Ahad, 17 Julai 2016

ADUH, PENING!- BAB 48



IKMAL memandang wajah Amran, kawan lama yang sudah sekian lama tidak bertemu. Habis saja belajar, mereka membawa diri masing-masing, mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan mereka. Setelah sekian lama, akhirnya bertemu kembali dalam situasi yang berbeza, sudah berkeluarga dan punya kehidupan tersendiri.
            “Kau kenal isteri aku rupa-rupanya?” Pertanyaan yang ingin sangat ditanya sejak dia melihat gambar Amran dan Aleeya.
            “Isteri yang mana? Bekas atau masih isteri?” soal Amran kembali. Dia tersenyum nipis. Terasa kelakar dengan pertanyaan kawannya itu.
            “Aleeya!” Nama itu meluncur keluar daripada mulut Ikmal.
            “Dia kawan lama aku, kami sekampung. Kehidupan aku susah waktu tu, keluarga Aleeya banyak membantu. Emak aku bekerja di rumah keluarga Aleeya, ayah aku pula bekerja kampung. Setelah dapat tanah rancangan, kami berpindah keluar dari kampung itu. Sejak itu, aku dan Aleeya terputus hubungan. Bila aku dan keluarga aku pulang ke kampung semula, keluarga Aleeya tak lagi tinggal di sana sebab ayahnya bertukar tempat kerja di bandar. Kami terus terpisah sehinggalah kami bertembung semula. Itu pun puas bertekak dulu,” cerita Amran.
            Ikmal mendengar dengan tekun.
            “Kau masih berhubung dengan isteri aku?” Ikmal mengerut dahi, rasa cemburu dengan lelaki yang sudah pun bergelar duda itu. Manalah tahu mereka pernah bercinta.
            “Kebetulan aku cari Nadia, bertembung dengan Aleeya di kolej tempat Nadia mengajar. Macam orang marah, aku ajak dia minum. Manalah tahu mungkin boleh berkongsi masalah dengan aku. Aku tak tahu dia isteri kau. Maaflah!” sambung Amran.
            “Tak apa… maaf kau aku terima. Rumah tangga aku hancur dengan Nadia, lantaran sikap cemburu buta dia. Aleeya pula isteri yang baik dan penyabar. Kadang-kadang meroyan juga, tapi aku tak salahkan dia.” Ikmal tersenyum sendiri. Pening juga kehidupannya. Ada isteri, minta cerai, bila sudah bercerai minta rujuk semula, sedangkan dia sudah pun beristeri semula.
            “Nadia tekad nak berbalik dengan kau, dia tak mahu berkongsi dengan Aleeya. Susah juga ya?” Amran tersenyum pula.
            “Memanglah susah! Masalah betul! Anak-anak pula macam menggesa kami berbaik semula, biarpun aku dah terangkan sebabnya. Sakit kepala  aku ni,” luah Ikmal.
            “Kau kahwin aje dengan Nadia, Ikmal… habis cerita,” suruh Amran. Kata-kata Nadia terkesan juga di hatinya.
            “Aku tak sanggup, Amran. Aku tak layak berpoligami, takut tak mampu berlaku adil. Aku tak nak jalan menyenget di akhirat! Elok-elok minta syurga, terus dapat neraka sebab tak berlaku adil terhadap isteri-isteri dan anak-anak aku,” ujar Ikmal. Ingat senang agaknya jadi ketua keluarga untuk dua buah keluarga? Yang satu pun belum tentu berjaya, inikan dua.
            “Ada juga lelaki yang tak berani ya?” Amran ketawa.
            “Ada, kalau tak dalam dunia ni penuh dengan lelaki yang berkahwin lebih daripada satu,” pecah gelak Ikmal.
            Sebut pasal poligami, lelakilah yang paling suka bercerita. Untunglah lelaki yang mampu berkahwin lebih daripada satu. Bukanlah malang lelaki yang berkahwin hanya seorang. Yang mampu berlaku adil, bahagialah rumah tangga. Yang mendapat restu isteri-isteri yang lain, berbunga bahagialah. Yang terpaksa main sembunyi-sembunyi pun ada, jiwa terseksa lantaran tidak bebas ke mana-mana. Takut bertembung dengan isteri yang lain, haru jadinya. Silap hari bulan bergusti depan orang ramai. Malulah! Perempuan paling tidak suka cerita hal poligami, macam musuh ketat mereka sahaja. Kalau ada perempuan yang dimadukan, ramailah yang mengeji dan tidak kurang juga memuji.
            “Kau pandai-pandailah buat keputusan, Ikmal. Aku bukan nak masuk campur urusan rumah tangga kau, tapi aku tak mahu tengok Aleeya kecewa dan Nadia serta anak-anak hidup merana.”
            “Aku tahu, Amran. Kau pulak macam mana? Tak nak cuba dekati Nadia? Kalau kau jadi ayah tiri anak-anak aku, mungkin aku boleh pertimbangkan mereka duduk dengan kau. Kalau lelaki lain, harus aku ambil balik anak-anak,” anjur Ikmal.
            Amran ketawa. Pelik sungguh jadinya. Dia juga turut berasa pening.
            “Nadia nak kau juga jadi suaminya, Ikmal. Bukan aku. Bukan mudah nak dekati bekas isteri kau tu. Puas jugak aku memujuk,” jelas Amran.
            “Itulah yang buat aku pening. Dulu, dia juga yang nak bercerai. Bila aku pujuk nak rujuk, dia juga menolak. Bila aku dah kahwin, dia juga yang terhegeh-hegeh nak aku semula. Kalau aku tak ada isteri lagi, mungkin aku boleh pertimbangkan, tapi sendiri tahu... takkan aku nak kecewakan Aleeya? Dia isteri yang baik.” Ikmal mengeluh sendiri. Penat memikirkan masalah yang sedang dihadapi. Perjanjiannya dengan Nadia masih belum berakhir. Memang gilalah!
            “Kau kembali sajalah pada dia. Kan kita boleh kahwin lebih daripada satu.” Amran tersenyum.
            “Masalahnya, mampu ke aku berlaku adil?” Ikmal menggeleng laju.
            “Belum cuba, belum tahu, kalau ada masalah lepas kahwin, kau ceraikanlah salah seorang,” kata Amran.
            “Hisy, mana boleh macam tu? Itu menganiaya namanya,” tolak Ikmal.
            “Kalau begitu, kau kenalah belajar macam mana nak berlaku adil.”
            “Entahlah, Amran... sakit kepala aku. Macam orang berbini dua. Memang susah betullah. Kalau aku tahu macam ini jadinya, baiklah aku tak kahwin. Hidup Aleeya pun tak teraniaya.”
            “Sabarlah, Ikmal. Semua ini dugaan. Kau kena bijak buat keputusan. Masa depan anak-anak kau pun kena fikirkan juga. Betul juga apa yang difikirkan oleh Nadia. Jika dia berkahwin lagi, dibuatnya suami barunya tidak suka dengan anak-anak kau, kan masalah.”
            “Kalau dia berkahwin lagi, aku terpaksalah ambil anak-anak aku,” cadang Ikmal.
            “Aleeya setuju ke? Kau kena berbincang dengan dia dulu. Jangan hanya fikirkan masalah kau aje.”
            “Aku rasa dia tak jadi masalah. Dia suka dan ingin dekati anak-anak aku, tapi itulah... Nadia tak suka Aleeya bergaul dengan anak-anak dia. Aku tak boleh nak memaksa. Nanti panjang ceritanya,” luah Ikmal.
            “Besar sungguh masalah kau ya? Aku ingatkan kalau berkahwin lebih daripada satu masalahnya besar, dah bercerai dan kahwin lain pun ada masalah ya?” Amran menggeleng kesal. Susah jadinya hidup jika masing-masing ego dan keras kepala. Tidak mahu bertolak ansur.
            Ikmal hanya mampu tersenyum. Memang rumit masalahnya. Dia harus memikirkan semua orang. Daripada anak sehinggalah bekas isteri, itu belum lagi diteliti tuntutan baru bekas isterinya itu. Aduh, pening!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan