Sabtu, 14 Mac 2020

5 TIP MENJADI MERTUA YANG BAIK

Gambar: Google


 5 TIP MENJADI MERTUA YANG BAIK

 Sebaik sahaja  anak perempuan atau lelaki diijabkabul dengan pasangan mereka, secara automatik anda  menjadi ibu mertua, tidak kiralah anda terima menantu lelaki atau perempuan.

Bagaimana perasaan anda? Gembira? Sedih? Terasa kehilangan? Tentu perasaan bercampur-baurkan? Kalau anak kita lelaki, tidaklah kira risau sangat kecuali kita bimbang anak lelaki kita akan dikontrol oleh menantu kita.

Kalau anak kita perempuan, bimbang juga kalau suaminya tidak melayannya dengan baik. Bagaimana hubungan dengan mertua dan ipar duai? Macam-macam ada dalam kepala, kan?

Apatah lagi anda mendapat seorang mertua yang kurang mesra. Tentulah kita bimbang pisang berbuah dua kali. Sudah tentulah anda ingin mengubah keadaan itu dan menjadi mertua yang baik kepada menantu-menantu anda.

Mari saya kongsikan beberapa tip bagaimana anda boleh menjadi seorang mertua yang baik.

1)Terima Menantu Seadanya- Setiap manusia ada kekurangan diri. Terimalah menantu kita sebagai anak kita sendiri. Kalau kita ramai menantu, usah pilih kasih.

Terima kelebihan dan kekurangan mereka. Usah dicari kekurangan mereka. Belajar kenali kelebihan mereka.

Ada menantu yang mesra dan mudah menerima diri anda. Ada  pula menantu yang berasa janggal ketika bersama anda. Jangan melatah. Dekati mereka dengan kelembutan anda. Paling penting, jangan mengadili diri mereka.

2)Natural- Bersikap biasa. Anda juga ada kelemahan. Ingat kembali sewaktu mula-mula berkahwin? Adakah rumah tangga anda sempurna seperti sekarang?

 
Sudah tentulah anda melalui fasa perubahan dari satu tangga ke satu tangga sehingga anda  berjaya menjadi seorang ibu atau ayah yang baik.

Sentiasa berfikiran terbuka. Adakala menantu meninggikan suara dengan anak lelaki atau perempuan kita, jangan melatah atau berasa mereka kurang ajar.

Setelah keadaan tenang, dekati mereka, bawa bersembang dan berbincang. Ketika itulah, peranan anda sebagai seorang ibu walaupun hanya ibu mertua perlu.

Jadilah ibu mertua yang mendamaikan hati menantu. Menyejukkan jiwa mereka ketika hati mereka sedang dibakar kemarahan.

3)Pakar Rujuk- Perhebatkan kepakaran anda dalam bidang motivasi diri. Anak-anakkan baharu berumah tangga.

Tentu banyak perkara yang perlu mereka pelajari. Gunakan pengalaman anda sebagai seorang ibu dan isteri.

Menantu suka ibu mertua yang pandai menasihati mereka dengan cara berhemah. Jangan menyindir kalau mereka bermasalah.

Anda bukan sahaja boleh jadi pakar motivasi diri, tetapi boleh juga menjadi pakar masakan buat menantu. Air tangan seorang ibu tidak pernah menghampakan.

Sudah tentulah anda boleh  mengajak anak menantu perempuan main masak-masak sekali-sekala. Kalau menantu lelaki, pikatlah dirinya dengan masakan anda.

Memasak adalah motivasi diri yang terbaik. Perut yang kenyang mampu menenangkan hati yang panas.

4)Menghormati- Kalau anda ingin dihormati. Andalah terlebih dahulu menghormati. Hormati menantu anda biarpun mereka taraf anak.

Hormat bukan bermakna anda perlu takut hendak menegur kalau menantu buat perkara tidak baik. Tetapi hormat kerana merekalah yang telah mengambil alih menjaga anak anda pula.

Seringlah berbual dan bersembang dengan mereka. Ucapkan terima kasih kerana mereka menjaga anak anda. Tentu mereka akan berasa gembira kerana anda menerima diri  mereka seadanya.

Sesekali belilah hadiah biarpun yang murah tanda kasih sayang kita kepada mereka. Jalinkanlah hubungan yang baik. Seperti mana kita mahu dilayan baik oleh mertua kita begitu juga mereka.

5)Berkawan-Jadikan menantu anda sebagai kawan. Kawan yang boleh berkongsi apa sahaja. Jadikan mereka juga pendengar terbaik kita.

Mereka pasti menghargai sikap kita. Mereka akan berasa dihargai dan disayangi.

Jangan burukkan menantu kepada menantu lain. Biarpun kita menjadikan mereka tempat meluahkan perasaan, tetapi tidak semua perkara.

 Kisah menantu A, biarlah menjadi rahsia di hati kita. Usah diceritakan kepada menantu B. Begitulah sebaliknya.

 Banyakkan Bersabar

Jaga hubungan kita dengan mereka sebaik mungkin. Kita sudah banyak pengalaman. Sudah tentu kita mampu menjadi manusia yang sabar.

Usah cepat melatah apabila menantu bercerita  ada menantu lain yang menceritakan keburukan diri kita. Dengar dan diam. Usah mengamuk pula. Terima dengan tenang, aduan tentang diri kita.

Mungkin kita ada salah dan silap yang tidak kita nampak. Orang lain adalah cermin diri kita. Begitu juga menantu kita.

Kalau berasa tidak puas hati, panggil mereka. Ajak berbincang, bertanya dan berterus-terang. Bersikap terbuka.

Usah simpan dalam hati ketidakpuasan hati terhadap mereka.
Lagi lama anda simpan, pasti akan menjadi nanar dalam hati.

Tidak kira siapa anda, anggaplah menantu kita sama seperti anak anda sendiri. Bukan orang luar yang tiba-tiba hadir dalam keluarga anda.

Layan mereka dengan penuh kasih dan sayang. Ingat, apa yang kita beri, itulah yang kita dapat kembali.

 Hargai mereka seadanya seperti mana mereka menerima kita seadanya.
Semoga keluarga bahagia milik kita.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan