Sinopsis
‘Aku’ cuba menjadi seorang suami yang baik. Bagaimana ‘Aku’ menangani sikap isterinya, bagaimana dia menghargai isteri. Kisah-kisah kehidupan rumah tangga antara ‘AKU’ dan “DIA’. Sikap yang perlu ada sebagai seorang suami. Tanggungjawab seorang isteri, bukan calang-calang ujiannya.
‘Aku’ cuba menjadi seorang suami yang baik. Bagaimana ‘Aku’ menangani sikap isterinya, bagaimana dia menghargai isteri. Kisah-kisah kehidupan rumah tangga antara ‘AKU’ dan “DIA’. Sikap yang perlu ada sebagai seorang suami. Tanggungjawab seorang isteri, bukan calang-calang ujiannya.
KISAH
1
Redup pandangan matanya memandang ke
arahku membuatkan hatiku terpanar kerisauan.
Apa yang sedang bermain dimindanya?
Apa yang tersimpan di dalam hatinya?
Marahkah dia kepadaku? Kenapa dia
membisu? Riak wajahnya bertukar
muram. Aduh! Parah hatiku. Ribut melanda
sukmaku. Dia masih tidak berkata
apa-apa, masih membisu seribu bahasa. Bagaikan ada segumpal permata yang
tersimpan di dalam kerongkongnya.
Cakaplah? Luahlah apa sahaja yang dia rasa. Biar aku dengar
semuanya. Berterus terang itukan bagus
untuk dia dan aku.
Langkah di atur menuju ke
dapur. Uh! Aku mendengus kasar. Kenapa
dengan isteriku ini? Apa yang membuat
rasa marah membuak-buak dalam diri? Membisu dan mendiamkan diri langsung tidak
membantu. Hentakan kakinya biarpun
sayup-sayup kedengaran sudah cukup menandakan rasa yang terbuku di
jiwanya. Dia kembali bersama dulang yang
berisi teko, cawan dan sepiring kuih, minum petang untukku. Itulah yang aku
sayang sangat padanya. Tanggungjawab sebagai
seorang isteri, cukup sempurna. Makan, pakai terjaga sempurna. Tiada yang
kurang untuk aku mengadu atau menulis surat bantahan ketidakpuasan di hati.
Perlahan sahaja talam itu diletakkan
di atas meja kopi. Dahiku pula yang
semakin berkerut memikirkan keadaan isteri tersayang. Tangannya pantas menuang air ke dalam cawan. Dia meletakannya di hadapanku. Senyuman dilukiskan, langsung tidak terasa
indahnya. Warna yang terlakar terasa
suram dan muram. Berombak-ombak jiwaku, terkumat-kamit mulutku, ingin sangat
bertanya, gerangan apa yang telah mengganggu jiwanya sehingga membatukan
diri. Aku mengeluh berat. Di mana gurau sendamu, di mana kata-kata
indahmu? Kurindu dengan suaramu. Berkatalah sesuatu, biarpun hanya sebaris
ayat.
“Sayang tidak minum sama?” tanyaku lembut.
Masih berfikir, apa kesalahan yang sudah aku lakukan sehingga begitu ketara
sekali perubahan dirinya.
“Abang minumlah dulu, Liya masih belum lapar,”
jawab Liya.
Suaranya masih lembut seperti
biasa, tetapi sikap mendiamkan dirinya itu buat hatiku tertanya-tanya. Ah! Beratnya perasaan yang sedang diulit
pertanyaan yang bukan-bukan. Hendak
bertanya, terasa malu secara tiba-tiba. Malu seorang suami, mungkinkah aku
sudah melakukan kesalahan sehingga terasa begitu sekali?
Mataku memerhatikan sahaja
tingkahlaku Liya yang sibuk di laman rumah kami pula. Membersihkan kawasan taman mini yang dihias
cantik dengan pelbagai jenis bunga-bungaan. Hobi isteri tercinta, aku tidak
pernah menghalang hobinya. Terlupa satu lagi hobi isteri tercinta. Dia suka membaca buku. Membaca buku? Dahiku berkerut tiba-tiba.
“Sayang! Maafkan abang, jom kita ke
Pameran Buku, abang terlupa tarikhnya,” beritahuku, cepat-cepat
menghabiskan minuman yang ada.
“Yakah bang?” tanyanya dengan wajah ceria. Berhenti melakukan
kerja-kerja berkebunnya.
“Takkan masam dan bermuram durja hanya kerana abang terlupa nak ajak ke
pameran buku?” tanyaku.
Isteriku hanya menyengih dan berlalu ke dalam bilik.
Aku menepuk dahi. Pasal buku pun boleh masam muka? Aduhai
isteriku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan