Sabtu, 12 November 2016

JALAN PULANG - BAB 18 - ASMAH HASHIM



Malek menggosok matanya yang terasa berpasir.  Dia cuba bangun tetapi tubuhnya terasa perit dan sakit.  Dia berada di mana?    Cahaya lampu yang terpasang menyukarkan dia untuk membuka mata seluas-luasnya.  Suara beberapa orang yang berada di sekelilingnya samar-samar dipandangan mata.  Dia cuba membuka seluas-luas matanya. Ingin mengetahui di mana dia berada.
            “Malek! Kau dah sedar?” sapa satu suara.
            Malek kenal benar suara itu.  Suara Pak Su Haji Shauki.  Tubuhnya digoyang-goyangkan.
            “Pak… Pak Su, saya di mana?” tanya Malek masih dalam keadaan sedar dan tidak.
            “Kau di hospital, rakan setugas jumpa kau pengsan di depan pondok pengawal.  Muka kau pun luka-luka, ada orang pukul kau ke?” tanya Haji Shauki.  Dia menarik kerusi yang didudukinya sejak sejam yang lalu.  Wajah berkerut anak buahnya itu dipandang dengan penuh simpati. 
            Malek cuba bangun, masih terasa sengal-sengal diseluruh tubuhnya, matanya terasa bengkak.  Kuat betul lelaki-lelaki itu memukulnya, memang hendak membunuh, agaknya. 
            Haji Shauki membetulkan kedudukan belakang anak buahnya agar selesa duduknya.  Dia duduk kembali. 
            Malek mengeluh, tekaknya terasa haus. 
            “Pak Su, saya nak minum air sikit,”  beritahu Malek.  Kain langsir berwarna merah jambu merintangi seluruh bahagian tempat dia dirawat.
            “Siapa beritahu pak su saya ada di sini?” Malek masih terasa letih. 
            “Rakan sekerja kaulah.  Anak-anak kau pak su masih belum beritahu.  Takut mereka bimbang pula.  Kenapa ni Malek?  Rakan-rakan kau dulu tu ke?”  Haji Shauki mengeluh.   Adakah rakan-rakan lama Malek datang berjumpa anak buahnya itu semula?  Adakah mereka mengajaknya kembali buat kerja lama itu kembali?  Dia tidak akan membiarkan perkara itu berlaku lagi.  Sudah cukuplah, 25 tahun terpenjara, takkan tak insaf-insaf lagi?
            “Bukan pak su, mereka marah pasal kita hapuskan sarang penagihan dadah kat kampung kita tu, itu yang mengamuk sakan.  Ribuan ringgit sehari hangus begitu sahaja, tiada yang datang membeli lagi, mereka tak boleh jual kat sesiapa di kampung itu lagi. Semua dah masuk ‘dalam’”, beritahu Malek punca asal dia diserang.
            “Ya Allah! Beraninya mereka? Sampai serang kau di tempat kerja?”  Haji Shauki menggeleng kekesalan.  Terdesak sungguh para pengedar dadah sehingga sanggup mencederakan orang lain jika sarang mereka diganggu-gugat.
            “Mereka sanggup buat apa sahaja pak su, hatta membunuh sekalipun!” Malek mengetap bibir, menahan geram di hati. Mereka pukul curi!  Tapi, itu bukan alasan.  Dia seharusnya bersedia bila-bila masa dalam apa juga keadaan.  Menyalahkan kelemahan sendiri kerana tidak kuat melawan.  Akhirnya dia terlantar di hospital.
            “Kau berehatlah, mungkin esok baru boleh keluar,”pesan Haji Shauki.
            “Pak su dah nak balik?” Malek memandang wajah sayu bapa saudaranya itu.
            “Dah lama pak su di sini, kau pun dah sedar.” Haji Shauki menepuk tangan Malek.
            “Jangan beritahu pada Wan ya pak su, nanti bimbang pula dia,”  pesan  Malek sebelum Haji Shauki meninggalkan dia sendirian di wad hospital itu.  Dia cuba melelapkan mata.    Cuba menghilangkan rasa sengal yang masih terasa dengan memejamkan mata.
            Wajah Zakuan, anak sulongnya terbayang di mata, tentu anak lelakinya kerisuan jika tahu akan keadaan dirinya yang terlantar di hospital.  Lelaki yang memukulnya itu fikir, dia akan berhenti dari apa yang sedang dia lakukan sekarang?  Tidak mungkin!  Dia tidak akan membiarkan kampung halamannya menjadi sarang penagihan dadah, anak-anak kampungnya menjadi penagih dan pengedar!  Dia akan berlawan sehabis-habisnya, tidak mungkin dia berdiam diri!  Itulah tekadnya. Lawan tetap lawan, biarpun nyawanya menjadi galang gantinya.  Penjenayah tidak selamanya menjadi penjenayah, jika masih berterusan menjadi penjenayah biarpun pernah dihukum, itu adalah pilihan diri sendiri.  Dia akan melawan mereka yang mengganggu ketenteraman  di kampung halamannya.  Dia tidak akan berganjak. Itulah azamnya.
            Petang itu dia dikejutkan dengan kehadiran Zakuan.  Apakah pak sunya memberitahu anak lelakinya itu akan keadaan dirinya?  Wajah Zakuan yang sarat dengan kebimbangan begitu menyentuh hatinya.  Bert-shirt bulat, berseluar track-suit, anak muda yang berambut ketak-ketak, bertubuh sasa, tingginya 5 kaki 8 inci, merenungnya tajam.
            “Kenapa ayah tak bagitahu masuk hospital?  Siapa pukul ayah? Kawan-kawan lama ayah ke?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Zakuan.
            Malek  menggeleng laju.  Dia mengeluh, siapa pula yang memberitahu anaknya, dia masuk hospital?
            “Macam mana Wan tahu ayah ada di sini?”  soal Malek. Wajah yang terpampar kerisauan itu dipandang seketika. Hiba bertandang.  Dia tidak pernah bimbang akan keadaan anaknya sewaktu masih kecil dahulu, dia biarkan sahaja bekas isterinya menguruskan makan nminum dan sakit demam anak-anaknya.  Ayah jenis apakah ini?  Hari ini, anak yang diabaikan begitu risau dengan keadaannya.  Kejamnya dia!  Malek menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan, membuang rasa hiba di hati yang sarat menggunung, jika tidak ditahan akan pecah, bertaburan air mata terharu melihat anak lelakinya yang begitu mengambil tahu keadaan dirinya.
            “Wan ke tempat kerja ayah, nak hantar nasi… rakan sekerja ayah yang beritahu, ayah masuk hospital,” terang Zakuan.
            Malek mengeluh, dia terlupa memberi pesan agar rakan-rakan sekerjanya tidak memberitahu keadaan dirinya. Dia tidak mahu menyusahkan Zakuan.  Sudah cukuplah layanan baik yang diterima selama ini.  Salmah pandai mendidik anak, Zakuan begitu menghormatinya, menyayanginya.  Tidak selayaknya dia mendapat kasih sayang anak itu.  Dia manusia kejam!  Tidak seharusnya dia disayangi dan dikasihani.  Dia penjenayah!  Malek menahan sendu di dalam hati. 
            “Sikit sahaja Wan, bukan teruk sangat pun, luka-luka sikit,” ujar Malek, cuba mempamirkan wajah tenang, sedangkan dalam hati bergelora bak ombak besar yang memukul pantai.
            “Kenapa mereka pukul ayah?”  Zakuan memecit lengan ayahnya perkahan-lahan.
            “Pasal kes dadah di kampung kita tu,” jawab Malek.  Itulah yang berlaku.  Mereka membalas dendam padanya. 
            “Ya Allah!  Sanggup mereka?” Zakuan mengeluh kekesalan. 
            “Ayah dah buat laporan polis.  Wan jangan bimbang ya,” beritahu Malek.
            “Ayah kena lebih berhati-hati tau, takut mereka datang semula dan serang ayah.”
            “Insya-Allah,Wan.”  Malek mengeluh, sudah diduga perkara itu akan berlaku. Pengedar di kawasan kampungnya tidak akan berdiam diri, terutama lubuk mereka dijahanamkan.  Malek tidak risaukan dirinya, bagaimana jika mereka mengganggu penduduk kampung pula?  Keluarganya?  Malek mengeluh berat.  Dia tidak akan mendiamkan diri perkara itu berlaku.  Dia tidak akan membiarkan penjenayah itu mengganggu kedamaian kampungnya.
            “Wan, pergilah balik, ayah taka pa-apa,”  suruh Malek.        
            Zakuan yang sedang memicit kaki dan tangan Malek memandang tidak berkelip.  Dia mengeluh perlahan. 
            “Biarlah Wan bantu ayah,” pinta Zakuan.  Dia tahu lelaki itu tidak mahu menyusahkan dirinya.  Sebagai anak, itu tetap tanggungjawab. 
            “Berilah peluang Wan berbakti dengan orang tua Wan sendiri,” rayu Zakuan dengan mata berkaca. 
            Malek sebak.  Bukan tidak sudi, tetapi dia tidak layak menerima kebaikan yang dihulurkan oleh anak lelakinya itu.
            “Ayah tidak layak dilayan sebaik ini!” kata Malek agak keras.
            Zakuan menggenggam lengan Malek agak kuat.
            “Tidak ada layak atau tak dalam berbakti kepada orang tua, ayah!”  ujar Zakuan.
            Malek terkesima.  Anak itu benar-benar baik. Tidak tertanggung rasa bersalah yang menggunung di hati selama ini.  Kemaafan yang tidak terucap.  Bekas isterinya sendiri tidak mahu memaafkannya.  Kenapa Zakuan begitu mengambil berat keadaan dirinya?  Sedangkan dia tidak pernah mengambil tahu hal anak-anaknya.  Dia membiarkan kehidupan mereka sengsara.  Dia manusia tidak berguna! 
            “Biar Wan teman ayah ya?”  pujuk Zakuan.
            Malek menarik nafas panjang.  Tidak mampu menghalang keinginan anak lelakinya itu.  Dia mengangguk perlahan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan