Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 3 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 18 - ASMAH HASHIM



            Riana menerangkan satu persatu syarat yang telah ditetapkan, program yang telah diatur buat Haziq dan Diana selama tiga bulan sebelum mereka berumah tangga.  Riana menangguhkan seketika majlis perkahwinan mereka berdua sehingga segalanya selesai.  Arman juga telah  membawa seorang ustazah dan seorang ustaz untuk mengajar kedua pasangan tersebut. Ilmu agama penting sebelum berumah tangga.  Lainlah kalau pasangan itu memang sudah ada ilmu di dada. Ini kering kontang. Kalau ada tidaklah hidup bergantung pada pendapatan isteri, dan seorang lagi tidaklah terpengaruh dan termakan pujuk rayu.
            “Belajar mengaji?  Belajar agama?  Rin dah gila ya?”  bentak Haziq.  
            “Gila apanya belajar agama sendiri?  Abang agaknya yang hilang akal?  Dah pandai sangat ke? Sampai tak nak menambah ilmu di dada?  Tuntutan bang! Tuntutan kita sebagai orang Islam, faham tak?” marah Riana.  Adakah belajar agama dikatakan gila?  Siapa yang gila sebenarnya?
            “Kau Diana? Macam mana? Tak nak juga?”  Riana memandang wajah bakal madunya yang masih kelihatan serba salah.
            “Sss… sa… saya ikut sahaja,” ujar Diana.
            “Nanti-nantilah abang belajar!” Haziq masih menolak.
            “Tak ada nanti-nanti!  Mulai esok kelas akan bermula.  Abang bukan perlu ke tempat kerja.  Ustaz akan datang ke mari mengajar.  Kau Diana, ustazah akan datang ke rumah orang tua kau, jangan culas dan jangan ponteng kelas.  Kedatangan akan diambil, perkembangannya akan saya pantau. Jangan macam-macam.  Ada ujian tau! Kalau markah rendah, saya akan tambah lagi waktu belajar,” jelas  Riana.  Dia memandang wajah kedua manusia yang telah menyakiti hatinya.  Manusia yang curang terhadapnya.  Sebak dadanya memikirkan nasib rumah tangganya.
            “Rin!”  Haziq cuba membantah.
            Riana menjegilkan mata. 
            Haziq menunduk perlahan. Jelas kedengaran keluhan berat terlahir di bibirnya.
            “Maafkan saya Puan Riana,”  ucap Diana perlahan.
            “Saya dah lama maafkan awak.  Perkara sudah berlaku, nak buat macam mana?  Awak sendiri yang gatal, layan suami orang.  Sampai terlanjur.  Murah sungguh maruah awak ya?  Awak tak belajar agama ke?  Awak tak tahu malu?  Bukan maruah awak sahaja tau, maruah saya, maruah keluarga awak, keluarga saya, semuanya tercemar, gara-gara ikutkan sangat kehendak syaitan! Kalau dah suka sama suka, nikah aje! Kalau dah suka sama suka, kenapa tak kahwin dulu?  Kenapa mudah sangat menyerah?  Lelaki yang baik, takkan rosakkan maruah kita tau, kalau dia benar-benar nak jadikan kita isteri, dia takkan sentuh kita, takkan minta kita berkorban, atas nama cinta!  Sudah terpampang di akhbar, kes buang bayi, itu semua kerana cintalah! Waktu seronok, lupa semuanya, bila dah mengandung, susahkan mak bapa!” bebel Riana, geram dan marah.  Kenapa susah sangat nak jaga maruah dan harga diri?  Kalau ikutkan hati dialah, mahu sahaja penyepak naik ke muka.  Muka bukan main lagi nampak baik, tapi perangai macam iblis! Buat malu keturunan Hawa sahaja!
            “Saya memang malu puan, keluarga saya tak habis-habis dihina oleh penduduk kampung sampai emak saya tak nak keluar rumah.  Semuanya salah saya.  Mereka tidak buang saya, tapi melihat keadaan mereka, buat hati saya sakit.  Saya telah lukakan hati mereka,”  kata Diana sebak. 
            “Itulah balasan yang kita dapat Diana, kita hanya ingin berseronok.  Tapi yang menjadi mangsa atas perbuatan kita yang sebenar adalah keluarga kita.” Riana mengeluh kesal.  Penat lelah orang tua menjaga sehingga dewasa, mudah sahaja dicemar oleh lelaki hidung belang seperti Haziq yang tidak bertanggungjawab sesama Islam, tidak kiralah berlainan jantina.  Jagalah kesucian sesama manusia. Yang dicemar bangsa sendiri, beragama Islam, yang malu juga bangsa sendiri, agama Islam juga.  Riana mengeluh berat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan