Isnin, 9 Januari 2017

CATATAN 8-

Dalam buku ini saya mencipta  watak Azrul  sebagai pelajar yang punya motivasi tinggi untuk membantu para pelajar di sekolahnya yang lemah dalam pelajaran termasuklah adiknya sendiri.  Semangat yang harus dalam diri setiap  makhluk  bernama manusia yang ada hati dan perasaan.



Melihat para pelajar yang kembali ke sekolah serta membaca keseronokan para ibu bapa pada hari pertama persekolahan membuat hati saya turut berasa girang.  Mendengar keluhan biras yang ingin menghantar anaknya ke sekolah agama tetapi kecewa dengan pemilihan dibuat, katanya, negara kita biarpun beragama Islam tetapi sudah mengamalkan KASTA, ada sekolah terbaik, baik, dan kurang baik.

              Ada kelas terbaik, kelas baik dan kelas terakhir.  Kenapa jadi seperti itu?  Soalanya yang tidak mampu saya jawab, kerana zaman persekolahan saya dahulu, pelajar pandai dan tidak pandai dicampurkan bersama, bagi memberi peluang para pelajar yang lemah dan tidak pandai berusaha untuk bersaing dengan para pelajar yang pandai. Kalau asyik dapat nombor terakhir, adakah tidak akan terlahir perasaan malu kepada para pelajar yang lemah tadi?

            Melihat dan mendengar membuatkan saya teringatkan anak yatim bernama Rohaizad yang pernah menjadi penghuni rumah anak yatim tahfiz kelolaan dan kepunyaan suami saya ini.

            Rohaizad berusia dua belas tahun sewaktu kami terima masuk dan menjadi pelapis pertama ahli keluarga kami berserta dengan beberapa orang lagi anak yatim dan asnaf.  Saya tidak mahu menceritakan kisah anak-anak  yang lain tetapi tentang ROHAIZAD, yang suami saya tukar namanya AMIN. 

            Rohaizad anak kedua bongsu dari empat beradik, dia mempunyai dua orang kakak dan seorang adik, arwah ayahnya sudah meninggal ketika dia berusia lapan tahun.  Ibunya yang tidak berpelajaran tinggi hanya mampu bekerja di pusat membeli belah sebagai tukang cuci secara kontrak.  Ada kerja, ada gaji.

            Mereka sekeluarga  bernasib baik kerana mendapat bantuan kewangan dari pusat zakat dan juga mendapat rumah PPRT sebagai tempat berlindung di tanah arwah ayahnya.

            Rohaizad bukan pelajar cemerlang, dia amat terkenal di kawasan perumahan tempatnya tinggal dan di bandar tempatnya membesar, kerana dia sering dilihat merayau di sekitar bandar bersama-sama adiknya, perempuan.  Sering ponteng sekolah, bukan seorang pelajar yang pandai, selalu dikenakan tindakan disiplin, tidak buat kerja sekolah dan dalam kelas selalu mendapat tempat tercorot.  Antara pelajar yang kurang disenangi kerana sikap malasnya. 

            Hari pertama dia melangkah ke rumah anak yatim kami, kosong! Kosong segala-galanya.  Dia bagaikan anak terbiar, tidak terdidik dan tidak terajar. Saya tidak salahkan emaknya, kerana melihat keadaan emaknya membuatkan saya faham dan cuba memahami keadaan wanita yang tidak bernasib baik itu.  Saya bukan hendak bercerita tentang keluarga Rohaizad tetapi tentang pelajar itu sendiri.

            Kosong maksud saya, bukanlah dia tidak boleh  membaca atau menulis, dia boleh membaca dan menulis rumi dan  boleh mengira satu dua tiga sehingga habis angka 100.  Tetapi, dia kosong tentang ilmu agama. Tidak tahu solat, biarpun usia sudah 12 tahun, pergi sekolah agama, tetapi tidak fokus, lebih banyak bermain, jadi apa yang diajar langsung tidak masuk dalam kepala.  Jadilah ia pelajar yang membuang masa pergi ke sekolah.

            Jika sudah tidak tahu solat, sudah tentulah dia juga tidak tahu mengaji, kenal huruf alif, ba, ta, tetapi tidak tahu membaca huruf-huruf yang disambung.  Paling sedih, tidak tahu berwuduk.  Allah! Kerja berat ini! 

            Sebagai manusia yang dipilih mendidik anak remaja ini, suami saya bersungguh-sungguh mengajar Rohaizad ambil wuduk, solat dan mengaji.  Empat bulan pertama di rumah anak yatim kelolaan suami, anak-anak yatim yang kami terima masuk, akan diajar perkara-perkara asas ibadah.  Diserapkan juga adab dan akhlak, perkara paling utama sebelum mereka diajar mengaji dan mengenal serta menghafal ayat-ayat Al-Quran.

            Enam bulan cukup, Rohaizad yang satu waktu dahulu, seorang pelajar nakal, malas, tidak pandai, tidak bijak, tidak tahu ambil wuduk, tidak tahu solat, tidak tahu mengaji, tidak beradab, tidak berakhlak, boleh berubah menjadi manusia dan anak yang baik, boleh solat, berakhlak, beradab, malah boleh azan dan qamat serta menjadi IMAM solat. Malah kerana terpancar ketokohannya menjadi seorang pemimpin suami melantik dia menjadi KETUA PELAJAR.    Paling tidak disangka. Suaranya merdua sewaktu melantunkan azan, dan pandai berqasidah.

            Emaknya terkejut, orang kampung seperti tidak percaya melihat perubahan pelajar yang pernah dikatakan tidak punya masa depan ini. Allah! Bukankah manusia dijadikan Allah swt adalah sebaik-baik kejadian?  Kenapa Rohaizad yang tidak tahu apa-apa ini, tidak cemerlang, tidak segala-galanya sebagai seorang pelajar boleh berubah hanya dalam tempoh ENAM BULAN?

            AGAMA!  Amalan sunat yang tidak berhenti-henti, disiplin, adab dan akhlak yang diserapkan, solat lima waktu yang cukup, doa yang berkesan di hati, itulah kunci kejayaan ROHAIZAD, berubah 360 darjah.  Hanya AGAMA yang mampu melembutkan hati yang keras dan kasar. 

            Biarpun jodohnya tidak lama bersama kami, biarpun hati kami kecewa kerana dia kami anggap sebagai seorang pelajar yang cemerlang, tetapi Allah swt Maha mengetahui kenapa dia dititipkan seketika kepada kami.  Semoga segala amalan, ajaran dan tunjukajar kami kepada Rohaizad bermanfaat buat hidupnya dan keluarga  sehingga ke syurga.

            Ini bukan cerita rekaan, kisah benar. Renung-renungkanlah.  Kenapa perlu ada kasta dalam kehidupan kita hari ini?  Kenapa perlu ada perbezaan dalam mengajar dan mendidik?  Kenapa perlu dibiarkan mereka yang tidak pandai ini terus hanyut dengan kebodohan mereka?  Tanyalah kepada diri sendiri, apa peranan kita kepada anak-anak kita, anak-anak didik kita. Semoga kita menjadi insan yang mampu membawa perubahan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan