Ahad, 16 Oktober 2016

JALAN PULANG - BAB 14- ASMAH HASHIM



Di satu kawasan di luar Kuala Lumpur, seorang lelaki berperut buncit dan berkepala botak, bertubuh kekar, terketar-ketar berhadapan dengan ketua besarnya.  Suaranya tersekat-sekat ketika membentangkan hasil jualan bulan itu.  Kejatuhan sebanyak 70 peratus.  Boleh tutup kedai kalau begini berterusan.  Wajah Buncit pucat ketakutan.  Untung tidak dilihat oleh anak-anak buahnya, jika tidak malu besar.  Dia mengesat peluh yang memenuhi kepalanyayang tidak berambut.  Buncit mengeluh berat.  Pertama kali dalam sejarah pendapatannya sebagai pengedar dadah di kawasan pendalamanan grafnya jatuh merundum.  Kalau terpampang di bursa saham sudah pasti warna merah yang terpancar di situ.  Berdebar-debar hatinya, menunggu perkataan keluar dari mulut   ketuanya itu.
            Lelaki yang berwajah tenang, bermisah melintang di atas bibirnya bak misai A. Galak pelakon Gerak Khas menghiasi wajahnya.  Baju t-shirt pagoda berleher bulat menutupi tubuhnya yang berlekuk macam besi kena ketuk.  Rambutnya tersisir rapi, berminyak dan bercahaja terkena pancaran lampu yang terpasang di bilik stor bawah tanah rumah setingkat miliknya.  Jari jemari kanannya membelai misai A.Galak yang kemas dijaga rapi.  Dia memandang wajah Buntal yang pucat bagaikan mayat hidup, tahu takut! Detik hati kecilnya.  Itulah  Rocky, pengedar dan pembekal dadah terbesar di Bandar Kuala Lumpur ini.
            “Kawasan mana yang jatuh teruk ni?” tanya  Rocky, serius. 
            “Kampung Seberang,” jawab Buncit cepat dan pantas.  Kalau boleh dia ingin segera keluar dari bilik bawah tanah itu, biarpun berhawa dingin tetap terasa bahang kepanasan hati Rocky. 
            “Kampung Seberang?  Kenapa teruk sangat?”  tanya Rocky, wajahnya mula menyinga.  Matanya membuntang memandang  Buntal yang berdiri sejak sejam yang lalu.  Langsung tidak dipelawa duduk.
            “Sarang mereka dah hapuskan, penagih semua dihantar ke pusat serenti oleh ahli keluarga masing-masing, tempat itu pula dengar kata hendak dijadikan mini stadium,” cerita Buntal.
            Rocky termenung seketika.  Dia mengetap bibir.  Mengeluh berat. 
            “Kenapa jadi macam tu?  Siapa punya angkara?” tanya Rocky masih tidak berpuas hati.
            “Kata orang saya, Tok Imam Haji Shauki dan anak buahnya bernama Malek yang telah banyak mengubah kawasan kampung itu.  Anak-anak muda sudah ada aktivitinya sendiri, mana yang menagih dan baru-baru nak belajar diberi nasihat dan motivasi, kalau dibiarkan boleh hancur, bos!” kata Buntal.
            “Malek? Macam mana muka dia?  Orang-orang kau ada ambil gambar?  Nama tu macam aku kenal aje,” ujar Rocky, kaki diangkat ke atas meja, digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan. Panas juga hatinya bila perniagaannya jatuh merundum.  70 peratus bukan sikit. 
            “Tak ada bos, nanti saya suruh mereka ambil gambar lelaki tu,”  janji Buntal. 
            Rocky menyengih.  Kemudian mencebik. 
            “Aku rugi besar tau! Kau apa tau!” tengking Rocky.  Dia menghentak meja dengan telapak tangannya. 
            Buntal mengesat  peluh di dahi, di sekeliling mulutnya, serta di muka.  Dia menelan air liur sendiri.  Takut melihat wajah Rocky yang mula hendak mengamuk itu.
            “Kenapa tak pergi jual aje?” soal Rocky.
            “Polis selalu ada di kawasan itu bos. Susah orang-orang saya nak masuk.  Lagipun penduduk kampung pandang orang luar semacam aje, terutama jika muka macam muka samseng,”  terang Buntal, dia tersenyum mendengar kata-katanya sendiri.
            “Takkan tak boleh bayar sikit, mesti  boleh punya,” cadang Rocky.
            Buntal  mengeluh, bukan senang.  Bukan semua polis mahu makan rahsuah, silap haribulan habis orang-orangnya masuk balai.  Tidak berani melakukannya.  Sebelum ini tidak pernah ada masalah, mudah sahaja dia menjual bekalan ke kampung itu.  Sejak wujud Persatuan belia yang diterajui oleh lelaki bernama, Malek, semua  jadi berantakan.  Termasuklah perniagaannya.
            “Carilah penagih baru, budak sekolah ke?”  suruh Rocky.
            “Susahlah bos, memanjang nak berhutang.  Barang habis, duit tak ada,” jawab Buntal.  Dia sudah mula gelisah.  Berdiri berjam-jam membuatkan kakinya mula lenguh.
            “Habis tu macam mana?  Takkan nak biarkan aje!” bengkeng Rocky.
            Buntal terkebil-kebil. Biasalah berniaga, ada pasang surut, samalah dengan jual dadah pun, bisik hati kecil Buntal.
            “Nantilah bos, saya usahakan,” janji Buntal.  Nak usahakan apa?  Entah siapa lelaki bernama Malek itu, buat susah kerja dia sahaja. Memang menyusahkanlah! Bentak Buntal dalam hati.
            “Jangan janji aje, kau kena tunaikan Buntal!  Aku tak nak rugi! Barang akan masuk banyak, bila banyak, kena jual banyak jugalah, ada faham!” tengking Rocky dengan muka menyinga.  Kaca mata hitam yang dipakai siang dan malam, kononnya gangster dibuka.  Dia memandang orang-orang Buntal yang berbadan kurus kering.  Telan benda haram itu juga agaknya, omel Rocky dalam hati.
            “Orang kau ni tak cukup makan ke apa?” sindir Rocky.  Dia tersenyum mengejek.
            “Tak cukup duit nak bayar yang berbadan sado bos, yang ada ni, bagi satu tiub pun dah cukup, nasi sebungkus, air sebotol, bertiub-tiub mereka mampu jual,”  terang Buntal tidak mahu kalah.  Ingat kurus kering tidak boleh buat kerja ke?  Bebelnya dalam hati.  Jangan pandang pada tubuhlah, sekali tendang, melayang sampai Pantai Timur, Buntal ketawa dalam hati mendengar kata-katanya sendiri.  Dia tersenyum.
            “Apa yang kau bebel dalam hati tu Buntal? Kau kutuk aku ya?”  tegur Rocky ketika terlihat Buntal tersenyum sendiri.
            Buntal menekup mulutnya. Boleh terperasanlah pula!  Buntal mengaru kepalanya.  Dia menyengih.
            “Aku nak balik, aku nak kau selesaikan hal di Kampung Seberang itu, cari siapa Malek,” pesan Rocky sebelum berlalu meninggalkan kawasan itu.
            “Baik bos!” kata Buntal, buat janji lagi.  Dia mengeluh berat.  Terasa tegang seluruh urat  di tubuhnya.  Dia mengetap bibir.  Menahan rasa sebal yang menjalar di hati. Apa yang perlu dia lakukan? Mana nak cari lelaki bernama Malek? Konco-konco dan kaki penagih tegar semua sudah diangkut pihak polis masuk lokap. Nak minta tolong siapa lagi?  Memang menyusahkan! Buntal menendang kerusi yang berada di hadapannya. 
            Orang-orangnya pun tak dapat menjejaki lelaki bernama Malek.  Sebenarnya mereka takut. Dasar penakut! Bebel Buntal lagi. Dia meliuk lentukkan tubuhnya yang besar itu.  Terasa letih dengan masalah baru ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan