Malek
meletakkan beg pakaiannya di bawah meja
kerjanya. Pondok kecil yang menjadi
tempatnya bertugas, cukuplah untuk dia bermalam dan merehatkan badan. Kalau sebut ketidakselesaan, di dalam penjara
bukanlah selesa sangat. 25 tahun dia
hidup di sana, masih bernyawa dan sehat lagi.
Jika hendak dibandingkan dengan keadaan pondok yang hanya muat
diletakkan sebuah meja dan kerusi. Hidup
jangan meminta-minta, inilah balasan bagi orang yang pernah berbuat dosa. Harus belajar sedar diri. Wajah kusam dan
muram bekas isterinya, Salmah begitu menyentuh hati. Jelas terpancar kebencian yang menggila di
matanya. Malek sebak. Terlalu tinggi
nilai yang terpaksa dibayar kerana dosanya yang lalu.
Bukan mudah memujuk hati yang telah
patah, kalau retak sahaja mungkin boleh disambung, tetapi jika berkecai menjadi
debu? Malek mengeluh kesal. Kekesalan yang tidak terucap dengan
kata-kata. Menyesal yang sudah tiada
gunanya. Tidak mampu mengembalikan kasih
sayang yang telah hancur berderai.
Benar-benar telah menjadi lipatan sejarah.
Dia mendengus kasar. Lalu, mencatit sesuatu di atas buku log masuk
para pekerja kilang yang bertugas di malam hari. Hari
semakin menjelang senja. Matahari sudah
mengamit mengucap selamat tinggal, bulan sudah tersenyum untuk mengambil alih
tugas yang ditinggalkan oleh sang matahari.
Tidak pernah culas melakukan tugas setiap hari, matahari tidak bersinar
ketika awan mendung dan hujan mengambil alih tugas yang ada. Bulan pula bersinar mengikut tarikh yang
telah ditetapkan. Bintang-bintang juga begitu. Masing-masing ada tugas yang
menanti dan dilakukan dengan baik sekali.
Mampukah manusia melakukan tugas mereka dengan baik? Bisik hati kecil
Malek. Terlalu jauh dia berfikir. Keadaan
sendiri pun tidak mampu diselesaikan, nak fikirkan masalah cakerawala yang
hebat itu.
Sebuah kereta sedan berhenti di
hadapan pintu masuk kilang yang berpalang.
Malek mengeluh perlahan. Kenal benar dengan kenderaan tersebut. Dia membuka pintu pondok yang menjadi
pejabatnya itu. Melangkah keluar dan membuka palang yang menghalang kenderaan
masuk ke dalam perkarangan kilang.
Kereta tersebut bergerak
perlahan. Kereta tersebut diletakkan
di sebelah pondok, terpacul keluar Zakuan dengan wajah sebal.
“Ayah,” sapa Zakuan dengan mata berkaca.
“Wan? Kenapa datang sini?” soal Malek seolah-olah
tidak tahu apa yang berlaku di rumah mereka.
“Cari ayahlah,” jawab Zakuan. Dia menyapu
air mata yang hampir menitis di pipi cepat-cepat. Anak lelaki tidak boleh menangis. Perlu kuat menghadapi
dugaan hidup. Ini hanya masalah kecil yang boleh diselesaikan dengan baik.
“Kan ayah sedang kerja ni,” beritahu Malek, wajah dimaniskan, biar tidak
terpancar rasa bersalah dalam hati. Rasa sedih yang menggunung tinggi. Ditelah kepahitan yang terbit sejak dia
keluar dari penjara. Nasibnya masih baik
kerana diterima oleh anaknya, biarpun bekas isteri memandangnya dengan penuh
kebencian. Dia hargai kehadirannya oleh bapa saudaranya sendiri. Itu sahaja
sudah cukup buatnya bersyukur dengan apa yang ada.
“Ayah bawa keluar baju-baju ayah,
kan? Ayah dengar kata-kata ibu?
Ayah jangan ambil hati ya,” pujuk
Zakuan. Bahu ayahnya disentuh lembut.
“Hish! Mana ada? Wan serkap jarang ya?” Malek cuba berdalih.
“Tak payahlah ayah nak bohong
Wan… tok su suruh ayah ke
rumahnya,” kata Zakuan.
“Baiklah, esok lepas kerja ayah ke
sana. Wan pergilah balik. Ayah dah nak mula kerja ni.” Malek memperkemaskan baju seragam kerjanya. Sebagai
seorang bekas banduan, apa lagi pekerjaan yang sesuai dengannya.
Untunglah pemilik kilang ini masih mahu menerimanya bekerja. Kalau tidak, dia nak cari kerja di mana?
Siapa yang mahu mengambil bekas banduan sebagai pekerja?
“Ayah balik rumah tau,” pesan
Zakuan.
Hanya anggukan diberi. Mampukah dia
melangkahkan kaki ke rumah itu lagi?
Menghiris luka hati-hati yang pernah terluka? Malek mendengus kasar.
Zakuan berdiri kaku di hadapan
Malek. Wajah itu ditenung lama. Terlalu banyak penderitaan yang ditanggung
oleh ibunya kerana lelaki itu. Entah
kenapa hatinya tetap mampu berlembut dan menyayangi lelaki yang merupakan ayah
kandungnya itu. Manusia sering berbuat
salah, tidak semua mampu bertemu jalan pulang.
Semoga ayahnya mampu meneruskan perjalanan hidup ini dan berjumpa titik
pengakhiran yang terbaik.
“Kenapa tengok ayah macam tu?” Malek mengerutkan dahi. Terasa renungan itu
menikam jauh ke lubuk hatinya.
“Tak ada apa-apa ayah.” Selengkar
senyuman diberikan. Zakuan kembali ke
keretanya dan bergerak pergi meninggalkan Malek sendirian.
Mata Malek terus singgah ke arah pondok batu yang bertingkap nako dan berpintu,besarnya
hanya 4 x 5 kaki. Adakah kehidupannya akan berakhir di pondok
itu? Untuk apa dia kesalkan, inilah yang
akan jadi dengan dirinya atas tindakan diwaktu mudanya. Malek mengeluh berat. Allah swt tidak
menghukum hamba-hamba-Nya tanpa sebab.
Kau berdosa, Aku nak ampunkan dosakau, jadi terimalah apa sahaja
ketentuan-Ku, detik hati kecil Malek.
Sebak dadanya. Merembas air mata
mengalir keluar. Terasa berat dadanya. Kesal menerja di hati. Allah! Hanya itulah ucapan yang keluar dari
bibirnya. Insan yang banyak buat dosa
dan bersalah dengan keluarga terutama dengan bekas isterinya. Anak-anak tetap menyantun biarpun dia
bukanlah seorang ketua keluarga dan pemimpin yang baik. Memimpin sebuah keluarga pun dia tidak mampu,
malah untuk memimpin dirinya sendiri pun dia terkapai-kapai apatah lagi hendak
memimpin anak-anak kampung. Mampukah dia?
Hembusan angin senja menampar pipinya yang semakin ditelan usia. Tubuh kekarnya berbalut pakaian seragam
pengawal keselamatan berwarna putih dimasukkan ke dalam seluar slack, biar
tampa kemas. Corta yang terletak di atas
meja kecil diambil. Pintu pagar ditutup
rapat. Selalunya dia bekerja berdua,
seorang lagi rakan setugasnya masih belum sampai. Masuk pukul 8.00 malam.
Malek mengeluh lagi. Keluhan bagi
melepaskan rasa semak di dada. Wajah
merah padam Salmah, bekas isterinya masih bermain-main diruang mata. Jelas kelihatan pandangan benci yang
meluap-luap di mata redup bekas isterinya itu. Dua lelaki yang datang bertemu dengannya
pagi tadi tidak tahu siapakah gerangan mereka.
Adakah mereka konco-konco pengedar dadah di kawasan kampung itu? Mungkin bos besar mereka sudah naik angin
kerana tempat mereka telah dikacau.
Malek mengetap bibir. Dunia
penjenayahan tidak pernah suram, mati seorang penjenayah, akan lahir lagi
beberapa orang. Uh! Sampai bila pun
tidak akan selesai.
Malek melawat seluruh kawasan kilang,
kawasan kilang seluas satu ekar setengah itu, cukup memenatkan jika berjalan
kaki. Selalunya dia menunggang motosikal
yang disediakan oleh pihak kilang. Malam
minggu jarang ada pekerja yang buat kerja lebih masa. Setelah memasang lampu di bahagian yang agak
tersorok. Malek kembali ke pondoknya.
Dia mencatit sesuatu di dalam buku laporan. Setiap sejam, dia perlu buat rondaan di
seluruh kawasan bergilir-gilir dengan rakan setugasnya. Azan maghrib berkumandang dari masjid
berhampiran. Malek terus melangkah ke
dalam bilik air yang terletak 100 meter dari pondok pengawal keselamatan
itu. Usai solat, dia menyambung tugasnya
semula. Itulah rutinnya setiap
hari. Kerja seminggu pagi, seminggu
malam. Gajinya tidaklah banyak, tetapi
cukuplah untuk menyara dirinya seorang.
Malek menyandar di kerusi, perutnya sudah berbunyi minta diisi. Sejak tengahari tadi dia belum menjamah
sebutir nasi pun. Hanya sepinggan nasi goreng pemberian anaknya pagi tadi. Dia menyelongkar almari kecil yang terdapat
di bawah mejanya. Setin biskut
dikeluarkan. Dia tersenyum sendiri. Cukuplah untuk mengalas perutnya. Sekejap lagi rakan setugasnya sampai,
bolehlah dia keluar sebentar membeli nasi di restoran berhampiran.
Belum sempat sekeping biskut lemak
dihabiskan, terasa pondok batu yang menjadi pejabat seorang pengawal
keselamatan sepertinya bergegar. Malek mengerutkan dahi. Nyalaan lampu kereta menerangi pondok itu. Malek kehairanan. Lampu it uterus terpasang
tepat ke matanya, sinarannya menyilaukan pandangan, memeritkan matanya untuk
melihat dengan jelas. Dia bingkas
bangun, belum sempat dia melangkah keluar, daun pintu ditolak kasar, dia
ditarik keluar, tubuhnya terus dipukul bertubi-tubi dengan kayu. Dia langsung tidak dapat mempertahankan diri,
setiap kali dia cuba bangun, ketika itu jugalah tubuhnya ditendang dan dihentak
dengan kayu bertalu-talu. Malek hanya
mampu menutup mukanya dengan kedua belah lengah agar tidak terkena hentakan
kayu yang terus menyinggah ke tubuhnya.
Dia hanya mampu mengerang kesakitan.
“Berhenti!” satu suara menerja gegendang telinganya.
“Kau Malekkan?” tanya seorang
lelaki.
Malek tidak mampu melihat wajah
lelaki tersebut. Kesakitan yang sedang
dirasainya itu tidak memungkinkan dia membuka mata.
Tiba-tiba Malek terasa tubuhnya diangkat. Dia dipaksa berdiri. Kesakitan yang dirasakan
menjalar ke setiap inci tubuhnya. Berpinar matanya, berdenyut kepalanya.
Darah mengalir dari mulutnya akibat
dipukul dengan kayu tadi. Terasa perit
di hidung dan bibirnya. Apa punya
oranglah, pukul dibahagian muka! Dengus Malek dalam hati. Biarpun dia cuba mempertahankan mukanya
dengan tangan tetapi mereka yang memukulnya terus membalun ke arah wajahnya.
“Kau nak apa, hah?” Malek masih berani bersuara. Dia tidak gentar dengan sesiapa, dia mampu
berlawan dengan siapa sahaja, tapi kalau datang macam pencuri, belum sempat dia
berbuat apa-apa, sudah diserang bertubi-tubi, siapa yang mampu melawan semula.
“Kau jangan jadi herolah! Aku tak mahu kau ganggu kawasan aku! Kalau
kau berani berbuat macam itu lagi, aku tidak teragak-agak bunuh kau!” ugut lelaki itu.
Malek cuba membuka matanya seluas-luasnya. Ingin benar
dia melihat wajah lelaki pengkhianat bangsa itu! Dasar manusia yang tidak tahu dek
untung. Mencari kekayaan dunia dengan
membunuh orang lain!
“Aku buat kerja aku aje, yang kau
risau sangat tu kenapa? Tak cukup kaya
lagi ke?” bebel Malek biarpun terasa
sakit seluruh tubuhnya masih kuat dan terketar-ketar lututnya menahan berat
badan sendiri.
“Aku kehilangan puluhan ribu sebulan
di kawasan itulah, bongok!” tengking
lelaki itu.
“Itu bukan urusan aku!” Malek
menyengih. Silauan cahaya lampu kereta
itu menyukarkan dia melihat siapakah gerangan lelaki itu. Ingin sangat dia melihat wajah itu.
Satu tumbukan singgah
diperutnya. Terhenyak dia ke
belakang. Kuat dan padu pukulan lelaki
itu.
“Kau pukul curi, mana aci, samseng
macam kau main kotor! Kau ingat aku
takut ke?” tempelak Malek sambil menahan
kesakitan di perutnya. Dia menekan
perutnya dengan kedua belah tangan, terhoyong-hayang tubuhnya. Hampir sahaja dia rebah ke tanah. Semampu boleh dia menahan kedudukannya.
“Masih berani bercakap ya? Kau memang berani!” kata lelaki itu.
Malek tersenyum sinis, dengan
kesamaran cahaya lampu jalan, dia berusaha melihat wajah lelaki itu. Pandai pula menyembunyikan wajahnya di
celahan cahaya lampu kereta pacuan empat roda yang dihalakan ke arah muka Malek
sehingga menghalang penglihatannya.
“Ini amaran aku yang terakhir, kalau
kau berani berbuat kacau, aku tidak teragak-agak mencabut nyawa kau!” sekali
lagi ugutan diberi.
“Kau bukan Tuhan!” jawab Malek.
Satu tumbukan singgah di muka
pula. Tidak sempat Malek mengelak,
akhirnya dia rebah ke tanah dan tidak sedarkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan