Zakuan
tidak tahu lagi bagaimana harus dia memujuk hati ibunya yang sarat dengan
kecederaan yang tidak mampu diubati. Lukanya terlalu dalam. Amukan ibunya petang itu benar-benar
menghiris hatinya. Habis semua perkara
diungkit satu persatu. Tiada yang
tinggal. Kesengsaraan yang lalu bertayangan kembali. Hampir luluh hatinya,
sebak dadanya. Ya! Dia lalui semua
kesengsaraan itu. Perit dan pedih.
Kata-kata nista yang diterima hampir setiap hari. Hidup tersisih, bagaikan
sampah dalam takungan air bersih, dicampak dan dibuang, tidak dipandang
langsung. Setiap malam melihat air mata
ibunya tumpah di helaian daun pisang bagi membungkus nasi lemak. Tangisan adik yang kelaparan lantaran duit
untuk makan yang tidak pernah kecukupan.
Membanting tulang ibunya siang dan malam. Sakit demam tanggung sendiri,
minum berbotol-botol air bagi melegakan panas badan. Tidak berani ke hospital lantaran RM1.00
adalah amat berharga untuk membeli secupak beras. Begitu perit hidup mereka ketika ayahnya
berada di penjara. Tok Su tidak berani
membantu. Orang kampung boikot terus. Diam-diam
Tok Su Shukri memberi beras sekampit setiap bulan.
“Ibu nak lelaki itu berambus dari
sini! Wan nak, dia bawa kawan-kawan
samsengnya ke mari dan ganggu penduduk kampung?
Wan nak ke sejarah hitam kehidupan kita berulang lagi?” bebel Salmah. Hatinya masih terluka, luka yang tidak mampu
disembuhkan lagi. Luka yang sentiasa
berdarah selagi lelaki itu bernyawa.
Bukan dia meminta kematian atau nyawa lelaki itu diragut, tetapi dia
tidak mahu melihat wajah lelaki yang telah menghiris halus hatinya sehingga
tidak mampu disambung kembali menjadi seketul hati yang sihat.
“Mana ayah nak pergi bu?” soal Zakuan.
Dia menahan sebak di dada. Biar
sebanyak bintang di langit dosa-dosa yang telah ayahnya lakukan, namun, lelaki
itu sudah berubah. Memang ayahnya, Malek jahat di waktu mudanya, kejam ketika
itu. Tetapi, sekarang tidak lagi. Kenapa sukar benar ibunya memberi peluang
kedua kepada lelaki yang telah memberi benih sehingga dia dan adiknya wujud
sekarang ini.
“Dia bukan budak-budak! Pandailah
dia bawa diri, yang Wan risaukan sangat kenapa?” tanya Salmah, matanya
dijegilkan. Dadanya berombak menahan
getaran amarah yang mengganas di hati.
“Wan bukan apa…”
“Kenapa degil sangat ni?” tempelak
Salmah dengan mata membulat memandang tajam wajah anak sulongnya. Tidak faham bahasakah? Atau sengaja mencari alasan untuk lelaki itu
terus berada di rumah itu.
“Ibu!” panggil Zakuan perlahan.
“Tidak!” Salmah tetap bertegas.
Zakuan mengeluh berat. Dia menghela
nafas kasar. Hatinya benar-benar kecewa. Keputusan ibunya adalah kata putus yang tidak
mungkin dapat diubah lagi. Serba salah
jadinya. Tidak terluah apa yang
terpendam di hati. Ibu sudah membuat
keputusan. Sebagai anak berdosa jika membantah, namun orang yang akan dihalau
adalah ayah kandungnya sendiri.
Kedua-duanya adalah syurganya.
Bingung memikirkan masalah yang sedang bertandang. Berhadapan dengan ayahnya juga sukar untuk
dilakukan. Pasti hati tuanya turut
berduka. Maafkan Wan ayah, detik hati
kecil Zakuan yang semakin sebak di dada.
Dia menahan sendu sendiri, tidak mahu menangis di hadapan ibunya yang
masih memerah wajahnya, masih bersisa rasa marah yang membuak di hati.
Kepanasan padang pasir akan sejuk
bila tiba waktu malam, tetapi kepanasan di hati ibunya tidak mampu disejukkan
dengan siraman air dari tujuh lautan
sekalipun.
Dia bingkas bangun, ibunya sudah pun
menghilangkan diri ke dalam bilik.
Seperti biasa melayan rajuk sendiri.
Dia tidak mahu kepanasan yang membahang di hati ibunya terus membakar
diri. Biarlah dia beralah. Kepada ayah,
biarlah dia berterus terang sahaja, kedua-duanya dia sayang, merekalah syurganya.
Semak dadanya dengan masalah yang bertimpa-timpa. Ibu yang tidak pernah reda, ayahnya yang
berserah apa sahaja.
Pintu belakang dibuka perlahan,
dijengah keluar. Pintu bilik stor
terkunci rapat. Di hadapan pintu stor
tidak ada kasut ayahnya. Dahinya
berkerut. Jangan-jangan ayahnya mendengar butir bicara dia dan ibunya
tadi. Terasa seram sejuk tubuhnya.
Terasa sebak hatinya. Janganlah ayah
berasa kecil hati. Ibu perlukan masa untuk menerima semuanya ini.
Zakuan melangkah keluar, dia
mendekati pintu stor yang tertutup. Diketuk perlahan sambil memberi salam. Tiada jawapan. Semakin tidak keruan hatinya.
Semakin bimbang bertandang di sanubari.
Rajuk jugakah ayahnya? Zakuan
cuba membuka tombol pintu, tidak berkunci?
Daun pintu ditolak perlahan. Tiada
siapa di dalamnya. Kosong. Zakuan melangkah masuk. Bersih dan kemas bilik tersebut. Tiada kain baju yang bersepah.
“Ayah! Ayah!” panggil Zakuan. Tiada sahutan. Benarlah, ayahnya tidak ada di situ. Ke mana
pula? Takkan sudah ke tempat kerja? Kepala Zakuan ligat berfikir, mungkin ayahnya
ke rumah Tok Su Shauki. Zakuan menapak
keluar dan menutup semula daun pintu stor tersebut. Dia menuju
ke laman depan. Kunci kereta
dikeluarkan dari poket seluarnya. Kereta sedan miliknya itu dihidupkan enjin
dan menderum keluar dari laman rumah. Ke
mana? Tentulah ke rumah Tok Su Haji
Shauki, pasti ayahnya ke sana.
Zakuan meletak kenderaannya di bawah
pokok mempelam di hadapan rumah Tok Su Haji Shauki. Dia melangkah laju lalu memberi salam.
“Wan?” Haji Shauki kehairanan.
“Ayah ada di sini Tok Su?” tanya
Zakuan. Nafasnya turun naik,
tercungap-cungap.
“Tak ada pula? Kenapa?” tanya Haji Shauki.
“Kalau ya pun, masuklah dulu,”
pelawa Haji Shauki.
Zakuan melangkah masuk. Dia
menceritakan apa yang berlaku di rumah.
Keluh kesah hatinya, resah jiwanya.
Entah-entah ayahnya merajuk dan membawa diri.
“Sabarlah Wan, ibu kau tu dah lama
terseksa hidupnya, baharu nak jumpa aman.
Jangan dipaksa dia menerima apa yang dia tak suka,” nasihat Haji Shauki.
Dia faham benar sikap bekas isteri anak
buahnya, Malek itu. Dia menjadi saksi
segala penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh wanita yang tidak berdosa itu. Suami punya angkara, isteri dan anak-anak
menjadi mangsa. Dia sebagai bapa saudara
pun tidak mampu membantu. Begitu marah
orang-orang kampung ketika itu terhadap Malek dan keluarganya. Yang jahat
adalah Malek, bukan isterinya, tetapi Salmah menerima balasan segala dosa yang
dilakukan oleh suaminya.
“Manalah ayah pergi, ya tok
su.” Zakuan mengeluh berat. Terasa sebak
dadanya memikirkan nasib hidup ayahnya.
Inilah bayaran yang terpaksa dibayar atas dosa semalam yang tidak mampu
dimaafkan.
“Adalah tu, jangan dibimbangkan
sangat, ayah kau tahu jaga diri,” pujuk Haji Shauki. Ke mana pula anak saudaranya itu pergi? Dia menghela nafas keras.
“Di tempat kerja dah cari?” tanya
Hajah Rokiah. Dia memandang wajah suami, Haji Shauki dan anak saudaranya silih
berganti.
“Belum lagi tok su. Kenapalah saya tak terfikir tadi, mungkin
ayah ada di sana.” Zakuan menarik nafas
lega. Hari ini, ayahnya kerja malam,
mungkin berada di kilang tempatnya bekerja.
“Kalau begitu, Wan minta diri dulu,
mungkin Wan akan carikan rumah sewa untuk ayah.” Zakuan bersalaman dengan Haji Shauki dan
berlalu pergi.
“Yalah, beritahu ayah, tok su nak
jumpa,” pesan Haji Shauki sebelum kenderaan Zakuan meninggalkan perkarangan
rumahnya.
Best!
BalasPadamTerima kasih kerana sudi singgah Misa
Padam