Malek
leka membersihkan kawasan rumah. Matanya
tidak berani di arahkan ke arah rumah bekas isterinya. Masih panaskan hati perempuan yang pernah
menjadi isterinya itu. Masih bernanahkan
luka lama? Inilah hasil tanamannya yang lalu, tuaian dan benih
yang tersemai tidak cantik, maka hasilnya juga cukup mengecewakan. Dia mensia-siakannya. Tidak pernah berbajakan
kasih sayang, belaian manja. Tidak disirami dengan embun cinta yang segar
megar. Dia menuangkan duka di hati,
memasak luka di jiwa. Apalah dayanya untuk memujuk agar mampu
dimaafkan segala kesalahannya yang lalu.
Sebuah kereta Myvi berwarna putih
berhenti di laman rumah. Malek yang
sedang menebang pokok rambutan tua berhenti seketika. Panahan matahari pagi menyukarkan pandangan
mata melihat siapakah gerangan yang tiba.
Turun dua orang lelaki bertubuh
sederhana besar. Berkerut dahi Malek
memandang ke arah mereka. Mereka
berjalan mendekatinya.
“Kami cari lelaki bernama Malek,”
kata salah seorang dari lelaki yang
terus bersuara tanpa mengucapkan salam seperti adab yang sepatutnya orang
Melayu dan beragama Islam. Mungkin lain bangsanya, dari cara berpakaian
dan tato penuh di lengan. Mungkin bukan Islam.
Malek megangkat kapak dari pokok yang ditebang. Dipegang kemas di
tangannya yang sasa. Wajah kedua lelaki
itu ditenung seorang demi seorang.
“Kenapa cari Malek? Apa urusan kau
orang berdua?” soal Malek, ingin benar
dia mengetahuinya. Kenapa manusia yang tidak dikenalinya itu datang mencarinya?
Gaya seperti samseng sahaja. Setahunya,
dia sudah lama meninggalkan dunia kejahatannya.
25 tahun sudah berlalu.
“Tak perlulah kau tahu! Kami tanya,
mana Malek? Kau kenal ke lelaki bernama Malek?” tanya lelaki yang berbadan berketak-ketak dibaluti t-shirt yang sendat.
“Aku Malek, kau orang nak apa?” soal Malek
kembali. Dia harus bersiap sedia,
kalau baik disambut baik, kalau pincang langkah mereka, buruklah akibatnya.
“Kau kena ikut kami, bos kami nak
jumpa!” kata lelaki yang berbadan ketak itu lagi.
“Apa hal? Aku tak ada urusan dengan bos kau orang,”
kata Malek tegas.
“Jangan degillah orang tua! Kang kena penyepak kami, takut bungkus masuk
lubang kubur!” kata seorang lagi dengan kasar.
Malek kehairanan. Lancangnya
mulut. Sudah datang tidak memberi salam,
cakap pula tidak bertapis, main paksa pula.
“Hey, aku tak kenalkan bos kau
orang! Aku tak ada urusan dengan kau
orang berdua, pergi berambus!” kata
Malek kasar. Kasar datangnya, kasar pula balasannya.
“Kami kata ikut! Ikutlah!” Lelaki berbadan ketak itu lalu menerpa hendak
menangkap tangan Malek.
Malek mengundur ke belakang. Dia mendengus kasar. Mereka ini bersungguh-sungguh nampaknya. Kapak di tangan dipegang kemas.
“Baik kau orang berambus sebelum aku
tetak kau orang berdua!” ugut Malek.
“Ingat kami hairan ke orang
tua?” Lelaki berketak itu ketawa.
“Kau dah tualah, ikut ajelah cakap
kami!” kata seorang lagi.
“Aku tak ada urusan dengan kau
oranglah!” Malek tetap menolak.
“Tak guna punya orang tua,
menyusahkan! Ingatkan Malek tu muda
trang tang tang, ini orang tua yang tunggu nak mati aje, entah-entah dah mati
pucuk!” sindir lelaki berbadan ketak itu.
Malek masih mampu bersabar.
Kedua lelaki itu menerpa dan mula
menendang dan memukul Malek. Kapak di
tangan Malek langsung tidak menggentarkan mereka. Malek menolak kedua mereka
dengan sekuat hatinya. Lawan jenis apa
ini? Ingat gusti ke? Malek menendang
lelaki yang berbadan ketak itu tersungkur ke tanah. Yang seorang lagi ditumbuk sekuat hati
sehingga rebah dipangkal pokok rambutan yang sudah ditebang.
“Malek!!” jerit seseorang.
Malek menoleh. Salmah!
Malek memandang wajah bekas isterinya yang datang mendekati.
“Kalau sudah samseng, sampai
bila-bila pun samseng! Dah lama aku
hidup aman di rumah ini, kau datang bawa bala aje!” marah Salmah yang sejak tadi
menjadi pemerhati kedatangan kedua lelaki itu.
“Sal! Saya tak kenal kedua orang
itu,” terang Malek membela diri. Bukan salah dia. Mereka yang datang memaksa.
“Aku tidak peduli, siapa salah,
siapa yang mulakan dulu. Aku minta kau
pergilah dari sini, jangan ganggu anak-anak aku, jangan ganggu hidup aku!” Salmah mencengkam leher bajunya menahan rasa
marah yang membuak di hati.
Kedua-dua lelaki itu cuba bangun
perlahan-lahan, terasa sakit juga pukulan lelaki yang mereka fikirkan lemah dan
tidak berdaya itu.
Malek memandang kedua lelaki
itu. Dia bersedia untuk bertindak lagi.
“Sudah! Ini bukan gelanggang silat atau tempat kau
beradu tenaga!” semakin sakit hati Salmah melihat kedua-dua lelaki itu yang
datang membuat kacau di kawasan rumahnya.
Malek tidak seharusnya berada di situ. Menganggu-gugat keamanan
kehidupannya selama ini.
Malek terdiam, jelas terpancar
kebencian di hati Salmah terhadap dirinya.
Benci yang tidak terluah dengan kata-kata, pandangan mata yang tajam itu sudah cukup untuk
mengungkapnya.
“Hey, Malek! Kau jangan kacau
kawasan kami! Ini amaran bos kami!” kata lelaki tubuh berketak itu dengan wajah
berkerut. Masih terasa sakit kesan tendangan di perut itu tadi. Boleh tahan
padu tendangan lelaki tua itu. Tidak padan dengan umur.
Malek hanya mengacukan kapak ke arah
kedua lelaki itu. Mereka berlari masuk ke dalam perut kereta dan berlalu pergi.
Salmah meludah ke tanah, dia
menjeling tajam.
“Keluar dari sini, aku tak nak
tengok muka kau!” Salmah melangkah laju
meninggalkan Malek termangu sendiri.
Keluhan berat terlepas dari bibirnya.
Maafkan abang, detik hati kecilnya, sayu.
Ke mana dia nak pergi? Inikan kampungnya. Mungkin dia boleh cari rumah sewa atau bilik
untuk dia berteduh. Cukuplah derita yang
diberikan kepada bekas isteri dan anak-anaknya itu. Kehadiran lelaki itu mengingatkannya akan
tempat penagihan dadah yang dimusnahkan baru-baru ini. Mungkin ketua kumpulan
pengedar itu sudah mendapat tahu sarang itu telah musnah dan mula kepanasan
kerana perniagaan mereka telah diganggu-gugat. Rugi besarlah mereka.
Malek menarik nafas kelelahan.
Mungkin Pak Sunya boleh membantu. Dia
memerhati dengan rasa kecewa langkah Salmah. Marah yang tidak pernah padam,
dendam kesumat yang tidak pernah reda.
Kesakitan yang masih dalam lukanya.
Kehancuran yang tidak mampu diperbaiki lagi. Keluhan berat dilepaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan