Malek
menggosok matanya yang terasa berpasir.
Dia cuba bangun tetapi tubuhnya terasa perit dan sakit. Dia berada di mana? Cahaya lampu yang terpasang menyukarkan dia
untuk membuka mata seluas-luasnya. Suara
beberapa orang yang berada di sekelilingnya samar-samar dipandangan mata. Dia cuba membuka seluas-luas matanya. Ingin
mengetahui di mana dia berada.
“Malek! Kau dah sedar?” sapa satu
suara.
Malek kenal benar suara itu. Suara Pak Su Haji Shauki. Tubuhnya digoyang-goyangkan.
“Pak… Pak Su, saya di mana?” tanya
Malek masih dalam keadaan sedar dan tidak.
“Kau di hospital, rakan setugas
jumpa kau pengsan di depan pondok pengawal.
Muka kau pun luka-luka, ada orang pukul kau ke?” tanya Haji Shauki. Dia menarik kerusi yang didudukinya sejak
sejam yang lalu. Wajah berkerut anak buahnya
itu dipandang dengan penuh simpati.
Malek cuba bangun, masih terasa
sengal-sengal diseluruh tubuhnya, matanya terasa bengkak. Kuat betul lelaki-lelaki itu memukulnya,
memang hendak membunuh, agaknya.
Haji Shauki membetulkan kedudukan
belakang anak buahnya agar selesa duduknya.
Dia duduk kembali.
Malek mengeluh, tekaknya terasa
haus.
“Pak Su, saya nak minum air
sikit,” beritahu Malek. Kain langsir berwarna merah jambu merintangi
seluruh bahagian tempat dia dirawat.
“Siapa beritahu pak su saya ada di
sini?” Malek masih terasa letih.
“Rakan sekerja kaulah. Anak-anak kau pak su masih belum
beritahu. Takut mereka bimbang
pula. Kenapa ni Malek? Rakan-rakan kau dulu tu ke?” Haji Shauki mengeluh. Adakah rakan-rakan lama Malek datang berjumpa anak buahnya itu
semula? Adakah mereka mengajaknya
kembali buat kerja lama itu kembali? Dia
tidak akan membiarkan perkara itu berlaku lagi.
Sudah cukuplah, 25 tahun terpenjara, takkan tak insaf-insaf lagi?
“Bukan pak su, mereka marah pasal
kita hapuskan sarang penagihan dadah kat kampung kita tu, itu yang mengamuk
sakan. Ribuan ringgit sehari hangus
begitu sahaja, tiada yang datang membeli lagi, mereka tak boleh jual kat
sesiapa di kampung itu lagi. Semua dah masuk ‘dalam’”, beritahu Malek punca
asal dia diserang.
“Ya Allah! Beraninya mereka? Sampai
serang kau di tempat kerja?” Haji Shauki
menggeleng kekesalan. Terdesak sungguh
para pengedar dadah sehingga sanggup mencederakan orang lain jika sarang mereka
diganggu-gugat.
“Mereka sanggup buat apa sahaja pak
su, hatta membunuh sekalipun!” Malek mengetap bibir, menahan geram di hati. Mereka
pukul curi! Tapi, itu bukan alasan. Dia seharusnya bersedia bila-bila masa dalam
apa juga keadaan. Menyalahkan kelemahan
sendiri kerana tidak kuat melawan.
Akhirnya dia terlantar di hospital.
“Kau berehatlah, mungkin esok baru
boleh keluar,”pesan Haji Shauki.
“Pak su dah nak balik?” Malek
memandang wajah sayu bapa saudaranya itu.
“Dah lama pak su di sini, kau pun
dah sedar.” Haji Shauki menepuk tangan Malek.
“Jangan beritahu pada Wan ya pak su,
nanti bimbang pula dia,” pesan Malek sebelum Haji Shauki meninggalkan dia
sendirian di wad hospital itu. Dia cuba
melelapkan mata. Cuba menghilangkan
rasa sengal yang masih terasa dengan memejamkan mata.
Wajah Zakuan, anak sulongnya
terbayang di mata, tentu anak lelakinya kerisuan jika tahu akan keadaan dirinya
yang terlantar di hospital. Lelaki yang
memukulnya itu fikir, dia akan berhenti dari apa yang sedang dia lakukan
sekarang? Tidak mungkin! Dia tidak akan membiarkan kampung halamannya
menjadi sarang penagihan dadah, anak-anak kampungnya menjadi penagih dan
pengedar! Dia akan berlawan
sehabis-habisnya, tidak mungkin dia berdiam diri! Itulah tekadnya. Lawan tetap lawan, biarpun
nyawanya menjadi galang gantinya.
Penjenayah tidak selamanya menjadi penjenayah, jika masih berterusan
menjadi penjenayah biarpun pernah dihukum, itu adalah pilihan diri
sendiri. Dia akan melawan mereka yang
mengganggu ketenteraman di kampung
halamannya. Dia tidak akan berganjak.
Itulah azamnya.
Petang itu dia dikejutkan dengan
kehadiran Zakuan. Apakah pak sunya
memberitahu anak lelakinya itu akan keadaan dirinya? Wajah Zakuan yang sarat dengan kebimbangan
begitu menyentuh hatinya. Bert-shirt
bulat, berseluar track-suit, anak muda yang berambut ketak-ketak, bertubuh
sasa, tingginya 5 kaki 8 inci, merenungnya tajam.
“Kenapa ayah tak bagitahu masuk
hospital? Siapa pukul ayah? Kawan-kawan
lama ayah ke?” bertalu-talu soalan keluar dari mulut Zakuan.
Malek menggeleng laju. Dia mengeluh, siapa pula yang memberitahu
anaknya, dia masuk hospital?
“Macam mana Wan tahu ayah ada di
sini?” soal Malek. Wajah yang terpampar
kerisauan itu dipandang seketika. Hiba bertandang. Dia tidak pernah bimbang akan keadaan anaknya
sewaktu masih kecil dahulu, dia biarkan sahaja bekas isterinya menguruskan
makan nminum dan sakit demam anak-anaknya.
Ayah jenis apakah ini? Hari ini,
anak yang diabaikan begitu risau dengan keadaannya. Kejamnya dia!
Malek menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan, membuang
rasa hiba di hati yang sarat menggunung, jika tidak ditahan akan pecah,
bertaburan air mata terharu melihat anak lelakinya yang begitu mengambil tahu
keadaan dirinya.
“Wan ke tempat kerja ayah, nak
hantar nasi… rakan sekerja ayah yang beritahu, ayah masuk hospital,” terang
Zakuan.
Malek mengeluh, dia terlupa memberi
pesan agar rakan-rakan sekerjanya tidak memberitahu keadaan dirinya. Dia tidak
mahu menyusahkan Zakuan. Sudah cukuplah
layanan baik yang diterima selama ini.
Salmah pandai mendidik anak, Zakuan begitu menghormatinya,
menyayanginya. Tidak selayaknya dia
mendapat kasih sayang anak itu. Dia
manusia kejam! Tidak seharusnya dia
disayangi dan dikasihani. Dia
penjenayah! Malek menahan sendu di dalam
hati.
“Sikit sahaja Wan, bukan teruk
sangat pun, luka-luka sikit,” ujar Malek, cuba mempamirkan wajah tenang,
sedangkan dalam hati bergelora bak ombak besar yang memukul pantai.
“Kenapa mereka pukul ayah?” Zakuan memecit lengan ayahnya perkahan-lahan.
“Pasal kes dadah di kampung kita
tu,” jawab Malek. Itulah yang
berlaku. Mereka membalas dendam
padanya.
“Ya Allah! Sanggup mereka?” Zakuan mengeluh
kekesalan.
“Ayah dah buat laporan polis. Wan jangan bimbang ya,” beritahu Malek.
“Ayah kena lebih berhati-hati tau,
takut mereka datang semula dan serang ayah.”
“Insya-Allah,Wan.” Malek mengeluh, sudah diduga perkara itu akan
berlaku. Pengedar di kawasan kampungnya tidak akan berdiam diri, terutama lubuk
mereka dijahanamkan. Malek tidak
risaukan dirinya, bagaimana jika mereka mengganggu penduduk kampung pula? Keluarganya?
Malek mengeluh berat. Dia tidak
akan mendiamkan diri perkara itu berlaku.
Dia tidak akan membiarkan penjenayah itu mengganggu kedamaian
kampungnya.
“Wan, pergilah balik, ayah taka
pa-apa,” suruh Malek.
Zakuan yang sedang memicit kaki dan
tangan Malek memandang tidak berkelip.
Dia mengeluh perlahan.
“Biarlah Wan bantu ayah,” pinta
Zakuan. Dia tahu lelaki itu tidak mahu
menyusahkan dirinya. Sebagai anak, itu
tetap tanggungjawab.
“Berilah peluang Wan berbakti dengan
orang tua Wan sendiri,” rayu Zakuan dengan mata berkaca.
Malek sebak. Bukan tidak sudi, tetapi dia tidak layak
menerima kebaikan yang dihulurkan oleh anak lelakinya itu.
“Ayah tidak layak dilayan sebaik
ini!” kata Malek agak keras.
Zakuan menggenggam lengan Malek agak
kuat.
“Tidak ada layak atau tak dalam
berbakti kepada orang tua, ayah!” ujar
Zakuan.
Malek terkesima. Anak itu benar-benar baik. Tidak tertanggung
rasa bersalah yang menggunung di hati selama ini. Kemaafan yang tidak terucap. Bekas isterinya sendiri tidak mahu
memaafkannya. Kenapa Zakuan begitu
mengambil berat keadaan dirinya?
Sedangkan dia tidak pernah mengambil tahu hal anak-anaknya. Dia membiarkan kehidupan mereka
sengsara. Dia manusia tidak
berguna!
“Biar Wan teman ayah ya?” pujuk Zakuan.
Malek menarik nafas panjang. Tidak mampu menghalang keinginan anak
lelakinya itu. Dia mengangguk perlahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan