Isnin, 30 Oktober 2017

JALAN PULANG - BAB 30



Pintu pagar yang tidak berkunci, ditolak perlahan.  Bunyi hon kereta yang sesekali mengusik telinga membuatkan Zakuan dan Malek menoleh, memandang. Sesekali suara burung pipit yang bermain di dahan-dahan pokok bunga cempaka mengusik pandangan  mereka. 
            Langkah Malek semakin perlahan sebaik sahaja sampai berhampiran pintu utama rumah banglo setingkat itu.  Di hadapan rumah, tersusun deretan pasu yang berisi bunga mawar pelbagai warna. 
            “Ayah.” Zakuan berdiri sebelah Malek, menunggu dengan sabar.  
            Malek memberi salam dan menekan loceng rumah tersebut.
            Mereka menunggu seketika.  Tiada sebarang jawapan atau gerakkan di pintu. 
            Sekali lagi Malek memberi salam dan menekan loceng.
            Daun pintu dikuak perlahan.  Terpacul di muka pintu seorang  gadis yang pernah ditemui Malek sebelum ini.  Wajah itu tetap manis dan lembut di pandangan mata.
            “Cari siapa?” tanya gadis itu lembut dan penuh hormat.
             Berbaju kurung dan bertudung. Penampilannya kelihatan amat sopan.
            “Kami cari Puan Maheran, dia ada?” tanya Malek.
            “Erk… mama? Ada,” beritahu gadis itu.  Dahinya berkerut.  Matanya memandang Malek dan Zakuan silih berganti.
            “Rasanya saya pernah lihat pak cik, tapi di mana ya?”  gadis itu berfikir sejenak.
            “Di Kampung Seberang,”  sampuk Malek.
            Gadis itu diam seketika.
            “Ya, di Kampung Seberang, di tapak lama rumah arwah tok wan,”  ujar gadis itu gembira. 
            ‘Ya, dia gembiralah, sekarang! Tunggulah sebentar lagi, detik  hati kecil Malek.
            “Jemputlah masuk,” pelawa gadis itu.
            Malek memandang Zakuan dan menganggukkan kepala. 
            Zakuan membuka kasut dan mengikut langkah Malek yang sudah pun masuk ke dalam rumah. 
            Malek memerhatikan keadaan dalam rumah yang kemas dan bersih itu. Barangan Kristal Turki berbagai warna tersusun kemas di dalam dua buah almari.  Dua rak buku juga menjadi penghias rumah tamu, menunjukkan empunya rumah suka membaca. Kipas siling terpasang laju.
            “Jemput duduk ya, saya panggil nenek dan mama,”  pelawa gadis itu sebelum berlalu pergi.
            Malek cuba menenangkan dirinya yang semakin berserabut, berdebar, takut, risau, bimbang, semua bergulung menjadi satu.  Seram sejuk tubuhnya.  Semakin kuat degupan jantungnya kedengaran di telinga.  Ya Allah! Bisik hati kecilnya. 
            Gadis tadi muncul  bersama dua orang wanita yang berusia.  Seorang berkerusi roda dan seorang lagi berjalan di sebelah gadis tadi.  Mereka mendekati Malek dan Zakuan.
            Malek dan Zakuan bingkas bangun berdiri.  Mereka memandang serentak ke arah tiga wanita yang menghampiri mereka.
            Malek memandang Maheran yang berbaju kurung dan bertudung separa dada.  Wajahnya tidak banyak berubah, cuma sedikit  cengkung.  Wanita yang berkerusi roda pula, berjubah warna hitam dan bertudung labuh. 
            “Maaf,  jika kehadiran kami  menganggu.” Malek serba salah.
            “Tak mengapa, dengar kata encik berdua datang dari Kampung Seberang?” tanya wanita yang berkerusi roda.
            Malek memandang  wanita itu, wajahnya sudah banyak berubah, terlihat keuzurannya.  Malah berkerusi roda.  Mungkin dia sudah tidak boleh berjalan lagi.  Malek tidak tahu bagaimana harus dia memulakan kata-kata untuk menyatakan tujuan kehadirannya.
            “Ya, kami dari Kampung Seberang,” jawab Zakuan setelah ayahnya tidak berkata apa-apa, seperti mengelamun jauh.
            “Encik berdua ini datang atas tujuan apa?”  tanya wanita berkerusi roda itu. 
            “Saya… saya… saya datang ini ada hajat,” kata Malek, sesekali memandang wajah wanita itu, sesekali menunduk merenung lantai.
            “Awak! Saya seperti pernah tengok awak.”  Maheran memandang wajah Malek.
            Malek menelan air liur sendiri.  Berasa takut dengan kesalahan sendiri.  Dia mendapat tahu Maheran baharu sahaja sebulan keluar dari Hospital Bahagia di Perak. Keadaan Maheran juga  kelihatan tidak begitu sehat.  Seperti orang kebingungan.  Tiada sinar di matanya, kosong dan bagaikan mati. 
            “Puan Maheran, saya datang bertujuan ingin meminta ampun dan maaf atas perbuatan saya yang lalu.  Saya berharap Puan sudi memaafkan saya,”  luah Malek.  Semakin berpeluh tubuhnya.  Terasa merah padam mukanya, bukan marah, tetapi takut.  Takut menanti reaksi Maheran dan keluarganya.
            “Minta maaf daripada saya?  Kenapa?  Apa salah encik pada saya?” Maheran mengerut dahi.  Matanya tepat memandang wajah Malek.  Dia mengesot sedikit ke  hadapan sofa. Mengamati wajah Malek.  Berkerut lagi dahinya seperti ingin cuba mengingati sesuatu.
            “Saya… sayalah lelaki yang telah memperkosa Puan Maheran dahulu itu,”  luah Malek sekali nafas.  Malek menunggu sahaja apa yang bakal berlaku.  Dimarahi, diherdik, dipukul atau dihina, dia akan terima dengan hati yang terbuka.
            Maheran bingkas bangun.  Wajahnya muram, matanya membulat memandang Malek.  Tangannya mengenggam buku lima, bibirnya terketar-ketar, matanya membulat menikam tajam ke arah Malek.  Kalau mata pisau pasti Malek sudah tercedera.
            “Apa kau cakap tadi?”  soal wanita berkerusi roda itu pula.  Renungan tajam dilemparkan ke arah Malek. Dadanya berombak laju, sesekali mengurut dada.  Mencekak kain tudung di bahagian dada.  Mengetap gigi. Api kemarahan jelas terpancar.  Dia menolak kerusi rodanya sendiri dan mendekati Malek.  Dipukul Malek dengan tangannya sendiri.  Bertubi-tubi.  Seperti orang yang selama ini menyimpan kemarahan yang tidak terlepas.
            “Saya yang telah memperkosan Puan Maheran, saya datang ini sebab ingin meminta ampun dan maaf.  Puan, saya sedia menerima apa sahaja hukuman.”  Malek duduk berteleku di lantai. Seperti seorang pesalah yang menanti dihukum.
            “Allahu Akbar!” jerit wanita berkerusi roda tadi.  Dia meraung di hadapan Malek. Juraian airmatanya semakin laju.  Dia seperti sukar bernafas.
            Maheran pula menutup telinganya.  Dia duduk memeluk lututnya.  Mukanya ditundukkan.  Dia turut menangis sayu, kedengaran pilu suaranya.
            “Pak cik!”jerit  gadis  itu.
            Malek menunduk.
            “Maafkan pak cik nak,”  ucap Malek.
            Dulang yang berisi teko dan cawan bertaburan di lantai.
            Wajah ketiga-tiga wanita itu bengis memandang Malek.
            “Ayah!”  Zakuan menarik tangan ayahnya.
            “Maafkan saya,” kata Malek berkali-kali sambil menunduk juga berkali-kali.
            “Keluar!  Keluar!” jerit wanita berkerusi roda itu sekuat hati.  Jelas terpancar kemarahan di wajah tuanya.  Dia mengongoi menangis sambil menepuk-nepuk dadanya. Bagaikan orang hilang kewarasannya.
            Keadaan menjadi kecuh tiba-tiba.  Malek dan Zakuan segera berlalu meninggalkan runang tamu itu.
            Jeritan Maheran kedengaran bergema dipendengaran Malek dan Zakuan biarpun mereka sudah jauh melangkah keluar meninggalkan rumah itu.  Hiba menyucuk tangkai hati Malek. 
            Zakuan pula berkali-kali meminta ayahnya bersabar.
            “Pak cik… pak cik…”  panggil seseorang.
            Malek menoleh.
            “Jangan datang lagi ke sini, hati nenek dan mama saya sudah cukup hancur.  Terlajak kata boleh ditarik balik, terlajak perbuatan, tak mungkin boleh berpatah semula,”  ujar gadis itu.
            “Nama saya Ayu, biarpun pak cik adalah ayah biologi saya.  Tapi kita tetap tidak ada apa-apa hubungan.  Saya mungkin boleh maafkan pak cik, tetapi tidak buat nenek dan mama saya,”  kata Ayu sebelum menutup pintu pagar dan menguncinya.
            “Ayu… maafkan pak cik!’ ucap Malek sebelum meninggalkan perkarangan kawasan rumah itu.
            Ayu hanya membisu dan berlalu.
            Malek melangkah masuk ke dalam kereta. 
            Zakuan sudah pun berada di dalamnya, enjin kereta sudah dihidupkan.
            Malek menangis semahu-mahunya.  Dia tidak akan dapat pengampunan seperti yang diharapkan.  Tiada siapa yang akan memaafkan dirinya yang telah menghancurkan sebuah keluarga.
            Zakuan serba salah.  Dia tidak mampu berbuat apa-apa.  Hanya membiarkan ayahnya melepaskan kesesalan di hati.  Kesal atas perbuatan yang lalu.  Yang pasti, ketiga-tiga wanita itu tidak akan memaafkan ayahnya.  Allahu Akbar! 
            “Kita balik dulu ya ayah, bagi mereka bertenang dulu.  Mungkin mereka terkejut agaknya, berilah mereka masa,”  pujuk Zakuan, itu sahaja yang mampu dia lakukan.  Apa lagi dayanya.  Ini bukan untuk menyelesaikan hutang wang ringgit.  Tapi menyelesaikan hutang maruah diri.  Bagaimana mungkin ia akan berlaku baik atau yang menjadi mangsa akan jadi pemaaf dengan begitu mudah.
            “Apa yang harus ayah  lakukan Wan?  Apa yang harus ayah lakukan?” soal Malek, bingung sendiri.
            “Sabarlah ayah,” pujuk Zakuan sambil mengusap belakang   ayahnya perlahan.  Hiba mengusik tangkai hatinya.
            Zakuan terus masuk gear, dia menekan padel minyak dan terus memandu meninggalkan kawasan banglo itu.  Dalam hati dia berdoa, semoga keluarga itu terbuka hati memaafkan ayahnya.
            Malek turut berdoa, agar keluarga itu mahu mengampunkan dosa-dosanya yang lalu.  Benar, dia tidak akan mampu mengembalikan maruah keluarga itu, kemaafan yang diminta lebih kepada untuk dirinya sendiri.  Allah!  Betapa besar dosa yang telah dilakukan. Meragut maruah seorang gadis yang tidak berdosa sehingga melahirkan seorang manusia lain.  Kini, mereka menanggung aibnya.  Dia?  Menanggung dosa yang akan dibawa sehingga ke akhirat nanti.  Ya Allah! Aku mohon keampunanMu! Detik hati kecil Malek dengan linangan air mata kekesalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan