Suara
riuh rendah di hadapan pejabat Pengarah Urusan
Riana Koleksi mengganggu para petugas syarikat tersebut. Rafeah sudah memanggil pengawal keselamatan
agar menghalau Haziq yang mengamuk setelah mengetahui dia telah dibuang kerja. Suara Haziq memekik dan menjerit
memaki hamun Riana jelas kedengaran di
tingkat tersebut.
“Perempuan sundal! Tak guna! Kau
senang aje tendang aku keluar ya? Kau
isteri derhaka!” tempik Haziq, mukanya merah padam menahan marah. Kunci rumah
juga telah ditukar oleh isterinya itu.
Sudah seminggu dia tidak pulang ke rumah dan tidak dibenarkan
masuk. Memang tak guna punya perempuan,
detik hati kecil Haziq.
“Awak yang tak guna ke atau saya?’
tempelak Riana yang sudah tidak tahan lagi dengan sikap dan perbuatan suaminya
itu. Minggu lepas ada seorang perempuan yang datang ke rumah membeitahu yang
dirinya telah dihamilkan oleh Haziq dan suaminya itu berjanji hendak mengahwini
perempuan itu tetapi akhirnya Haziq menghilangkan diri. Hati siapa yang tidak sakit. Sudahlah menanggung malu malah berasa terhina
mempunyai suami yang hanya tahu berfoya-foya.
“Aku akan tuntut hak aku! Kau ingat
kau boleh hidup senang!” ugut Haziq.
“Awak nak tuntut apa? Sepanjang awak menjadi suami saya, apa yang
awak pernah beri pada saya? Saya yang tanggung awak tau!” Kalau boleh dia tidak mahu memburukkan
suaminya itu. Tidak manis para pekerjanya dengar. Tetapi Haziq sudah mendesak. Mulut celupar Haziq cukup menyakitkan.
“Kau hina aku ya Riana? Kau memang
perempuan tak guna!” jerit Haziq. Dia
mencekak pinggang. Bajunya sudah tidak
terurus.
“Siapa hina siapa ni? Baik awak pergi dari sini, sebelum pihak
polis sampai. Saya akan failkan
penceraian kita. Saya takkan tuntut
apa-apa daripada awak, lagipun awak tak ada apa-apa yang nak tuntut,” jelas
Riana. Merah padam mukanya yang putih
bersih itu.
“En. Haziq, tolonglah pergi!” rayu
Rafeah.
“Kau pun sama! Tali barut Riana!”
jerkah Haziq, hilang rasa malunya. Hatinya benar-benar sakit. Dia menendang apa sahaja yang ada di
hadapannya, bakul sampah yang terdapat di tepi sudut ruang legar bilik Pengarah
Urusan bertaburan jadinya. Dia
menunjukkan penumbuk. Hatinya masih tidak puas.
Riana benar-benar menghinanya. Membuangnya bagaikan sampah.
Haziq menuju ke keretanya yang sudah
beberapa bulan tidak dibayar. Selama ini Riana yang membayarnya, duit sakunya
juga tidak ada, Riana tidak lagi memberi duit belanja kepadanya. Memang menyakitkan! Dia menendang tayar kereta sendiri. Dia memandang bangunan Riana Koleksi dengan
hati yang membara. Benci! Benci dia pada perempuan yang pernah dikahwininya
itu. Ingatkan dapat mengahwini perempuan
berjaya seperti Riana dia mampu tumpang senang.
Rupanya tidak, perempuan itu lebih bijak daripadanya. Rupa macam orang bodoh tetapi lebih pandai
daripada dirinya yang tidak pandai mengatur strategik untuk merampaskan hak
Riana.
Haziq mundar-mandir di hadapan
keretanya, mencari jalan untuk mendapatkan duit daripada isterinya itu. Apa yang harus dia lakukan? Nak masuk dalam
rumah, tidak dibenarkan. Sampai di
hadapan pagar rumah, dia sudah diusir pergi. Tak guna! Tak guna! Marahnya dalam
hati. Akalnya terus berfikir mencari jalan untuk mendapatkan apa yang
dihajatinya.
“Haziq!” jerit seseorang.
Haziq menoleh. Seorang gadis
menghampirinya dengan wajah pucat lesi.
Haziq mengeluh.
“Awak ke mana? Keluarga saya
bertanyakan awak,” luah gadis itu, tangan Haziq ditariknya perlahan. Gadis itu
bertubuh kurus, bertshirt leher bulat, berseluar palazzo, rambutnya diikat seperti ekor kuda. Wajahnya pucat.
“Kau nak apa?” tanya Haziq sambil
menjeling tajam, kurang senang dengan kehadiran gadis itu.
“Nak apa? Saya dah mengandung Haziq!
Tolonglah bertanggungjawab!” terang gadis itu.
Haziq mencebik.
“Kenapa pula aku kena bertanggungjawab?
Bukan aku paksa kau pun!” Haziq
tersenyum sinis.
“Amboi! Masa tak dapat, bukan main
janji awak ya? Lepas saya awak
pergunakan, awak tinggalkan saya?” jerkah gadis itu. Dia menangis sayu.
“Hey! Kalau dah tahu ada maruah
diri, jagalah! Takkan sekali pujuk dah sanggup menyerah?” sindir Haziq.
“Awak!” Gadis itu memukul tubuh
Haziq.
“Apa main-main pukul ni!” Haziq
menolak gadis itu kasar sehingga jatuh ke tanah.
“Haziq!” Gadis itu menjerit. Dia menekan perut. Mukanya pucat, seperti
menahan kesakitan. Dia cuba bangun,
belum sempat dia berdiri dengan kukuh, darah mengalir di celah
kangkangnya. Dia ketakutan. Dia memandang ke bawah. Darah semakin banyak
mengalir.
“Haziq!” jeritnya. Cuba mengapai
tangan Haziq untuk membantunya.
Haziq yang melihat keadaan gadis itu
mula ketakutan. Dia menolak tangan gadis
itu dengan kasar. Gadis itu terjatuh
lagi.
“Hey!” jerit seseorang dari
kejauhan.
Haziq memandang ke arah empunya
suara, seorang lelaki berlari mendekatinya dan gadis itu. Dia membuka pintu kereta
dan menghidupkan kenderaannya terus melarikan diri.
“Awak tak apa-apa ke?” tanya lelaki
itu.
“Tolong bawa saya ke hospital,” rayu
gadis itu.
“Baik, saya bantu awak,” kata lelaki
itu.
Gadis itu dibangunkan
perlahan-lahan.
“Awak tunggu sini, saya ambil
kereta,” ujar lelaki itu penuh prihatin.
“Tapi… kotor kereta awak nanti,”
kata gadis itu.
“Tak mengapa.” Lelaki itu berlari
laju menuju ke keretanya yang terletak beberapa meter dari tempat gadis itu.
Di dalam kereta, Haziq tidak
keruan. Apa yang berlaku tadi benar-benar mengejutkannya. Tak sangka gadis yang pernah bekerja dengan
syarikat isterinya sanggup datang mencarinya.
Memang dia telah membuntingkan gadis tersebut. Tetapi bukan dia sahaja yang
bertanggungjawab, sama-sama rela. Siapa
suruh menyerah? Diakan kucing, kalau
ikan sudah tersedia di hadapan mata, tidak mungkinlah dia menolak. Itukan resmi seorang lelaki seperti dirinya.
Peduli apa dia dengan gadis itu? Tidak jadi kudis pun pada dirinya. Gadis itu
hanya tempat dia mengisi masa terluang dan lapangnya sahaja. Tempat dia
bermain-main sahaja. Gadis itu sahaja
yang perasan tidak bertempat.Uh! Menyusahkan dirinya sahaja. Lelaki tadi? Uh!
Pekerja Riana. Pasti menjadi berita terhangat di syarikat isterinya itu. Cis!
Semakin rosak pristasinya! Semakin laju dia memandu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan