S
|
udah lama Kamaruzaman tidak bersarapan di warung. Pagi itu, Amin
membawanya ke Warung Muna di tepi jalan masuk ke kampung itu. Ketika mereka
sampai, keadaan di warung itu sudah mula lengang. Hanya tinggal beberapa orang
sahaja yang masih menikmati sarapan sambil berbual-bual.
“Nasib kita baik, bang. Sebab ada meja
kosong. Kalau kita datang awal sikit, memang penuh.”
“Laris juga ya.”
“Dah tak ada warung lain di kampung ini. Lagipun, masakan Kak
Muna ni sedap dan harganya pun berpatutan. Abang nak makan apa?” tanya Amin
selepas duduk dengan selesa.
“Apa-apa sajalah
yang kau pesan, Min. Saya tak kisah sangat.”
“Kalau macam tu,
kita makan lontong Kak Muna. Rasanya, ummm... Kalah masakan di hotel lima
bintang!” puji Amin dengan ketawa kecil. Dia segera memanggil seorang wanita
yang dipanggil Kak Muna dan memesan dua pinggan lontong dan dua cawan kopi O.
Sementara menunggu
pesanan sampai, Amin membuka tudung saji yang menutup pinggan kuih di hadapan
mereka. Dia mengambil sebiji karipap dan mengunyahnya perlahan.
Kamaruzaman pula
terpandang kuih rendang kasturi. Kuih kesukaannya! Tiba-tiba seleranya pecah.
Dia mengambil sekeping kuih itu dan
segera mengunyah.
“Sedapnya kuih ni. Tak sama dengan yang pernah saya makan di
tempat lain. Ini Muna buat sendiri ke?” tanya Kamaruzaman ketika Muna
meletakkan pesanan di hadapan mereka.
“Taklah. Kuih dan nasi lemak ni, Siti
anak Pak Tahir tu yang buat,” jawab Muna.
“Eh, bukankah Siti menoreh dengan Mak
Jah, Kak Muna?” Amin pula bertanya dengan mulut yang penuh.
“Dia buat kuih sebelah malam. Pagi pergi
menoreh. Dapatlah lebih sikit. Kalau tak, macam mana dia nak sekolahkan dua
orang adiknya tu!”
“Dia dah tak belajar
lagi ke?” Tiba-tiba Kamaruzaman bertanya. Dari pertemuan di kebun beberapa
lepas dia ingin bertanya. Baru hari ini dia berpeluang.
Dia rasa ada sesuatu
yang menarik mengenai anak gadis Pak Tahir itu. Semangat dan kerajinannya sukar
didapati pada gadis seusianya di zaman ini.
“Dia dah berhenti
belajar, bang. Siti Solehah tu bukan tak pandai. Dia dapat tawaran masuk
universiti tahun lepas. Tapi, mengenangkan Pak Tahir sakit dan Mak Jah pun tak
sekuat mana dia tolak tawaran itu. Dia nak beri peluang kepada dua
adik-adiknya. Kesian Siti...” keluh Muna.
Tidak lama dia berlalu
meninggalkan meja Amin dan Kamaruzaman makan dengan selesa.
Fikiran Kamaruzaman
sedikit terganggu. Kunyahan kuih rendang kasturi yang sedap itu tiba-tiba
menjadi perlahan. Dia terkenangkan Kartina. Dulu, hanya kuih rendang kasturi
Kartina yang paling sedap dan tidak ada tolok bandingnya. Rasa lemak, manis dan
masin bersatu dalam sekeping rendang kasturi.
Kemudian dia
terkenangkan anak gadis Pak Tahir. Sayangnya gadis sepintar itu tidak dapat
meneruskan pengajiannya. Apa akan jadi dengan masa depan gadis itu? Apakah
selama-lamanya akan hidup bergantung kepada hasil torehan getah dan hasil
jualan nasi lemak dan kuih sahaja?
“Kesian dia,” bisik
Kamaruzaman, perlahan dan berdesir di celah bibir.
“Siapa bang?” Amin
mengangkat muka. Dia merenung wajah Kamaruzaman yang sedikit berkerut.
“Anak gadis Pak
Tahir tu. Sepatutnya dia masih belajar,” jawab Kamaruzaman.
“Sepatutnya begitu.
Tapi dah tak mampu, nak buat macam mana.” Amin terus mengunyah.
Kamaruzaman
mengunyah makanan dalam mulutnya dengan perlahan. Dia juga ikut mengunyah
kepayahan hidup Pak Tahir sekeluarga.
**
Siti Solehah pula semakin hari
semakin selesa dan gembira dengan rutin kehidupannya. Pagi selepas
menghantar nasi lemak dan kuih ke warung Muna, dia akan terus ke kebun untuk
menoreh. Kemudian sebelah petang, kalau ada masa lapang dia akan membersihkan
daun-daun kelapa untuk dibuat lidi.
Dia menumpukan sepenuh perhatian kepada
kehidupan barunya. Dia ingin melupakan seluruh impian dan harapan masa
lalunya. Dia juga hampir terlupa akan zaman gadisnya!
Biarlah cita-citanya
itu diteruskan oleh adik-adiknya. Dia reda menerima takdir ALLAH itu.
“Bila
tarikh peperiksaan akan bermula, Inah?” tanya Siti Solehah kepada Siti Mukminah
yang sedang leka menyiang ikan bilis untuk dibuat sambal. Itu rutinnya sebelah
petang untuk meringankan kerja kakaknya.
“Lagi
dua minggu kak.”
“Masa-masa
terakhir ini, tak usahlah terlalu banyak study. Buat latih tubi saja
cukuplah. Jaga kesihatan dan tenangkan fikiran,” kata Siti Solehah yang sedang
mengacau sambal yang sedang mendidih. Bau aromanya semerbak harum.
“Kak,
Inah rasa lebih baik Inah tak lulus,” kata Siti Mukminah.
“Ish! Kenapa cakap
macam tu. Orang semua minta lulus, kau minta gagal pulak. Ini namanya gagal
sebelum berjuang. Di mana darah Tun Fatimah yang perkasa?”
“Yalah,
kalau lulus pun apa gunanya. Tengok kakak, lulus dengan cemerlang tapi tidak
dapat nak sambung pelajaran. Kita orang miskin kak, tak mampu nak belajar
tinggi-tinggi. Inah rasa kalau Inah cari kerja lagi bagus. Biar Inah tolong
akak,” jawab Siti Mukminah. Dia jujur dengan kata-katanya. Sungguh belas dia
melihat kakaknya yang masih muda terpaksa menanggung tugas ketua keluarga.
Siti Solehah merenung adiknya dengan mata
yang redup.
“Janganlah begitu
Inah. Masa depan keluarga kita hanya bergantung pada kau dan Hafiz. Kalau
awal-awal lagi kau dah mengalah, Hafiz apa lagi? Kakak berhenti belajar dan buat
semua ni untuk kamu berdua. Jangan hampakan kakak pula.”
“Inah
rasa bersalah dengan akak...”
“Akak
tak apa-apa. Jangan simpan rasa bersalah tu. Akak buat semua ni demi kau dan
Hafiz,” kata Siti Solehah mengulangi hasratnya dengan kerdipan mata kasih.
Siti
Mukminah terharu. Sungguh besar pengorbanan kakaknya itu.
“Kalau
Inah rasa terhutang budi dengan pengorbanan kakak ini, Inah kena janji untuk
belajar hingga berjaya. Tunaikan cita-cita Inah.”
“Inah
janji kak,” kata Siti Mukminah dengan suara yang hampir tidak kedengaran.
“Periksa
dah dekat. Jangan bebankan fikiran dengan perkara-perkara yang bukan-bukan
begitu. Tumpukan perhatian pada pelajaran. Yang lain biar akak yang fikirkan.”
“Kak…”
“Sudah, jangan cakap
apa-apa lagi. Adik akak ni mesti dapat keputusan cemerlang. Orang yang
cemerlang ialah orang yang tak fikirkan kekalahan. Dia sentiasa berfikiran
optimis dan berani. Okey?” potong Siti Solehah dengan cepat.
Siti
Mukminah angguk, perlahan dan terpaksa.
Siti
Solehah senang hati dengan anggukan janji adiknya. Kalau adik-adiknya berjaya,
maknanya itu kejayaannya juga. Tiba-tiba terimbau semuanya.
Setahun yang lalu, tiba-tiba
penyakit semput Pak Tahir semakin sering menyerang. Dia tidak mampu untuk bangun. Hanya terbaring
lemah. Sekali-sekala dia terbatuk-batuk.
“Bagaimana dengan permohonan
kau nak ke universiti tu Siti, dah terima keputusannya?”
“Dah ayah. Siti dapat. Tapi,
Siti rasa Siti tak akan pergi.”
“Tapi kenapa Siti? Bukankah
selama ini kamu belajar bersungguh-sungguh untuk dapat masuk universiti. Sekarang
dah dapat, kamu tak nak pergi pula?” tanya Mak Jah yang duduk di hujung kaki
Pak Tahir.
“Kita
tak mampu mak. Banyak duit yang kita perlukan. Mana untuk bayar yuran
pendaftaran, beli buku-buku, duit belanja dan semua kelengkapan. Mana kita nak
cari duit untuk semua itu. Sedangkan sekarang hidup kita dah susah macam ni,
kalau Siti pergi hidup kita lagi susah. Dalam keadaan ayah yang sakit macam ni,
Siti tak nak tambah beban mak.”
“Mak
boleh usahakan pasal duit tu. Kamu mesti pergi Siti,” kata Mak Jah sambil
tangannya memicit-micit kaki Pak Tahir.
“Dengan
apa mak nak usaha. Kita tak ada tanah nak digadai. Kita tak ada barang kemas
nak dijual. Kita tak ada saudara mara yang kaya yang boleh memberi pinjam. Mak
hanya menoreh getah pajak yang tak seberapa hasilnya. Itu hanya cukup untuk
makan minum kita dan belanja sekolah Inah dan Hafiz. Kita memang tak mampu mak,”
kata Siti Solehah.
Tiba-tiba
Pak Tahir teresak kecil. “Maafkan ayah Siti. Ayahlah yang bersalah kerana tak
mampu nak berikan yang sempurna untuk kau. Tuhan dah berikan ayah penyakit ni.
Kalau tidak nasib kau tak akan jadi macam ni, Siti.” “Jangan cakap macam tu ayah. Bukan niat Siti nak kecilkan hati
ayah. Siti tak anggap ayah macam tu. Dah lama ayah berkorban
untuk kami. Lagipun, ini semua takdir ALLAH. Kita tak mampu menolaknya. Siapa
yang mahu hidup susah? Siapa yang mahu sakit? Tak ada yang mahu. Tapi bila dah
diberikan, kita mesti terima dengan reda. Mungkin hari ini ALLAH menduga kita
dengan kepayahan, untuk membalasnya dengan kesenangan di masa depan,” tingkah
Siti Solehah dengan cepat. Dia menarik tangan ayahnya dan mengucupnya
berkali-kali.
“Habis
sekarang kamu nak buat apa kalau tidak bersekolah?” tanya Mak Jah, kurang
senang.
“Siti
nak menoreh dengan mak.”
“Apa?
Nak menoreh? Jangan Siti. Ia tak sesuai untuk kamu. Biarlah mak saja yang buat
semua ini.” Dengan cepat Mak Jah melarang.
Siti
Solehah tersenyum.
“Mak,
saya kena menoreh. Inah dan Hafiz perlukan duit untuk terus belajar dan
mencapai cita-cita mereka. Ayah mesti dihantar ke hospital untuk rawatan. Saya akan berusaha
bersama mak. Kita akan pikul tugas ini bersama-sama,” kata Siti Solehah.
Kali ini giliran
Mak Jah pula teresak sendu. “Mak tak sampai hati nak tengok kau buat semua ni,
Siti.”
“Jangan macam tu
mak. Sepatutnya, mak dah berehat. Mak pun bukannya sihat sangat. Biarlah Siti
tolong mak.”
Mereka berpelukan. Mereka saling
ingin berkorban.
Cuaca hari itu sangat panas. Siti
Solehah berehat di pangkal pokok getah dengan keletihan. Ketika itu Mak Jah sedang memungut susu getah
tidak jauh dari situ.
“Assalamualaikum Siti!” sapa Amin.
“Waalaikummusalam... Abang Amin dari mana ni? Tak
dengar bunyi motor pun!” Siti Solehah menoleh dan
mencari motor Amin.
“Abang letak motor kat dusun
buah-buahan seberang sana tu. Abang jalan kaki ke sini. Nah Siti! Abang bawakan
buah-buahan ni untuk Siti. Makanlah.” Amin menghulur beg plastik yang berisi
rambutan dan manggis.
“Abang ni buat
macam kebun sendiri saja. Nanti marah
pula bos abang tu!” Siti Solehah
menerima huluran itu dengan senyum.
“Dia tu baik Siti.
Dia selalu suruh abang berikan kepada sesiapa yang nak makan. Kadang-kadang dia
suruh abang hantarkan ke masjid. Yang selebihnya baru dijual. Kalau setakat nak
makan macam ni, tak jadi kudis pada dia. Jangan sampai nak berniaga sudahlah!”
balas Amin dengan ketawa mengekek.
Siti Solehah ikut
ketawa. Tangannya segera mengupas sebiji rambutan dan memakannya. Manis isi
rambutan itu melegakan tekaknya yang memang kehausan.
Amin hanya melihat
dengan penuh rasa simpati dan belas. Siti Solehah bukan sahaja pandai dan
rajin. Malah dia juga cantik dan manis.
“Siti,
kenapa Siti tak sambung belajar. Bukankah Siti dapat keputusan cemerlang?” Amin
sengaja menduga walhal dia sudah tahu sebabnya.
“Kami
tak mampu bang. Ayah sakit dan adik-adik perlukan belanja.”
“Kan
ada PTPTN atau bantuan biasiswa?” Amin menduga lagi.
Siti
Solehah termenung. Mulutnya masih mencicip isi rambutan yang manis itu. Lama.
Dia seperti sedang melayan fikirannya yang kosong.
Amin
pula, seperti dapat membaca apa yang ada dalam fikiran Siti Solehah ketika itu.
“Entahlah
Siti. Abang amat simpati pada Siti. Kalau abang kaya, abang akan bantu Siti dan
keluarga. Tapi apa nak buat, abang dan Kak Ru ni juga orang yang tak berharta,”
kata Amin penuh simpati.
“Terima
kasihlah atas simpati abang tu. Pertolongan abang kat kami selama ini pun dah
cukup banyak. Kami ni tak ada abang dan kakak. Jadi kepada abang dan Kak Ru,
tempat kami menumpang kasih,” puji Siti Solehah, tulus.
Amin
tersengih-sengih.
“Kami
pun tak ada sesiapa. Tak ada anak. Tak ada adik beradik di sini. Hanya kepada
Siti dan adik-adik Siti, abang dan Kak Ru menumpang kasih,” balas Amin, juga
tulus.
Ketika
itu Mak Jah menghampiri mereka. Dia duduk. Peluh diseka dengan hujung tudung
kepalanya.
“Makan
rambutan ni, Mak Jah.” Amin menghulurkan setangkai rambutan yang masak ranum.
“Banyak
buahnya tahun ni, Min?” Mak Jah mengambil sebiji dan mengupasnya. Dengan
bismilah dia masukkan isi buah rambutan itu ke mulut.
“Boleh
tahan Mak Jah. Dalam seminggu ni masaklah semuanya. Kebetulan Abang Zaman ada
di sini, dapatlah dia uruskan buah-buah rambutan dan manggis tu.”
Mak
Jah mengupas sebiji rambutan lagi.
“Mak
Jah makanlah. Biar saya tolong habiskan kerja-kerja mengangkat susu getah tu,”
kata Amin sambil bangun dan mengambil baldi yang masih kosong.
“Tak
payahlah Min. Tinggal sikit saja lagi,” kata Mak Jah, cuba menahan.
“Tak apalah. Mak Jah rehat saja. Biar saya habiskan.”
Amin terus berjalan tanpa menoleh lagi. Dia menyelusuri barisan pokok-pokok
getah itu dan mengutip susu yang mula membeku dalam tempurung.
“Abang Amin kalau
datang ke sini, mesti nak tolong. Baik sungguh hati dia kan mak?” Siti Solehah
masih memerhati langkah Amin.
“Dia laki bini
memang sangat baik hati. Hati orang beriman memang macam tu, suka tolong orang.”
Mak Jah menyetujui.
“Sayang mereka tak
ada anak. Kalau tak, anak dia pun mesti baik dan berbudi. Kan mak?”
“Semuanya
kerja ALLAH. Tapi, Amin tu bagus. Walaupun Ru tak dapat berikan anak, dia tetap
setia dengan Ru. Dia tak pernah kisah nak kahwin lain seperti kebanyakan lelaki
lain,” kata Mak Jah pula.
Siti
Solehah angguk, mengiakan.
“Macam
bosnya juga,” sambung Mak Jah lagi.
Siti
Solehah menoleh. Sebiji rambutan yang sedang dicicipnya dikeluarkan.
“Siapa mak?”
“Abang
Zaman tu. Dia tu membujang sampai sekarang. Masa isterinya meninggal, Firdaus
tu masih kecil. Sekarang budak tu dah berumah tangga tapi Abang Zaman tetap tak
kahwin-kahwin,” jawab Mak Jah.
“Apa
alasannya?” Siti Solehah tiba-tiba rasa tertarik untuk mendengar kisah hidup
taukeh getah pawah tempat dia menoreh.
“Katanya
dia tak nak Firdaus ada mak tiri. Dia nak Firdaus membesar dengan kasih
sayangnya.”
Siti
Solehah terlopong, mula mengkagumi lelaki yang bernama Kamaruzaman itu.
“Hebat juga dia ya
mak.”
“Ada
lagi yang lebih hebat,” jawab Mak Jah selamba.
“Apa lagi?” Siti
Solehah berpaling.
“Firdaus tu bukan anak kandung dia. Itu anak tiri dia.”
Siti
Solehah semakin melopong. Dia rasa sangat kagum. Inilah pertama kali dia
mendengar kisah kasih sayang seumpama ini.
“Apa
yang dibincangkan orang dua beranak ni? Macam ada masalah negara saja?” tanya
Amin yang menjinjit sebaldi susu getah dan diletakkan di hadapan Mak Jah. Dia
mengesat peluh.
“Kan
dah berpeluh. Aku cakap tak payah tolong, kau nak juga tolong.” Mak Jah melihat
peluh di muka Amin menitik-nitik.
“Alah
Mak Jah, peluh ni menyihatkan badan saya ni. Kalau hidup tak keluar peluh,
macam makan tapi tak berak saja rasanya,” balas Amin, selamba.
Siti Solehah ketawa
menutup mulut.
“Eh, betulkan? Abang tak main-main.”
“Siti tak kata
abang main-main. Tapi pepatah abang tu kelakar. Rasa macam dalam kamus Dewan
Bahasa pun belum ada lagi!” kata Siti Solehah, masih ketawa.
Amin ikut ketawa.
Ketika itu Mak Jah bangun untuk membekukan susu getah itu.
“Abang Amin, Siti
tanya sikit boleh?” tanya Siti Solehah.
“Tanyalah. Asal
jangan tanya soalan politik dan ekonomi negara sudahlah. Abang ni tak sekolah
tinggi,” jawab Amin, menyeringai. Tangan yang masih basah dengan susu getah
dibersihkan dengan air dari tempayan yang ada di situ.
“Bos abang tu memang
betul tak kahwin sejak isteri dia meninggal?”
Mata
Amin beralih arah. Dia merenung wajah Siti Solehah dengan hairan.
“Kenapa
Siti tanya? Siti minat nak kahwin dengan dia ke?”
“Eh, Abang Amin ni.
Ke situ pula dia,” tingkah Siti Solehah dengan cepat.
“Habis, kenapa Siti
tanya?”
“Tadi mak ada cerita
pasal dia. Siti cuma nak tahu betul ke tidak.”
Amin
tersengih lama. Matanya masih merenung wajah Siti Solehah yang merah padam.
“Betul
Siti. Lepas kematian isterinya, dia langsung tak pernah buka pintu hatinya
untuk wanita lain. Dia besarkan Firdaus seorang diri.” Amin berkata dengan
bangga.
Siti
Solehah tunduk diam. Dia tenggelam dalam rasa kagum yang melimpah.
“Siti
ingat dalam novel dan drama saja ada kisah macam ni. Rupanya dalam hidup kita
sehari-hari pun ada,” kata Siti Solehah perlahan.
“Siti,
penulis novel dan skrip drama tu buat cerita berdasarkan apa yang berlaku dalam
masyarakat. Kalau ia tak berlaku dalam masyarakat kita, mungkin kepada
masyarakat di negara lain.”
Suasana
sepi seketika. Siti Solehah masih ditenggelami rasa kagumnya. Amin pula melayan
rasa bangganya terhadap Kamaruzaman.
“Dia
tu sangat baik, Siti. Beruntung kalau sesiapa yang jadi isterinya.”
“Mungkin
ada ramai yang nakkan dia. Yalah, dia bukan saja baik tetapi dia juga kaya. Bak
kata orang cukup pakej untuk kaum wanita tergila-gilakan dia,” balas Siti
Solehah.
“Kalau
dia nak. Masalahnya, dia yang tak nak. ALLAH belum buka pintu jodoh untuk dia.
Mana tahu satu hari dia bertemu seorang puteri raja. Mungkin cicit Puteri Hang
Li Po?”
Siti
Solehah ketawa mengekek. Kata-kata Amin itu amat mencuit hatinya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan