Melihat para pelajar yang
kembali ke sekolah serta membaca keseronokan para ibu bapa pada hari pertama
persekolahan membuat hati saya turut berasa girang. Mendengar keluhan biras yang ingin menghantar
anaknya ke sekolah agama tetapi kecewa dengan pemilihan dibuat, katanya, negara
kita biarpun beragama Islam tetapi sudah mengamalkan KASTA, ada sekolah
terbaik, baik, dan kurang baik.
Ada kelas
terbaik, kelas baik dan kelas terakhir.
Kenapa jadi seperti itu? Soalanya
yang tidak mampu saya jawab, kerana zaman persekolahan saya dahulu, pelajar
pandai dan tidak pandai dicampurkan bersama, bagi memberi peluang para pelajar
yang lemah dan tidak pandai berusaha untuk bersaing dengan para pelajar yang
pandai. Kalau asyik dapat nombor terakhir, adakah tidak akan terlahir perasaan
malu kepada para pelajar yang lemah tadi?
Melihat dan mendengar membuatkan saya teringatkan anak
yatim bernama Rohaizad yang pernah menjadi penghuni rumah anak yatim tahfiz
kelolaan dan kepunyaan suami saya ini.
Rohaizad berusia dua belas tahun sewaktu kami terima
masuk dan menjadi pelapis pertama ahli keluarga kami berserta dengan beberapa
orang lagi anak yatim dan asnaf. Saya
tidak mahu menceritakan kisah anak-anak
yang lain tetapi tentang ROHAIZAD, yang suami saya tukar namanya
AMIN.
Rohaizad anak kedua bongsu dari empat beradik, dia
mempunyai dua orang kakak dan seorang adik, arwah ayahnya sudah meninggal
ketika dia berusia lapan tahun. Ibunya
yang tidak berpelajaran tinggi hanya mampu bekerja di pusat membeli belah
sebagai tukang cuci secara kontrak. Ada
kerja, ada gaji.
Mereka sekeluarga
bernasib baik kerana mendapat bantuan kewangan dari pusat zakat dan juga
mendapat rumah PPRT sebagai tempat berlindung di tanah arwah ayahnya.
Rohaizad bukan pelajar cemerlang, dia amat terkenal di
kawasan perumahan tempatnya tinggal dan di bandar tempatnya membesar, kerana
dia sering dilihat merayau di sekitar bandar bersama-sama adiknya, perempuan. Sering ponteng sekolah, bukan seorang pelajar
yang pandai, selalu dikenakan tindakan disiplin, tidak buat kerja sekolah dan
dalam kelas selalu mendapat tempat tercorot.
Antara pelajar yang kurang disenangi kerana sikap malasnya.
Hari pertama dia melangkah ke rumah anak yatim kami,
kosong! Kosong segala-galanya. Dia
bagaikan anak terbiar, tidak terdidik dan tidak terajar. Saya tidak salahkan
emaknya, kerana melihat keadaan emaknya membuatkan saya faham dan cuba memahami
keadaan wanita yang tidak bernasib baik itu.
Saya bukan hendak bercerita tentang keluarga Rohaizad tetapi tentang
pelajar itu sendiri.
Kosong maksud saya, bukanlah dia tidak boleh membaca atau menulis, dia boleh membaca dan
menulis rumi dan boleh mengira satu dua
tiga sehingga habis angka 100. Tetapi,
dia kosong tentang ilmu agama. Tidak tahu solat, biarpun usia sudah 12 tahun,
pergi sekolah agama, tetapi tidak fokus, lebih banyak bermain, jadi apa yang
diajar langsung tidak masuk dalam kepala.
Jadilah ia pelajar yang membuang masa pergi ke sekolah.
Jika sudah tidak tahu solat, sudah tentulah dia juga
tidak tahu mengaji, kenal huruf alif, ba, ta, tetapi tidak tahu membaca
huruf-huruf yang disambung. Paling
sedih, tidak tahu berwuduk. Allah! Kerja
berat ini!
Sebagai manusia yang dipilih mendidik anak remaja ini,
suami saya bersungguh-sungguh mengajar Rohaizad ambil wuduk, solat dan
mengaji. Empat bulan pertama di rumah
anak yatim kelolaan suami, anak-anak yatim yang kami terima masuk, akan diajar
perkara-perkara asas ibadah. Diserapkan
juga adab dan akhlak, perkara paling utama sebelum mereka diajar mengaji dan
mengenal serta menghafal ayat-ayat Al-Quran.
Enam bulan cukup, Rohaizad yang satu waktu dahulu,
seorang pelajar nakal, malas, tidak pandai, tidak bijak, tidak tahu ambil
wuduk, tidak tahu solat, tidak tahu mengaji, tidak beradab, tidak berakhlak,
boleh berubah menjadi manusia dan anak yang baik, boleh solat, berakhlak,
beradab, malah boleh azan dan qamat serta menjadi IMAM solat. Malah kerana
terpancar ketokohannya menjadi seorang pemimpin suami melantik dia menjadi
KETUA PELAJAR. Paling tidak disangka.
Suaranya merdua sewaktu melantunkan azan, dan pandai berqasidah.
Emaknya terkejut, orang kampung seperti tidak percaya
melihat perubahan pelajar yang pernah dikatakan tidak punya masa depan ini.
Allah! Bukankah manusia dijadikan Allah swt adalah sebaik-baik kejadian? Kenapa Rohaizad yang tidak tahu apa-apa ini,
tidak cemerlang, tidak segala-galanya sebagai seorang pelajar boleh berubah
hanya dalam tempoh ENAM BULAN?
AGAMA! Amalan
sunat yang tidak berhenti-henti, disiplin, adab dan akhlak yang diserapkan,
solat lima waktu yang cukup, doa yang berkesan di hati, itulah kunci kejayaan
ROHAIZAD, berubah 360 darjah. Hanya
AGAMA yang mampu melembutkan hati yang keras dan kasar.
Biarpun jodohnya tidak lama bersama kami, biarpun hati
kami kecewa kerana dia kami anggap sebagai seorang pelajar yang cemerlang,
tetapi Allah swt Maha mengetahui kenapa dia dititipkan seketika kepada
kami. Semoga segala amalan, ajaran dan
tunjukajar kami kepada Rohaizad bermanfaat buat hidupnya dan keluarga sehingga ke syurga.
Ini bukan cerita rekaan, kisah benar.
Renung-renungkanlah. Kenapa perlu ada
kasta dalam kehidupan kita hari ini?
Kenapa perlu ada perbezaan dalam mengajar dan mendidik? Kenapa perlu dibiarkan mereka yang tidak
pandai ini terus hanyut dengan kebodohan mereka? Tanyalah kepada diri sendiri, apa peranan
kita kepada anak-anak kita, anak-anak didik kita. Semoga kita menjadi insan
yang mampu membawa perubahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan