Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 29 Julai 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 15 - ASMAH HASHIM



            Suasana cuaca di luar diterangi cahaya matahari yang berwarna keemasan.  Tenang dan mendamaikan.  Di dalam rumah banglo dua tingkat sepasang suami isteri sedang menikmati sarapan pagi yang enak. Masing-masing tidak bersuara. Melayan perasaan sendiri sambil menikmati makanan yang terhidang.  Riana menyapu bibirnya dengan tisu dan memandang wajah suaminya. 
            “Saya nak awak berkahwin dengan Diana, hujung bulan ini,” beritahu Riana selamba dan dengan wajah yang serius.
            “Apa?”  Haziq tersedak, cepat-cepat mengambil gelas yang berisi air dan meneguknya rakus.  Dia menepuk-nepuk dada.  Hampir tercekik makanan yang sedang dijamahnya itu.
            Terlopong mulut Haziq mendengar cadangan yang keluar dari mulut Riana, isterinya itu. Mengahwini Diana?  Gila!  Haziq mengeluh berat.  Wajahnya kelat.  Baru beberapa bulan dia cuba bersikap baik, berlagak baik seperti seorang suami mithali, tiba-tiba diterjah dengan berita yang mampu membunuh seluruh jiwa raganya.  Diana? Bekas pekerja isterinya yang dilayan demi kepuasan diri, bersuka-suka, hanya main-main mencari keseronokkan seorang lelaki dan perempuan.  Kalau hendak dibuat isteri sudah tentu dia telah meminang gadis itu  sebelum dirosakkan. 
            Hari ini, isterinya mengkhabarkan berita yang meragut rasa ketenangan yang dirasakan beberapa hari ini, tiada sebarang gangguan daripada gadis tersebut.  Entahkan masih hidup atau sudah mati.
            “Bagaimana?  Itu syarat saya jika abang hendak terus tinggal di rumah ini,” ujar Riana serius. 
            “Awak nak suruh abang buat apa? Ceraikan awak?”  Haziq cuak. Tidak mungkin Riana sanggup bermadu?
            “Tidak! Saya masih isteri awak,” ucap Riana selamba. 
            “Gila!”  kata Haziq agak kasar.
            “Saya benarkan awak berfikir beberapa hari.  Kalau awak masih hendak tinggal di sini dan menjadi sebahagian daripada keluarga ini, awak harus berkahwin dengan Diana,”  kata Riana sekali lagi.  Serius wajahnya seserius kata-kata yang keluar dari bibirnya. 
            Haziq mengetap bibir.  Diana, gadis tinggi lampai, berkulit kuning langsat.  Bukan cantik sangat jika hendak dibandingkan dengan Riana, entah kenapa dia menjebak gadis itu dengan mainan cinta palsunya sehingga gadis itu mengandungkan anaknya.  Sepatutnya dia gembira kerana dikurniakan seorang anak, tetapi anak itu tidak sah, anak haramnya, tiada apa yang ingin dibanggakan pun. 
            “Rin… tak boleh ke awak ubah cadangan awak tu,” pinta Haziq.
            Riana yang sedang menikmati sarapan hanya menggeleng perlahan.  
            Haziq mengelap bibirnya setelah selesai menjamah sarapan.  Dia memandang tajam wajah Riana yang masih tidak melakarkan sekuntum senyuman pun.  Apa yang ada di dalam hati wanita yang tampak tenang dan berwajah serius itu?  Riana sudah jarang bercerita tentang syarikat atau tentang dirinya.  Biarpun mereka berdua berada dekat tetapi bagaikan jauh, seolah-olah masing-masing adalah dua manusia asing yang tinggal di satu kawasan kerana terpaksa atau dipaksa.
            “Saya takkan kahwin dengan Diana!” protes Haziq.
            “Sewaktu awak rosakkan dia, ada awak fikir?  Maruah dia awak rentap mudah aje, sekarang, awak kata tak nak kahwin dengan dia?”  Riana memandang tajam wajah Haziq.
            “Dia yang rela, bukan paksaan pun!” kata Haziq membela diri.
            “Kalau awak tak goda dia, perkara itu takkan terjadi.” Riana mencebik.
            “Kalau dia tak mahu takkan berlaku.  Bertepuk sebelah tangan manakan berbunyi,”  kata Haziq masih membela dirinya.
            “Tak kisahlah! Kalau awak masih ingin saya tanggung awak sepenuhnya, awak kena ikut cadangan saya,” kata Riana agak kasar.
            “Awak memang dah tak betul agaknya!” jerkah Haziq.
            Riana tersenyum sinis.
            “Saya jadi tak betul kerana awak!”  tempik Riana geram. 
            “Rin, saya sayangkan awak.  Cukuplah awak aje isteri saya,”  ucap Haziq, cuba meyakinkan Riana.
            “Saya dah buat keputusan. Keputusan saya juga muktamad. Keluarga Diana saya kenal, kedua orang tuanya baik dengan saya, dia dah seperti adik saya sendiri, awak sanggup buat tak senonoh  dengan  pekerja saya?”  kata Riana geram.  Bernanar hatinya ketika mendapat tahu lelaki itu ada hubungan sulit dengan pekerjanya sendiri.
            “Berapa kali saya nak katakan.  Dia sendiri yang mendekati saya, takkan saya nak tolak?”
            “Kalau awak seorang lelaki yang baik, awak tetap akan tolak!”  Riana memukul dada Haziq yang berdiri di sebelahnya. 
            Haziq menahan lengan Riana dari terus memukulnya.  Ingatkan rasa amarah isterinya itu sudah ghaib, rupanya masih membengkak di hati.  Dia mengeluh berat.
            “Selama ini saya bersabar dengan awak! awak guna duit syarikat untuk membeli barang-barang mewah! Awak guna duit syarikat sesuka hati awak tanpa meminta izin daripada saya, saya lantik awak jadi pengurus akaun dan menjaga harta saya kerana saya percayakan awak, awak suami saya.  Saya yakin awak takkan khianati saya!  Tapi rupanya!”  Riana menahan pilu.  Dia meluahkan perasaannya.  Dia bingkas bangun dan berdiri menghadap laman rumah yang terhias indah dengan pokok renek dan bunga-bungaan.  Pandangan yang mendamaikan tetapi tidak sedikit pun mendamaikan hatinya.
            Haziq mati kata-kata. Wajajah garang Riana dipandang sekali imbas.  Nampaknya, isterinya itu benar-benar marah. 
            “Saya bukan nak habiskan harta awak, hanya ambil sedikit aje,” ujar Haziq.  Dia tersenyum.
            “Sedikit pun, kalau sudah selalu, boleh gulung tikar tau!” kata Riana garang.
            “Maafkan abang.  Abang janji takkan buat lagi!’ janji Haziq sambil mengangkat kedua belah tangannya.
            “Empat tahun kita berkahwin, awak hanya tahu menghabiskan duit saya aje,” jelas Riana perlahan. 
            “Saya mengaku, saya bersalah pada awak.” Haziq mendekati Riana. Cuba memegang bahu isterinya, namun ditolak dengan kasar.
            “Minggu hadapan, awak akan bernikah dengan Diana, itu keputusan saya, segala borang kebenaran untuk awak bernikah lagi telah pun saya sediakan, keluarga Diana serta Diana sendiri telah bersetuju, awak hanya perlu datang sebagai pengantin lelaki pada hari pernikahan nanti.  Saya sudah aturkan semuanya sekali,”  kata Riana tenang semula.  Dia berlalu meninggalkan suaminya di ruang makan itu sendirian.
            Haziq menunduk seketika. Isterinya memang sudah hilang akal sehingga sanggup memaksanya berkahwin lagi. Kalau perempuan yang lain atau sememangnya sesuai dengan seleranya, pastilah dia tidak menolak.  Neelofa ke? Erra Fazira ke? Uh! Citarasa tinggi! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan