Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 27 September 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 1 - ASMAH HASHIM ( Hak cipta terpelihara)



Sinopsis
            ‘Aku’ cuba menjadi seorang suami yang baik.  Bagaimana ‘Aku’ menangani  sikap isterinya, bagaimana dia menghargai isteri.  Kisah-kisah kehidupan rumah tangga  antara ‘AKU’ dan “DIA’. Sikap yang perlu ada sebagai seorang suami.  Tanggungjawab seorang isteri, bukan calang-calang ujiannya.


KISAH 1
            Redup pandangan matanya memandang ke arahku membuatkan hatiku terpanar kerisauan.  Apa yang sedang bermain dimindanya?  Apa yang tersimpan di dalam hatinya?  Marahkah dia kepadaku?  Kenapa dia membisu?  Riak wajahnya bertukar muram.  Aduh! Parah hatiku. Ribut melanda sukmaku.  Dia masih tidak berkata apa-apa, masih membisu seribu bahasa. Bagaikan ada segumpal permata yang tersimpan di dalam kerongkongnya.  Cakaplah? Luahlah apa sahaja yang dia rasa. Biar aku dengar semuanya.  Berterus terang itukan bagus untuk dia dan aku.
            Langkah di atur menuju ke dapur.  Uh! Aku mendengus kasar. Kenapa dengan isteriku ini?  Apa yang membuat rasa marah membuak-buak dalam diri? Membisu dan mendiamkan diri langsung tidak membantu.   Hentakan kakinya biarpun sayup-sayup kedengaran sudah cukup menandakan rasa yang terbuku di jiwanya.  Dia kembali bersama dulang yang berisi teko, cawan dan sepiring kuih, minum petang untukku. Itulah yang aku sayang sangat padanya.  Tanggungjawab sebagai seorang isteri, cukup sempurna. Makan, pakai terjaga sempurna. Tiada yang kurang untuk aku mengadu atau menulis surat bantahan ketidakpuasan di hati.
            Perlahan sahaja talam itu diletakkan di atas meja kopi.  Dahiku pula yang semakin berkerut memikirkan keadaan isteri tersayang.  Tangannya pantas menuang air ke dalam cawan.  Dia meletakannya di hadapanku.  Senyuman dilukiskan, langsung tidak terasa indahnya.  Warna yang terlakar terasa suram dan muram. Berombak-ombak jiwaku, terkumat-kamit mulutku, ingin sangat bertanya, gerangan apa yang telah mengganggu jiwanya sehingga membatukan diri.  Aku mengeluh berat.  Di mana gurau sendamu, di mana kata-kata indahmu?  Kurindu dengan suaramu.  Berkatalah sesuatu, biarpun hanya sebaris ayat.
             “Sayang tidak minum sama?” tanyaku lembut. Masih berfikir, apa kesalahan yang sudah aku lakukan sehingga begitu ketara sekali perubahan dirinya.
             “Abang minumlah dulu, Liya masih belum lapar,” jawab Liya.
            Suaranya masih lembut seperti biasa, tetapi sikap mendiamkan dirinya itu buat hatiku tertanya-tanya.  Ah! Beratnya perasaan yang sedang diulit pertanyaan yang bukan-bukan.  Hendak bertanya, terasa malu secara tiba-tiba. Malu seorang suami, mungkinkah aku sudah melakukan kesalahan sehingga terasa begitu sekali?
            Mataku memerhatikan sahaja tingkahlaku Liya yang sibuk di laman rumah kami pula.  Membersihkan kawasan taman mini yang dihias cantik dengan pelbagai jenis bunga-bungaan. Hobi isteri tercinta, aku tidak pernah menghalang hobinya. Terlupa satu lagi hobi isteri tercinta.  Dia suka membaca buku. Membaca buku?  Dahiku berkerut tiba-tiba.
               “Sayang! Maafkan abang, jom kita ke  Pameran Buku, abang terlupa tarikhnya,” beritahuku, cepat-cepat menghabiskan minuman yang ada.
              “Yakah bang?” tanyanya dengan wajah ceria. Berhenti melakukan kerja-kerja berkebunnya.
              “Takkan masam dan bermuram durja hanya kerana abang terlupa nak ajak ke pameran buku?” tanyaku.
              Isteriku hanya menyengih dan berlalu ke dalam bilik.
            Aku menepuk dahi.  Pasal buku pun boleh masam muka? Aduhai isteriku!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan