Selasa, 13 Januari 2015

ULASAN TOLONG PIKAT HATINYA



TOLONG PIKAT HATINYA
IZZA ARIPIN
ALAF 21
2013
488 muka surat
RM19.90
Zara Ilsa atau Zara Elsa seorang yang bersahaja, rajin dan tekun bekerja.    Takut untuk membuka hati  pada mana-mana lelaki lantaran dosa dan noda semalam yang masih kuat menghantui diri.  Seorang yang perahsia, melindungi diri sendiri dengan  menjadi manusia yang kuat bekerja, mengejar cita-cita dan impian sendiri. 

Ryan kehilangan cinta dan seorang isteri lantaran sikapnya sendiri yang suka berpoya-poya. Disebabkan dosa semalam jugalah dia mengurung diri sendiri dari menerima cinta mana-mana perempuan yang hadir mendambakan cintanya. 
Mereka bertemu kerana kerja, hubungan mereka rapat tetapi hanya sebagai seorang teman tetapi mesra.  Reizman teman dan sahabat baik Ryan dalam diam meminati Zara, namun ditolak mentah-mentah oleh Zara yang sememangnya mengunci terus hatinya untuk mana-mana lelaki yang sudi menyunting hatinya.

Reizman tidak pernah berputus asa, terus mencuba, sehingga sanggup memerangkap Zara.  Tetapi Zara tidak selemah itu, dia juga mempunyai rancangan untuk memerangkap Riezman kembali. Ugutan Reizman langsung tidak menjadi kudis di hati Zara.  Apa yang berlaku? 
Ryan terjumpa Zara bersama dengan seorang lelaki baharu keluar dari sebuah hotel.  Timbul pelbagai syak wasangka di hati Ryan.  Siapa lelaki itu?  Apa hubungannya dengan Zara?  Kenapa mereka berada di hotel tersebut?

Aidan meminta sesuatu daripada Zara.  Zara keberatan untuk memenuhinya, tetapi tetap akur agar Aidan juga menurut dan menerima permintaannya.  Siapa Aidan?  Apa hubungan mereka?  Apa  yang Aidan minta daripada Zara?  Apa pula permintaan Zara? 
Penipuan Zara membuat hati Ryan sakit, hubungan mereka yagn mesra satu ketika dahulu, semakin hambar, dingin dan tidak mesra lagi.  Zara juga begitu, sikap acuh tak acuh Ryan membuatkan dia berjauh hati.  Zara menipu?  Dia tipu apa?  Kenapa hubungan mereka hambar?  Kenapa Ryan sakit hati?  Benarkah antara mereka tiada perasaan cinta dan kasih? 

Hendak tahu perjalanan kisah Zara Ilsa dan Ryan, jom  dapatkan karya ini.  Gaya cerita yang santai dan menarik.  Bukan kisah cinta biasa, penuh dengan konflik yang membuatkan hati tidak sabar menghabiskannya, dan ingin mengetahui apa yang berlaku.  Dosa apakah yang menghambat  kehidupan Zara Ilsa sehingga dia menolak semua cinta yang hadir dalam hidupnya?  Tentu ingin mengetahuinya, kan?  Jangan lupa dapatkan karya ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan