Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 14 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 5 - SASYA ZAINAL



Salimah membuka pintu rumahnya perlahan-lahan. Sangkanya anak-anaknya sudah tidur kerana waktu telah menunjukkan ke pukul 11.00 malam. Ketika dia melangkah masuk, masih kedengaran bunyi suara dari televisyen rumahnya di ruang tengah. Kamaruddin dan adiknya sedang melingkar berbaring di hadapan televisyen.
            “Adik, Din…tak tidur lagi?” tegur Salimah sambil berjalan menuju ke ruang tengah rumah kayunya.
            “Eh Mak…tak dengar pun motor ayah tadi?” Adik bingkas bangun dan menuju ke arah ibunya yang membimbit beberapa bekas beg plastik. Diambil beg-beg plastik yang berisi pakaian dari tangan ibunya.
            “Ayah kau matikan enjin motor depan rumah Kak Nora lagi. Sudah malam, kalau prang prung prang prung macam Abang Long kau, terjaga semua orang kampung nak tidur,” jawab Salimah .

            Adik mengangguk. Ayahnya memang seorang yang mempunyai nilai sivik yang tinggi. A gentleman  kata orang putih. Sikap dan sifat ayah itu, lebih kurang macam pelakon Richard Gere di dalam filem Pretty Woman kegemaran Johari. Kalau Pak Noja Hassan sakit, ayahlah orang pertama yang muncul di rumah Pak Noja. Jikalau surau hendak buat majlis Maulidur Rasul, ayah juga orang pertama yang akan muncul dalam majlis rewang masak nasi beriani. Membantu menyembelih ayam sampai seratus ekor dan melapah kambing dan lembu. Kalau Kak Nora demam, ayahlah orang yang akan belikan Kak Nora ubat apabila disuruh oleh emak. Mujurlah emak bukan seorang yang kuat cemburu. Kak Nora memang dianggap sebagai saudara sendiri.

Adik masih ingat pesan Pak Noja Hassan, jagalah hati dan hubungan kita dengan jiran kerana jiran itu lebih rapat hubungannya dengan saudara-mara kita sendiri. Jika kita sakit, jiranlah yang paling rapat dengan kita. Kak Nora pula, memang pandai jaga diri walau apa pun tohmahan orang kampung kepadanya. Pernah juga beberapa orang kampung mencucuk emak dengan mengatakan yang Kak Nora mahu mengorat ayah. Tetapi emak amat mengenali Kak Nora. Kak Nora itu sudah menjadi jiran emak sejak dia masih kecil lagi. Susah-senang Kak Nora, cerita-cerita peribadi kak Nora, kenapa Kak Nora berkahwin dengan duda yang berumur dan punya ramai anak, semuanya dalam kocek emak. Kak Nora pernah mengatakan yang dia sanggup bujang sampai ke tua namun untuk mengambil suami orang atau bermadu, tidak sekali. Setelah suaminya meninggal dunia, Kak Nora akhirnya pulang ke rumah pusaka ayah dan ibunya. Rumah yang ada pohon mempelam yang rahat berbuah.

            Akhirnya perempuan-perempuan kampung yang mencucuk-cucuk emak itu, putus asa dan diam begitu sahaja. Adik tahu, mereka semua itu cemburu dengan hubungan emak dan Kak Nora. Adik juga tahu yang mereka cemburu dengan kecantikan Kak Nora. Walau Kak Nora sudah mencecah umur 31 tahun,  namun wajah Kak Nora bagai anak dara yang berumur awal 20 tahun. Sudahlah arwah suami Kak Nora meninggalkan beberapa tanah pusaka untuk Kak Nora, makin cemburulah perempuan-perempuan kampung dengan kekayaan dan kecantikan Kak Nora.

            “ Baju siapa tu, mak?” tanya Kamaruddin sambil bangun dan duduk bersila mengadap ibunya yang mula menghantar badan ke tilam nipis untuk berbaring dekat dengannya. Salimah kelihatan letih.
            “Baju siapa lagi, baju-baju nenek dengan atok. Kasihan nenek, tidak boleh bangun langsung,” jelas Salimah kepada anak keduanya.
            “Teruk ke nenek sakit, mak?” Adik pula bertanya setelah beg-beg plastik yang berisi pakaian kotor itu diletakkan di dalam besen di hadapan pintu bilik air.
            “Sakit orang tua, dik. Bila demam, susah hendak baik. Orang-orang tua kata, sakit ni, datang macam ribut, pergi macam siput.”
            “Alia mana, mak?” Kamaruddin baru terperasankan yang adik bongsunya tidak kelihatan ketika ayah sudah pun mengunci pintu rumah mereka.
            “Alia dah tidur masa emak dengan ayah hendak balik. Atok suruh tinggalkan saja di rumah atok. Esok, mak dengan ayah ambil Alia balik,” jelas Salimah sambil matanya dipejamkan. Memang dia keletihan kerana membantu suaminya mengemas rumah mentuanya dan memandikan ibu mentuanya yang sudah uzur.
            “Esok, Adik hendak pergi tengok neneklah,” Adik menyuarakan hasratnya sambil mengambil sebiji bantal dan memeluknya.
            “Hmm, bagus juga kamu pergi. Kasihan nenek, hendak bangun dari katil pun payah. Kalau emak dan ayah tak datang tadi, alamatnya tak mandilah nenek kau,” ayah bersetuju. Wajah ayah juga kelihatan letih. Sejak pulang dari sembahyang Jumaat, ayah terus mengambil emak dan pergi ke rumah Atok.
            “Esok, suruh Abang Long hantarkan Adik. Ayah bawa emak,” emak memberi cadangan.
            “Alah mak, malaslah hendak naik dengan Abang Long,” Adik memasamkan mukanya. “Emak sajalah yang naik dengan abang. Adik bonceng dengan ayah eh?”
            “Iyalah, iyalah. Apalah kau ni, asyik tak sebulu saja dengan abang tu,” komen ayah sambil mengikat kain pelikatnya. Ayah juga mengambil tempat di salah sebuah tilam nipis yang dibentang oleh Kamaruddin. Berbaringlah suami isteri itu di hadapan televisyen.
            “Alah yah, nanti dia bising-bising kalau kita nak suruh dia hantar kita. Ini pun belum balik lagi. Mesti dia akan bangun lambat esok pagi,” jelas Adik mengerutkan keningnya.
            “Kau pergi sendiri naik basikal eh, Din?” Usul Salimah kepada anak keduanya.
            “Din ok aje, mak,” jawab anak kedua Salimah yang tidak banyak kerenah.
            “Memang patut kau kayuh basikal aje, Din. Ayah tengok kau ni, makin membuntal!”
            Berderai ketawa Adik dan emak ketika ayah menggeletek perut Kamaruddin yang boroi. Anak tengah Salimah itu turut ketawa. Dia tidak pernah ambil hati jika emak dan ayahnya mengatakan dia buntal, badak berendam atau boyak.
            “Turunkan sikit badan kau tu. Kalau badan kau macam Abang Long, barulah hensem anak ayah.”
            Kamaruddin hanya tersengih.
            “Alah yah, Abang Din boyak, tapi dia pandai, yah,”Adik menyokong abang tengahnya sambil mengangkat kening dengan Abang Din.
            “Alah, apa salahnya jaga badan. Tengok Atok, smart  aje sampai tua. Sudah lama pencen pun, orang kampung masih panggil Atok kau Kopral Bidin,” Abdul Ghani terbayangkan wajah ayahnya yang sudah dimamah usia, namun masih nampak segak di mata mereka.
“Haah Din, jaga badan sikit. Mana tahu kalau kau dapat masuk universiti kat KL, Din…mestilah kena nampak hensem,” ujar Salimah pula sambil memandang wajah anak tengahnya yang bulat berisi.
            “Alah mak…mak asyik masak sedap aje, macam mana Din nak kurus?” Kamaruddin membela dirinya disambut dengan gelak ketawa ayah, emak dan Adik.
            “Dah kalau macam itu, mak tak payah masak lagi. Kau makan di kantin sekolah aje, boleh?” 
            “Alah makkkk...mana boleh macam tu? Kita orang hendak makan apa kalau mak tak masak?” Kamaruddin mengeluh dan mereka yang lain ketawa lagi.

            Kamaruddin dan Adik menonton televisyen hingga hampir ke pukul 1.00 pagi. Filem Hollywood yang memaparkan cerita seram itu benar-benar menarik minat mereka berdua. Salimah dan Abdul Ghani yang keletihan, akhirnya tertidur juga di hadapan televisyen. Adik tidak sampai hati hendak mengejutkan ayah dan emaknya.

            “Dik, kau tidur dalam biliklah. Abang ngah tidur sini dengan mak ayah,” Kamaruddin memberi cadangan. Adik mengangguk. Sebelum masuk ke bilik, dia sempat menjeling ke jam yang tergantung di dinding rumah. Jam menunjukkan ke pukul 1.10 pagi dan bayang Abang Long masih tidak kelihatan.
           
‘Abang Long tak balik lagi. Hmm, esok kalau emak kejutkan dia pagi-pagi, mesti mengamuk.’

            Matanya masih terkebil-kebil. Susah benar dia hendak melelapkan mata. Hendak baca buku sekolah, jangan haraplah. Mana mungkin masuk sebarang ilmu malam-malam buta begini. Adik bangun semula dari perbaringan. Dengkuran ayah dan Abang Din bersilih-ganti di ruang tengah rumahnya. Abang Khalid masih belum muncul-muncul. Malam-malam minggu begini, Adik pasti, abangnya itu melepak bersama-sama kawan sekerjanya di bandar Batu Pahat. Adik tahu Abang Long joint grup motor di bandar. Duduk melepak di warong-warong kopi atau kedai-kedai mamak, itulah kerja Abang Khalid di malam Sabtu dan Ahad. Semasa hendak mengambil periksa SPM juga, Abang Long sudah ada perangai begitu. Itulah sebabnya untuk periksa SPM, Khalid hanya mampu dapat pangkat 3 aliran sastera. Mujur juga lulus, kalau dapat SAP ( gagal) lagi parah. Walau dapat pangkat 3 pun, Atok Bidin tetap belikan sebuah motorsikal untuk Abang Long. Kononnya senang untuk Abang Long pergi kerja kilang SHARP di Sri Gading.
           
            Adik mengiring ke kiri dan ke kanan. Matanya masih payah hendak ditutup. Kantoknya hilang setelah dia meneguk kopi buatan Abang Din sebelum filem seram bermula di RTM 2. Abang Din, walau gelas kopinya lebih besar dari Adik, masih boleh membuta. Ternyata, air kopi yang mengandungi kafein itu tidak memberi kesan kepada Kamaruddin.

            ‘Baik aku lipat baju. Esok, mesti duduk seharian di rumah nenek.’

            Dia akhirnya keluar semula dari bilik dan menuju ke ruang tengah rumah. Dia tepi kabinet televisyen terdapat bakul yang berisi baju-baju bersih yang belum dilipat. Adik terjengkit-jengkit perlahan menuju ke tempat letak bakul baju tersebut. Rumah kayu memang senang berbunyi jika dia menapak laju-laju. Diangkatnya bakul tersebut dan dibawa ke dalam biliknya.

            Adik memunggah baju-baju bersih yang dicuci oleh emak pagi tadi. Diasingkan baju-baju ahli keluarganya. Baju ayah emak, baju Alia, baju Abang Khalid dan baju Abang Din. Dia mula melipat sehelai demi sehelai. Jika baju hari ini tidak dilipat, maka esok akan bertambah sebakul lagi baju yang bakal dicuci oleh emak. Ditambah pula dengan baju nenek dan atok yang dibawa tadi. Sekurang-kurangnya dia dapat meringankan beban emak.
           
            Ketika dia melipat sehelai kain batik emak yang terakhir, dia terhenti seketika. Adik lantas bangun berdiri. Dia kemudiannya menyarungkan kain batik emak pada dirinya. Selepas itu dia berdiri di hadapan cermin yang terdapat di almari bajunya. Cermin tinggi yang membolehkan dia melihat penampilannya dari atas ke bawah. Dia tersenyum. Adik memang suka dengan kain batik. Kain batik jawa bercorak halus. Kain batik Terengganu dan Kelantan juga mempunyai corak yang bunga-bunga dari negara Malaysia yang sangat cantik. Alangkah baiknya jika dia ini menetap di Kelantan atau Terengganu, pasti tidak canggung melihat seorang lelaki memakai kain batik. Adik kurang suka dengan kain pelikat. Coraknya cuma berpetak-petak tidak ubah macam rupa ketupat di hari raya. Lerang kainnya juga besar, susah hendak dia mengikat kain pelikat di pinggangnya yang ramping. Adik tersenyum-senyum. Dia menggayakan kain batik emak yang dipakainya di hadapan cermin almari itu. Adik kemudiannya mengambil sehelai kain kaftan emak berwarna merah yang dihadiahkan oleh Kak Nora ketika Kak Nora pulang dari rombongan ke Kelantan. Cantik benar lukisan pada baju kaftan itu. Ada corak paku-pakis dan bunga anggerik yang dilukis di bahagian hadapannya.

            Bunyi motor Abang Long memaksa dia terkocoh-kocoh membuka semula baju kaftan emak yang dipakai. Jarum jam menunjukkan hampir ke pukul 2.30 pagi. Ketika semua penduduk kampung tidur lenyak, ketika Pak Noja Hassan bangkit untuk solat tahajjud dan ketika Johari mengigau bermimpi berjumpa dengan Richard Gere, barulah Khalid sampai ke rumah. Betul kata emak, Khalid bukan ada minda sivik macam ayah yang mematikan enjin motor ketika sampai di hujung jalan. Deruman enjin masih berbunyi ketika dia memarkir motornya di tepi rumah.

Adik dengan segera melipat kain batik dan baju kaftan emak dan menyusun semua baju-baju yang dilipatnya. Beberapa minit setelah Abang Khalid mematikan enjin motornya, kedengaran pintu rumah dibuka. Adik hanya mendiamkan diri di dalam biliknya. Malas dia hendak bersua muka dengan Khalid. Dia lantas memadamkan lampu dan berbaring di katil bujangnya. Entah kenapa dia teringatkan Johari. Adakah malam ini sahabatnya itu akan memakai baju blaus dan skirt pendek hitam yang dibeli di pasar malam petang tadi? Adik tersenyum sendiri dan cuba melelapkan mata.
              
           
            Pagi-pagi lagi emak dan ayah sudah meninggalkan rumah. Selesai sahaja solat subuh, Abdul Ghani membawa isterinya ke rumah ayah dan ibunya. Risau benar Abdul Ghani dengan keadaan ibunya yang agak uzur. Lagi pula, Salimah risaukan Kasih Alia yang bermalam di rumah mentuanya.

            “Dik, mak sudah basuh kain. Adik tolong emak bilas dan sidaikan, iya nak,” pesan Salimah kepada Adik ketika dia hendak turun dari rumah. Anak itu cuma mengangguk. Sebelum pergi, Salimah sempat membuat nasi goreng untuk anak-anak bujangnya yang tinggal di rumah.
            “Kalau Adik sudah siap, kejutkan Abang Long untuk hantar ke rumah Atok, ya,” pesan Ayah pula. Adik angguk lagi.

            Setelah ayah dan ibunya hilang dari pandangan, Adik mengeluh halus.
            ‘Kalau kejut Abang Long, mesti dia mengamuk.’
           
Dia lantas menuju ke bilik air dan membuka paip air. Dua besen disediakan untuk membilas semua pakaian yang sudah dicuci emak dari mesin basuh jenama Toshiba yang dibeli ayah dari kedai Kooperasi Kakitangan Kerajaan di bandar Penggaram. Selesai membilas pakaian atok dan nenek juga baju-baju kaum keluarganya, Adik keluar semula dari bilik. Dia kemudiannya memasukkan sedikit demi sedikit pakaian tersebut di tempat spin untuk memerah kering baju-baju tersebut.

Ketika matahari memancarkan sinarnya di seluruh alam, Adik mengambil sehelai demi sehelai pakaian yang telah siap dicuci dan diperah separa kering dari mesin. Cuma pakaian keluarganya sahaja yang disidai. Pakaian Atok Bidin dan neneknya diletak semula di dalam beg plastik untuk disidai di rumah Atok. Tempat sidai pakaian terletak bersempadan rumah dia dan Kak Nora. Nampaknya Kak Nora sudah terlebih dahulu menyidai pakaiannya, sepasang baju kebarung kuning cair dan selendang. Pasti semalam Kak Nora ada jemputan kahwin.

Adik menyelesaikan semua tugasan yang diamanahkan oleh ayah dan ibunya tepat pukul 8.30 pagi. Abang Din berada di ruang tamu dan sedang menelaah pelajaran disamping segelas air kopi Ó. Adik mundar-mandir. Sekejap ke bilik, sekejap ke ruang tamu. Sekejap dia memandang jam di dinding, sekejap dia memandang keluar tingkap yang terbuka luas.
“Dik, yang kau kehulu kehilir macam Ali Baba baru dapat harta karun ni, kenapa?” tegur Kamaruddin yang melihat adiknya seperti serba-salah.
“Mak suruh Abang Long hantar Adik ke rumah Atok. Dia tidur lagi, macam mana?” keluhnya. Dahinya berkerut.
“Alah, kau kejutkanlah dia.”
“Abang Din tahulah Along. Tak pasal-pasal nanti dia mengamuk pulak.”
“Kejut aje, cakap mak dengan ayah suruh hantar kau ke rumah Atok. Dia pun, patut jenguk Atok dengan nenek tu,” ujar Abang Din sambil meneguk kopi O yang dibancuhnya.

Dengan hati yang berat, Adik membuka pintu bilik Abang Long. Dia pasti Abang Long tinggal solat subuh. Sejadah yang digantung Adik di tempat gantung besi di tepi dinding masih kelihatan tidak terusik. Semalam, ketika emak ke rumah Atok, Adiklah yang membantu emak mengemaskan bilik Abang Long yang tidak terurus. Pakaian, kain pelikat, baju uniform kerja, stokin semuanya dicampak merata-rata. Entah ikut perangai siapa, Adik tidak tahu kerana ayah, emak dan Atok Bidin semuanya orang yang suka berkemas.

            “Abang…Bang…bangun Bang,” lembut suaranya menggerakkan Abang sulungnya. “Bang…bang Khalid…,”
            “Mmmm…,” Khalid makin memeluk bantal peluknya erat-erat.
            “Bang…tolong hantar kita pergi rumah Atok, Bang,” gerak Adik lagi di bahu Abang Long.
            “Kau pergilah sendiri…,” tidak terbuka sedikit pun mata Khalid.
            “Kita nak pergi dengan apa? Lagipun, kita nak bawa baju-baju basah Atok dan nenek.”
            “Alah…aku mengantuklah.”
            “Tolonglah Bang…hantarkan kita. Emak dengan ayah suruh Abang hantarkan kita. Bang...bangun bang...,” rayu Adik.
            “Hei!” bingkas Khalid bangun sambil membeliakkan matanya. “Kau ni tak faham ke, aku mengantuk! Kau ingat aku ni hamba kau?”
            Adik tersentak dengan jerkahan Khalid. Memang sudah dapat diduga jawapan dari Khalid itu.
            “Dahlah, kalau Abang tak dapat hantar, tak apalah,” dia berlalu keluar dari bilik itu.
            “Ha…itu nanti mengadu dengan mak ayah. Merengek depan mak ayah cakap aku tak mahu hantar!”
            “Kalau Abang dah tak boleh hantar, tak apalah, kita pergi sendiri aje, tak payah bising-bising,”Adik menjawab.
            “Apa kau kata?” Dengan tidak semena-mena Khalid keluar dari bilik dengan hanya memakai seluar pendek dan singlet pagodanya menarik rambut Adik dari belakang.
            “Eh, apa ni, Bang? Aduiiii…,” kedua-dua tangan Adik memegang tangan Abangnya yang mengenggam segumpal rambutnya.
            “Sudahlah kau kacau aku tidur, membebel-bebel kat telinga aku! Perangai kau macam betina, kau tahu tak?”
            “Janganlah buat kita macam ni, Bang. Abang tak nak hantar, kita pergi sendiri aje,” rayu Adik kepada Khalid yang masih mengenggam segumpal rambut Adik.
            “Kalau aku tidur, jangan memekak!”
            “Abang Long! Apa kau buat ni?”sergah Kamaruddin yang terus meninggalkan pembelajarannya ketika mendengar jeritan Adik.
            “Kau diam, Din!”
            “Kenapa kau buat Adik macam ni? Kalau kau tak nak hantar dia pun, tak payah buat dia macam ni!” Kamaruddin membela adiknya.
            Khalid akhirnya melepaskan genggaman tangannya dari menarik terus rambut Adik. Kolam air mata Adik yang ditahan-tahan, akhirnya tumpah jua. Sayu benar hatinya ketika Abang Khalid memanggilnya ‘betina’ sebentar tadi.
            “Lain kali, kalau aku tidur, jangan kacau. Aku dahlah balik pukul tiga pagi!” bebel Khalid.
            “Yang kau balik pukul tiga pagi, siapa suruh? Bukan kau pergi kerja pun!” Kamaruddin membalas alasan Khalid.
            “Kau jangan nak cari pasal dengan aku, Din! Ini semua tak ada kena-mengena dengan kau!” jawab Khalid dari dalam biliknya. Dengan Kamaruddin, Abang Long tidak angkat muka sangat. Samada Abang Long segan dengan Abang Din kerana Abang Din itu budak bijak ataupun Abang Long takut dengan Abang Din yang bertubuh besar darinya, Adik tidak tahu.
            “Nenek sakit, kau sikit tak menjenguk!” marah Kamaruddin kepada Abangnya. Memang pada pandangan mereka, Khalid patut menjenguk nenek yang telah mengasuhnya sejak dia masih kecil lagi.
“Ahhh, kau diamlah, Din!” bentak Khalid dan masuk semula ke dalam bilik. Khalid hanya memekakkan telinga dan melontarkan badannya ke katil.

            Adik mengambil dua bungkus beg plastik pakaian basah nenek dan atoknya lalu dibawa turun ke bawah rumah. Air matanya yang mengalir, cepat-cepat dikesatnya dengan lengan bajunya.
            “Dik…meh sini Abang Din bawakan sebungkus kain baju tu. Kau bawa sebungkus lagi eh,” Kamaruddin yang hanya berlenggeng terus mengambil dan memakai sehelai t-shirtnya yang disangkut di kerusi ruang tamu mereka. Tangan kanannya terus mengambil sebungkus beg plastik yang dipegang Adik.
           
Mata Adik yang merah menahan air mata memandang Abang keduanya. Mujurlah Abang Din ada. Jika tidak, pasti Abang Khalid akan mengapa-apakan dirinya. Jika tidak kena pelempang, pasti tubuh Adik ditolak ke dinding. Perlakuan Abang Long kepadanya, tidak ubah seperti orang gaji. Sayu hatinya memandang kepada Kamaruddin. Jika keputusan periksa SPM Abang Din cemerlang, abangnya itu pasti akan meninggalkannya untuk ke menara gading.

“Sudahlah, jangan nangis…kita naik basikal saja ke rumah Atok eh,” pujuk Abang Din kepadanya yang menahan sebak. “Sakit sangat ke masa Abang Long tarik rambut kau tadi?” tanya Abang Din sambil menuju ke tempat basikalnya disandarkan di tepi rumah.
“Bukan sakit pasal tu, Bang…Adik sedih bila Abang Long panggil Adik, betina,” adunya kepada Kamaruddin.
Kamaruddin mengeluh halus. Memang tidak disangkal yang perwatakan Adiknya itu seperti seorang perempuan. Kulitnya pun halus. Alis matanya melentik dan lemah-lembutnya melebihi Kasih Alia yang seorang gadis sunti. Di rumah pun, Adik yang banyak membantu emak dengan urusan mengemas, membasuh, melipat dan menggosok baju.
“Alah Abang Long kan memang begitu, kalau marah, mulutnya cakap yang bukan-bukan,” pujuk Kamaruddin .

Adik mengangguk lemah. Bukan kali ini sahaja yang Abang Long memaki hamun dirinya. Sejak dahulu lagi, sejak dia masih kecil, macam-macam gelaran Abang Long kepadanya. Abang Long itu memang mudah lupa diri. Dia sepatutnya mengenang kembali jasa Adik kepadanya dua tahun dahulu.

            Ketika dua beradik itu menyorong basikal mereka yang terletak di tepi rumah untuk dibawa ke halaman rumah, kelihatan sebuah teksi berhenti betul-betul di hadapan rumah Kak Nora. Mereka kenal dengan pemandu teksi tersebut. Memang teksi tersebut adalah teksi yang biasa disewa Kak Nora untuk menghantarnya ke majlis-majlis kahwin atau ke bandar. Pakcik Khamis nama pemandunya. Dia tinggal berdekatan dengan rumah cikgu Zakiah. Adik dan Kamaruddin kemudian ternampak Kak Nora sedang mengunci pintu sambil menjinjing beg mekap besarnya. Mereka berdua hanya memerhati dari halaman rumah mereka.

            “Eh…Adik, Din…nak kemana kamu berdua?”tegur Kak Nora ramah apabila terpandangkan Adik dan Kamaruddin memerhatikan gelagatnya.
            “Nak ke rumah Atok. Nenek sakit,” jawab Kamaruddin.
            “Ohh, terukkah sakitnya?” tanya Kak Nora prihatin.
            “Demam saja Kak Nora, tapi sampai tak boleh bangun. Hendak cuci baju pun tak boleh,” giliran Adik pula menjawab soalan Kak Nora.
            “Alahai, kesiannya Mak Temah. Nanti balik dari mekap kan orang, pesan pada mak, Kak Nora singgah rumah Atok eh. Kak Nora ini bukan mengandam orang kahwin, ada orang nak khatam quran di Kampung Bagan, minta Kak Nora mekap sikit,” terang Kak Nora walau tidak ditanya oleh kedua beradik itu.
            Kedua beradik itu mengangguk-angguk kepala mereka dengan penerangan Kak Nora.
            “ Itu beg-beg plastik apa?” sempat lagi Kak Nora bertanya sebelum dia membuka pintu kereta teksi yang menanti.
            “Baju-baju atok dengan nenek yang siap dibasuh, Kak Nora. Mak pesan, suruh sidai disana aje,” Adik menerangkan.
            “Alahai, kesiannya kau orang berdua. Hendak kayuh basikal ke rumah Atok dengan bimbit-bimbit beg plastik itu, ke? Mari sinilah, Kak Nora hantarkan dulu,” pelawa Kak Nora sambil tersenyum manis.
            Adik dan Kamaruddin berpandangan.
            “ Tak payahlah Kak Nora, kalau kami berdua naik teksi, hendak balik nanti susah pula nak berjalan kaki,” jawab Kamaruddin.
            “Haah ek…iya tak ya jugak eh,” berkerut kening Kak Nora seketika. Sesuatu bermain di fikirannya, “Eh…tapikan Kak Nora hendak singgah sana masa balik dari mekap nanti. Tumpang akak jugaklah untuk balik kesini,” Kak Nora memberi cadangan.
            Adik memandang Kamaruddin. Dia hanya menanti abangnya membuat keputusan.
            “Hmm…boleh jugaklah Kak Nora,” Kamaruddin akhirnya mengangguk dan bersetuju.

            Kedua beradik itu akhirnya menyorong kembali kedua-dua basikal mereka dan disandarkan di tepi rumah. Pelawaan Kak Nora memang tepat pada masanya. Kebetulan pula Kak Nora akan ke Bagan, melalui jalan raya untuk ke rumah Atok Bidin.

            “ Pak Khamis, berhentikan budak-budak ni di rumah Kopral Bidin eh…kemudian baru kita ke Bagan,” Kak Nora memberitahu Pak Khamis yang mula menekan pedal clutch  dan tangannya kirinya pantas memasukkan gear satu teksi berwarna biru putih itu.
           
            Adik dan Kak Nora duduk di tempat duduk belakang manakala Abang Din duduk di tempat duduk hadapan bersebelahan dengan Pak Khamis.

            “Dik…Kak Nora terdengar, kau gaduh lagi eh dengan Khalid?”tegur Kak Nora seakan berbisik ketika Pak Khamis mula memandu teksinya keluar dari Kampung Peserai Pantai itu.
            Adik mengangguk perlahan.
            “ Kenapa?” tanya Kak Nora lagi.
            “Dia tak mahu hantarkan kita ke rumah Atok,” jawab Adik.
            “Hmm…apalah nak jadi dengan Abang Long kau tu. Umur kalau macam tu, sudah boleh kahwin, tapi tanggungjawab tak ada. Sampai hati dia nak biarkan kau dengan Din naik basikal bawa baju-baju basah ni ke Simpang Lima?” keluh Kak Nora sambil merengus.
            “Syukur Kak Nora ada…” jawab Adik sambil tersenyum memandang Kak Nora yang memakai baju kurung  johor berwarna putih yang mempunyai corak bunga-bunga kecil berwarna biru. Di kepala Kak Nora juga tersangkut selendang berwarna putih. Memang sesuai pakaian Kak Nora untuk menghadiri majlis khatam Al-Quran. Adik masih ingat lagi, semasa dia, Johari, Faezah Hanim, Suhaila dan Ani khatam Al-quran ketika mereka berumur sepuluh tahun, Kak Nora jugalah yang meletakkan mekap nipis ke wajah kawan-kawan perempuannya. Adik dan Johari hanya memerhati sahaja Faezah Hanim, Ani dan Suhaila di mekap oleh Kak Nora.

            “ALLAH sentiasa tolong orang yang baik hati, Dik,” jelas Kak Nora sambil matanya memandang ke hadapan. Dia memasang telinga perbualan Pak Khamis dan Kamaruddin yang duduk di hadapan.

            ‘Iya…ALLAH sentiasa tolong orang yang baik hati. Semoga ALLAH sentiasa tolong Kak Nora.’ Adik berdoa di dalam hati sambil mengerling ke arah Kak Nora.  Dia akan sentiasa ingat kata-kata Pak Noja Hassan tentang berbuat baik sesama insan.

            Khalid bangun dari perbaringannya setelah mendengar Adik dan Kamaruddin meletakkan kembali basikal mereka di tepi rumah. Dari tepi tingkap rumahnya, dia memerhati Adik, Kamaruddin dan Kak Nora menaiki teksi Pak Khamis. Khalid merengus. Dia tahu, dia tidak sepatutnya membuat Adiknya begitu. Namun, dia mahu mengajar Adik supaya menjadi seperti lelaki. Dia mahu Adik menjadi KAMAL ARIF! Bukan berlemah-lembut seperti seorang perempuan.

            “Lid…adik kau yang nombor dua tu, jantan ke betina, Lid? Perangai lembut semacam?” teringat dia akan pertanyaan salah seorang kawannya yang sama-sama melepak malam di kedai makan malam tadi.
            Khalid hanya tersengih namun hatinya mendidih menahan marah. Bukan seorang dua kawannya yang pernah bertanyakan hal itu, sudah ramai orang yang keliru dengan personaliti Adik.  Adiknya telah memalukan dirinya. Emak dan ayah pun tidak pernah menegur malah menjentik Adik pun tidak sekali.
            Suara Adik yang macam anak itik baru lahir itu membuat Khalid geli-geleman. Sememangnya sedari kecil, Khalid memang meluat dengan Adik. Budak-budak lelaki lain main lastik-lastik, main gasing, main sepak yem, masuk belukar main askar-askar, si Adik dengan Johari pergi main pondok-pondok dan pengantin-pengantin! Budak lelaki lain tolong ayah basuh motor, basuh kereta...si Adik pergi tolong emak gubah bunga dan hias rumah! Sedari kecil lagi kawan-kawan sekolah Khalid sudah mentertawakannya kerana ada adik bongsu seperti itu. Memalukan! Amat memalukan dia yang terkenal dengan machonya dan cucu jantan sulung Tok Bidin Kopral pencen.






Zaman remaja yang menyeronokkan.
Zaman yang akan sentiasa dikenang.
Zaman yang tidak akan luput dari ingatan.

                                        KAY , April 1994

Tiada ulasan:

Catat Ulasan