PERANG
dingin bermula, kalau selama peperangan Jerman Barat dan Jerman Timur, 51
tahun! Erk… anggap sahajalah 51 bulan sudahlah atau 51 hari, atau 5 campur 1.
Aleeya tersenyum dalam hati. Wajah kelat Ikmal sejak semalam langsung tidak
menarik perhatiannya. Selagi suaminya itu masih melayan Nadia, dia akan terus
mengadakan perang dingin. Kalau terpaksa berhari-hari, berbulan-bulan,
bertahun-tahun pun dia sudah tidak kisah. Nampak sangat Nadia dan anak-anak
tirinya itu lebih penting pada suaminya.
Sarapan
dan pakaian Ikmal tetap disediakan seperti biasa. Dihidangkan juga, cuma dia
tidak bercakap dengan suaminya. Memanglah tidak baik bermasam muka dengan suami
sendiri, berdosa. Bukan dia tidak tahu. Tetapi rasa sakit yang menjerut hatinya
membuatkan dia sukar untuk bermanis muka. Dia bukan pandai berpura-pura, kalau
suka, tampak suka, kalau dia tak suka, jangan suruh dia suka. Muktamad!
“Ni, tak nak bercakap sampai bila?”
tanya Ikmal. Matanya membulat merenung wajah Aleeya.
Aleeya menjeling. Dia mencapai beg
tangan, mengambil kunci kereta dan melangkah ke pintu. Dia mengeluh. Memandang
seketika laman rumah dan keretanya yang berada di hadapan. Kena tunggu Ikmal
keluar barulah dia boleh ke tempat kerja. Dia mengherotkan mulut. Kena bercakap
juga ke? Tak mungkin! Dia ada akal.
“Leya!” panggil Ikmal.
Aleeya menoleh.
“51 tahun!” kata Aleeya sambil
melangkah ke keretanya. Dia masuk ke dalam perut kereta. Enjin dihidupkan,
lantas dia menekan hon beberapa kali, minta Ikmal mengundurkan keretanya.
“51 tahun?” Ikmal mengira. Masih hidup
ke dia waktu itu? Wah! Perang dingin paling lama itu. Biar betul? Bukan main
lagi isterinya, nak perang dingin 51 tahun? Ingat main-main ke? Kalau mati
sebelum sempat berdamai, dan dia tidak mengampunkan dosa Aleeya bagaimana? Tak
ke naya. Tidak pasal-pasal dapat murka ALLAH kerana derhaka. Ikmal menggeleng
kesal. Orang sedang marah, cakap pun boleh merapu juga.
Bunyi
hon kereta mengganggu lamunannya. Uh! Dia mendengus kasar. Ikmal terus ke ruang
laman. Dia menggeleng laju. Kesal dengan sikap Aleeya sejak akhir-akhir ini.
Melawan sahaja tahunya. Salah dia ke? Mungkin jugalah. Masalahnya dengan Nadia
masih ada hutang yang perlu dijelaskan. Kena selesaikan sehingga habis. Kalau
tidak pasti Nadia datang macam ceti haram, menuntut dan menuntut! Padahal dia
tidak ada hutang apa-apa lagi dengan Nadia melainkan nafkah anak-anak. Pening,
pening!
Hon terus berbunyi. Sudah
bermacam-macam gaya bunyi. Sekejap sekali, sekejap dua kali. Sekejap
berkali-kali. Malulah dengan jiran tetangga. Nanti mereka ingat Aleeya sudah
buang tabiat. Mata Aleeya terjegil memandangnya. Mulut isterinya pula sekejap
herot ke kiri, sekejap herot ke kanan.
Ikmal mendekati kereta isterinya. Diketuk
cermin tingkap.
Aleeya buat tak tahu. Menegak duduk
macam patung. Memandang ke arah pintu rumah, buat tidak peduli dengan keletah
suaminya. Semakin kuat ketukan di cermin. Aleeya mengetap bibir. Nak pecahkan
tingkap kereta dia ke? Eeii… alihkanlah kereta, dia sudah lewat ke tempat
kerja. Ini kes naya! Tidak pasal-pasal punch
kadnya merah nanti.
Ikmal semakin tidak sabar dengan
kerenah Aleeya yang merajuk dan sukar dipujuk. Betul-betul nak perang dingin
sampai 51 tahun ke? Aduh! Ya ALLAH, apa nak jadi dengan rumah tangganya? Ikmal
menepuk dahi. Dia mengunci pintu rumah. Terus ke keretanya dan memandu keluar. Pintu
pagar memang sudah sedia terbuka. Dia berhenti seketika sementara menunggu
kereta yang dipandu Aleeya keluar dari laman rumah.
Aleeya mencebik. Dia memandu laju
meninggalkan kawasan rumah. Terasa nak menangis sahaja. Sebak dadanya. Tidak
suka hidup begini. Geram, marah dan sakit hati, menapak dalam diri. Kenapa
hatinya sakit sangat? Kenapa begini jadinya? Dia sayangkan suaminya, dia
sayangkan rumah tangganya. Ingin bahagia sehingga ke syurga. Ujian tetap ada,
seharusnya dia kuat dan tabah, tidak kalah dengan hasutan syaitan yang sentiasa
memujuk manusia agar berbuat noda dan dosa. Aleeya menangis juga. Bukan kerana
suaminya, tetapi tangisan sedih kerana dia kalah dengan ajakan iblis dan
syaitan. Kalau dia berterusan begini, rumah tangganya tidak akan bertemu
bahagia. Itulah yang paling dia takutkan.
Ya,
ALLAH! Kau berilah hamba-MU ini petunjuk
dan jalan yang kau redhai! Sejak semalam sehingga hari ini, dia sudah
menyakitkan hati suaminya. Dia sudah menjadi isteri yang derhaka. Tidak
sepatutnya dia bertindak di luar batasan seorang isteri. Seharusnya, dia
bersabar biar apa pun terjadi. Selagi suaminya tidak membawa dirinya ke jalan
kemungkaran, selagi itulah dia harus taat. Sesungguhnya, dia manusia yang lemah
dan pendek akal. Semakin kuat tangisan Aleeya di dalam keretanya. Sama laju
dengan meter di keretanya 110 sejam. Hebat air matanya boleh keluar selaju itu.
Mahu tercabut matanya. Aleeya tersenyum. Dalam tangisan dan hatinya sebal, dia
masih mampu tersenyum. Hatinya masih ada sedikit rasa ihsan untuk diri sendiri.
Perjalanan ke pejabat terasa
lambatnya. Ditambah dengan kenderaan yang begitu banyak di jalan raya. Kesesakan
pada waktu pagi, perkara biasa di Kuala Lumpur. Kenalah tahan sabar. Kalau ikut
nak marah, silap hari bulan tidak pasal-pasal kena herdik dan dimarahi dengan
pemandu lain. Aleeya terus memandu keretanya menuju ke tempat kerja. Semoga
rakan tiga serangkai itu mampu menceriakan hari-harinya. Aleeya menyeka air
mata. Biarlah dia pujuk hatinya sendiri. Dia akan cuba bersabar dan tabah
dengan ujian ini.
SAMPAI
di pejabat, dia terus ke tempatnya. Duduk bertenang seketika, biar ada damai di
hati. Sudah macam tajuk lagu pula. Memang, dia inginkan kedamaian dan
ketenangan ketika ini. Tidak mahu memulakan kerjanya dalam fikiran yang
berserabut. Rakan-rakan memberi salam dan menegurnya dengan mesra, dijawab
dengan mesra juga. Tidak mahu menyusahkan fikiran mereka dengan masalah yang
sedang melanda hidupnya. Jika masih boleh diselesaikan, akan diselesaikan sendiri.
Sehingga ke petang, suaminya
langsung tidak menelefon. Manalah tahu nak pujuk dirinya yang sedang dilanda
rajuk. Aleeya mengeluh. Inilah jadinya. Ini semua Nadia punya angkara. Kalau
perempuan itu tidak mengganggu rumah tangganya, tentu keadaan hidupnya dan
Ikmal tidak akan jadi seperti ini. Kelam-kabut semuanya. Ini semua angkara
Nadia dan anak-anaknya. Dia boleh jadi
seorang ibu yang baik, tidak kiralah anak tiri sekalipun. Tidak diberi peluang,
mana mereka tahu, dia seorang yang jahat? Cuba dululah duduk di rumahnya
sebulan dua, baru mereka boleh menilai dirinya. Ini tidak, belum apa-apa sudah
anggap dia ibu tiri yang jahat dan hanya tahu mendera. Sudah pastilah Nadia
yang jadi tukang ceritanya.
Kenapalah
dia harus memikirkan masalah yang sedang melanda dirinya. Padahal semakin dia
memikirkannya, hati tidak pernah aman, malah sakit sangat-sangat. Redha, dia harus redha dengan apa yang
berlaku. Tidak boleh berputus asa. Ikmal tetap suaminya. Nadia tidak boleh
sewenang-wenangnya merampas haknya itu. Tidak kira bagaimana sekalipun. Aleeya
mengetap bibir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan