Khamis, 23 Jun 2016

PELAYARAN KASIH- BAB 29- ROHANI DERAMAN




B
andar Uda Utama, Johor Bharu, Johor. 
            Kamaruzaman sedang membaca akhbar sementara Siti Solehah menghidangkan minum petang untuknya.
“Jemput minum bang,” kata Siti Solehah.
            Kamaruzaman meletakkan akhbar dan merenung wajah Siti Solehah yang manis berbaju kurung kuning air. Lembut dan ayu. Rambutnya yang separas bahu dilepaskan mengerbang. Sungguh manis wajah Siti Solehah. Itu yang terdetik di hati Kamaruzaman. 
            “Kenapa Siti buat semua ni? Mana orang gaji kita?” tanya Kamaruzaman.
            “Ada di dapur bang. Apa salahnya Siti buat. Lagipun, inikan tugas seorang isteri,” balas Siti Solehah dengan senyuman.

            Hati Kamaruzaman berdebar. Dia tidak berani bertentang mata dengan Siti Solehah lagi. Kopi O yang dihidangkang dihirup dengan nikmat. Kemudian sekeping karipap diambil dan segera dimasukkan ke mulutnya. Dia mula mengunyah, perlahan dan menikmatinya dengan tenang. Dia teringat sesaorang. Kunyahannya terhenti.     
            “Kenapa bang?” tanya Siti Solehah dengan cuak.
            “Karipap ini... ” Kamaruzaman pula bertanya dengan wajah hairan. 
            Siti Solehah  tersenyum-senyum. Dia sengaja membuatkan Kamaruzaman rasa gelisah dan bertambah hairan.
            “Kenapa dengan karipap ini bang?” tanya Siti Solehah sengaja menduga.
            “Entahlah. Ia lain dari karipap biasa. Abang rasa macam pernah makan. Tapi di mana ya?”
            “Mungkin di rumah Kak Tina?”
            Kamaruzaman merenung Siti Solehah. Lama. Siti Solehah membalas renungan itu dengan senyuman.  
            “Siti belajar resepi ni dari Kak Tina. Dia yang beritahu abang sukakan karipap ayam dan kuih rendang kasturi. Apa salahnya Siti belajar apa yang abang suka, kan?” Siti Solehah masih tersenyum-senyum.
            Dengan perlahan Kamaruzaman angguk. Dia terharu. Kemudian bibirnya mula menguntum senyuman. Hatinya tiba-tiba berdenyut senang. Kartina dan Siti Solehah...

            “Terima kasih Siti,” kata Kamaruzaman. Dia terus mengunyah karipap itu dengan penuh selera. Bukan kerana karipap itu resepi dari Kartina, tetapi kerana ia buatan tangan isterinya. Sudah lama dia tidak merasai masakan seorang isteri.
            Siti Solehah melihat kunyahan Kamaruzaman dengan rasa sangat gembira. Ternyata benar kata-kata Kartina. Kamaruzaman memang sukakan karipap ayam. Tidak sia-sia dia belajar dari Kartina. Tidak sia-sia juga dia bersusah payah menguli doh dan memasak inti karipap itu. 
            “Siti, abang ada hal nak bincang dengan Siti,” kata Kamaruzaman selepas menghabiskan tiga biji karipap dan menghabiskan  kopi O yang masih berbaki di cawan.
            “Cakaplah. Hal apa bang?”
            “Dah sebulan kita kahwin Siti. Siti pun tahu tujuan utama abang berkahwin dengan Siti, kan?” Kamaruzaman merenung mata Siti Solehah yang bening.
            Siti Solehah tunduk. Dia tahu mata Kamaruzaman sedang merenungnya. Dan dia amat malu dengan  renungan itu.  Ada getaran halus di hatinya.
            “Siti, apa kata kalau Siti sambung belajar. Ada banyak institusi pengajian swasta sekarang. Siti pilih saja Siti  nak belajar di mana, abang akan uruskan. Macam mana?” tanya Kamaruzaman.
            “Siti rasa tak payahlah abang susah-susah, bang.”
            “Tapi kenapa? Siti lulus dengan cemerlang. Bukankah Siti bercita-cita untuk menjadi seorang doktor?  Kenapa mesti  nak lupakan cita-cita Siti tu?”
       "siti sekarang seorang isteri. Tugas seorang isteri adalah untuk menjaga dan melayan suaminya. Dan tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Biarlah Siti lupakan cita-cita Siti tu. Biarlah Siti terus di sisi abang,” jawab Siti Solehah. Dia jujur dan ikhlas.
            Hati Kamaruzaman tersentuh. Jiwanya ikut segar, bergetar.
            “Tapi, abang izinkan Siti belajar. Abang nak Siti berjaya dengan cita-cita Siti tu,” kata Kamaruzaman bersungguh-sungguh.   
            “Itu Siti tahu. Tapi Siti dah buat keputusan, bang. Siti akan tinggal di rumah ini dan menjadi seorang isteri abang sepenuh masa. Siti akan belajar untuk jadi isteri yang baik dan taat. Siti dah redha dengan takdir ini.  Siti dah tak nak fikirkan lagi pasal cita-cita Siti tu,” kata Siti Solehah, juga bersungguh-sungguh.
            Kamaruzaman membalas kata-kata Siti Solehah itu dengan anggukan perlahan. Dia memang kurang setuju dengan keputusan Siti Solehah itu. Namun, dalam hal ini dia juga tidak mampu memaksa.  
            “Baiklah kalau itu kata Siti. Tapi kalau nanti Siti ubah fikiran, bila-bila masa abang akan sokong keputusan Siti.” Kamaruzaman tersenyum.
            Entah kenapa sejak sebulan menjadi suami, dia rasa hidupnya menjadi begitu bermakna. Dia dapat menjadi imam kepada Siti Solehah setiap hari lima waktu. Setiap malam pula mereka dapat menunaikan solat tahajud  bersama.
            Semuanya menjadi indah. Segalanya menjadi mudah.
            Namun begitu, hubungan batin sebagai suami isteri yang masih belum terjalin mengikut yang sepatutnya. Kamaruzaman masih tidur di atas sebidang tilam kecil dan Siti Solehah di atas katil.

            Kamaruzaman sudah berjanji pada dirinya bahawa dia tidak akan mengganggu tidur Siti Solehah. Dia tidak akan memaksa Siti Solehah melayan dan menemaninya di tempat tidur jika isterinya itu tidak suka.
            “Abang, nak tambah airnya?” tanya Siti Solehah, dengan senyum hormat.
            “Cukuplah Siti. Abang dah kenyang,” jawab Kamaruzaman, membalas senyuman isterinya dengan senyuman juga. Tiba-tiba matanya menyapu wajah ayu Siti Solehah. Dan matanya bertembung dengan mata Siti Solehah.
            Hatinya berdebar. Ada denyut halus jauh di sudut nubarinya.
            Siti Solehah pula melarikan matanya. Dia tunduk malu.  
            Sedang mereka terpinga-pinga dengan rasa halus yang sedang merayap dalam hati masing-masing, telefon berdering.
            Kamaruzaman segera menjawab.
            “Abah, apa khabar?” Suara Muhayat menyentuh telinga Kamaruzaman.
            “Alhamdulillah. Hayat sihat? Abah dan ibu macam mana?”
            “Kami semua sihat abah. Hayat telefon abah ni sebab nak jemput abah dan mama ke Ipoh. Majlis pernikahan Hayat dan Syikin akan diadakan pada dua bulan lagi,” jawab Muhayat, mesra.
            “Alhamdulillah... akhirnya abah dapat menantu juga. Insya-ALLAH  kami akan datang.”
            “Jangan lupa Abang Fir dan keluarganya juga. Boleh abah beritahu mereka?”
            “Tak jadi masalah. Insya-ALLAH, kami semua akan ke sana. Terima kasih kerana Hayat sudi jemput abah. Abah...”
            “Abah, tolong lupakan hal yang lama. Kita dah janji nak mulakan hidup baru,” kata Muhayat memotong cakap Kamaruzaman.
            Kamaruzaman terdiam. Dia kesal dengan sikapnya. Dia masih terheret oleh rasa bersalahnya.
            “Hayat, kalau Hayat  ada masalah kewangan untuk membuat persiapan perkahwinan ini, Hayat beritahu abah. Abah akan tolong,” kata Kamaruzaman mengubah nada suara.
            “Insya-ALLAH, semuanya sudah selesai. Abah jangan fikirkan apa-apa. Abah hanya datang saja. Hayat dan keluarga di sini menunggu kedatangan abah.”
            Kata-kata Muhayat menyegarkan jiwa Kamaruzaman. Tiba-tiba dia rasa hidupnya lebih bahagia dan bermakna.
             

            SITI SOLEHAH duduk menopang dagu sambil matanya memerhati bunga-bunga yang berkembangan. Sungguh cantik halaman yang berwarna-warni itu. Tidak jemu mata memandang. Tidak resah juga jiwa merasa. Sungguh indah ciptaan ALLAH.
            Kak Aini, pembantu rumah datang menghantarkan minuman.  Siti Solehah menoleh. Matanya bertembung dengan mata Kak Aini yang setia itu.
            “Tuan haji ada telefon tak kak?” tanya Siti Solehah.
            “Tak ada cik puan,” jawab Kak Aini, sopan.

            “Kak, panggil saya Siti. Saya tak selesa dipanggil cik puan macam ni.” Siti Solehah menarik tangan Kak Aini. Matanya merenung mata Kak Aini dengan penuh harap.
            “Baiklah Siti. Tapi...”
            “Jangan ada tapinya lagi kak. Tolonglah. Saya nak kita mesra sebagai adik beradik. Bukan sebagai majikan dan pekerja.” Siti Solehah memotong cakap Kak Aini.
            Akhirnya dengan senyuman senang, Kak Aini mengangguk perlahan sebelum berlalu masuk ke dalam.
            Siti Solehah meneguk minuman yang dibawa Kak Aini. Tekaknya yang kering mula rasa basah dan selesa. Dia kembali menopang dagu. Dia kembali merenung kuntuman bunga yang kembang segar. Lama. Tiba-tiba dia mengeluh perlahan. ‘Kenapa aku gelisah dan risau ni? Baru dua hari dia pergi. Aku hidup macam orang tak betul. Apakah aku ni dah jatuh cinta dan jatuh kasih pada dia? Kata orang kalau kita jatuh cinta, kita akan dilanda rasa rindu.’
            Ingatan itu muncul. Sangat manis dan mendebarkan hati seorang gadis. Kemudian menjadi kenangan indah untuk  seorang isteri. 
            Malam itu, Kamaruzaman berbaring atas tilam kecil lebih awal dari biasa.
            “Abang nak tidur dulu, Siti. Abang rasa penat sangat,” katanya selepas selesai solat isyak.
            Siti Solehah tahu suaminya keletihan kerana membersihkan halaman siang tadi.
            “Lebih baik abang makan ubat dulu. Nanti kalau abang tertidur lena, Siti tak sampai hati nak kejutkan,” kata Siti Solehah pula.
            Tanpa membantah, Kamaruzaman bangun dan segera makan semua ubat yang menjadi makanan hariannya sejak jantungnya bermasalah. Tidak lama, dia segera berbaring. Sebentar saja, dengkuran kecil mula kedengaran.
            Malam itu juga, Siti Solehah rasa terlalu panjang dan jam berdetik sangat lambat. Dia tidak dapat melelapkan matanya. Dia berpusing ke kiri dan ke kanan dengan penuh gelisah. Entah kenapa. Walhal dia tidur di atas tilam yang empuk. Hiasan bilik juga sangat cantik. Tidak pernah dia termimpi untuk tidur di dalam bilik yang begitu cantik dan kemas.
            Dia berpaling merenung ke arah Kamaruzaman di atas tilam kecil di bawah. Sejak menjadi isteri, dia belum pernah menjadi ‘isteri’ yang sebenar kepada seorang suami. Lelaki itu sangat menghormati dia sebagai isteri dan sangat teguh pada janjinya.
            Entah kenapa hati Siti Solehah rasa bersalah. Dia bangun dan mendekati Kamaruzaman. Dengan perlahan, dia tidur di belakang suaminya dan menarik selimut dengan perlahan. Mereka berada dalam satu selimut walaupun tidak bersentuhan!
            Hatinya sangat takut dan berdebar. Hampir sejam, dia masih terkebil-kebil.
            Tidak lama, tiba-tiba Kamaruzaman berpusing ke arahnya. Tanpa sengaja tangan suaminya itu terjatuh ke atas tubuhnya. Hati Siti Solehah semakin berdebar kencang. Seluruh tubuhnya terasa dingin kesejukan.
            Dengan gugup dan gementar, Siti Solehah menarik tangan Kamaruzaman dan dengan perlahan dia mengucupnya berkali-kali.  Penuh kasih sayang seorang isteri.
            Kucupan itu membuatkan Kamaruzaman terjaga.
            “Siti, tak tidur lagi?” tanya Kamaruzaman sambil matanya terpisat-pisat.
            “Belum. Siti tak lena tidur,” jawab Siti Solehah dengan jujur.
            Kamaruzaman keliru. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Pada wajahnya tergambar rasa  hairan. Macam mana Siti Solehah begitu berani tidur setilam dengannya?
            Siti Solehah perasan kehairanan yang ada di hati Kamaruzaman. Dia mula rasa malu. Dengan perlahan dia bangun dan kembali ke katil. Selepas memaksa mata, akhirnya dia terlelap juga.
            Hampir dinihari. Hujan turun dengan lebatnya. Guruh pula berdentam-dentum. Siti Solehah langsung tidak sedar. Tidurnya sangat nyenyak. Lenanya sangat panjang.
            Tiba-tiba Kamaruzaman terjaga dan segera bangun. Dia menoleh ke arah Siti Solehah yang kesejukan. Lalu dia mengambil selimut dan menyelimutkannya. Dia merenung wajah isterinya dan mengucup dahi Siti Solehah dengan penuh kasih sayang.
            Pada masa itu, Siti Solehah terjaga. Namun dia tidak membuka matanya, sengaja menanti apa yang akan dilakukan oleh Kamaruzaman kepadanya.
            “Tidurlah isteriku. Bermimpilah yang indah-indah,” bisik Kamaruzaman semasa tunduk untuk mengucup dahi Siti Solehah sekali lagi.
            Kamaruzaman berpusing untuk kembali ke tempat tidurnya.
            “Abang...” panggil Siti Solehah dengan suara yang sedikit bergetar.
            Kamaruzaman menoleh.
            “Ada apa Siti?”
            “B... Boleh tak abang tidur di sini malam ni.”
            “Tapi?” Wajah Kamaruzaman berubah keliru. Siti Solehah memang isterinya. Namun, dia tidak mahu menjadi suami yang zalim dan mendera perasaan Siti Solehah.
            “Maafkan Siti. Siti dah berdosa dengan abang selama ini. Siti juga berdosa dengan Allah. Siti isteri derhaka, bang,” kata Siti Solehah, perlahan dan menahan getar hati. Tanpa diduga, air matanya mengalir dan dia teresak-esak.
            Esakannya itu menggamit simpati Kamaruzaman. Dengan cepat dia mendekat dan memeluk Siti Solehah.
            “Siti jangan fikir macam tu. Abang redha dengan keadaan kita. Allah juga tahu apa yang ada dalam hati kita. Siti bukan isteri derhaka. Jangan sekali-kali ingat macam tu,” kata Kamaruzaman sambil membelai anak-anak rambut yang berjuntaian di dahi Siti Solehah.
            Siti Solehah menarik tangan Kamaruzaman dan menciumnya. “Maafkan Siti bang.”
            “Yalah. Abang maafkan Siti. Tidurlah,” balas Kamaruzaman.
            “Abang baringlah di sini.”
            “Bolehkah?” tanya Kamaruzaman dengan ragu-ragu.
            Siti Solehah tersipu malu. Gugup jiwanya ketika Kamaruzaman bertanyakan soalan itu. Betulkah apa yang dia buat? Mengajak suami tidur bersamanya? Tidakkah ia seperti perigi mencari timba?
            Kamaruzaman segera mendekat. Dia tahu Siti Solehah sedang dilanda keliru. Dia rasa belas melihat wajah Siti Solehah yang polos itu.

            “Siti, terima kasih kerana memberi abang peluang tidur di sebelah Siti,” kata Kamaruzaman sambil berbaring di sebelah Siti Solehah. Ternyata dia juga gugup. Walaupun sudah hampir setahun hidup serumah sebagai suami isteri tetapi mereka masih belum sekatil!
            Guruh di langit mula reda. Yang ada hanya guruh di hati Siti Solehah dan Kamaruzaman. Siti Solehah adalah isteri yang masih suci dan sangat tulus.  Kamaruzaman pula adalah suami yang sudah lama tidur bersendirian.
            Dengan perlahan dan penuh hati-hati, Kamaruzaman menarik tangan Siti Solehah dan meletakkan di atas dadanya. Sebuah benteng yang ada membatasi mereka perlu dipecahkan. Namun semuanya menjadi mudah dengan izin Allah. Perkara yang halal tidaklah terlalu payah untuk dilakukan oleh hati-hati yang dikawal iman.     
            Keesokan paginya, Siti Solehah keluar dari bilik air dengan rambut yang basah.
            Kamaruzaman menjeling seketika ke arah isterinya. Ketika mata mereka bertembung, Siti Solehah melarikan matanya dengan malu. Pagi itu, solat mereka menjadi begitu kusyuk dan tenang dari hari-hari sebelumnya.
            Solat subuh usai. Doa juga sudah dibacakan dengan syahdu dan diaminkan dengan kusyuk. Siti Solehah duduk bersimpuh penuh hormat dan mengucup tangan Kamaruzaman.
            “Maafkan segala kesalahan Siti selama ini. Bimbinglah Siti menjadi isteri yang baik dan solehah,” kata Siti Solehah.
            “Sama-sama kita memohon keredaan Allah. Sama pula kita saling tegur menegur. Abang pun bukannya sempurna sangat,” balas Kamaruzaman sambil mengucup dahi Siti Solehah.
                Dalam hati mereka, mula mengalir sebuah rasa.
            “Terima kasih kerana Siti sudi jadi isteri abang dan hidup dengan abang yang tua ni,” kata Kamaruzaman.
            “Abang, janganlah cakap macam tu. Siti minta maaf kerana selama ini tidak menjadi isteri yang baik dan sempurna kepada abang. Mulai hari ini Siti akan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik-baiknya. Berilah tunjuk ajar abang kepada Siti,” balas Siti Solehah pula.
            “Apakah Siti lakukan semua ni kerana terpaksa?” duga Kamaruzaman.
            Siti Solehah tidak terus menjawab. Sebaliknya dia tunduk menguis-nguis hujung sejadah. Dia sendiri masih keliru dengan perasaannya. Untuk pertama kali, dia rasa ada aliran rasa yang sangat aneh dalam dirinya. Dia tidak pernah jatuh cinta. Tidak pernah ada teman lelaki.
            “Abang tak nak paksa Siti. Kasih sayang tak boleh dipaksa-paksa.”
            “Tidak bang. Siti sayang abang dengan ikhlas. Siti janji akan terus kasihkan abang sampai mati.”
            Kamaruzaman menarik tangan Siti Solehah. Dengan penuh kasih sayang, dia mengucup tangan itu. Kemudian dia meletakkan tangan Siti Solehah ke dadanya.
            “Selagi jantung abang ni masih berdenyut, abang akan sayang Siti. Abang janji akan jaga Siti dengan baik seperti abang menjaga nyawa abang,” bisik Kamaruzaman dengan nada sebak.           
            Siti Solehah rasa sangat terharu mendengar pengakuan itu. Air matanya menitik. Benarkah dia sedang jatuh cinta?
 

            “Siti, sudahlah. Jangan menangis. Abang maafkan Siti dan Siti juga kena maafkan abang kalau selama menjadi suami isteri, abang ada buat salah dan mengguris perasaan Siti,” pujuk Kamaruzaman. Air mata Siti Solehah diusap lembut.
            “Maknanya  abang tak perlu tidur di bawah lagi?” tanya Kamaruzaman, merenung mata Siti Solehah yang masih basah.
            Siti Solehah mencubit paha suaminya dengan malu-malu. Dia tersenyum-senyum.
            “Siti, kenapa senyum-senyum ni?” tegur Kak Aini di hadapan Siti Solehah. Semua ingatan manis itu hilang. Dia mendongak dan matanya bertembung dengan mata Kak Aini.
            “Ni, pak haji baru telefon. Dia akan balik esok. Hari ni dia tak sempat balik,” kata Kak Aini, ikut  tersenyum.
            Siti Solehah angguk perlahan. Hatinya mula rasa hampa. Kerinduannya memuncak. Dia bangun dan berjalan masuk ke dalam dengan langkah longlai. Maknanya malam itu dia kena tidur bersendirian. Dia terpaksa menjalin rindu dalam mimpi seorang isteri.
            ‘Tak apalah. Hendaknya dia selamat di sana.’ Itu yang dibisikkan kepada hatinya yang gundah gulana itu.  
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan