B
|
andar Uda Utama, Johor Bharu, Johor.
Kamaruzaman
sedang membaca akhbar sementara Siti Solehah menghidangkan minum petang
untuknya.
“Jemput minum bang,” kata Siti Solehah.
Kamaruzaman
meletakkan akhbar dan merenung wajah Siti Solehah yang manis berbaju kurung kuning
air. Lembut dan ayu. Rambutnya yang separas bahu dilepaskan mengerbang. Sungguh
manis wajah Siti Solehah. Itu yang terdetik di hati Kamaruzaman.
“Kenapa
Siti buat semua ni? Mana orang gaji kita?” tanya Kamaruzaman.
“Ada
di dapur bang. Apa salahnya Siti buat. Lagipun, inikan tugas seorang isteri,”
balas Siti Solehah dengan senyuman.
Hati
Kamaruzaman berdebar. Dia tidak berani bertentang mata dengan Siti Solehah
lagi. Kopi O yang dihidangkang dihirup dengan nikmat. Kemudian sekeping karipap
diambil dan segera dimasukkan ke mulutnya. Dia mula mengunyah, perlahan dan
menikmatinya dengan tenang. Dia teringat sesaorang. Kunyahannya terhenti.
“Kenapa
bang?” tanya Siti Solehah dengan cuak.
“Karipap
ini... ” Kamaruzaman pula bertanya dengan wajah hairan.
Siti
Solehah tersenyum-senyum. Dia sengaja
membuatkan Kamaruzaman rasa gelisah dan bertambah hairan.
“Kenapa
dengan karipap ini bang?” tanya Siti Solehah sengaja menduga.
“Entahlah. Ia lain
dari karipap biasa. Abang rasa macam pernah makan. Tapi di mana ya?”
“Mungkin
di rumah Kak Tina?”
Kamaruzaman
merenung Siti Solehah. Lama. Siti Solehah membalas renungan itu dengan senyuman.
“Siti
belajar resepi ni dari Kak Tina. Dia yang beritahu abang sukakan karipap ayam
dan kuih rendang kasturi. Apa salahnya Siti belajar apa yang abang suka, kan?”
Siti Solehah masih tersenyum-senyum.
Dengan
perlahan Kamaruzaman angguk. Dia terharu. Kemudian bibirnya mula menguntum
senyuman. Hatinya tiba-tiba berdenyut senang. Kartina dan Siti Solehah...
“Terima
kasih Siti,” kata Kamaruzaman. Dia terus mengunyah karipap itu dengan penuh
selera. Bukan kerana karipap itu resepi dari Kartina, tetapi kerana ia buatan
tangan isterinya. Sudah lama dia tidak merasai masakan seorang isteri.
Siti
Solehah melihat kunyahan Kamaruzaman dengan rasa sangat gembira. Ternyata benar
kata-kata Kartina. Kamaruzaman memang sukakan karipap ayam. Tidak sia-sia dia
belajar dari Kartina. Tidak sia-sia juga dia bersusah payah menguli doh dan
memasak inti karipap itu.
“Siti,
abang ada hal nak bincang dengan Siti,” kata Kamaruzaman selepas menghabiskan
tiga biji karipap dan menghabiskan kopi O
yang masih berbaki di cawan.
“Cakaplah. Hal apa bang?”
“Dah sebulan kita
kahwin Siti. Siti pun tahu tujuan utama abang berkahwin dengan Siti,
kan?” Kamaruzaman merenung mata Siti Solehah yang bening.
Siti
Solehah tunduk. Dia tahu mata Kamaruzaman sedang merenungnya. Dan dia amat malu
dengan renungan itu. Ada getaran halus di hatinya.
“Siti, apa kata
kalau Siti sambung belajar. Ada banyak institusi pengajian swasta sekarang. Siti
pilih saja Siti nak belajar di mana, abang
akan uruskan. Macam mana?” tanya Kamaruzaman.
“Siti
rasa tak payahlah abang susah-susah, bang.”
“Tapi
kenapa? Siti lulus dengan cemerlang. Bukankah Siti bercita-cita untuk menjadi
seorang doktor? Kenapa mesti nak lupakan cita-cita Siti tu?”
"siti
sekarang seorang isteri. Tugas seorang isteri adalah untuk menjaga dan melayan
suaminya. Dan tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Biarlah Siti lupakan
cita-cita Siti tu. Biarlah Siti terus di sisi abang,” jawab Siti Solehah. Dia
jujur dan ikhlas.
Hati
Kamaruzaman tersentuh. Jiwanya ikut segar, bergetar.
“Tapi,
abang izinkan Siti belajar. Abang nak Siti berjaya dengan cita-cita Siti tu,”
kata Kamaruzaman bersungguh-sungguh.
“Itu
Siti tahu. Tapi Siti dah buat keputusan, bang. Siti akan tinggal di rumah ini
dan menjadi seorang isteri abang sepenuh masa. Siti akan belajar untuk jadi
isteri yang baik dan taat. Siti dah redha dengan takdir ini. Siti dah tak nak fikirkan lagi pasal cita-cita
Siti tu,” kata Siti Solehah, juga bersungguh-sungguh.
Kamaruzaman
membalas kata-kata Siti Solehah itu dengan anggukan perlahan. Dia memang kurang
setuju dengan keputusan Siti Solehah itu. Namun, dalam hal ini dia juga tidak
mampu memaksa.
“Baiklah
kalau itu kata Siti. Tapi kalau nanti Siti ubah fikiran, bila-bila masa abang
akan sokong keputusan Siti.” Kamaruzaman tersenyum.
Entah
kenapa sejak sebulan menjadi suami, dia rasa hidupnya menjadi begitu bermakna. Dia dapat menjadi
imam kepada Siti Solehah setiap hari lima waktu. Setiap malam pula mereka dapat
menunaikan solat tahajud bersama.
Semuanya
menjadi indah. Segalanya menjadi mudah.
Namun
begitu, hubungan batin sebagai suami isteri yang masih belum terjalin mengikut
yang sepatutnya. Kamaruzaman masih tidur di atas sebidang tilam kecil dan Siti
Solehah di atas katil.
Kamaruzaman
sudah berjanji pada dirinya bahawa dia tidak akan mengganggu tidur Siti
Solehah. Dia tidak akan memaksa Siti Solehah melayan dan menemaninya di tempat
tidur jika isterinya itu tidak suka.
“Abang,
nak tambah airnya?” tanya Siti Solehah, dengan senyum hormat.
“Cukuplah
Siti. Abang dah kenyang,” jawab Kamaruzaman, membalas senyuman isterinya dengan
senyuman juga. Tiba-tiba matanya menyapu wajah ayu Siti Solehah. Dan
matanya bertembung dengan mata Siti Solehah.
Hatinya
berdebar. Ada denyut halus jauh di sudut nubarinya.
Siti
Solehah pula melarikan matanya. Dia tunduk malu.
Sedang
mereka terpinga-pinga dengan rasa halus yang sedang merayap dalam hati
masing-masing, telefon berdering.
Kamaruzaman
segera menjawab.
“Abah,
apa khabar?” Suara Muhayat menyentuh telinga Kamaruzaman.
“Alhamdulillah.
Hayat sihat? Abah dan ibu macam mana?”
“Kami
semua sihat abah. Hayat telefon abah ni sebab nak jemput abah dan mama ke Ipoh.
Majlis pernikahan Hayat dan Syikin akan diadakan pada dua bulan lagi,” jawab
Muhayat, mesra.
“Alhamdulillah...
akhirnya abah dapat menantu juga. Insya-ALLAH kami akan datang.”
“Jangan
lupa Abang Fir dan keluarganya juga. Boleh abah beritahu mereka?”
“Tak
jadi masalah. Insya-ALLAH, kami semua akan ke sana. Terima kasih kerana Hayat
sudi jemput abah. Abah...”
“Abah,
tolong lupakan hal yang lama. Kita dah janji nak mulakan hidup baru,” kata Muhayat
memotong cakap Kamaruzaman.
Kamaruzaman terdiam.
Dia kesal dengan sikapnya. Dia masih terheret oleh rasa bersalahnya.
“Hayat,
kalau Hayat ada masalah kewangan untuk
membuat persiapan perkahwinan ini, Hayat beritahu abah. Abah akan tolong,” kata
Kamaruzaman mengubah nada suara.
“Insya-ALLAH,
semuanya sudah selesai. Abah jangan fikirkan apa-apa. Abah hanya
datang saja. Hayat dan keluarga di sini menunggu kedatangan abah.”
Kata-kata Muhayat
menyegarkan jiwa Kamaruzaman. Tiba-tiba dia rasa hidupnya lebih bahagia dan
bermakna.
SITI
SOLEHAH duduk menopang dagu sambil matanya memerhati bunga-bunga yang
berkembangan. Sungguh cantik halaman yang berwarna-warni itu. Tidak jemu mata
memandang. Tidak resah juga jiwa merasa. Sungguh indah ciptaan ALLAH.
Kak
Aini, pembantu rumah datang menghantarkan minuman. Siti Solehah menoleh. Matanya bertembung
dengan mata Kak Aini yang setia itu.
“Tuan
haji ada telefon tak kak?” tanya Siti Solehah.
“Tak
ada cik puan,” jawab Kak Aini, sopan.
“Kak,
panggil saya Siti. Saya tak selesa dipanggil cik puan macam ni.” Siti Solehah
menarik tangan Kak Aini. Matanya merenung mata Kak Aini dengan penuh harap.
“Baiklah
Siti. Tapi...”
“Jangan
ada tapinya lagi kak. Tolonglah. Saya nak kita mesra sebagai adik beradik.
Bukan sebagai majikan dan pekerja.” Siti Solehah memotong cakap Kak Aini.
Akhirnya
dengan senyuman senang, Kak Aini mengangguk perlahan sebelum berlalu masuk ke dalam.
Siti Solehah meneguk minuman yang
dibawa Kak Aini. Tekaknya yang kering mula rasa basah dan selesa. Dia kembali
menopang dagu. Dia kembali merenung kuntuman bunga yang kembang segar. Lama.
Tiba-tiba dia mengeluh perlahan. ‘Kenapa aku gelisah dan risau ni? Baru dua hari dia
pergi. Aku hidup macam orang tak betul. Apakah aku ni dah jatuh cinta dan jatuh
kasih pada dia? Kata orang kalau kita jatuh cinta, kita akan dilanda rasa rindu.’
Ingatan
itu muncul. Sangat manis dan mendebarkan hati seorang gadis. Kemudian menjadi
kenangan indah untuk seorang
isteri.
Malam
itu, Kamaruzaman berbaring atas tilam kecil lebih awal dari biasa.
“Abang nak tidur
dulu, Siti. Abang rasa penat sangat,” katanya selepas selesai solat isyak.
Siti
Solehah tahu suaminya keletihan kerana membersihkan halaman siang tadi.
“Lebih baik abang makan ubat dulu. Nanti
kalau abang tertidur lena, Siti tak sampai hati nak kejutkan,” kata Siti
Solehah pula.
Tanpa membantah,
Kamaruzaman bangun dan segera makan semua ubat yang menjadi makanan hariannya
sejak jantungnya bermasalah. Tidak lama, dia segera berbaring. Sebentar
saja, dengkuran kecil mula kedengaran.
Malam
itu juga, Siti Solehah rasa terlalu panjang dan jam berdetik sangat lambat. Dia
tidak dapat melelapkan matanya. Dia berpusing ke kiri dan ke kanan dengan
penuh gelisah. Entah kenapa. Walhal dia tidur di atas tilam yang empuk.
Hiasan bilik juga sangat cantik. Tidak pernah dia termimpi untuk tidur di dalam
bilik yang begitu cantik dan kemas.
Dia
berpaling merenung ke arah Kamaruzaman di atas tilam kecil di bawah. Sejak
menjadi isteri, dia belum pernah menjadi ‘isteri’ yang sebenar kepada seorang
suami. Lelaki itu sangat menghormati dia sebagai isteri dan sangat teguh pada
janjinya.
Entah
kenapa hati Siti Solehah rasa bersalah. Dia bangun dan mendekati Kamaruzaman. Dengan perlahan, dia
tidur di belakang suaminya dan menarik selimut dengan perlahan. Mereka berada
dalam satu selimut walaupun tidak bersentuhan!
Hatinya
sangat takut dan berdebar. Hampir sejam, dia masih terkebil-kebil.
Tidak
lama, tiba-tiba Kamaruzaman berpusing ke arahnya. Tanpa sengaja tangan suaminya
itu terjatuh ke atas tubuhnya. Hati Siti Solehah semakin berdebar kencang. Seluruh
tubuhnya terasa dingin kesejukan.
Dengan gugup dan
gementar, Siti Solehah menarik tangan Kamaruzaman dan dengan perlahan dia mengucupnya
berkali-kali. Penuh kasih sayang seorang
isteri.
Kucupan
itu membuatkan Kamaruzaman terjaga.
“Siti,
tak tidur lagi?” tanya Kamaruzaman sambil matanya terpisat-pisat.
“Belum.
Siti tak lena tidur,” jawab Siti Solehah dengan jujur.
Kamaruzaman
keliru. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Pada wajahnya
tergambar rasa hairan. Macam mana Siti
Solehah begitu berani tidur setilam dengannya?
Siti Solehah perasan
kehairanan yang ada di hati Kamaruzaman. Dia mula rasa malu. Dengan perlahan
dia bangun dan kembali ke katil. Selepas memaksa mata, akhirnya dia terlelap
juga.
Hampir
dinihari. Hujan turun dengan lebatnya. Guruh pula berdentam-dentum. Siti
Solehah langsung tidak sedar. Tidurnya sangat nyenyak. Lenanya sangat panjang.
Tiba-tiba
Kamaruzaman terjaga dan segera bangun. Dia menoleh ke arah Siti Solehah yang
kesejukan. Lalu dia mengambil selimut dan menyelimutkannya. Dia merenung wajah
isterinya dan mengucup dahi Siti Solehah dengan penuh kasih sayang.
Pada
masa itu, Siti Solehah terjaga. Namun dia tidak membuka matanya, sengaja menanti
apa yang akan dilakukan oleh Kamaruzaman kepadanya.
“Tidurlah
isteriku. Bermimpilah yang indah-indah,” bisik Kamaruzaman semasa tunduk untuk
mengucup dahi Siti Solehah sekali lagi.
Kamaruzaman berpusing untuk kembali ke
tempat tidurnya.
“Abang...” panggil
Siti Solehah dengan suara yang sedikit bergetar.
Kamaruzaman
menoleh.
“Ada apa Siti?”
“B... Boleh tak
abang tidur di sini malam ni.”
“Tapi?” Wajah
Kamaruzaman berubah keliru. Siti Solehah memang isterinya. Namun, dia tidak
mahu menjadi suami yang zalim dan mendera perasaan Siti Solehah.
“Maafkan Siti. Siti
dah berdosa dengan abang selama ini. Siti juga berdosa dengan Allah. Siti
isteri derhaka, bang,” kata Siti Solehah, perlahan dan menahan getar hati.
Tanpa diduga, air matanya mengalir dan dia teresak-esak.
Esakannya
itu menggamit simpati Kamaruzaman. Dengan cepat dia mendekat dan memeluk Siti
Solehah.
“Siti
jangan fikir macam tu. Abang redha dengan keadaan kita. Allah juga tahu apa
yang ada dalam hati kita. Siti bukan isteri derhaka. Jangan sekali-kali ingat
macam tu,” kata Kamaruzaman sambil membelai anak-anak rambut yang berjuntaian
di dahi Siti Solehah.
Siti
Solehah menarik tangan Kamaruzaman dan menciumnya. “Maafkan Siti bang.”
“Yalah. Abang
maafkan Siti. Tidurlah,” balas Kamaruzaman.
“Abang baringlah
di sini.”
“Bolehkah?” tanya
Kamaruzaman dengan ragu-ragu.
Siti Solehah
tersipu malu. Gugup jiwanya ketika Kamaruzaman bertanyakan soalan itu. Betulkah
apa yang dia buat? Mengajak suami tidur bersamanya? Tidakkah ia seperti perigi
mencari timba?
Kamaruzaman segera
mendekat. Dia tahu Siti Solehah sedang dilanda keliru. Dia rasa belas
melihat wajah Siti Solehah yang polos itu.
“Siti,
terima kasih kerana memberi abang peluang tidur di sebelah Siti,” kata Kamaruzaman
sambil berbaring di sebelah Siti Solehah. Ternyata dia juga gugup. Walaupun
sudah hampir setahun hidup serumah sebagai suami isteri tetapi mereka masih
belum sekatil!
Guruh di langit mula
reda. Yang ada hanya guruh di hati Siti Solehah dan Kamaruzaman. Siti Solehah
adalah isteri yang masih suci dan sangat tulus. Kamaruzaman pula adalah suami yang sudah lama
tidur bersendirian.
Dengan perlahan dan
penuh hati-hati, Kamaruzaman menarik tangan Siti Solehah dan meletakkan di atas
dadanya. Sebuah benteng yang ada membatasi mereka perlu dipecahkan. Namun
semuanya menjadi mudah dengan izin Allah. Perkara yang halal tidaklah terlalu
payah untuk dilakukan oleh hati-hati yang dikawal iman.
Keesokan paginya,
Siti Solehah keluar dari bilik air dengan rambut yang basah.
Kamaruzaman menjeling seketika ke arah
isterinya. Ketika mata mereka bertembung, Siti Solehah melarikan matanya dengan
malu. Pagi itu, solat mereka menjadi begitu kusyuk dan tenang dari hari-hari
sebelumnya.
Solat subuh usai.
Doa juga sudah dibacakan dengan syahdu dan diaminkan dengan kusyuk. Siti
Solehah duduk bersimpuh penuh hormat dan mengucup tangan Kamaruzaman.
“Maafkan
segala kesalahan Siti selama ini. Bimbinglah Siti menjadi isteri yang baik dan
solehah,” kata Siti Solehah.
“Sama-sama
kita memohon keredaan Allah. Sama pula kita saling tegur menegur. Abang pun bukannya
sempurna sangat,” balas Kamaruzaman sambil mengucup dahi Siti Solehah.
Dalam hati mereka,
mula mengalir sebuah rasa.
“Terima kasih kerana
Siti sudi jadi isteri abang dan hidup dengan abang yang tua ni,” kata Kamaruzaman.
“Abang,
janganlah cakap macam tu. Siti minta maaf kerana selama ini tidak menjadi
isteri yang baik dan sempurna kepada abang. Mulai hari ini Siti akan
menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik-baiknya. Berilah tunjuk
ajar abang kepada Siti,” balas Siti Solehah pula.
“Apakah
Siti lakukan semua ni kerana terpaksa?” duga Kamaruzaman.
Siti
Solehah tidak terus menjawab. Sebaliknya dia tunduk menguis-nguis hujung
sejadah. Dia sendiri masih keliru dengan perasaannya. Untuk
pertama kali, dia rasa ada aliran rasa yang sangat aneh dalam dirinya. Dia
tidak pernah jatuh cinta. Tidak pernah ada teman lelaki.
“Abang tak nak paksa Siti. Kasih sayang
tak boleh dipaksa-paksa.”
“Tidak bang. Siti sayang
abang dengan ikhlas. Siti janji akan terus kasihkan abang sampai mati.”
Kamaruzaman menarik
tangan Siti Solehah. Dengan penuh kasih sayang, dia mengucup tangan itu.
Kemudian dia meletakkan tangan Siti Solehah ke dadanya.
“Selagi jantung abang ni masih berdenyut,
abang akan sayang Siti. Abang janji akan jaga Siti dengan baik seperti abang
menjaga nyawa abang,” bisik Kamaruzaman dengan nada sebak.
Siti Solehah rasa
sangat terharu mendengar pengakuan itu. Air matanya menitik. Benarkah dia
sedang jatuh cinta?
“Siti, sudahlah.
Jangan menangis. Abang maafkan Siti dan Siti juga kena maafkan abang kalau
selama menjadi suami isteri, abang ada buat salah dan mengguris perasaan Siti,”
pujuk Kamaruzaman. Air mata Siti Solehah diusap lembut.
“Maknanya abang tak perlu tidur di bawah lagi?” tanya
Kamaruzaman, merenung mata Siti Solehah yang masih basah.
Siti Solehah
mencubit paha suaminya dengan malu-malu. Dia tersenyum-senyum.
“Siti,
kenapa senyum-senyum ni?” tegur Kak Aini di hadapan Siti Solehah. Semua ingatan
manis itu hilang. Dia mendongak dan matanya bertembung dengan mata Kak Aini.
“Ni,
pak haji baru telefon. Dia akan balik esok. Hari ni dia tak sempat balik,” kata
Kak Aini, ikut tersenyum.
Siti
Solehah angguk perlahan. Hatinya mula rasa hampa. Kerinduannya memuncak. Dia
bangun dan berjalan masuk ke dalam dengan langkah longlai. Maknanya malam itu
dia kena tidur bersendirian. Dia terpaksa menjalin rindu dalam mimpi
seorang isteri.
‘Tak
apalah. Hendaknya dia selamat di sana.’ Itu yang dibisikkan kepada hatinya yang
gundah gulana itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan