Ahad, 17 Julai 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 23 - karya SASYA ZAINAL



Rembulan menyorokkan wajahnya malam itu. Suasana terasa sepi walau adakalanya terdapat beberapa kereta lalu lalang di hadapan rumah, memecah kesunyian malam. Kepekatan malam itu, sepertinya mahu hujan. Cuma awan mendung tidak kelihatan di langit yang hitam dan bunyi kodok memanggil hujan masih belum kedengaran. Walau malam pekat dan suasana agak sunyi, itu tidak menghalang Faezah Hanim memasukkan barang-barang keperluan peribadinya ke dalam kereta. Bagi sesetengah wanita, pasti mereka sudah takut hendak keluar rumah di malam yang sunyi sepi. Lebih-lebih lagi, malam itu adalah Khamis malam Jumaat.

            Selesai sahaja solat isya` dan membava surah yasin, dia sudah mula mengemas barang-barang keperluan yang hendak dibawa. Kesemua barang-barangnya dibubuh didalam beg sandang, disumbat masuk ke dalam kereta. Dia tidak mahu lagi pulang ke rumah sewa selepas tamat waktu sekolah tengahari esok. Didalam perancangannya, Faezah Hanim mahu terus memandu pulang ke kampung.

            Jika tidak ada aral melintang, sebelum ayah pulang dari sembahyang Jumaat, dia sudah berada di rumah. Sudah dikhabarkan hal kepulangannya kepada ibu tadi. Nanti, dapatlah dia makan tengahari bersama ayah dan ibu yang amat dirindui. Dua minggu tidak pulang bertemu ayah dan ibu, terasa seperti tiga bulan tidak menjejak kampung. Dua minggu Kamal Arif sunyi sepi tanpa sebarang SMS atau panggilan telefon, terasa seperti dua tahun dia menanti. Jika boleh, selepas makan tengahari, ingin sahaja dia ke pasaraya tempat Kamal Arif bekerja untuk bertemu dengannya. Dia risaukan keadaan Kamal Arif. Entah apa yang terjadi pada jejaka itu, dia langsung tidak tahu. Entah apa masalah yang melanda hingga menyebabkan Kamal Arif langsung tidak memberitahu apa-apa. Entahkan hidup, entahkan mati. Hatinya bimbang. Tetapi jika sesuatu yang tidak diingini berlaku, pastilah emak atau Kak Nora akan mengkhabarkan padanya. Hendak menelefon terus kepada Kak Nora- dia malu. Takut nanti, Kak Nora mengesyaki yang dia menaruh hati dengan dengan Kamal Arif. Kak Nora itu, memang pandai membaca hati orang. Jika berdepan dengannya, Kak Nora pasti boleh membaca riak wajahnya.

            Faezah Hanim menarik nafas panjang. Sampai bila harus dia menyembunyikan perasaaanya, dia tidak tahu. Tetapi, sebagai seorang muslimah, dia sememangnya harus menyembunyikan perasaannya. Sememangnya, dia harus menjadi perahsia. Tidak manis, malah tidak elok mungkin…menghebahkan atau menjaja perasaan hati kepada sesiapa sahaja. Hanya ALLAH sahaja, tempat dia mengadu. Hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan sucinya terhadap rakan sepermainannya itu.

            Ilyas pula, sejak pulang dari Kulai hingga hari ini, masih tidak putus-putus menghantar SMS. Semasa menjadi siswazah yang ditanggung hidupnya oleh emak, ayah dan wang biasiswa pun, Ilyas memang gemar membazir menghantar SMS. Inikan pula ketika sudah bekerja sendiri. Makan gaji tiap-tiap bulan dengan titik peluh sendiri, haruslah Ilyas boleh berbelanja mewah. Biasanya, Ilyas akan menghantar SMS ketika waktu pagi, berpesan supaya solat subuh. Waktu rehat pada pukul 10.00- bertanya samada Faezah Hanim sudah bersarapan atau belum. SMS pada waktu petang pula, berpesan supaya jangan tidur dan pergi berjogging. Kemudian, SMS yang akhir, pada waktu malam sebelum tidur. SMS yang mendoakan kesejahteraan Faezah Hanim dan mendoakan dia bermimpi yang indah-indah. Ada yang dibalas terus oleh Faezah Hanim. Ada yang dibiarkan sahaja.

            Faezah Hanim akui, dia agak teruja juga dengan pertemuan semula dengan Ilyas. Itulah salah seorang sahabat akrab semasa di UPSI dahulu. Itulah salah seorang sahabat lelaki yang begitu memahami dirinya tanpa meminta dia berubah. Ada rakan-rakan di kampus – khususnya lelaki, meminta Faezah Hanim mengubah personaliti sebelum bergelar guru. Hanya Ilyas dan rakan-rakan wanita sahaja yang menerima dia seadanya.
           
“Kau rasa, aku ni tomboy ke?” Tanya Faezah Hanim kepada Ilyas sewaktu mereka membuat aktiviti senaman memanaskan badan di padang kampus di suatu petang.
“Bukan rasa, memang kau tomboy pun!” Jawab Ilyas bersahaja sambil tersengih-sengih, meregang-regangkan tubuhnya.
Faezah Hanim menjeling dan memuncungkan mulutnya.
“Kenapa kau tanya? Aku rasa, kau memang macam ni sejak kau sekolah lagi,kan?”
“Tak adalah...geng-geng kita yang lain suruh aku jadi wanita ayu. Minta aku jadi wanita melayu terakhir. Bersopan-santun, berlemah-lembut semua supaya aku sesuai jadi cikgu,” getus Faezah Hanim. Mulutnya dimuncungkan tanda tidak puas hati.
“Alah Nim, yang pentingkan, hati. Kalau lemah lembut, sopan-santun, pijak semut tak matipun, hati busuk buat apa?” Ilyas mengangkat kening meminta persetujuan.
Faezah Hanim tersenyum menjeling Ilyas dan sahabatnya itu membalas senyumannya sambil mengenyit mata.

Entah kenapa, sekarang ini, ketika teringatkan kenangan-kenangan lama di kampus bersama-sama Ilyas – dia sering sahaja tersenyum sendiri. Memang banyak kenangan manis ketika dia bersama-sama dengan Ilyas. Rakan-rakan di kampus juga menggelar mereka belangkas. Ada juga yang menggelar mereka couple. Apa tidaknya, jika mereka pulang ke Johor, Ilyas pasti akan menemaninya menaiki bas ekspress hingga ke Batu Pahat. Kemudian, dari Batu Pahat, dia akan menyambung perjalanannya menaiki bas ke Johor Bahru pula.

Mungkin kerana itulah rakan-rakan di kampus menyangka yang mereka itu berpacaran. Tetapi bagi Faezah Hanim, dia hanya menganggap Ilyas sebagai teman yang akrab. Tidak lebih dari itu. Cuma, di hari mereka menerima ijazah, baharulah Ilyas menyatakan perasaan dan hasratnya terhadap Faezah Hanim. Bermula dari hari itu jugalah, Faezah Hanim mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan menjauhkan diri. Dia menukar nombor telefon dan menukar akaun emelnya. Dia tidak mahu berhubungan dengan Ilyas lagi. Pada Faezah Hanim, Ilyas telah mengkhianati dirinya. Ilyas juga telah mengambil kesempatan ke atas dirinya yang menganggap persahabatan mereka adalah tali persahabatan yang suci. Selepas hari graduasi, dia tidak pernah lagi menghubungi Ilyas kerana dia sangat membenci Ilyas. Walau sebenarnya, ada sekelumit perasaan rindunya pada Ilyas.

Namun kini, setelah bergelar guru dan setelah bergaul dengan rakan-rakan guru yang lebih senior, Faezah Hanim mengenangkan perbuatannya terhadap Ilyas. Mungkin juga dia sudah mencapai tahap kedewasaan yang mematangkan. Kini, Faezah Hanim merasa bersalah. Saat Ilyas menyatakan perasaannya, Faezah Hanim sepatutnya bertenang dan berterus-terang kepada Ilyas. Dia sepatutnya memberitahu Ilyas yang hatinya sudah dimiliki. Mereka seharusnya boleh terus menjadi sahabat. Dia tidak sepatutnya memutuskan hubungan persahabatannya dengan Ilyas. Ilyas tidak bersalah. Temannya itu hanya menyatakan hati dan perasaannya yang suci terhadap dirinya. Ilyas hanyalah seorang lelaki biasa yang punya hati dan perasaan. Selama mereka bersahabat, Ilyas tidak pernah sama sekali mengambil kesempatan atau menggatal dengannya. Jujurnya, Ilyas adalah seorang lelaki yang beriman. Solat dan puasanya terjaga.

Mujurlah Faezah Hanim tidak menuturkan kata-kata kesat kepada Ilyas. Mujurlah dia hanya berdiam diri dan menghilangkan diri. Dia membuatkan Ilyas tertanya-tanya. Kali ini, Faezah Hanim mahu menjadi sahabat yang jujur. Jika pertemuan kali ini membuatkan Ilyas menyatakan semula hasratnya (dia yakin Ilyas masih bujang) – dia akan berterus-terang. Dia akan memberitahu Ilyas yang hatinya telah dimiliki. Mereka masih terus bersahabat kerana dia selesa berkawan dengan Ilyas. Jejaka itu amat memahami dirinya. Dia amat berharap yang Ilyas memahami. Itupun jika Ilyas masih menaruh hati padanya.

Hari Jumaat, adalah hari yang agak sibuk untuk Faezah Hanim. Tiga waktu awal, dia mengajar subjek Pendikan Jasmani dan Kesihatan. Faezah Hanim memang sudah memakai baju sukan dari rumah. Selepas waktu rehat pula, dia punya kelas Pendidikan Moral untuk pelajar-pelajar bukan Islam. Sejurus selepas mengambil buku persediaan mengajar di pejabat pentadbiran, Faezah Hanim berjalan laju menuruni tangga sekolah. Dia hendak segera ke tempat parkir kereta.

“Faez, nak balik kampung ke? Laju semacam aje,” tegur Cikgu Ina semasa mereka terserempak di tangga sekolah.
“Haah kak. Dua minggu dah saya tak balik, Kak Ina, rindu dengan mak,”jawab Faezah Hanim berterus-terang.
“Rindu dengan emak ke, rindu dengan gulai asam pedas mak?” Cikgu Ina menyakat.
“Dua-dua kak! Dah naik hijau asyik makan dekat kantin sekolah aje.”
Cikgu Ina mengekek ketawa, “Pergilah balik cepat. Baik-baik memandu tu Faez. Kirim salam mak eh,” pesan Cikgu Ina.

Faezah Hanim mengangguk dan terus berjalan menuju ke kereta yang terletak berdekatan dengan bangunan pentadbiran. Dia mahu segera sampai ke Peserai, Batu Pahat. Sebelum pukul 12.30 tengahari, Faezah Hanim sudah meluncur laju memandu keretanya membelah jalanraya menuju ke kampung halaman.

Telco Global Network.
Jumaat, 2.30 petang

Hari ini, hari Jumaat. Penghulu segala hari. Hari kebesaran umat Islam. Hari dimana semua muslim di seluruh dunia disunatkan untuk menunaikan solat Jumaat. Hari Jumaat ini juga, hari dimana dia akan menghadapi ujian latihan sebagai konsultan Telco Global Network. Ujian yang membuatkan isi perutnya menggelodak. Sejak dari subuh tadi, dia sudah berdebar-debar. Jantungnya berdegup kencang hingga Johari mentertawakannya. Hari ini, Johari menyuruhnya memakai kain skirt labuh. Tetapi Adik menolak kerana dia mahu menunaikannya solat Jumaat di Masjid Sunway. Takut Pak Imam terperanjat melihat lelaki memakai skirt menjadi jemaah di solat Jumaat!

Hari ini, terdapat sepuluh konsultan baru yang akan bersama-sama dengannya menjalani ujian kecekapan. Sepuluh teman sekerja yang baharu itu juga telah mengikuti hari orientasi bersama-sama dengan Adik. Agak tertekan juga Adik kerana pada minggu itu, pelbagai perkara baharu yang perlu dipelajari dan difahami. Otaknya sudah berkarat barangkali. Ditambah pula dengan masalah yang dia alami, haruslah Adik tertekan. Saban hari, kembali dari pejabat, dia lesu. Makan pun tidak selera. Kepala asyik pening sahaja. Mujurlah Johari, Diana dan Kajol sentiasa memberi kata-kata semangat.

“Alah Dik...senang aje kerja ni. Kau jangan risaulah. Kalau akak yang nak masuk four series ni boleh buat, takkan kau yang muda belia ni, tak boleh lulus competency test tu. Kacang goreng aje, Dik,” Diana memberi kata-kata semangat sambil memetik jarinya beberapa kali.
You mesti boleh buat, Dik. Kerja ni, sebenarnya kerja yang paling senang tau. Cakap-cakap dengan pelanggan mat saleh. Dia minta baki kad, dia nak buat bayaran, dia tanya tarikh akhir buat bayaran, itu saja. Senang aje, kan? Senior pun ramai, semua boleh tolong you,” Kajol pula membantu dia membuka minda yang bercelaru.
“Dik...kau kerja dengan Kak Nora tu, lagi susah tau. Kena panjat tangga, kena turun tangga. Kena pasang pelamin, kena panjat tangga bawa tukul, bawa paku. Kena pasang lampu, gubah bunga. Lagi susah kerja kau dulu. Kalau aku yang tak masuk universiti ni pun, boleh buat. Kau yang dah belajar tinggi, lagi laa senang,” Johari menyuntik semangat.

Di dalam masa empat hari itu, selain dari perlu memahami prosedur kad-kad kredit yang ditawarkan, dia juga perlu mahir mengendalikan sistem-sistem komputer yang digunakan. Disamping mengendalikan sistem, yang paling utama, dia perlu mahir berkomunikasi dalam bahasa inggeris dengan pelanggan yang menelefon. Itulah yang membuatkan fikirannya bercelaru hingga makan pun tidak lalu. Baharulah Adik tahu yang Telco Global Network menguruskan talian khidmat pelanggan kad kredit yang terkenal ke seluruh dunia. Oleh kerana itulah, setiap konsultan perlu mahir bertutur di dalam bahasa inggeris. Jika mereka boleh bertutur di dalam bahasa kantonis atau mandarin, itu adalah satu kelebihan yang baik. Mereka akan diberi elaun yang lebih jika boleh berkomunikasi lebih dari satu bahasa. Amat berbeza sekali cara kerja di sini berbanding dengan promoter bahagian pakaian di Batu Pahat dahulu. Sebelum ini, semasa menjadi promoter, dia hanya perlu melipat baju, menggosok baju, mengira stok kemeja atau seluar. Jika ada yang susah sedikit pun, jika pelanggan meminta dia mengukur, memotong dan menjahit seluar.
“Dik...buat betul-betul tau. Kalau dah lulus, kau boleh kerja dengan aku. Hari-hari boleh duduk sebelah aku. Jangan takut, kalau sudah masuk ofis, aku boleh tunjukkan kau. Yang penting, kau lulus dulu eh.” Itulah kata-kata terakhir Johari ketika mereka berpisah di hadapan pintu lif pagi Jumaat itu.


Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat.
2.30 petang.

Puas rasanya dapat makan tengahari bersama-sama dengan ayah dan ibu. Walaupun asam pedas daun kesum dan pucuk ubi masak lemak tu bukan dari air tangan ibu, namun dia tetap merasa seperti masakan dari rumah. Batu Pahat sememangnya terkenal dengan masakan gulai asam pedas. Oleh kerana ayah dan ibu memang selalu membeli lauk-pauk di luar, mereka tahu gerai mana yang menyediakan lauk-pauk yang enak.

Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah masih lagi mengajar walau anak perempuan mereka sudah besar panjang. Lebih kurang lima tahun lagi, bersaralah mereka dari menjadi pendidik. Oleh kerana Faezah Hanim telah memaklumkan dengan lebih awal tentang kepulangannya, Cikgu Zakiah dengan segera pulang ke rumah sejurus selepas waktu loceng waktu akhir berbunyi. Cikgu Amir pula tidak berlama-lama di masjid selepas solat Jumaat. Segera dia pulang ke rumah kerana hendak makan tengahari bersama-sama dengan anak tunggal kesayangannya.

“Nanti, kalau pergi ke peringkat kebangsaan, Anim ke yang jadi guru pengiring?” Tanya Cikgu Amir kepada anak perempuannya sambil menyuap nasi berisi ikan sembilang ke dalam mulutnya. Berselera benar Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah makan pada hari ini. Mungkin kerana, Faezah Hanim ada bersama. Jika tidak, hanya mereka berdua yang menghiasi meja makan yang mempunyai lapan kerusi itu.
“Iyalah, yah. GPK Ko-ko sudah beritahu awal-awal lagi. Pertama, sebab kita memang ketua jurulatih. Kedua...sebab kita masih bujang. Kena pergi Sekolah Sukan Bukit Jalil tu, seminggu. Kalau orang dah kahwin, susah laa, kan. Takkan nak tinggal suami dan anak lama-lama,” Jawab Faezah Hanim.
“Hmm...kalau macam tu, kena kahwin cepatlah...jadi, bolehlah elak dari pergi mana-mana!” Usik Cikgu Zakiah kepada anak perempuannya. Cikgu Amir tersengih-sengih.
“Eh mak ni...kesitu pulak...takde orang nakkan Anim ni, mak,” pantas Faezah Hanim menjawab.
“Anak ayah ni cantik lawa, slim melim, takkanlah takde cikgu lelaki yang nak?” Faezah Hanim menjulingkan matanya melihat Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah tergelak besar.

Faezah Hanim binti Amir Hamzah.
Inilah penawar, inilah buah hati Cikgu Amir dan Cikgu Zakiah. Apabila Faezah Hanim ada di rumah, hilang segala rasa sunyi sepi mereka. Walaupun anak perempuannya itu sudah besar panjang, namun Cikgu Zakiah masih lagi menasihati anak perempuannya. Masih dipesan kepada Faezah Hanim agar menjaga diri sambil menjaga keselamatan pelajar yang akan dibawa. Pada Cikgu Zakiah, menjaga anak orang lain itu, lebih besar dan berat tanggungjawabnya dari menjaga anak sendiri. Amanah yang dipikul tidak boleh diambil ringan. Tidak boleh leka dan lalai ketika membawa pelajar keluar dari sekolah. Itu yang Cikgu Zakiah sentiasa mengingatkan anaknya. Biar guru pengiring tidak makan, tapi perut pelajar mestilah sentiasa kenyang. Sakit pening pelajar, guru pengiring kena ambil tahu.

Selesai makan tengahari dan mencuci pinggan mangkuk, Faezah Hanim membersihkan diri dan menunaikan solat zohor. SMS dari Ilyas bertanyakan khabar, tidak dihiraukannya. Nanti sahaja, fikir Faezah Hanim. Dia mahu segera ke rumah Kak Nora. Keluar sahaja dari kamarnya, dia terlihat ayah sudah terlelap di sofa sambil tangannya masih memegang alat kawalan jauh televisyen. Faezah Hanim tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali melihat ayah. Ayah, guru sukan yang berbadan atlet itu sudah dimakan usia. Seingatnya sewaktu remaja dahulu, selesai makan dan solat, ayah akan keluar semula untuk ke padang sekolah. Tugasnya sebagai jurulatih bola sepak dan bola baling untuk sekolah, dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab. Kini, dia juga adalah seorang guru sukan. Dia juga jurulatih bola jaring untuk pelajar-pelajar sekolahnya.

Faezah Hanim merapati ayahnya dan mengambil alat kawalan jauh televisyen untuk diletakkan di meja kopi yang terletak di sebelah sofa. Cikgu Amir membuka mata.
“Baring tidur betul-betullah yah,” cadangnya lembut.
“Eh...kalau tidur baring tu, dah macam tidur malam! Ayah nak lelap sekejap aje,” jawab Cikgu Amir dalam nada gurau kepada anak perempuan yang dikasihi. Faezah Hanim tergelak kecil dan menuju pula ke kamar ibunya.

Faezah Hanim yakin yang ibunya juga sudah tertidur di dalam bilik usai solat zohor tadi. Sememangnya menurut ibu, apabila mereka sudah berusia, stamina mereka sudah tidak seperti dahulu. Pulang dari sekolah, serasa badan ini selayaknya berada di tilam. Jika dahulu, pulang dari sekolah, Cikgu Zakiah masih mampu untuk terus membuat persediaan mengajar atau menanda buku. Kini, untuk mengelakkan dari tidur selepas waktu asar, dia hanya menyiapkan persediaan mengajar, menanda buku-buku pelajar atau menanda kertas-kertas peperiksaan pada waktu petang dan malam. Kedua-dua orang tua Faezah Hanim ini sebenarnya sudah tidak sabar-sabar lagi menanti waktu pencen. Hendak berehat sepenuhnya kata mereka. Tanpa pengetahuan Faezah Hanim, jauh di dalam sudut hati Cikgu Zakiah, dia hendak bermain dengan cucu.

Kamar ibu dikuak perlahan. Serasa udara dari penghawa dingin menampar wajahnya. Memang enak tidur di dalam kamar yang sejuk dingin di waktu mentari sedang terik bersinar. Memang benar telahannya, ibu sedang tidur. Dia datang hampir kepada wanita separuh abad yang sedang nyenyak tidurnya. Ibu tidur mengiring ke kanan. Pipinya beralaskan tapak tangan kanan. Dipegang lembut bahu ibu. Mata Cikgu Zakiah terbuka sedikit.
“Kenapa Nim? Mengantuk benar mak ni,” Cikgu Zakiah bertanya anaknya sambil matanya hanya separuh terbuka.
“Tak ada apalah, mak. Nak beritahu mak, Anim nak pergi rumah Kak Nora.”
“Ohh...haa, iyalah. Kirim salam kat dia. Dengar khabar dia sakit. Mak tak sempat-sempat nak menjenguk dia lagi.”
Faezah Hanim hanya mengangguk lalu meninggalkan ibunya. Pintu kamar ditutup perlahan. Cikgu Zakiah meneruskan tidurnya.

Berjalan kaki menyelusuri jalanraya kampung yang hanya boleh memuatkan sebuah kereta untuk melaluinya, mengimbau kenangan zaman kanak-kanak. Kedai runcit Pak Seman masih ada lagi berdekatan dengan rumahnya. Kedai runcit itu adalah satu-satunya kedai yang menjadi pusat orang kampung membeli barang-barang runcit jika malas hendak ke bandar Batu Pahat. Jika dizaman kecilnya, kedai itu hanyalah kedai kayu kecil yang beratap nipah. Kini, kedai itu sudah dibina semula dengan bantuan kerajaan. Dari kedai inilah dia, Adik, Johari, Ani dan rakan-rakan sepermainan membeli snek ringan atau jajan kata orang kampung. Dahulu, selain membeli kerepek ubi pedas, dia suka membeli oren lemnet atau oren bodoh yang berharga tiga puluh lima sen. Faezah Hanim tersenyum sendirian. Sejak Kamal Arif tidak menghubunginya, kenangan demi kenangan, seringkali bermain di dalam fikiran. Entah kenapa, kali ini, lain benar rasanya.

Lima puluh meter sebelum sampai ke rumah Kak Nora, sudah terlihat pohon mempelam yang sentiasa berbuah. Pangkin kayu tempat dia dan rakan-rakannya bermain pondok-pondok atau kahwin-kahwin semasa mereka kecil dahulu juga masih teguh berada di situ. Cuma mungkin Kak Nora sudah menggantinya. Kelihatan pangkin itu lebih besar dan lebar dari dahulu. Pangkin itu memang selesa diduduki di waktu petang. Apatah lagi, pangkin itu membolehkan mereka mengadap sungai Simpang Kanan. Dia pasti, Kak Nora, Makcik Salimah, Mak Bedah dan ibunya masih lagi duduk-duduk di pangkin itu untuk berbual-bual di waktu petang.

Jantung Faezah Hanim berdebar-debar ketika semakin menghampiri rumah Kak Nora dan rumah makcik Salimah. Entah kenapa dia begitu, dia tidak pasti. Adakah dia akan terserempak dengan Kamal Arif? Adakah Kamal Arif ada di rumah hari ini? Jika iya, pasti dia boleh mendengar Faezah Hanim memberi salam nanti. Sewaktu menghampiri rumah Kak Nora, terdengar suara bayi menangis dari rumah Kamal Arif. Mungkin itu tangisan anak Abang Khalid. Teringin juga dia melawat bayi kecil anak sulung Abang Khalid. Semasa kelahiran anak itu, Kamal Arif menyatakan perasaan keterujaannya. Temannya itu juga berkongsi pengalaman menukar lampin bayi buat pertama kali. Memang dia seorang ayah saudara yang baik walau dia amat mengetahui yang hubungan Kamal Arif dengan Khalid tidak pernah baik. Khalid, sedari kecil memang sering membuli Kamal Arif.

Dia kini sudah berada betul-betul di hadapan tangga rumah Kak Nora. Sunyi sepi rumah itu seperti tidak ada orang. Namun, dari pemerhatiannya, kelihatan baju-baju masih di ampaian dan tingkap-tingkap terbuka luas, dia yakin Kak Nora ada di rumah.

Faezah Hanim memberi salam. Sekali, dua kali, tiga kali. Tidak ada jawapan dari dalam. Faezah Hanim menaiki tangga rumah Kak Nora lalu memberi salam sambil mengetuk pintu.
“Waalaikumus salam. Siapa tu?” Kedengaran suara Kak Nora dari dalam rumah.
“Hanim.”
Pintu kayu kemudian terkuak luas.
“Subhanallah. Bertuah punya budak. Meh masuk.” Tersembul wajah Kak Nora dengan wajah yang baru bangun tidur. Rambut panjangnya disiput tinggi macam orang perempuan dalam pantang.

Faezah Hanim segera bersalaman sambil mencium tangan Kak Nora. Wanita separuh abad itu kemudian memeluknya dan mencium kedua-dua belah pipinya. Dia akui yang dia merindui Kak Nora. Dia pasti, Kak Nora juga begitu. Apabila Kamal Arif tidak menghubunginya, terasa hubungannya dengan Kak Nora juga seakan jauh. Mungkin juga dia memang sudah lama tidak bertemu Kak Nora. Hampir dua minggu dia tidak pulang ke kampung. Semasa kepulangannya dua minggu lepas dan minggu-minggu sebelumnya, bukannya dia ada berjumpa Kak Nora. Selalunya, hujung minggu, waktu dia pulang ke kampung, Kak Nora pula yang sibuk dengan urusan majlis pertunangan, pernikahan atau persandingan. Memang sebenarnya, dia memang sudah agak lama tidak berjumpa Kak Nora.

Kedua-dua wanita yang sudah lama tidak bertemu itu akhirnya melabuhkan punggung mereka di atas kerusi sofa di hadapan televisyen. Mereka duduk menyenget untuk membolehkan mereka mengadap antara satu sama lain.
“Akak tengah tidur ke? Maaflah Anim kacau pulak.”
“Eh...takdelah kacau. Memanglah Kak Nora tidur. Kalau kau tak datang tadi, entah pukul berapalah agaknya Kak Nora terjaga. Kak Nora makan ubat hospital, Nim. Itu yang mengantuk dua puluh empat jam,” jelas Kak Nora panjang lebar.
“Haa, itulah mak cakap tadi. Kak Nora sakit dan mak pun kirim salam. Dia minta maaf, tak sempat-sempat nak datang jenguk Kak Nora.”
“Alah...takde sakit apalah, Nim. Kak Nora batuk aje. Tapi dah lama batuknya tak baik-baik. Itu yang, masa Mak Uda bawa cucu dia pergi klinik kesihatan, Pak Ghani sewa kereta, Kak Nora tumpang sekali. Kau tahulah Nim, Kak Nora bukan suka makan ubat hospital. Tapi, iyalah...kena usaha jugaklah...dah tak baik-baik. Melarat kang, susah pulak.”

Faezah Hanim mengangguk. Walaupun Kak Nora sudah dimamah usia, namun rupa parasnya masih lagi cantik. Wajahnya masih lagi cerah dan ayu. Kak Nora memang rajin menjaga kulit. Makan minumnya juga amat dijaga. Sayang Kak Nora masih lagi bersendirian.
“Dah makan ubat hospital, macam mana rasanya kak? Ada kurang tak batuknya?” Tanya Faezah gusar. Iyalah, seingatnya, Kak Nora ini jarang jatuh sakit. Mungkin faktor usia menyebabkan dia lambat sembuh.
“Mengantuk ginilah. Malam-malam masih batuk juga. Hendak gubah bunga pun, Kak Nora macam nak ralip. Nak buat menjahit manik, jangan cakap...tercucuk jarum jari Kak Nora, Nim,” adu Kak Nora kepadanya. Faezah Hanim hanya tersenyum dan menepuk-nepuk tangan Kak Nora.
“Dahlah si Adik tak ada. Patah kaki rasanya. Semua Kak Nora buat sendiri. Susah juga bila dia tak ada.” Keluhan Kak Nora kali ini membuatkan Faezah Hanim yang tadinya tenang, tersentak.
“Adik tak ada? Apa maksud Kak Nora?” Terus jantungnya berdegup kencang.
‘Ya ALLAH, tak mungkin.’ Dia tidak sanggup membayangkannya.
“Eh...Anim tak tahu ke?” Kerutan kening Kak Nora memandangnya menambah rasa galau di dalam hati.“ Sudah kira-kira dua minggu juga Adik pergi, Nim. Tinggal Kak Nora seorang nak urus semua. Kalau dia ada, rasa semangat Kak Nora nak mengandam dan buat pelamin. Eh...takkan Anim tak tahu yang Adik dah tak ada?” Tanya Kak Nora lagi sambil mengenggam erat tangan kanan Faezah Hanim.

Faezah Hanim menggeleng-gelengkan kepalanya. Debaran di dada kian menggila. Kedua-dua tangannya serta-merta menjadi sejuk. Jantungnya seakan-akan terhenti/
‘Ariffff...tak mungkinnnn.’ Faezah Hanim memejamkan matanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan