi ruang tamu mereka. Tangan kanannya terus mengambil sebungkus beg plastik
yang dipegang Adik.
Mata Adik yang merah menahan air mata memandang Abang keduanya.
Mujurlah Abang Din ada. Jika tidak, pasti Abang Khalid akan mengapa-apakan
dirinya. Jika tidak kena pelempang, pasti tubuh Adik ditolak ke dinding.
Perlakuan Abang Long kepadanya, tidak ubah seperti orang gaji. Sayu hatinya
memandang kepada Kamaruddin. Jika keputusan periksa SPM Abang Din cemerlang,
abangnya itu pasti akan meninggalkannya untuk ke menara gading.
“Sudahlah, jangan nangis…kita naik basikal saja ke rumah Atok eh,” pujuk
Abang Din kepadanya yang menahan sebak. “Sakit sangat ke masa Abang Long tarik
rambut kau tadi?” tanya Abang Din sambil menuju ke tempat basikalnya
disandarkan di tepi rumah.
“Bukan sakit pasal tu, Bang…Adik sedih bila Abang Long panggil Adik,
betina,” adunya kepada Kamaruddin.
Kamaruddin mengeluh halus. Memang tidak disangkal yang perwatakan
Adiknya itu seperti seorang perempuan. Kulitnya pun halus. Alis matanya melentik
dan lemah-lembutnya melebihi Kasih Alia yang seorang gadis sunti. Di rumah pun,
Adik yang banyak membantu emak dengan urusan mengemas, membasuh, melipat dan
menggosok baju.
“Alah Abang Long kan memang begitu, kalau marah, mulutnya cakap yang
bukan-bukan,” pujuk Kamaruddin .
Adik mengangguk lemah. Bukan kali ini sahaja yang Abang Long memaki
hamun dirinya. Sejak dahulu lagi, sejak dia masih kecil, macam-macam gelaran
Abang Long kepadanya. Abang Long itu memang mudah lupa diri. Dia sepatutnya
mengenang kembali jasa Adik kepadanya dua tahun dahulu.
Ketika dua beradik itu menyorong
basikal mereka yang terletak di tepi rumah untuk dibawa ke halaman rumah,
kelihatan sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah Kak Nora. Mereka
kenal dengan pemandu teksi tersebut. Memang teksi tersebut adalah teksi yang
biasa disewa Kak Nora untuk menghantarnya ke majlis-majlis kahwin atau ke
bandar. Pakcik Khamis nama pemandunya. Dia tinggal berdekatan dengan rumah
cikgu Zakiah. Adik dan Kamaruddin kemudian ternampak Kak Nora sedang mengunci
pintu sambil menjinjing beg mekap
besarnya. Mereka berdua hanya memerhati dari halaman rumah mereka.
“Eh…Adik, Din…nak kemana kamu
berdua?”tegur Kak Nora ramah apabila terpandangkan Adik dan Kamaruddin
memerhatikan gelagatnya.
“Nak ke rumah Atok. Nenek sakit,”
jawab Kamaruddin.
“Ohh, terukkah sakitnya?” tanya Kak
Nora prihatin.
“Demam saja Kak Nora, tapi sampai
tak boleh bangun. Hendak cuci baju pun tak boleh,” giliran Adik pula menjawab
soalan Kak Nora.
“Alahai, kesiannya Mak Temah. Nanti
balik dari mekap kan orang, pesan pada mak, Kak Nora singgah rumah Atok eh. Kak
Nora ini bukan mengandam orang kahwin, ada orang nak khatam quran di Kampung
Bagan, minta Kak Nora mekap sikit,” terang Kak Nora walau tidak ditanya oleh
kedua beradik itu.
Kedua beradik itu mengangguk-angguk kepala
mereka dengan penerangan Kak Nora.
“ Itu beg-beg plastik
apa?” sempat lagi Kak Nora bertanya sebelum dia membuka pintu kereta teksi yang
menanti.
“Baju-baju atok dengan
nenek yang siap dibasuh, Kak Nora. Mak pesan, suruh
sidai disana aje,” Adik menerangkan.
“Alahai, kesiannya kau orang berdua.
Hendak kayuh basikal ke rumah Atok dengan bimbit-bimbit beg plastik itu, ke? Mari sinilah, Kak Nora hantarkan
dulu,” pelawa Kak Nora sambil tersenyum manis.
Adik dan Kamaruddin
berpandangan.
“ Tak payahlah Kak
Nora, kalau kami berdua naik teksi, hendak balik nanti susah pula nak berjalan
kaki,” jawab Kamaruddin.
“Haah ek…iya tak ya
jugak eh,” berkerut kening Kak Nora seketika. Sesuatu bermain di fikirannya,
“Eh…tapikan Kak Nora hendak singgah sana masa balik dari mekap nanti. Tumpang
akak jugaklah untuk balik kesini,” Kak Nora memberi cadangan.
Adik memandang Kamaruddin. Dia hanya menanti abangnya membuat
keputusan.
“Hmm…boleh jugaklah Kak Nora,”
Kamaruddin akhirnya mengangguk dan bersetuju.
Kedua beradik itu akhirnya menyorong
kembali kedua-dua basikal mereka dan disandarkan di tepi rumah. Pelawaan Kak
Nora memang tepat pada masanya. Kebetulan pula Kak Nora akan ke Bagan, melalui
jalan raya untuk ke rumah Atok Bidin.
“ Pak Khamis, berhentikan
budak-budak ni di rumah Kopral Bidin eh…kemudian baru kita ke Bagan,” Kak Nora
memberitahu Pak Khamis yang mula menekan pedal clutch dan tangannya kirinya
pantas memasukkan gear satu teksi berwarna biru putih itu.
Adik dan Kak Nora duduk di tempat
duduk belakang manakala Abang Din duduk di tempat duduk hadapan bersebelahan
dengan Pak Khamis.
“Dik…Kak Nora terdengar, kau gaduh
lagi eh dengan Khalid?”tegur Kak Nora seakan berbisik ketika Pak Khamis mula
memandu teksinya keluar dari Kampung Peserai Pantai itu.
Adik mengangguk perlahan.
“ Kenapa?” tanya Kak Nora lagi.
“Dia tak mahu hantarkan kita ke
rumah Atok,” jawab Adik.
“Hmm…apalah nak jadi dengan Abang
Long kau tu. Umur kalau macam tu, sudah boleh kahwin, tapi tanggungjawab tak
ada. Sampai hati dia nak biarkan kau dengan Din naik basikal bawa baju-baju
basah ni ke Simpang Lima?” keluh Kak Nora sambil merengus.
“Syukur Kak Nora ada…” jawab Adik
sambil tersenyum memandang Kak Nora yang memakai baju kurung johor berwarna putih yang mempunyai corak
bunga-bunga kecil berwarna biru. Di kepala Kak Nora juga tersangkut selendang berwarna
putih. Memang sesuai pakaian Kak Nora untuk menghadiri majlis khatam Al-Quran.
Adik masih ingat lagi, semasa dia, Johari, Faezah Hanim, Suhaila dan Ani khatam
Al-quran ketika mereka berumur sepuluh tahun, Kak Nora jugalah yang meletakkan
mekap nipis ke wajah kawan-kawan perempuannya. Adik dan Johari hanya memerhati
sahaja Faezah Hanim, Ani dan Suhaila di mekap oleh Kak Nora.
“ALLAH sentiasa tolong orang yang
baik hati, Dik,” jelas Kak Nora sambil matanya memandang ke hadapan. Dia
memasang telinga perbualan Pak Khamis dan Kamaruddin yang duduk di hadapan.
‘Iya…ALLAH sentiasa tolong orang
yang baik hati. Semoga ALLAH sentiasa tolong Kak Nora.’ Adik berdoa di dalam
hati sambil mengerling ke arah Kak Nora.
Dia akan
sentiasa ingat kata-kata Pak Noja Hassan tentang berbuat baik sesama insan.
Khalid bangun dari
perbaringannya setelah mendengar Adik dan Kamaruddin meletakkan kembali basikal
mereka di tepi rumah. Dari tepi tingkap rumahnya, dia memerhati Adik,
Kamaruddin dan Kak Nora menaiki teksi Pak Khamis. Khalid
merengus. Dia tahu, dia tidak sepatutnya membuat Adiknya begitu. Namun, dia
mahu mengajar Adik supaya menjadi seperti lelaki. Dia mahu Adik menjadi KAMAL
ARIF! Bukan berlemah-lembut seperti seorang perempuan.
“Lid…adik kau yang nombor dua tu,
jantan ke betina, Lid? Perangai lembut semacam?” teringat dia akan pertanyaan
salah seorang kawannya yang sama-sama melepak malam di kedai makan malam tadi.
Khalid hanya tersengih namun hatinya mendidih
menahan marah. Bukan seorang dua kawannya yang pernah bertanyakan hal itu,
sudah ramai orang yang keliru dengan personaliti Adik. Adiknya telah memalukan dirinya. Emak dan ayah
pun tidak pernah menegur malah menjentik Adik pun tidak sekali.
Suara Adik yang macam
anak itik baru lahir itu membuat Khalid geli-geleman. Sememangnya sedari kecil,
Khalid memang meluat dengan Adik. Budak-budak lelaki lain main lastik-lastik,
main gasing, main sepak yem, masuk belukar main askar-askar, si Adik dengan
Johari pergi main pondok-pondok dan pengantin-pengantin! Budak lelaki lain
tolong ayah basuh motor, basuh kereta...si Adik pergi tolong emak gubah bunga
dan hias rumah! Sedari kecil lagi kawan-kawan sekolah Khalid sudah
mentertawakannya kerana ada adik bongsu seperti itu. Memalukan! Amat memalukan
dia yang terkenal dengan machonya dan cucu jantan sulung Tok Bidin Kopral
pencen.
Zaman
remaja yang menyeronokkan.
Zaman
yang akan sentiasa dikenang.
Zaman
yang tidak akan luput dari ingatan.
KAY ,
April 1994
Tiada ulasan:
Catat Ulasan