Di
satu kawasan di luar Kuala Lumpur, seorang lelaki berperut buncit dan berkepala
botak, bertubuh kekar, terketar-ketar berhadapan dengan ketua besarnya. Suaranya tersekat-sekat ketika membentangkan
hasil jualan bulan itu. Kejatuhan
sebanyak 70 peratus. Boleh tutup kedai
kalau begini berterusan. Wajah Buncit
pucat ketakutan. Untung tidak dilihat
oleh anak-anak buahnya, jika tidak malu besar.
Dia mengesat peluh yang memenuhi kepalanyayang tidak berambut. Buncit mengeluh berat. Pertama kali dalam sejarah pendapatannya
sebagai pengedar dadah di kawasan pendalamanan grafnya jatuh merundum. Kalau terpampang di bursa saham sudah pasti
warna merah yang terpancar di situ.
Berdebar-debar hatinya, menunggu perkataan keluar dari mulut ketuanya itu.
Lelaki yang berwajah tenang, bermisah
melintang di atas bibirnya bak misai A. Galak pelakon Gerak Khas menghiasi
wajahnya. Baju t-shirt pagoda berleher
bulat menutupi tubuhnya yang berlekuk macam besi kena ketuk. Rambutnya tersisir rapi, berminyak dan
bercahaja terkena pancaran lampu yang terpasang di bilik stor bawah tanah rumah
setingkat miliknya. Jari jemari kanannya
membelai misai A.Galak yang kemas dijaga rapi.
Dia memandang wajah Buntal yang pucat bagaikan mayat hidup, tahu takut!
Detik hati kecilnya. Itulah Rocky, pengedar dan pembekal dadah terbesar
di Bandar Kuala Lumpur ini.
“Kawasan mana yang jatuh teruk ni?”
tanya Rocky, serius.
“Kampung Seberang,” jawab Buncit
cepat dan pantas. Kalau boleh dia ingin
segera keluar dari bilik bawah tanah itu, biarpun berhawa dingin tetap terasa
bahang kepanasan hati Rocky.
“Kampung Seberang? Kenapa teruk sangat?” tanya Rocky, wajahnya mula menyinga. Matanya membuntang memandang Buntal yang berdiri sejak sejam yang
lalu. Langsung tidak dipelawa duduk.
“Sarang mereka dah hapuskan, penagih
semua dihantar ke pusat serenti oleh ahli keluarga masing-masing, tempat itu
pula dengar kata hendak dijadikan mini stadium,” cerita Buntal.
Rocky termenung seketika. Dia mengetap bibir. Mengeluh berat.
“Kenapa jadi macam tu? Siapa punya angkara?” tanya Rocky masih tidak
berpuas hati.
“Kata orang saya, Tok Imam Haji
Shauki dan anak buahnya bernama Malek yang telah banyak mengubah kawasan
kampung itu. Anak-anak muda sudah ada
aktivitinya sendiri, mana yang menagih dan baru-baru nak belajar diberi nasihat
dan motivasi, kalau dibiarkan boleh hancur, bos!” kata Buntal.
“Malek? Macam mana muka dia? Orang-orang kau ada ambil gambar? Nama tu macam aku kenal aje,” ujar Rocky,
kaki diangkat ke atas meja, digoyang-goyangkan ke kiri dan ke kanan. Panas juga
hatinya bila perniagaannya jatuh merundum.
70 peratus bukan sikit.
“Tak ada bos, nanti saya suruh
mereka ambil gambar lelaki tu,” janji
Buntal.
Rocky menyengih. Kemudian mencebik.
“Aku rugi besar tau! Kau apa tau!”
tengking Rocky. Dia menghentak meja
dengan telapak tangannya.
Buntal mengesat peluh di dahi, di sekeliling mulutnya, serta
di muka. Dia menelan air liur
sendiri. Takut melihat wajah Rocky yang
mula hendak mengamuk itu.
“Kenapa tak pergi jual aje?” soal
Rocky.
“Polis selalu ada di kawasan itu
bos. Susah orang-orang saya nak masuk.
Lagipun penduduk kampung pandang orang luar semacam aje, terutama jika
muka macam muka samseng,” terang Buntal,
dia tersenyum mendengar kata-katanya sendiri.
“Takkan tak boleh bayar sikit,
mesti boleh punya,” cadang Rocky.
Buntal mengeluh, bukan senang. Bukan semua polis mahu makan rahsuah, silap
haribulan habis orang-orangnya masuk balai.
Tidak berani melakukannya.
Sebelum ini tidak pernah ada masalah, mudah sahaja dia menjual bekalan
ke kampung itu. Sejak wujud Persatuan
belia yang diterajui oleh lelaki bernama, Malek, semua jadi berantakan. Termasuklah perniagaannya.
“Carilah penagih baru, budak sekolah
ke?” suruh Rocky.
“Susahlah bos, memanjang nak
berhutang. Barang habis, duit tak ada,”
jawab Buntal. Dia sudah mula
gelisah. Berdiri berjam-jam membuatkan
kakinya mula lenguh.
“Habis tu macam mana? Takkan nak biarkan aje!” bengkeng Rocky.
Buntal terkebil-kebil. Biasalah
berniaga, ada pasang surut, samalah dengan jual dadah pun, bisik hati kecil
Buntal.
“Nantilah bos, saya usahakan,” janji
Buntal. Nak usahakan apa? Entah siapa lelaki bernama Malek itu, buat
susah kerja dia sahaja. Memang menyusahkanlah! Bentak Buntal dalam hati.
“Jangan janji aje, kau kena tunaikan
Buntal! Aku tak nak rugi! Barang akan
masuk banyak, bila banyak, kena jual banyak jugalah, ada faham!” tengking Rocky
dengan muka menyinga. Kaca mata hitam
yang dipakai siang dan malam, kononnya gangster dibuka. Dia memandang orang-orang Buntal yang
berbadan kurus kering. Telan benda haram
itu juga agaknya, omel Rocky dalam hati.
“Orang kau ni tak cukup makan ke
apa?” sindir Rocky. Dia tersenyum
mengejek.
“Tak cukup duit nak bayar yang
berbadan sado bos, yang ada ni, bagi satu tiub pun dah cukup, nasi sebungkus,
air sebotol, bertiub-tiub mereka mampu jual,”
terang Buntal tidak mahu kalah.
Ingat kurus kering tidak boleh buat kerja ke? Bebelnya dalam hati. Jangan pandang pada tubuhlah, sekali tendang,
melayang sampai Pantai Timur, Buntal ketawa dalam hati mendengar kata-katanya
sendiri. Dia tersenyum.
“Apa yang kau bebel dalam hati tu
Buntal? Kau kutuk aku ya?” tegur Rocky
ketika terlihat Buntal tersenyum sendiri.
Buntal menekup mulutnya. Boleh
terperasanlah pula! Buntal mengaru
kepalanya. Dia menyengih.
“Aku nak balik, aku nak kau
selesaikan hal di Kampung Seberang itu, cari siapa Malek,” pesan Rocky sebelum
berlalu meninggalkan kawasan itu.
“Baik bos!” kata Buntal, buat janji
lagi. Dia mengeluh berat. Terasa tegang seluruh urat di tubuhnya.
Dia mengetap bibir. Menahan rasa
sebal yang menjalar di hati. Apa yang perlu dia lakukan? Mana nak cari lelaki
bernama Malek? Konco-konco dan kaki penagih tegar semua sudah diangkut pihak
polis masuk lokap. Nak minta tolong siapa lagi?
Memang menyusahkan! Buntal menendang kerusi yang berada di
hadapannya.
Orang-orangnya pun tak dapat
menjejaki lelaki bernama Malek.
Sebenarnya mereka takut. Dasar penakut! Bebel Buntal lagi. Dia meliuk
lentukkan tubuhnya yang besar itu.
Terasa letih dengan masalah baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan