Arman duduk menunggu di hadapan bilik rawatan.
Gadis tadi sudah pun selamat menjalani D & C, dia keguguran. Arman mengeluh. Dia sudah menelefon ke syarikat dan meminta
cuti separuh hari. Biar siapapun gadis
itu, dia perlu membantu sehingga selesai.
Tanggungjawab seorang manusia kepada manusia yang lain, apatah lagi
gadis itu dalam kesusahan. Sudah dua jam
gadis itu berada di dalam bilik rawatan tersebut. Dia mula gelisah. Janganlah berlaku yang
tidak baik terhadap gadis itu.
“Awak keluarga Diana?” tanya seorang jururwat yang masih
memakai topeng muka.
“Ya…” akui Arman. Habis takkan dia nak cakap dia tak kenal
gadis tersebut dan hanya menolong sahaja.
Lain pula ceritanya nanti, bisik hati kecil Arman.
“Kami dah bersihkan rahimnya,
sekejap lagi dia akan dibawa ke wad, awak boleh uruskan pendaftaran kemasukan
ke wad ya,” suruh jururawat tersebut.
Arman mengangguk dan berlalu pergi
mengikut langkah jururawat tersebut. Dia menarik nafas lega kerana gadis bernama Diana itu selamat. Walaupun kandungan gadis itu tidak dapat
diselamatkan, itu sudah kehendak takdir.
Setelah selesai segala urusan, Arman
menuju ke wad di mana Diana ditempatkan.
Arman mendekati Diana yang sedang
berehat akibat kesan ubat bius tadi. Dia
mengeluh, gadis itu masih muda sudah diuji dengan ujian yang berat.
“Cik! Cik Diana!” panggil Arman
perlahan.
Perlahan-lahan Diana membuka mata,
kepalanya masih terasa berat. Tekaknya meloya kesan ubat bius yang disuntik
pada tubuhnya sebelum D & C dijalankan terhadapnya. Kandunganya yang berusia tiga bulan sudah
keguguran. Dosa yang ditanggungnya
akibat perbuatan sendiri sudah lenyap daripada dirinya. Dia menahan rasa sebak dan sesal di hati.
“Awak nak saya hubungi keluarga
awak?” tanya Arman, masih memerhati wajah muram gadis itu.
“Terima kasih kerana membantu saya,
kalau tak awak tadi, tentu saya dah mati agaknya,” ucap Diana. Wajahnya
bertukar mendung, hanya menunggu waktu hujan turun membasahi kedua belah pipi.
“Awak tak nak hubungi keluarga awak
ke?” tanya Arman sekali lagi.
Diana menggeleng laju.
“Jangan macam tu, awak buat salah,
tentulah mereka marah, tapi mereka takkan buang awak selamanya,” nasihat Arman.
Dia mengeluh kesal.
“Saya malu! Saya dah malukan
keluarga saya,” luah Diana.
“Perkara dah berlaku, saya harap
awak insaf. Maruah seorang perempuan,
tinggi nilainya. Sudahlah, tak usah awak kenang. Allah beri awak peluang
kedua,” nasihat Arman lagi.
“Ya, saya mudah sangat terpengaruh
dengan pujuk rayu seorang lelaki.” Air
mata sudah menitis perlahan-lahan.
Arman mengeluh sekali lagi. Apakan dayanya untuk membantu. Terpulanglah kepada Diana untuk mengubah
nasib dirinya.
“Saya minta diri dulu, awak
telefonlah keluarga awak, mereka akan maafkan kekhilafan awak tu,” pujuk Arman
sekali lagi sebelum dia beransur pergi
Arman kembali ke pejabat. Dia mengeluh kesal dengan sikap sesetengah
perempuan yang mudah percaya dengan pujuk rayu seorang lelaki. Kalau sudah
menjadi suami, itu lainlah ceritanya. Maruah diri seorang perempuan tinggi
nilainya, itulah yang sering diberitahu oleh emaknya. Emaknya selalu berpesan
agar melayan sesiapa sahaja dengan baik, terutama golongan yang lemah seperti
perempuan yang mudah patah hatinya, mudah mengikut dan percaya seseorang tanya
sebab. Pesan emak, hormati seorang
perempuan kerana mereka juga bakal menjadi isteri dan ibu. Kenapa hendak
dirosakkan hidup mereka hanya kerana lelaki boleh buat apa sahaja. Arman ingat pesanan emaknya itu. Itu sebabnya, sampai sekarang dia tidak berteman, terlalu menghormati mereka sehingga
tiada ruang untuk mencintai mereka.
Arman tersenyum sendiri.
“Senyum sorang-sorang, nanti orang
kata gila!” sergah Rafeah yang muncul
tiba-tiba “Kak Feah,” sapa Arman.
Rafeah melangkah masuk, dia duduk di
kerusi berhadapan dengan Arman.
“Apa yang kau buat tadi tu, memang
bagus Arman… Tuan Haziq tu memang tak sedar diri, asyik permainkan perempuan
aje,” puji dan kutuk.
“Kasihan perempuan tu Kak Feah,
sudahlah keguguran, dibuang keluarga, lelaki yang menghamilkannya tak nak
bertanggungjawab.
“Nak buat macam mana, salah
perempuan juga, mudah sangat layu,” bentak Rafeah.
“Ait! Kaum akan sendiri tu, salah
lelaki juga kak, kalau tak merayu takkan termakan pujuk,” jawab Arman.
“Diana tu bekas pekerja kita,
kasihan dia,” terang Rafeah.
“Bekas pekerja syarikat ini? Dah lama berhenti ke kak?”
“Sejak dia tahu, dia mengandung,”
jelas Rafeah.
Arman terdiam, mungkin malu
agaknya. Malu yang sudah terlambat,
tetapi tidak lambat untuk bertaubat.
“Akak datang ni ada apa?” Arman
memandang wajah kakak sepupunya yang masih bersendirian. Entah bila hendak berumah tangga. Memilih
sangat agaknya.
“Dua tiga hari lagi stok baru
sampai, nanti kau periksa ya,” ujar Rafeah sambil menghulurkan fail berisi senarai stok baharu untuk
Butik Riana Koleksi.
Arman meneliti fail tersebut. Banyak juga barang baharu akan masuk. Beberapa cawangan Butik Riana Koleksi juga
akan menerima stok tersebut. Semuanya perlu diuruskan sebelum cukup bulan. Pada waktu hujung bulanlah, orang ramai akan
membeli-belah.
“Baik kak, barang dah sampai saya
akan uruskan,” jawab Arman.
“Terima kasih kerana bekerja dengan
baik, tak malu akak rekomen kau,” ucap Rafeah.
“Terima kasih pada akak juga, mak
kirim salam.”
“Hari-hari kau telefon mak kau ke?”
Rafeah membeliakkan mata.
Arman mengangguk perlahan lalu
tersenyum.
“Alahai, anak omak!” kata Rafeah
mengusik.
Mereka sama-sama ketawa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan