Isnin, 16 Mac 2020

TIP BAGAIMANA MENJADI MENANTU YANG BAIK




Mempunyai keluarga yang bahagia adalah impian semua orang. Terutama kepada wanita yang sudah berkahwin.

Begitu juga dengan anda, tentu inginkan mertua yang baik dan mampu menyayangi diri anda seperti anak sendiri.

TAHU TANGGUNGJAWAB
Seorang anak yang baik berkewajipan berbakti kepada kedua orang tuanya  biarpun sudah bernikah.

Anda perlu tahu, seorang anak lelaki wajib berbakti kepada orang tuanya sehingga ke akhir hayat. 
Sebagai isteri yang baik anda hendaklah membenarkan suami terus berbakti kepada orang tuanya.

Dalam soal ini, perbincangan bersama perlu, supaya tidak mengganggu-gugat kebahagian rumah tangga sendiri.

Jangan marah kalau suami sering membantu keluarganya. Bersikap positif dalam semua perkara yang bersangkutan dengan keluarga mertua.

Begitu juga sebaliknya. Suami perlu memahami jikalau isterinya juga mahu berbakti kepada orang tuanya.

Keluarga mertua juga keluarga anda. Ibu ayah mertua juga ibu ayah anda. Tidak ada perbezaan dalam menentukan status mereka.

BERSIKAP POSITIF

Supaya anda menjadi menantu yang disayangi, cubalah berperilaku positif terhadap mertua. Terima baik dan buruk sikap mertua anda.

Mungkin mertua seorang yang kelihatan seperti tidak berpendidikan, sebagai anak, anda wajar menerima dirinya seadanya. Hormati dirinya. Terima pandangannya.

Seorang tua, suka menasihati, biarpun anda tidak setuju dengan kata-katanya, bermanis muka dan iakan kata-katanya. Biarpun anda takkan mengikut semua nasihatnya.

Berprasangka adalah sikap yang tidak baik, kalau boleh hindari perasaan sebegitu.
Jadilah pendengar yang baik kepada mertua biarpun cerita yang sama anda pernah dengar berulangkali..

Sentiasa memuji mertua dan mengucapkan terima kasih setiap kali mertua membantu memasak atau menjaga anak anda.

Belajar menghargai mertua anda kerana dialah yang telah melahirkan suami anda ke dunia ini.

Jangan meninggi suara terhadap mertua.

Jangan masuk campur urusan keluarga mertua kecuali mereka bertanyakan pendapat anda.

Mengadu domba adalah satu dosa, terutama kalau anda bercerita buruk tentang mertua sendiri, sebaiknya hindarkan.

Jangan cemburu dengan mertua kalau dia dimanjakan oleh pasangan anda lebih daripada pasangan memanjakan anda.

Sebagai orang tua, tentulah mertua anda banyak pengalaman, sentiasalah meminta pandangannya sesuai dengan masalah yang sedang anda hadapi.

Usah bercakap meninggi diri di hadapan keluarga mertua jikalau keluarga mertua berasal daripada keluarga sederhana. Usah tunjukan kemewahan anda di hadapan mereka juga.

RINGAN TULANG

Sebagai seorang perempuan, tidak manislah anda bangun ketika matahari sudah tegak di kepala. Apatah lagi berada di rumah mertua.

Kalau ibu mertua sudah bangun seawall 7.00 pagi dan tercongok di dapur. Tentulah tidak manis kalau anda masih berselimut dan berkurung di dalam bilik.

Biarpun anda tidak pandai memasak, masih banyak lagi pekerjaan lain yang boleh anda lakukan di rumah mertua.

Mungkin  anda boleh membantu mengemas rumah, menyediakan bahan-bahan untuk dimasak oleh mertua dan membasuh pinggan-mangkuk.

Belajarlah merendah diri biarpun anda pandai memasak. Emak mertua anda pasti suka anda belajar masakan kegemaran pasangan anda.

Jangan sesekali menunjukkan kemalasan anda di hadapan mertua dan ipar-duai.

LAYANAN SAMA RATA

Melayan keluarga  mertua biarlah sama seperti mana anda melayan keluarga sendiri.
Jangan pilih kasih.

Sesekali belanjalah keluarga mertua. Belikan hadiah buat mereka. Kalau anda tidak bekerja, mungkin anda boleh menyediakan masakan yang mereka suka dan bawa pulang ke kampung.

Sesuaikan hadiah dan pemberian mengikut kemampuan anda.

Sentiasalah menziarahi mereka. Sewaktu musim perayaan, janganlah hanya pulang beraya ke rumah keluarga anda tetapi turut sama pulang ke rumah mertua.

Sentiasa ikhlas membantu keluar mertua, usah mengungkit setiap pemberian atau bantuan yang anda beri kepada keluarga mertua

JANGAN BERGADUH DI HADAPAN MERTUA

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.  Biar bagaimana marah sekalipun anda terhadap pasangan, janganlah lepaskan kemarahan itu di hadapan mertua anda.
Ditakuti, mereka menyangka anda tidak suka kehadiran mereka.

Begitu juga ketika ingin menegur anak-anak anda, biarlah dengan suara yang rendah dan tidak menengking anak-anak di hadapan mertua, takut mereka berasa hati.

Jaga bahasa ketika berbicara, takut bahasa yang anda gunakan mengecilkan hati mereka biarpun anda tidak bermaksud sedemikian.

Usah bercerita keburukan pasangan anda kepada ibunya sendiri. Anda kena ingat bahawa mertua andalah yang telah mendidik dan membesarkan pasangan anda itu. Cerita anda akan membuatkan hatinya sakit dan berasa terhina.
.
Selalu melemparkan senyuman di hadapan mertua.

KEBAHAGIAN MILIK ANDA

Tidak sukar menjadi manusia yang baik, asalkan anda belajar bersabar, bersikap terbuka, tidak bermulut laser semuanya akan baik-baik sahaja.

Terima orang sekeliling anda seadanya. Usah meminta lebih, Sebagai mana keluarga pasangan menerima kehadiran anda  dengan hati yang terbuka, begitu jugalah diri anda. Kebahagian tidak datang sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan