Fail-fail akaun yang tersusun di
atas mejanya telah siap dikemas kini. Alhamdulillah, tugasan yang diberi mampu
dilakukan dengan baik. Sudah seminggu
dia bekerja di Syarikat Riana Collections, pemilik butik tudung dan jubah yang
terbesar di negara ini. Nama syarikat
itu amat dikenali. Beroperasi di sebuah
bangunan empat tingkat di tengah bandaraya Kuala Lumpur memudahkan orang ramai
datang membeli di situ. Malah harga yang
ditawarkan juga tidak terlalu mahal.
Arman menegangkan urat di leher dan tubuhnya, sudah berjam duduk
menghadap skrin komputer dan fail-fail tersebut. Terasa lenguh segala urat saraf.
“Arman… dah siap akaun bulan lepas?”
tanya Rafeah yang tiba-tiba muncul di hadapan pintu bilik sepupunya itu.
“Dah Kak Fea, akak nak sekarang ke?”
Pandangannya ditepatkan ke arah Rafeah yang melangkah masuk.
“Ya, Puan Besar nak tengok, cepatnya
kau buat, baru kerja seminggu dah siap semuanya?” Rafeah membelek beberapa buah fail yang
terdapat di atas meja adik sepupunya itu.
Dia tersenyum bangga. Tidak sia-sia dia memaksa adik sepupunya itu
bekerja di syarikat kawan baiknya itu.
“Ala kak, saya bawa balik rumah,
siapkan satu persatu, kacang aje kak,” jawab Arman penuh yakin. Dia bukan ada
sesiapa yang nak ganggu, orang bujang. Boleh buat kerja 24 jam tanpa henti.
“Bagus! Kalau macam ni, akak boleh
rekomen kenaikan gaji,” janji Rafeah.
“Ait! Baru kerja seminggu dah nak
naik gaji? Murah rezeki akak dan bos besar nanti.” Arman tersenyum.
“Puan besar pemurah orangnya, janji
kerja jujur dan rajin, adalah imbuhannya./ Okeylah, akak keluar dulu.” Setelah mengambil beberapa buah fail, Rafeah
terus keluar.
Arman memerhatikan sahaja langkah
kakak sepupunya itu. Rafeah tua beberapa tahun sahaja daripada dirinya, emak
Rafeah dan emaknya adik-beradik. Mereka tingggal di kampung yang sama. Janji
emak Rafeah akan menjengok emaknya
membuatkan dia mengikut sahaja kehendak Rafeah dan emaknya agar dia bekerja
makan gaji. Apa yang penting baginya, ada orang yang boleh menjengok emaknya
sekali sekala.
Di bilik Pengarah Urusan Riana
Collections…
Riana tersenyum melihat hasil kerja
pegawai akaunnya yang baru. Cepat dan cekap.
Tidak salah dia mengambil pemuda itu bekerja dengannya. Rafeah tidak salah memilih. Sesekali dia memandang wajah sahabatnya yang
setia sehingga sekarang.
“Bagus adik sepupu kau ni, seminggu
dah siap akaun untuk beberapa bulan?
Bagus, aku suka cara kerjanya,” puji Riana. Dia meneliti unjuran akauan bulan lepas.
Keuntungan berganda sebab promosi jualan murah yang diadakan dan koleksi edisi
terhad menarik hati para pembeli jubah dan tudung jenama Riana.
“Dia memang budak yang baik Rin, nak
ajak ke mari pun, jenuh aku dan emak aku kena yakinkan dia. Tak nak langsung tinggalkan emaknya. Takut sangat emaknya kesunyian, sedangkan saudara
mara tinggal berdekatan. Tahulah mereka nak jaga adik beradik sendiri,”
jelas Rafeah tentang adik sepupunya itu.
Riana terangguk-angguk mendengar
cerita sahabatnya itu. Dia pasti tidak
salah memilih. Sebelum ini suaminya yang
uruskan kauan syarikat. Sejak akauan
asyik tidak sama sahaja, dia tekad mengambil pegawai akaun yang baru. Duit syarikat di dalam akaun asyik menyusut,
siapa yang tidak bimbang.
“Rin! Kau tukar pegawai akauan? Habis tu abang nak kerja kat mana?” tempelak
satu suara yang muncul tiba-tiba di sebalik pintu yang tertutup rapi.
Tersentak keduanya.
“Hai, dah tak pandai beri salam ke?”
soal Riana acuh tak acuh. Hatinya
berbekam marah melihat wajah lelaki yang sudah empat tahun dikahwininya
itu. Sudah seminggu menghilangkan diri,
tiba-tiba muncul hari ini.
“Kau beri jawatan abang pada orang lain?” marah Haziq menyinga. Terasa dirinya dibuang begitu sahaja.
“Saya cari orang yang layak jaga
akaun syarikat saya,” jelas Riana tanpa memandang wajah suaminya itu. Riana
membetulkan tudung bertingkat ciptaannya sendiri yang terasa senget di
kepala. Jubah labuh berbunga ros merah
hati, bertanahkan warna hitam cukup
cantik ditubuh langsingnya. Air mukanya
tenang, biarpun ketika itu hatinya berpusing ligat bagaikan putting beliung, menahan
rasa marah, geram dan sakit hati dengan sikap acuh tak acuh suami sendiri
melakukan kerja yang diamanahkan.
“Kenapa? Abang tak layak? Rin nak
cakap abang tak layak jaga akaun syarikat isteri sendiri? Begitu?” Haziq
mencebik.
“Dua bulan lepas abang keluarkan
RM10k dari akaun syarikat. Bulan lepas
RM15k abang ambil. Abang tak bagitahu
Rin pun? Duit itu abang buat apa?
Gaji yang Rin beri tak cukup lagi ke?
Segalanya Rin sediakan, duit kereta Rin yang bayar. Abang buat apa
dengan duit tersebut?” Riana mengetap
bibir. Biarpun ini syarikat sendiri
tetapi pengeluaran duit harus juga berhati-hati. Biar keuntungan besar mana pun, tidak
bolehlah membazir. Belanja kenalah
berhemah. Dia sendiri berhati-hati dalam
berbelanja. Beli apa yang perlu sahaja,
tidak mahu membazir, bukan mudah untuk dia berada di tahap sekarang ini. Dibayar dengan kudrat dan air mata.
Bersengkang mata untuk berjaya.
“Inikan syarikat kita, takkan nak
berbelanja lebih sikit tak boleh?” Haziq
terus melabuhkan punggungnya di sofa kulit berwarna krim yang tersusun kemas di
dalam pejabat isterinya itu. Wajahnya cemberut, rambutnya diusap
berkali-kali. Berbaju kemeja berwarna
unggu muda, berseluar slack hitam.
Hidung mancung, pipi bersih dari sebarang jerawat. Kacak orangnya.
“Syarikat saya, bukan syarikat
kita!” tegas Riana.
Rafeah yang masih berada di dalam
bilik itu berasa kurang selesa.
“Aku minta diri dululah Rin, ada
apa-apa kau panggil aku ya.” Rafeah segera melangkah keluar. Dia sempat menjeling ke arah Haziq yang duduk
bersilang kaki. Menyampah! Jenis buaya makan hasil titik peluh isteri
sendiri! Dia mengeluh kesal.
Riana hanya menggangguk. Dia mengeluh. Penat menjaga hati seorang
lelaki yang bergelar suami tetapi tidak pandai menghargai dirinya sebagai
seorang isteri.
“Abang ke mana seminggu ni? Hari ini
baru balik? Saya telefon langsung tak berjawab?” soal Riana. Dia bingkas bangun mendekati suaminya yang
duduk santai di sofa.
“Sesekali aku nak juga bercuti,
asyik bekerja aje,” luah Haziq.
“Kerja apa yang abang buat? Akauan syarikat pun abang suruh budak kerani
yang buatkan, abang ingat saya tak tahu? Mana tanggungjawab abang. Tahunya ambil duit syarikat aje, gaji saya
beri pada abang bukan sikit tau, kata pandai buat akauan, ada kelayakan, selama
empat tahu abang membantu saya, semua kerja tu budak kerani aje yang buat,
kan?” tempelak Riana, geram. Dia sudah lama bersabar dengan sikap lelaki yang
berada di hadapannya itu. Riana meraup
wajahnya. Kalaulah talak di tangannya
dia rela bergelar janda lagi. Entah kenapalah nasibnya, asyik bertemu dengan
lelaki yang tidak berguna sahaja. Suami
pertama penagih dadah. Suami sekarang asyik berpoya dan menghabiskan duit
sahaja.
“Ala! Setakat nak tulis duit keluar
masuk, apa susahnya? Rin saja nak cari
salah abang kan?” Haziq bingkas bangun dan mencekak pinggang. Dia tersenyum sinis.
“Cakap senanglah! Ada abang buat?”
Riana memeluk tubuh. Degup jantungnya
semakin bergetar ligat. Melonjak rasa
amarahnya. Hilang rasa hormat terhadap
lelaki yang sekian lama bergelar suami kepadanya.
“Apa yang Rin marahkan sangat
ni? Dah lingkup ke syarikat Rin?”
“Belumlah lagi, kalau dibiarkan
abang bermaharajalela ambil duit syarikat, lama-lama boleh lingkup tau!” marah
Riana.
“Kedekut!” kata Haziq sepatah.
“Kedekut? Abang tahu tak betapa
susah Rin nak berada di tahap ini? Rin
bersengkang mata siang dan malam, tak kira hujan, ribut atau apa sahaja, semua
Rin redah demi mencari rezeki untuk anak-anak Rin, sampailah Rin berjaya bina
empayar Rin sendiri. Rin kahwin dengan
abang pun ingatkan abang seorang lelaki yang jujur dan bertanggungjawab,
rupanya abang berpura-pura sahaja. Abang
nak rampas hak Rin, kan?” marahnya
meledak. Terlalu lama dia menyimpan
perasaan itu. Terlalu lama dia memendam rasa.
“Ungkitlah! Ungkit!” marah Haziq pula. Laju dia melangkah keluar
meninggalkan Riana mengamuk sendiri.
Riana mengenggam erat jari
jemarinya. Kenapalah ada lelaki seperti
ini dilahirkan ke dunia ini? Kenapalah
dia termakan pujuk rayu dan janji palsu lelaki seperti Haziq, sepatutnya
pengalaman yang lalu telah banyak mengajarnya agar berhati-hati dan tidak mudah
jatuh cinta lagi. Kali ini dia melakukan
kesilapan lagi. Kesilapan yang mampu menjahanamkan hidupnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan