Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 18 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 11- ASMAH HASHIM



Arman  duduk menunggu di hadapan bilik rawatan. Gadis tadi sudah pun selamat menjalani D & C, dia keguguran.  Arman mengeluh.  Dia sudah menelefon ke syarikat dan meminta cuti separuh hari.  Biar siapapun gadis itu, dia perlu membantu sehingga selesai.  Tanggungjawab seorang manusia kepada manusia yang lain, apatah lagi gadis itu dalam kesusahan.  Sudah dua jam gadis itu berada di dalam bilik rawatan tersebut.  Dia mula gelisah. Janganlah berlaku yang tidak baik terhadap gadis itu.
            “Awak keluarga  Diana?” tanya seorang jururwat yang masih memakai topeng muka.
            “Ya…” akui Arman.  Habis takkan dia nak cakap dia tak kenal gadis tersebut dan hanya menolong sahaja.  Lain pula ceritanya nanti, bisik hati kecil Arman.
            “Kami dah bersihkan rahimnya, sekejap lagi dia akan dibawa ke wad, awak boleh uruskan pendaftaran kemasukan ke wad ya,” suruh jururawat tersebut.
            Arman mengangguk dan berlalu pergi mengikut langkah jururawat tersebut. Dia menarik nafas lega kerana gadis  bernama Diana itu selamat.  Walaupun kandungan gadis itu tidak dapat diselamatkan, itu sudah kehendak takdir.
            Setelah selesai segala urusan, Arman menuju ke wad di mana Diana ditempatkan.  Arman mendekati  Diana yang sedang berehat akibat kesan ubat bius tadi.  Dia mengeluh, gadis itu masih muda sudah diuji dengan ujian yang berat.
            “Cik! Cik Diana!” panggil Arman perlahan.
            Perlahan-lahan Diana membuka mata, kepalanya masih terasa berat. Tekaknya meloya kesan ubat bius yang disuntik pada tubuhnya sebelum D & C dijalankan terhadapnya.  Kandunganya yang berusia tiga bulan sudah keguguran.  Dosa yang ditanggungnya akibat perbuatan sendiri sudah lenyap daripada dirinya.  Dia menahan rasa sebak dan sesal di hati.
            “Awak nak saya hubungi keluarga awak?” tanya Arman, masih memerhati wajah muram gadis itu.
            “Terima kasih kerana membantu saya, kalau tak awak tadi, tentu saya dah mati agaknya,” ucap Diana. Wajahnya bertukar mendung, hanya menunggu waktu hujan turun membasahi kedua belah pipi.
            “Awak tak nak hubungi keluarga awak ke?” tanya Arman sekali lagi.
            Diana menggeleng  laju.
            “Jangan macam tu, awak buat salah, tentulah mereka marah, tapi mereka takkan buang awak selamanya,” nasihat Arman. Dia mengeluh kesal.
            “Saya malu! Saya dah malukan keluarga saya,”  luah Diana. 
            “Perkara dah berlaku, saya harap awak insaf.  Maruah seorang perempuan, tinggi nilainya. Sudahlah, tak usah awak kenang. Allah beri awak peluang kedua,” nasihat Arman lagi.
            “Ya, saya mudah sangat terpengaruh dengan pujuk rayu seorang lelaki.”  Air mata sudah menitis perlahan-lahan.
            Arman mengeluh sekali lagi.  Apakan dayanya untuk membantu.  Terpulanglah kepada Diana untuk mengubah nasib dirinya. 
            “Saya minta diri dulu, awak telefonlah keluarga awak, mereka akan maafkan kekhilafan awak tu,” pujuk Arman sekali lagi sebelum dia beransur pergi
            Arman kembali ke pejabat.  Dia mengeluh kesal dengan sikap sesetengah perempuan yang mudah percaya dengan pujuk rayu seorang lelaki. Kalau sudah menjadi suami, itu lainlah ceritanya. Maruah diri seorang perempuan tinggi nilainya, itulah yang sering diberitahu oleh emaknya. Emaknya selalu berpesan agar melayan sesiapa sahaja dengan baik, terutama golongan yang lemah seperti perempuan yang mudah patah hatinya, mudah mengikut dan percaya seseorang tanya sebab.  Pesan emak, hormati seorang perempuan kerana mereka juga bakal menjadi isteri dan ibu. Kenapa hendak dirosakkan hidup mereka hanya kerana lelaki boleh buat apa sahaja.  Arman ingat pesanan emaknya itu.  Itu sebabnya, sampai sekarang dia tidak  berteman, terlalu menghormati mereka sehingga tiada ruang untuk mencintai mereka.  Arman tersenyum sendiri.
            “Senyum sorang-sorang, nanti orang kata gila!” sergah  Rafeah yang muncul tiba-tiba        “Kak Feah,” sapa Arman.
            Rafeah melangkah masuk, dia duduk di kerusi berhadapan dengan Arman.
            “Apa yang kau buat tadi tu, memang bagus Arman… Tuan Haziq tu memang tak sedar diri, asyik permainkan perempuan aje,”  puji dan kutuk.
            “Kasihan perempuan tu Kak Feah, sudahlah keguguran, dibuang keluarga, lelaki yang menghamilkannya tak nak bertanggungjawab.
            “Nak buat macam mana, salah perempuan juga, mudah sangat layu,” bentak Rafeah.
            “Ait! Kaum akan sendiri tu, salah lelaki juga kak, kalau tak merayu takkan termakan pujuk,”  jawab Arman.
            “Diana tu bekas pekerja kita, kasihan dia,” terang Rafeah.
            “Bekas pekerja syarikat ini?  Dah lama berhenti ke kak?”
            “Sejak dia tahu, dia mengandung,” jelas Rafeah.
            Arman terdiam, mungkin malu agaknya.  Malu yang sudah terlambat, tetapi tidak lambat untuk bertaubat.
            “Akak datang ni ada apa?” Arman memandang wajah kakak sepupunya yang masih bersendirian.  Entah bila hendak berumah tangga. Memilih sangat agaknya. 
            “Dua tiga hari lagi stok baru sampai, nanti kau periksa ya,” ujar Rafeah sambil menghulurkan  fail berisi senarai stok baharu untuk Butik   Riana Koleksi.      
            Arman meneliti fail tersebut.  Banyak juga barang baharu akan masuk.  Beberapa cawangan Butik Riana Koleksi juga akan menerima stok tersebut. Semuanya perlu diuruskan sebelum cukup bulan.  Pada waktu hujung bulanlah, orang ramai akan membeli-belah.
            “Baik kak, barang dah sampai saya akan uruskan,”  jawab Arman. 
            “Terima kasih kerana bekerja dengan baik, tak malu akak rekomen kau,” ucap Rafeah.
            “Terima kasih pada akak juga, mak kirim salam.”
            “Hari-hari kau telefon  mak kau ke?”  Rafeah membeliakkan mata.
            Arman mengangguk perlahan lalu tersenyum.
            “Alahai, anak omak!” kata Rafeah mengusik.
            Mereka sama-sama ketawa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan