Sabtu, 16 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 9



Haziq mundar mandir di luar bilik pegawai akaun yang baru itu.  Duit di tangan sudah kering.  Gaji lambat lagi. Dia perlukan duit.  Dia memandang wajah kerani akaun yang pernah membantunya sebelum ini, kerani akaun itu pun tidak dapat membantunya.   Dia mengesat peluh di dahi.  Silap dia juga, tak songlap banyak sikit.  Ingatkan dapat berlama dengan jawatan yang disandang, rupanya tidak.  Isterinya jauh lebih bijak dengan melantik pegawai akaun yang baharu.  Apa alasan yang perlu diberi untuk mendapatkan duit yang dikehendaki. Cek yang ada padanya juga tidak berguna, kerana tandangannya juga sudah ditukar, dia tidak lagi boleh mengeluarkan duit sewenang-wenangnya.  Cek syarikat  yang ada padanya  tidak berguna lagi.
            “Masuk ajelah En. Haziq. En. Arman baik orangnya,” suruh kerani akaun yang berbaju Melayu siap bersamping itu.  Maklumlah Hari Jumaat.
            Haziq mendengus kasar.
            “Erk…” hampir sahaja Arman terlangar Haziq yang berada di hadapan biliknya.
            “Ya, ada apa? Boleh saya bantu?” tanya Arman penuh hormat.  Siapa pula lelaki ini? Detik hati kecilnya.
            “En. Arman, ini suami Puan Riana,” kata kerani akaun itu memperkenalkan Haziq kepada Arman yang tergesa-gesa hendak keluar dari biliknya.
            “Oh, ya tuan, ada apa-apa yang boleh saya bantu?” tanya Arman penuh hormat. Suami majikannya.  Arman meneliti wajah kacak yang berada di hadapannya itu. Memang padan dengan Puan Riana yang cantik dan berkarisma itu.
            “Boleh masuk bilik kau sekejap,” pinta Haziq.
            “Erk… boleh, boleh!” Arman serba salah.  Puan Riana sudah memanggilnya.
            “Aku nak kau tulis cek 10k sekarang juga. Tunai tau,” suruh Haziq tanpa teragak-agak.
            “10 ribu? Besar jumlahnya tuan, saya tak boleh sewenang-wenangnya keluarkan duit sebanyak itu. Lagipun, sejak saya bekerja di sini, cek syarikat tak pernah ada dengan saya,” terang Arman. Itulah yang berlaku.  Sejak dia bekerja, segala perbelanjaan atau pengeluaran ditentukan oleh pemilik syarikat tersebut.
            “Mana pula? Dulu aku yang jaga akaun, boleh aje bawa keluar duit, tak ada masalah pun!”  Haziq bengang.  Sistem sudah diubah rupanya.  Ini semua kerja Riana agaknya.
            “Entahlah tuan, saya baru sahaja di sini, kalau tuan nak tahu, kenalah tanya Puan Riana,”  jelas Arman, jujur.
            “Kau nak tipu akukan?”  Haziq masih tidak berpuas hati.
            “Kenapa pula saya nak tipu tuan?”  Arman serba salah. Dia mengeluh. 
            “Memang tak gunalah! Tak guna!” jerkah Haziq.  Dia menendang pintu bilik sekuat hati, dia melangkah keluar dari bilik itu.
            Arman terpinga-pinga.  Dia melangkah kelua
            “Kenapa Arman?” tanya kerani akaun itu.
            “Entahlah Rashid, aku sendiri tak faham.  Tuan minta aku keluarkan cek 10 ribu, mana ada cek syarikat dengan aku,” jawab Arman, riak wajahnya bertukar serba salah. 
            “Tuan Haziq memang suka ambil duit syarikat, itu sebab agaknya Puan Riana tak benarkan lagi pegawai akaunnya pegang cek dan mengeluarkan setiap perbelanjaan untuk syarikat,” cerita kerani akaun bernama Rashid itu.
            Arman mengangguk tanda faham. Itu ceritanya.  Susahlah jika ambil duit sesuka hati, biarpun syarikat sendiri. Tidak boleh sesuka hati berbelanja. Keluar masuk duit perlulah lebih berhati-hati, jika berlaku apa-apa dengan syarikat, duit tidak cukup, siapa yang harus disalahkan?  Bukan mudah menguruskan kewangan sebuah syarikat, jika tidak berhati-hati modal ke mana, keuntungan juga tidak kelihatan.
            “Rashid, saya nak ke bilik Puan Riana, kalau ada apa-apa hubungi melalui telefon tangan saya ya?”  beritahu Arman.  Dia melangkah ke bilik majikannya yang terletak di tingkat empat.  Beberapa kakitangan menegurnya, mereka sudah dapat menerima kehadirannya dengan baik.  Dia berasan senang dan tenang bekerja di situ.  Segala tugasan kerja yang diberi dilakukan sebaik mungkin.  Pesanan emaknya disimpan kemas di hati, bekerja dengan jujur dan bertanggungjawab agar pendapatan yang diperolehi diberkati Allah swt.  Ini juga satu ibadah yang membawa ke syurga. Itulah impiannya jika  jasadnya sudah bercerai daripada nyawa.
            Setiap hari dia akan menelefon emaknya bertanya khabar.  Setiap kali itu jugalah nasihat diberi dan diingatkan oleh emaknya berkali-kali.  Terutama jika bekerja bersangkutan dengan duit, sesiapa sahaja boleh gelap mata. Apatah lagi syarikat seperti Riana Collection yang sudah mencecah pendapatan  jutaan ringgit itu.   Melihat baki akaun, urusaan perniagaan, memang mudah nak songlap jika tidak jujur.  Itu bukan caranya. Dia tidak mahu makan duit haram. Jadi darah daging. Sekarang tidak nampak, tunggulah ketika bertemu Allah nanti.  Memikirkan balasan neraka sudah cukup menyeramkan. 
            Daun pintu kaca yang berukiran bunga matahari berwarna kuning diketuk perlahan.  Suara lembut menyuruhnya masuk.  Perlahan-lahan pintu itu ditolak.  Haruman lavender  menyapa hidungnya, bagaikan menyambut kehadirannya di  bilik Pengarah Urusan Riana Collections.    Arman masih lagi memandang persekitaran bilik yang simple dan tampak mewah itu.  Berpadanan dengan pemiliknya yang anggun dan cantik menawan.
            “Duduk Arman, apa yang awak tengok lagi tu?” tegur Riana.  Hari ini dia berblaus labuh berwarna hijau muda dari kain chiffon dipadankan dengan kain kembang payung berwarna hitam.  Tudung instants shawl berwarna hitam dari butiknya sendiri.  Solekan yang tipis agar wajah tidak nampak pucat.
            “Terima kasih puan,”  jawab Arman lantas duduk menghadap majikannya yang cantik menawan itu.  Arman menunduk sedikit, tidak sanggup memandang mata bundar majikannya.  Terasa malu di hati.  Bukankah dalam Islam diajar, seorang lelaki tidak boleh memandang tepat ke mata seorang wanita yang bukan mahramnya? Itukan satu dosa, dosa mata, detik hati kecil Arman.
            “Suami saya jumpa awak tadi?” tanya Riana setelah meneliti kerja-kerja perkaunan yang dibuat oleh Arman melalui skrin komputer.
            “Ya puan, dia minta saya keluarkan cek 10 ribu, saya bagitahu sekarang ini cek hanya akan dikeluarkan oleh puan sendiri,” jelas Arman, anak muda yang jujur kata-katanya.  Berkat ajaran ibu tercinta.
            “Maafkan saya menyusahkan awak pula.  Saya tak bagitahu dia yang dia tidak lagi bekerja dengan syarikat saya.”  Riana mengeluarkan sekeping surat yang sudah disediakan buat suaminya.  Macam-macam cerita yang didengarinya tentang lelaki yang menjadi suaminya itu.  Cukup menyakitkan hati. Beberapa pekerja wanita terpaksa berhenti kerja akibat perbuatan suaminya sehingga… . Ah! tidak manis dia bercerita tentang keburukan suami sendiri.  Sekali lagi kebahagian berumahtangga bukan miliknya. Cuma, dia belum buat keputusan sama ada ingin mengakhiri perkahwinan ini sekali lagi dan hidup sendiri. Keluhan dilepaskan perlahan-lahan, menahan rasa sebak di hati. Tidak mungkinlah dia menangis di hadapan pekerjanya itu.  Terutama pekerja baharu seperti Arman  yang belum tahu  hati budinya.
            Arman tidak menjawab, hanya menjadi pendengar. 
        “Saya dah semak kerja awak Arman, saya sangat berpuas hati.  Awak juga akan bantu saya  memeriksa stok keluar masuk. Bolehkan?  Selama ini suami saya yang buat, atas kepercayaan. Sejak dia asyik mengeluarkan duit syarikat tampa sebab, saya dah tak percaya padanya.  Ini syarikat saya, bukan bukit yang terus dicangkul setiap hari, lama-lama lingkup syarikat saya,” luah Riana.
            “Saya faham puan.” Arman mengangguk perlahan.
            “Bulan hadapan saya akan naikkan gaji dan pangkat awak menjadi Pengurus Akauan syarikat ini, jika awak memerlukan pekerja tambahan untuk membantu awak, beritahu saya ya?” ujar Riana. 
            “Terima kasih puan, terima kasih,” ucap Arman gembira.  Apa lagi yang boleh dikatakan.  Rezeki yang tidak disangka-sangka.
            “Apa yang penting, saya nak awak jujur dengan saya dan bertanggungjawab dengan tugas yang diamanahkan.  Itu sudah cukup buat saya,” pesan Riana.
            “Insya-Allah puan,” janji Arman.  Dalam hatinya melonjak riang.  Ya, orang yang jujur akan diberkati hidupnya. Janji Allah itu pasti.
            Setelah menerangkan segala urusan kewangan dan perkaunan yang dibuatnya, Arman kembali ke biliknya.  Dia tersenyum bahagia.  Petang nanti bolehlah dia menelefon emaknya mengkhabarkan berita gembira itu.    Hari ini dia berjanji dengan dirinya sendiri, akan menjadi seorang pekerja yang baik, bukan hanya untuk majikannya itu tetapi kerana Allah swt, kerana kerja itu jug satu ibadah agar rezeki yang diterima diberkati Allah swt, apatah lagi rezeki itu akan dikongsikan dengan emaknya, tergamakkah dia memberi makan rezeki yang tidak halal kepada  orang tuanya sendiri? Tidak mungkin.  Selama ini emaknya memberi dia makan makanan yang baik dan halal, kenapa harus dia membalasnya dengan yang tidak baik?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan