Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 1 Julai 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 19- SASYA ZAINAL



Kampung Peserai Pantai, Batu Pahat.
Sabtu pagi.

Salimah mengebas kain-kain pelikat Abdul Ghani dan kain batik miliknya sebelum menyangkutnya dengan penyepit di tempat menyidai baju. Suasana pagi di kampung Peserai Pantai itu masih lagi sunyi. Anak-anak yang masih di bangku sekolah, mungkin masih lagi lena tidur kerana hari ini hari minggu. Salimah menjengah pintu dapur rumah Nora yang masih bertutup rapat. Tempat Salimah menyidai baju itu terletak diantara rumahnya dan rumah Nora.

Waktu baru menunjukkan ke pukul 8.00 pagi. Setelah selesai menunaikan solat subuh, Salimah turun ke dapur untuk menyiapkan sarapan pagi. Tetapi hasratnya terhenti apabila melihatkan menantunya Fidah sudah pun menyediakan nasi goreng untuk mereka bertiga. Sedang Salimah membancuh kopi susu untuk suaminya, kedengaran tangis Khairul Naim di dalam bilik. Disuruhnya Fidah melihat anak kecil itu sementara Salimah menyediakan meja makan untuk Abdul Ghani bersarapan apabila pulang dari surau nanti.

            Setelah bersarapan bersama-sama, Abdul Ghani pergi ke rumah ayah dan ibunya. Menghantar nasi goreng dan kemudian akan terus ke pasar. Khairul Naim pula sudah siap dimandikan dan sekarang mungkin sedang menyusu. Sedang Salimah menyidai baju-baju kecil cucunya, kedengaran pintu belakang rumah Nora berkeriuk dan kemudian terbuka. Tersembul muka Nora sambil di tangan kanannya mengangkat sebaldi baju yang sudah siap di basuh. Dia berjalan ke arah Salimah sambil batuk-batuk kecil seperti cuba melegakan kerongkongnya.

            “Hah Nora...lambat kau menyidai hari ni? Selalunya pagi-pagi lagi kau dah siap sidai baju,” tegur Salimah kepada Nora yang mula mengambil pakaian pertamanya untuk disangkut pada penyidai baju.
            “Nora kesiangan kak. Subuh terbabas,” Nora menjawab dengan nada kesal.
“Dah terlanjur qada`kan subuh, Nora buat sekali solat dhuha. Itu yang lambat menyidai ni,” terang pula.

            “Ohh...kau tidur lambat sangat agaknya. Kita dah berumur ni, Nora, kalau tidur lewat sikit, memang jawabnya kesianganlah.”
            “Nak kata lewatlah tu, taklah juga Kak Uda. Berita pukul dua belas belum habis, saya dah terlelap rasanya. Sedar-sedar, dah pukul dua, tv terpasang lagi. Bangun tutup suis tv dan terus sambung tidur semula. Nora makan ubat batuk agaknya, tu yang tak sedarkan diri tu.”
            “Eh, kau ni, dah lama akak rasa kau asyik cakap makan ubat batuk. Batuknya tak baik-baik ke Nora?” Tanya Salimah runsing. Seingatnya, sedari Khairul Naim lahir, jirannya itu mengadu yang dia batuk-batuk.
            “Haah Kak Uda. Memang dah lama jugaklah saya batuk tak baik-baik. Dah macam-macam saya cuba. Madu dengan dengan buah lemon. Limau nipis dengan kicap. Ubat batuk Woods. Tadi malam, saya dah makan ubat batuk cap ibu dan anak. Kurang jugaklah sikit. Bolehlah saya buat tidur. Nanti karang, datang lagi. Tapi malamlah yang teruk Kak Uda. Siang ni, kurang sikit,” jelas Nora dengan panjang lebar perihal sakitnya kepada Salimah yang berkerut kening mendengarnya.
            “Kalau dah lama sangat macam ini, pergilah jumpa doktor, Nora. Risau pulak akak. Kau tu, jarang sakit. Orang kata, orang yang jarang sakit ni, sekali sakit menyerang, terus macam nak tumbang,” Salimah menyarankan.
Segala sakit pening Nora itu sudah menjadi tanggungjawabnya juga untuk diambil tahu kerana Nora hidup sendiri. Semua saudara-maranya jauh dari Batu Pahat. Salimahlah insan yang paling dekat dengannya.
            “Saya rasa memang kena jumpa doktor jugaklah Kak Uda. Makan pun dah pantang. Kacang tak makan, benda sejuk-sejuk, saya tak ambil. Bila batuk, dada saya macam rasa sempit sangat. Macam susah hendak bernafas,” adu Nora.
            Salimah mendengar dengan khusyuk. Dia memang sayangkan Nora yang dianggap seperti adik sendiri.
“Rabu minggu depan, si Fidah ni kena bawa Naim pergi klinik kesihatan untuk cucuk umur sebulan. Kau ikut Kak Uda sekalilah ke hospital eh. Abang Ghani kata, dia nak sewa kereta Sahak.”
            “Ohh...hmm, boleh jugalah Kak Uda, sekali jalan eh. Nanti Nora tolong bayarkan minyak,” Nora tidak berfikir panjang dan terus bersetuju. Sejak akhir-akhir ini, dia tidak suka keluar bersendirian. Dia lebih suka berteman. Sebelum-sebelum ini, Adiklah yang menemankannya.
            “Eh apalah kau nak menuangkan minyak pulak? Ikut sajalah,” Salimah berkerut kening memandang Nora. Nora ini memang tidak pernah berkira dan sentiasa banyak memberi kepada keluarganya.
            “Iyalah, Abang Ghani dan bayar sewa kereta, biarlah saya tuang minyaknya, Kak Uda. Akak dengan abang banyak nak guna duit. Nak buat belanja Alia di KL, buat belanja rumah lagi. Akak dah ada cucu dengan menantu sekarang ni,” Nora mengingatkan. Dia tahu susah senang Salimah dan Abdul Ghani. Bukan sehari dua mereka berdua berjiran.

            Salimah memandang Nora. Terasa sayu dia dengan sikap keprihatinan Nora kepada keluarganya. Nora ini memang tidak pernah berkira sejak dari kecil hinggalah dia digelar janda kaya. Anak-anaknya terutama sekali Adik dan Kasih Alia itu memang selalu makan minum malah tidur baring di rumah Nora.

            Sedang Salimah menyiapkan tugasan menyidai baju-baju ahli keluarganya, kedengaran di halwa telinga mereka bunyi enjin motor Khalid diberhentikan di hadapan rumah.
            “Kalau tak salah, itu macam bunyi enjin motor Khalid tu, Kak Uda,” Nora yang juga sudah menyiapkan sidaiannya menangkap bunyi enjin motor Khalid yang membingitkan telinga.
            “Haah Nora. Panjang umur dia. Dah seminggu tak tahu nak jenguk anak bini,” getus Salimah. Dadanya berombak kencang menahan marah. “Akak masuk dululah eh Nora. Nanti, kau tak payah masak tengahari Nora, makan sini aje. Akak masakkan singgang halia eh. Kau batuk waktu malam tu, sejuk agaknya.”
            “Eh, tak payah susah-susahlah Kak Uda. Akak banyak benda lain lagi nak buat. Nanti Nora masak sendiri,” tingkah Nora dengan nada lembut. Dia tahu Salimah sibuk dan banyak perkara lain yang perlu diuruskan.
            “Mana ada susahnya? Akak memang nak masak singgang untuk si Fidah. Nak memberi kau ikan sekeping dua, tak luaknya, Nora.” Salimah masih tetap dengan pelawaannya.
            “Terima kasih Kak Uda,” Nora terharu dengan pelawaan Salimah. Salimah itu juga sudah dianggap sebagai saudara sendiri. Jika dia sakit pening, Salimah dan suaminya lah yang membelikan ubat atau meminta Kasih Alia menemankan dia tidur di rumah.
Salimah sudah bergerak untuk masuk ke rumah ketika Nora memanggilnya dan membuatkan dia berpaling.
“Kak Uda...akak jangan marah-marah kat si Khalid tu, kak. Takut melenting pulak dia.” Sempat Nora berpesan dalam nada yang perlahan. Dia amat mengenali sikap dan perangai anak sulung Salimah itu. Panas baran dan cepat melenting. Bukan sehari dua dia mengenali Khalid. Sejak anak itu kecil sudah nampak panas barannya.Yang menjadi mangsa bulinya adalah Adik. Nora kenal sangat.

Salimah mengangguk perlahan. Dia sedikit pun tidak merasa kecil hati dengan pesanan Nora itu. Tetapi sebenarnya, jika diikutkan kata hati, Salimah memang mahu mengamuk. Mahu dibasuh Khalid cukup-cukup. Kalau boleh, mahu saja dirotan-rotan Khalid itu walaupun dia sudah besar panjang.

Besen biru tempat dia meletak pakaian basuhan itu disandarkan di tepi pintu bilik air. Salimah terus ke peti sejuk. Membuka pintu peti sejuk itu dan mengeluarkan sayur, halia, kunyit dan beberapa keping ikan parang yang terletak di tempat simpanan sejuk beku. Kemudian Salimah mengambil pula beberapa biji bawang merah, bawang putih dan bawang besar. Dia tidak kuasa hendak menyapa Khalid yang pada pengamatannya sedang berada di bilik. Sejak enjin motor dimatikan, dia sedikit pun tidak mendengar Khalid memberi salam. Mesti anak itu terus sahaja masuk ke rumah.

Entah dimana silap dia dan Abdul Ghani, Salimah tidak tahu. Mengapa lain benar perangai anak sulungnya itu? Mengapa Khalid tidak boleh menjadi contoh yang baik kepada adik-adiknya? Kadang-kadang, Salimah merasakan yang Kamaruddin anak keduanya itu yang bertindak sebagai anak sulung. Kasih Alia yang bongsu dan anak perempuan tunggal itu pun nampak lebih bertanggungjawab dari Khalid.

“Mak...ayah mana?” tanya Khalid ketika menuruni tangga untuk turun ke bahagian dapur. Salimah yang sedang mengupas bawang-bawang, memandang wajah Khalid dengan pandangan yang tajam. Dibiarkan pertanyaan Khalid tidak berjawab.

‘Bukan tahu hendak beri salam. Salam cium tangan kita pun tidak.’ Getus Salimah di dalam hati.

Khalid kemudiannya menarik kerusi yang berhadapan dengan Salimah setelah mengambil sebiji pinggan dan sebutir gelas. Dia membuka tudung saji dan menyenduk nasi goreng yang digoreng isterinya pagi tadi. Salimah masih belum menjawab pertanyaan Khalid dan meneruskan kerjanya. Hatinya panas. Khalid duduk makan di hadapannya seolah-olah tidak ada benda salah yang dibuatnya.

“Ayah mana mak?” Tanya Khalid lagi.
“Pergi pasarlah. Kalau dia tak pergi, nak suruh kita orang ni kebulur?” Jawab Salimah dengan nada marah.
“Eh, yang mak nak marah-marah ni kenapa? Orang Cuma tanya ayah pergi mana. Itu pun salah ke?”
“Tak...tak salah. Apa yang kau buat semuanya tak salah Khalid!”
Eh mak ni kenapa ? Saya baru balik, tengah nak makan, mak marah-marah pulak ?” Khalid menentang mata Salimah yang tepat memandang wajahnya.

Salimah seakan tidak boleh lagi mengawal api kemarahannya. Dadanya berombak kencang.
“Senang aje hidup kau eh Khalid? Kau balik rumah lepas kau hilang entah kemana nak dekat seminggu. Tinggalkan anak bini kau bontang kat sini. Kau pergi mana? Lepas tu, kau balik, kau buat macam tak ada apa benda berlaku! Senang eh hidup kau?” Salimah meluahkan perasaan amarahnya pada Khalid yang menolak pinggan makannya. Khalid memalingkan wajahnya memandang ke arah luar dari pintu dapur yang terbuka. Nasi didalam mulut dikunyah laju.

“Kau dah jadik bapak budak tau Khalid. Sedarlah diri kau tu sikit. Kau bukan bujang lagi tau. Senanglah kau...tinggalkan anak bini kau suruh mak ayah yang tak lama lagi nak mati ni yang jaga? Mana pergi tanggungjawab kau?” Salimah menyambung leterannya. Sudah lama benar dia memendam perasaan amarahnya kepada Khalid. Kali ini, Khalid memang sudah melampau. Jika dahulu, dia masih bujang. Kali ini, Khalid sudah bergelar suami dan ayah.

“Saya kerjalah mak. Mak tahu-tahu nak marah aje. Takde usul periksa. Tuduh saya bukan-bukan,” Khalid membela diri sambil berkerut kening memandang Salimah yang memandang wajahnya dengan perasaan amarah. Seleranya terbantut. Silap dia kerana menolak pelawaan rakan-rakannya untuk bersarapan di kedai mamak pagi tadi.

“Kerja apa tak balik rumah seminggu? Kau tidur kat mana? Tidur kat kilang? Atau kau kerja kat luar negeri sampai tak boleh balik rumah langsung? Berapa ribu kau bawa balik untuk anak bini kau?” Salimah menyindir sinis. Pisau yang berada di tangan, diletakkan di meja. Dia berhenti dari mengupas bawang.

“Iyalah! Saya ni tak kaya macam anak-anak mak yang lain tu!” Khalid menjawab kasar sambil menolak pinggan nasi goreng yang masih berbaki. Nafasnya turun naik.
“Anak siapa yang kaya? Anak mak mana yang dah duduk banglo? Cakap! Hah cakaplah!”
“Saya ni memang anak yang menyusahkan mak, kan?” Khalid bangun dari kerusi dan pergi menuju ke tangga dapur. Dia melabuhkan punggungnya ke tangga batu yang dicat biru. “Buah hati mak memanglah anak mak yang bertiga tu!”
“Eh, Khalid...kalau mak tak sayangkan kau, mak dengan ayah tak akan kahwinkan kau tau! Buat majlis kahwin untuk kau. Selit sepit pinjam duit Kak Nora, pinjam duit adik-adik kau,” Salimah memberitahu perkara sebenar kepada Khalid. Hatinya panas. Dijegilkan mata memandang Khalid.

“Iyalah...terima kasihlah mak. Nanti saya ada duit, saya bayarlah duit mak janda dengan anak-anak mak tu!” Khalid menjawab dan membuatkan hati Salimah semakin membara.

“Eh...mak bukan nak mintak bayar tau. Kak Nora dengan adik-adik kau pun tak minta bayar...yang mak minta, kau bertanggungjawab dengan anak bini kau!”
“Mak ni, tadi mengungkit-ungkit, ini kata tak payah bayar. Entah apa-apa laa. Itu yang malas nak balik rumah ni. Asyik membebel aje. Nak makan pun tak susah!”
“Bukan mengungkit. Kau juga yang cakap mak sayang adik-adik kau aje. Yang mak dengan ayah berkorban, tebalkan muka meminjam sana-sini buat majlis yang elok-elok untuk kau, kau tak nampak? Salah kau, kau nak tutupkan. Yang kau nampak, salah orang!”
“Ingatkan anak kesayangan mak dah berambus, boleh tenang bila balik rumah ni, sama juga!”
Papp!
Salimah menghentak meja dengan tangan kanannya.
“Kau tak habis-habis nak membuat musuh dengan adik kau! Orang tu belanja pampers, belanja susu untuk anak kau, kau tak perasan?”

Khalid bangun dan terus memanjat tangga dapur itu lalu menuju ke ruang tamu. Semasa menaiki tangga, kakinya sengaja dihentakkan kuat-kuat tanda protes.

Air mata Salimah sudah mula bergenang. Dadanya terasa sempit. Fidah yang diam di dalam bilik memasang telinga mendengar pertengkaran suami dan ibu mentuanya. Air matanya juga mengalir. Dia memerhati Khairul Naim yang sedang nyenyak tidur. Hatinya luluh. Fidah menanam tekad yang dia akan kembali bekerja setelah habis pantang. Dia tidak mahu menyusahkan ayah dan ibu mentuanya. Jika Khalid lepas tangan, Fidah yakin, dengan wang gajinya setiap bulan, dia boleh menyara Khairul Naim. Jauh di sudut hati, dia terasa menyesal kerana menjadi isteri Khalid. Namun, salahnya jua kerana terlalu terpesona dengan pujuk rayu Khalid hingga maruahnya tergadai.

Mungkin, inilah kifarah dosa yang perlu Fidah tanggung. Air matanya terus laju mengalir. Mujurlah ayah dan ibu mentuanya insan yang sangat baik hatinya. Adik-adik iparnya juga baik hati. Ada juga pertolongan ALLAH kepada insan yang menumpang sepertinya. Jika diikutkan hati, dia ingin pulang ke kampung. Pulang ke pangkuan ayah dan ibunya sendiri, namun Khalid melarang. Khalid tidak sebulu dengan abang-abang Fidah. Khalid sememangnya seorang lelaki yang tinggi egonya.

Abdul Ghani pulang ketika Khalid sudah siap memakai topi keledar dan bersedia hendak meninggalkan rumah. Sedikit pun dia tidak menegur ayahnya yang baru pulang dari pasar. Abdul Ghani pula, memang kebiasaannya terus menunggang motor hingga dekat dengan pintu dapur di bahagian belakang rumah mereka. Setelah enjin motor dimatikan, dia mengambil barang-barang pasar yang dipesan Salimah. Ketika dia melepaskan selipar jepunnya dan mula melangkah masuk ke dalam dapur rumah, dia sudah nampak wajah isterinya yang basah dek air mata. Abdul Ghani menggeleng-gelengkan kepala. Mangkuk yang berisi bawang-bawang, tidak terusik dan dibiarkan oleh Salimah.

Salimah hanya memerhati suaminya masuk ke rumah. Abdul Ghani meletakkan barang-barang yang dibeli di pasar Jalan Ibrahim itu dekat dengan sinki dapur. Dia kemudian datang kepada isterinya. Ditarik kerusi di kepala meja.

“Kenapa Mah?” Tanya Abdul Ghani lembut. Dipandangnya wajah tua Salimah yang sudah banyak kedutnya.
Isterinya itu hanya tersedu-sedan. Salimah hanya duduk tersandar. Bawang-bawang yang berada di dalam mangkuk, hanya separuh yang baru dikupas.
“Tadi si Khalid balikkan? Dah tu, pergi mana lagi dia?” Abdul Ghani masih mahu bertanya walau soalan pertama kepada isterinya tadi masih belum berjawab.
Salimah hanya mengangkat bahu.
“Dahlah Mah. Pedulikanlah dia. Kalau awak fikirkan sangat, nanti awak sakit. Sakit dada, sakit hati. Nanti kalau Fidah tahu, susah hati pulak dia,” Abdul Ghani memujuk.
Air mata Salimah masih lagi mengalir. “Dia tak terima saya tegurkan dia tak balik-balik. Kalau bukan nak menjenguk kita pun, jenguklah anak bini. Macam tak ada ayah saja si Naim tu,” Salimah akhirnya bersuara. Kesal.
“Saya dah kata, pedulikan. Kalau awak asyik fikirkan, awak yang sakit. Dia macam itu juga,” pujuk Abdul Ghani.
“Iyalah...ini masa kita ada lagi, bang. Kalau kita dah tak ada? Macam mana si kecik tu dengan Fidah?”

Abdul Ghani diam. Dia juga sebenarnya memikirkan hal si Khalid walau tidak menunjukkannya kepada Salimah. Dia cuba bersikap tenang. Di dalam solatnya, dia berdoa agar anak sulungnya itu berubah. Selebihnya, dia bertawakkal kepada ALLAH swt. Apa lagi yang mampu Abdul Ghani lakukan. Kalau boleh, mahu ditambat saja si Khalid itu. Tetapi, Khalid bukan lembu yang boleh ditambat di pangkal pokok. Khalid lelaki yang sudah dewasa, sudah besar panjang.

“Dahlah Mah. Jangan dilayan perasaan awak tu,” Abdul Ghani masih cuba memujuk. Dia menjeling jam di dinding dapur. Hampir ke pukul 10.00 setengah pagi.
Salimah dengan perlahan-lahan mengambil semula pisau yang terletak di atas meja lalu mengambil sebiji bawang dan mula mengupasnya. Dia menarik nafas panjang dan beristigfar beberapa kali.

“Hmm...baiklah awak mula memasak. Nanti karang, si Fidah tu, tak boleh makan lewat, masuk angin perutnya nanti. Saya tolong awak bersihkan ayam dengan ikan-ikan tadi eh.” Lembut tutur kata Abdul Ghani. Salimah yang masih menahan sebak, mengangguk perlahan dan memberikan senyuman hambar kepada suaminya.

Selepas pencen dan selepas menerima seorang cucu, Abdul Ghani memang banyak membantu Salimah di dapur. Walaupun dia tidak tolong memasak, dia akan membantu Salimah membersihkan ayam atau ikan sebelum diletakkan di dalam peti sejuk.  Dia bersyukur kerana ALLAH mengurniakan dia seorang suami yang penyayang dan bertanggungjawab. Khalid sahaja yang entah salah acuan. Dimana silapnya, Salimah tidak tahu.
           
            Jika dilihatkan pada bapa mentuanya, Pak Bidin Kopral Pencen dan adik iparnya di Melaka, kedua-dua darah daging Abdul Ghani ini, sampai ke tua bertanggungjawab kepada keluarga. Pak Bidin itu nampak sahaja garang, namun orang tua itu seorang ayah mentua yang baik hati. Anak-anak Salimah itu diberi macam-macam- kasih sayang, wang ringgit dan perhatian. Entah kenapa Khalid tidak mengikut jejak langkat atuk dan ayah saudaranya, Salimah tidak tahu. Mungkin inilah dugaan untuk Salimah. ALLAH swt telah mengurniakannya dengan suami yang baik, ayah mentua yang penyayang dan dua orang anak lelaki yang yang bertanggungjawab, ALLAH tarik sedikit nikmat dengan memberi ujian kepadanya dengan perangai anak lelaki sulungnya.

            Sambil mengupas bawang, Salimah terus berzikir di dalam hati. Dia memohon supaya ALLAH memberikan dia ketenangan. Janganlah hanya memandang kepada ujian dan dugaan ALLAH. Dia perlu juga mengingatkan diri sendiri yang ALLAH telah mengurniakannya dengan nikmat yang tidak terhingga. Kamaruddin seorang jurutera, Kamal Arif seorang anak yang baik hati serta penyayang. Suaminya Abdul Ghani itu seorang yang setia dan bertanggungjawab. Kasih Alia pula bakal menjadi seorang peguam. Salimah sebak lagi semasa mengupas bawang-bawang perencah masakannya. Dia beristigfar lagi. Kadang-kadang, apabila amarah menguasai diri, manusia adakalanya lupa dengan nikmat yang ALLAH kurniakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan