Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 21 Jun 2016

AKU BUKAN KAMALIA - BAB 12- SASYA ZAINAL



Bahagian 2



Kerana kau, aku pergi.
Bukan kerana aku membenci,
tetapi kerana aku tidak mahu
kau menyakiti hati ini.
Kuala Lumpur,
terimalah aku...
    
Kay, 2006




           

Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir, salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini, tak dirancang

            Air matanya berlinangan dan kemudian gugur satu persatu. Lagu Salam Terakhir dari Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad amat-amat memilukan hatinya. Deejay di radio seakan-akan tahu perasaan hatinya ketika itu. Sedih. Pilu. Rindu. Pasrah...semuanya bercampur baur. Baru beberapa jam meninggalkan rumah dan kampung halaman, dia sudah rindu pada emak. Bas ekspress baru sahaja bergerak meninggalkan ayah yang berdiri di tepi restoren, air matanya sudah merembes keluar. Hiba benar rasanya melihatkan ayah yang setia menanti hingga bas bergerak hilang dari pandangan mata. Perasaan kali ini berbeza sekali. Dia bukan tidak pernah meninggalkan emak, ayah, Kasih Alia, Kak Nora dan kampung. Ketika dia mula-mula meninggalkan kampung adalah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Diploma Seni Reka Dalaman, di UiTM, Perak.

            ‘Mungkin kerana, masa itu, aku tahu aku akan kembali. Tetapi...kali ini...’

Ketika bas ekspess memasuki Jalan Pagoh, Muar...dia sudah merasa rindu dengan pancaran sinar mentari di sungai Simpang Kanan. Sungai itu tidak pernah berhenti mengalir. Ketika menghadapi tekanan peperiksaan SRP, SPM dan ketika di UiTM, di tepi sungai itulah dia duduk. Memandang langit dan sungai. Memandang pancaran matahari yang menyimbahi permukaan sungai hingga airnya kelihatan berkilau-kilau berseri. Walaupun sebenarnya, air sungai itu coklat dan di tepi-tepi tebing kadang-kadang banyak sampah sarap yang terapung.

Wajah emak dan Kak Nora bersilih ganti bermain di wayang fikirannya. Masih terbayang wajah emak dan Kak Nora melambai-lambaikan tangan ketika dia memeluk beg membonceng motor dengan ayah. Masih terbayang-bayang dia tubuh emak yang terbongkok-bongkok menumbuk lada dan bawang malam tadi untuk membuatkan dia sarapan nasi lemak pada pagi sebelum dia bertolak. Bekalan nasi lemak diletakkan di tempat letak beg di atas kepala.
“Jangan lupa kirim salam dengan Johari. Tanya dengan dia, kenapa dia lama tak balik kampung? Dia tak rindu nasi lemak emak, ke?” sempat emak berpesan ketika memberikan dia bekalan untuk diberi kepada Johari.

            ‘Maafkan Adik, mak. Adik perlu tinggalkan emak. Satu hari, Adik akan berterus-terang dengan mak.’


Kemudian wajah cantik Kak Nora pula menerjah dalam ingatan.

“Kenapa kau nak pergi, Dik? Kalau kau tak ada, Kak Nora tak ada kawan hendak berbual, hendak mengandam...hendak pergi mekapkan pengantin. Kalau kau sudah sibuk di KL, susahlah kau hendak balik sini lagi. Nanti Kak Nora sunyi kalau kau tak ada.” Suara sayuKak Nora tergiang-giang di halwa telinga ketika dia menyampaikan berita pada Kak Nora yang dia berjaya mendapat kerja di ibu kota.
“Kak Nora hairanlah...bila yang engkau pergi KL interview di KL tu?

Dia tersentak. ‘ Kak Nora ni, memang tak boleh nak tipu.’

“Saya tengok suratkhabar laa Kak Nora. Lepas tu, saya hantar resume...lepas tu, dia orang suruh saya datang kerja,” ringkas penjelasannya. Dia tidak mahu Kak Nora mengesyaki apa-apa. Dengan Kak Nora, dia memang tidak boleh berbohong. Seakan-akan Kak Nora itu tahu segala apa yang ada di dalam isi hatinya. Kak Nora itu macam emak...sedikit riak wajahnya berubah...emak dan Kak Nora sudah tahu kenapa.
“ Ohhh...Tapi...mmm... iya ke kau dapat kerja atau kau nak lari dari Abang Long kau?” Kak Nora meneka. Anak matanya dikecilkan seolah-olah sedang menyoal-siasat Adik.
Sekali lagi degup jantungnya seakan terhenti sebentar.

“ Tak adalah kak. Mana ada. Memang ALLAH dah susun agaknya, Abang Long dan Kak Long datang tinggal sini, saya pulak dapat kerja. Alia pun dah dapat masuk matriks. Jadi ayah dan emak ada teman di rumah.” Dia amat berharap dengan penjelasan lojik itu, Kak Nora akan berhenti menelah. Dia amat takut telahan Kak Nora benar belaka dan wajahnya tidak boleh menipu Kak Nora. Kak Nora amat mengenali dirinya.

Dia tersedu-sedan menahan sebak di dalam kesejukan dari penghawa dingin bas ekpress yang meluncur laju. Bas ekspres Batu Pahat- Kuala Lumpur membelah lebuhraya utara selatan yang masih lengang dari kesibukan lalulintas pada pagi hari Jumaat itu.  Dia memilih tempat duduk yang agak ke belakang. Dia memang mahu mengasingkan diri. Dia mahu bersendirian melayan perasaan syahdunya. Dia mahu terasing. Biarlah dia bersendiri. Dia tidak mahu orang lain nampak kesedihannya. Tidak ramai penumpang yang menaiki bas pada pagi itu. Para penumpang boleh memilih tempat duduk yang dikehendaki walau nombor tempat duduk telah dicetak di tiket bas.

Subuh tadi,  subuh terakhir dia bersolat di surau kampungnya. Surau yang banyak menyimpan memorinya bersama Johari, Faezah Hanim dan Pak Hassan. Sama seperti subuh-subuh yang lain, pagi itu dia berdiri sama saf dengan ayah dan Pak Hassan. Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, Pak Hassan tidak dapat lagi bersolat seperti biasa. Sakit-sakit lututnya memaksa Pak Hassan duduk di kerusi untuk mendirikan solat. Semasa dia bersalaman dengan Pak Hassan, sempat dia meminta guru mengajinya mendoakan keselamatan dan kesejahteraannya sepanjang dia berada di kota.

“ Jaga diri, Arif. Di kota tu, banyak cabaran...banyak dugaan. Jangan kau hanyut dengan semua godaan hawa nafsu dan syaitan. Jangan lupa ALLAH. Kalau kau sentiasa solat dan ingat ALLAH...insya-Allah...kau akan selamat.” Itulah kiranya nasihat Pak Hassan yang terakhir untuk dirinya. Dia memeluk orang tua itu. Jika masa kecilnya, Pak Hassan berbadan gempal, kini sudah agak susut tubuh badan guru mengajinya itu. Semasa dia kecil, terasa Pak Hassan itu besar tinggi orangnya, kini Pak Hassan sudah semakin mengecut. Dia menahan sebak. Lain benar perasaannya pagi itu seakan-akan dia tidak akan bertemu lagi dengan Pak Hassan.

Bas ekspres yang dinaiki berhenti sebentar di kawasan Rawat dan Rehat Ayer Keroh. Kebanyakan penumpang dan pemandu bas juga turun untuk membeli sarapan ataupun mungkin melepaskan hajat masing-masing. Dia tidak turun dari bas. Dia masih kenyang dengan nasi lemak yang emak masak. Air teh ‘O’ yang dibubuh daun pandan, masih lagi bersisa, tidak disentuhnya. Telefon bimbit Nokia siri 3310 nya berbunyi.

Dik...dah sampai mana?
Satu pesanan ringkas dari sahabat karibnya Johari.
Berhenti kejap di RNR Ayer Keroh. Dia membalas pesanan itu.
Ok...aku tunggu kau di Pudu. Call aku kalau kau dah sampai Nilai. Tak sabar nak jumpa!
Dia tersenyum dan menekan kekunci Reply.
Aku pun tak sabar nak jumpa kau. Mak aku ada bekalkan nasi lemak. Nanti kita boleh makan sama-sama eh.
Selepas dua minit menghantar pesanan itu, telefon bimbitnya berbunyi kembali.
What?! Eh...kau suruh pakcik drebar tu drive cepat sikit, boleh tak?

Dia tersengih membaca pesanan akhir dari Johari.
‘ Ri...Ri...dari dulu sampai sekarang, kau tak pernah berubah.’

Benarlah. Benarlah bahawa kawan ketawa, mudah dicari. Kawan menangis bersama? Bukan semua kawan yang mampu menangis bersama jika manusia di dalam kesusahan.


Johari.

Johari adalah teman zaman kanak-kanak.
Teman di sekolah rendah.
Teman zaman remaja.
Teman zaman persekolahan dan kini...zaman dewasa.
Walau terpisah oleh masa dan keadaan, mereka tidak pernah terpisah. Walau mereka tidak bertemu hampir enam tahun, mereka saling berhubung melalui emel dan telefon. Walau berjauhan, dia tidak pernah terasa walau dia akui, dia rindukan Johari.

Johari telah berhijrah ke kota sejak tahun 2000 lagi. Ketika itu, dia masih lagi di UiTM. Ketika dia bercuti semester, Johari tidak ada di kampung. Malah seingatnya, Johari jarang sekali pulang ke kampung sewaktu hari lebaran. Kata Mak Bedah, Johari selalunya tidak dapat cuti raya. Mulanya, dia merasakan yang Johari sudah berubah. Sudah sombong bila bergelar orang KL. Namun, sewaktu berbual dengan Johari di telefon, sahabatnya itu masih lagi seperti dulu. Sentiasa meriah. Sentiasa suka berjenaka dan suka berseloroh.

Berkawan dengan Johari membuatkan dia merasakan, masalahnya cuma masalah kecil dan mengikut kata Johari, “ Dik, kalau kita tidak boleh selesaikan masalah itu, kita keluar dari masalah itu. Jangan biarkan masalah itu menganggu diri kau. Nanti kau yang stress, kau yang pening dan kau yang susah. Orang lain tahu apa? Mereka tahu tengok saja.” Itulah kata-kata Johari yang membuatkan dia nekad pergi ke Kuala Lumpur.

“ Jangan takut, Dik. Aku ada.” Kata-kata terakhir Johari ketika dia mengadu nasibnya dua minggu lalu sebelum dia membuat keputusan, membuatkan hatinya lapang dan bersedia menghadapi apa jua keadaan ketika di Kuala Lumpur nanti.

Johari adalah insan pertama dan mungkin terakhir yang tahu sebab musabab dia meninggalkan kampung halaman. Dengan emak, ayah, Kak Nora, Kasih Alia, Pak Hassan dan semua orang lain...setahu mereka, dia mendapat kerja di Kuala Lumpur.
‘ Bohong sunat.’ Fikirnya.

Walau emak mahu dia menetap sahaja di rumah menemankan emak, dia tetap dengan pendiriannya. Dia tahu, emak dan Kak Nora akan sunyi jika dia berhijrah. Lebih-lebih lagi emak kerana adiknya Kasih Alia baru sahaja meninggalkan mereka untuk melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa. Dia menyakinkan emak yang dia akan kembali.

“ Mak...biar Adik tolong mak sponsor Alia kat U,” janjinya pada emak.
“ Alia, kan dah ada duit sendiri,” emak menyanggah lembut.
“ Mak...duit PTPTN tu, buat bayar yuran saja, mak. Duit hendak beli buku, hendak fotostat macam-macam. Hendak buat makan lagi, tambang bas...tak cukup, mak. Adik tak nak Alia rasa susah kat KL, tu. Bidang yang Alia ambil tu mak...mahal. Macam-macam buku dia perlu beli. Kalau Adik kerja, Adik boleh tolong Alia. Adik nak tengok Alia jadik lawyer, mak.”

Emak mengeluh. Emak memandang wajahnya. Sayu sahaja emak walau sekarang rumah emak sudah bising dengan rengek anak abang Khalid. Tetapi, dia juga tahu emak berat hati untuk melepaskannya. Dan dia pula, seboleh mungkin mahukan restu emak. Dia takut hendak berbuat apa-apa tanpa restu emak dan ayah. Pesan Pak Hassan, restu emak ayah itu penting. Jika emak dan ayah restu atas apa perbuatan kita, maka senanglah dan berkatlah hidup kita. Pergilah ke hujung dunia sekalipun, selagi kita tidak menduakan ALLAH dan doa ayah juga emak mengiringi setiap langkah perjalanan, insya-ALLAH...selamat hidup kita dimana-mana. Lebih-lebih lagi untuk anak lelaki sepertinya. Syurganya adalah di bawah telapak kaki emak.

Walau dia tahu, emak bukan mahukan duitnya. Tiap-tiap bulan, Abang Din tidak pernah lupa mengirimkan duit pada emak dan ayah. Sebenarnya, emak dan ayah sudah dapat hidup selesa dengan duit kiriman Abang Din. Wang pencen ayah pula sudah cukup untuk menyara hidup mereka suami isteri. Tetapi Adik tahu, emak dan ayah banyak membantu Abang Khalid.

Ada-ada sahaja yang diperlukan abang sulungnya itu. Hendak bayar sewa rumahlah. Hendak bayar bil air yang hendak kena potonglah. Hendak buat bayar sambung elektrik yang sudah dipotonglah. Hendak betulkan enjin motorlah.Tayar motor pancitlah. Macam-macamlah keperluan Abang Khalid. Lebih-lebih lagi sekarang ini setelah isteri Khalid melahirkan anak sulung mereka. Khalid mahu emak yang menjaga isterinya yang dalam pantang bersalin di rumah pusaka mereka. Khalid juga akan kembali tinggal di rumah itu. Sebenarnya, Adik dan Kak Nora tahu, Khalid tidak mampu hendak menyewa rumah untuk isteri dan anaknya. Hendak tinggal di rumah mentuanya di Parit Raja, Adik pasti Khalid malu. Bukan malu sebenarnya, tetapi ego.

Segalanya bermula saat itu. Saat Khalid dan isterinya menjejakkan kaki semula ke rumah ayah dan emak. Umur isteri Khalid itu sebenarnya sebaya dengan Adik. Gadis kampung yang bekerja di kilang yang sama dengan Khalid. Adik dan Kak Nora tahu, Khalid dan isterinya sudah terlanjur sebelum mereka menikah. Khalid sendiri yang memberitahu emak kerana takut abang kepada Fidah- (nama isteri Khalid ) akan memukulnya di hadapan orang-orang kampung jika Khalid tidak bernikah dengan adik perempuannya secepat mungkin.

Sebelum emak memberitahu ayah, emak mengadu dengan Kak Nora terlebih dahulu. Emak mengurut dada sambil menangis teresak-esak di hadapan Kak Nora. Bengkak mata emak mengadu hal yang memalukan di hadapan Kak Nora. Syukurlah Kak Nora itu seorang yang amanah untuk menyimpan rahsia yang memalukan keluarga Abdul Ghani dan Tok Bidin. Untuk mengelakkan Khalid dan Fidah bergelumang dengan dosa, emak cepat-cepat memberitahu Pak Ngah, adik ayah di Melaka untuk menghantar rombongan merisik Fidah. Seterusnya, di hantar pula rombongan meminang. Walau apa pun berlaku, emak tidak mahu membelakangkan adat.

“ Abang kau tu, kan...memang gila tau, dik! Heeee! Memang gila dari kecik tau! Aku memang bencilah dengan dia! Menyampah tengok muka dia!” Itulah kata-kata Johari di saat dia mengadu nasib dengan sahabatnya di telefon.

“ Kalau aku ni bukan kawan kau dari kecik, bukan jiran kau dari kau lahir...aku mesti ingat kau ni anak angkat dengan mak ayah kau. Sebab kau asyik kena buli aje dengan Abang kau tu. Tapi sebab muka kau tu sebijik muka mak kau...jadik aku tahu, kau bukan anak angkat Pak Ghani tau! Entah-entah, Abang Long kau tu yang anak angkat mak ayah kau tak?  Mak ayah kau jumpa dia kat estet kelapa sawit Simpang Renggam tu. Anak siapa entah. Dia jahat sangatlah,” Johari mengomel di hujung talian.

“ Biarlah dia, Ri. Aku dah tak kuasa nak fikir-fikir pasal dia. Aku cuma fikirkan emak ayah aku aje. Kak Nora kata, emak aku nangis sampai macam hendak sesak nafas.”

Walaupun emak meminta Kak Nora merahsiakan hal Khalid kepada Adik dan anak-anaknya yang lain tetapi Kak Nora dengan Adik, tidak ada rahsia. Begitu juga halnya antara Adik dan Johari. Semua rahsia Johari di dalam tangan Adik dan rahsia cerita Adik di dalam kocek johari. Sebab itulah, dia faham kesusahan dan penderitaan emak. Adik syahdu kerana Khalid bukan ada satu sen pun masa hendak berkahwin. Semuanya duit ayah, emak, Tok Bidin, Abang Din dan Kak Nora.

Walau Khalid selalu pandang serong dengan Kak Nora, selalu mengumpat Kak Nora, selalu mengata Kak Nora janda gatal, janda berhias yang ‘makan suami’, baharu kahwin enam bulan, suaminya meninggal dunia. Tetapi jiran sebelah rumah itulah yang menanggung pembiayaan baju-baju pengantin, pelamin dan semua hiasan barang hantaran Khalid kepada Fidah. Itupun Khalid hendak buruk-burukkan nama Kak Nora. Itupun Khalid tidak pandai hendak bersyukur. Tahu hendak berlagak sahaja. Adik tidak dengar sepatah perkataan Terima Kasih pun dari mulut Khalid kepada Kak Nora. Sedangkan Kak Nora beri pinjam percuma sahaja baju pengantin, bunga pahar, dulang-dulang hantaran siap dengan hiasan. Adik pula yang berkali-kali mengucapkan rasa syukur kepada ALLAH dan terima kasih kepada Kak Nora yang bersusah-payah.

“ Terima kasih Kak Nora. Macam mana kami hendak balas budi baik Kak Nora ni?” tepat anak matanya memandang wajah Kak Nora yang sudah semakin berusia.
“ Dik...kau, mak dan ayah kau tu, macam saudara Kak Nora sendiri. Saudara-mara Kak Nora sendiri pun jauh dari Kak Nora. Abang Long tu, Kak Nora anggap macam adik Kak Nora sendiri.”

Yang menyedihkan Adik sangat-sangat, setelah budi Kak Nora yang menggunung kepada Khalid, abangnya itu telah memfitnah Kak Nora dengan fitnah yang cukup pahit.

“ Memfitnah saudara sesama muslim itu, sama seperti memakan daging saudara kita.” Adik pernah mendengar ceramah seorang Ustaz tentang dosa besar dalam fitnah-memfitnah ini.

“Biarlah aku yang pergi, Ri” sayu suaranya.
“ Balik-balik kau yang mengalah. Balik-balik kau yang surrender. Kita dah besarlah, Dik. Kau nak takut apa lagi dengan Abang kau tu?”
“ Aku tak kuasa nak panjang-panjang, Ri. Aku kasihan dengan mak aku. Pening kepala dia bila tahu aku asyik bergaduh dengan Abang Long. Dia hendak jaga kakak ipar aku yang dalam pantang lagi. Hendak jaga cucu lagi. Hendak ambil tahu makan minum atok dan nenek aku lagi.”
“ Aku takut, kalau kau pergi...lagi kuatlah dia mencanang dengan orang yang kau buat benda tu, Dik!”
“ Takpelah Ri...biarlah dia nak cakap apa. Aku kasihan dengan kaum keluarga aku.”
“ Kau aje yang fikir pasal dia orang? Orang lain, buat tak tahu saja!”
“ Orang lain siapa, Ri? Abang aku aje yang mengong! Yang paling kasihan, mak aku...dan...mmm...Kak Nora...dia orang tak tahu apa-apa pun,” sayu suaranya ketika menyebut nama Kak Nora. Malam itu, dia mengadu habis-habisan dengan Johari, “Takpelah, Ri...biarlah aku yang mengalah.”
Satu keluhan berat kedengaran di hujung talian.
Johari tahu, amat berat dugaan yang ditanggung sahabat karibnya itu.
“ Eh, Abang kau dengan bini dia tu, hendak duduk selama-lamanya kat rumah mak ayah kau ke?” tanya Johari, musykil.
“ Entah...mungkin.” Dia juga tidak pasti samada Khalid dan Fidah akan menetap selama-lamanya di rumah emak dan ayah. Pada pandangannya, dengan masalah kewangan Khalid, memang haruslah dia akan tinggal terus di kampung. Sedangkan masa bujang pun Khalid selalu pokai. Inikan pula sudah beristeri dan mempunyai anak. Silap-silap, anak dan bini Khalid pun, emak ayah akan tanggung makan pakai.

“ Hmm...kalau macam itu, memang patutlah kau yang pindah, Dik. Datanglah duduk dengan aku kat sini. Cari kerja kat KL ni. Mungkin, inilah masanya kau kena berhijrah.”

Perancangan teliti dia lakukan bersama Johari. Setibanya di Kuala Lumpur nanti, dia akan menetap dengan Johari di kawasan Subang Jaya. Di Kuala Lumpur, Johari bekerja di sebuah bank pusat khidmat pelanggan di kawasan Sunway. Menurut Johari, tempat kerjanya memang memerlukan ramai pekerja baharu kerana bank pusat telah mengembangkan perniagaan ke peringkat global. Adik teruja dengan khabar itu.

Saban hari dia berdoa agar dia diterima bekerja bersama-sama dengan Johari. Semoga tercapai hajat mereka berdua hendak bersahabat hingga akhir hayat mereka. Dari belajar mengaji dengan Pak Hasan, bersekolah rendah bersama-sama di Sekolah Kebangsaan Bandar, kemudian bersekolah menengah di Sekolah Menengah Dato` Onn dan kini, insya-ALLAH, mungkin akan bekerja bersama-sama satu pejabat di Kuala Lumpur. Dia dan Johari sememangnya seperti sepasang belangkas.

Semuanya sudah ditentukan ALLAH. Rezeki, ajal, maut dan jodoh pertemuan adalah percaturan ALLAH yang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun. Siapa sangka, dengan kejadian yang berlaku, dia akhirnya meninggalkan daerah yang dikasihi dan merantau ke kota. Dia tidak pernah menyangka dia akan meninggalkan kampung halamannya. Pada fikirannya, biarlah dia yang menjaga emak dan ayah hingga mereka tua. Biarlah dia yang menjaga emak dan ayah hingga ke akhir hayatnya. Abang Khalid memang tidak boleh dibawa bincang. Masa emak dan ayah sakit pun, batang hidung Abang Khalid tidak pernah nampak. Khalid cuma pulang jika poketnya kosong. Adik amat berharap dan berdoa agar Khalid berubah setelah berumahtangga dan mempunyai anak.

Abang Din pula sekarang adalah seorang jurutera elektrik yang bekerja dengan Syarikat Tenaga Nasional Berhad di Kuantan, Pahang. Abang Din masih lagi belum berkahwin. Mungkin kerana terlalu sibuk bekerja, Abang Din terlupa yang umurnya sudah masuk ke era tiga puluhan. Setiap kali pulang bercuti, soalan ayah, emak, nenek dan Tok Bidin adalah sama sahaja, “ Din, bila kami hendak makan nasi minyak?” Acapkali soalan itu diajukan kepadanya, Abang Din hanya senyum sahaja.

Kasih Alia pula katanya hendak menjadi seorang peguam syariah kerana itulah dia memohon untuk memasuki matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa. Adiknya itu memang petah berkata-kata. Pingat-pingat johan pidato, johan perbahasan, johan syarahan dan pingat pembahas terbaik semuanya milik Kasih Alia. Jika Abang Din dan Adik jenis yang pendiam, Kasih Alia adalah versi Khalid. Pantang ditegur, jika dia yang betul, habislah telinga rasa hendak pekak dengar Alia membebel. Alia dan Khalid memang tidak sebulu. ‘ Panas’ kata Kak Nora. Cuma dia tahu, Kasih Alia amat menyanyangi dirinya. Dia juga begitu. Kasih Alia adalah adiknya yang amat dimanjakan. Kerana itulah, dia tidak mahu Kasih Alia susah di Kuala Lumpur. Biarlah abang dan adik yang dikasihi itu mengejar cita-cita mereka. Biarlah mereka mengharumkan nama emak, ayah dan Tok Bidin.

Dia?
Dia bahagia di sisi emak dan ayah. Dia bahagia duduk di kampung menolong Kak Nora menghias pelamin dan mengandam. Dia bahagia bergelumang dengan bunga-bunga telur, bunga pahar, kain songket,lace, manik dan labuci. Dia bahagia turun naik tangga memasang pelamin untuk raja sehari. Dia bahagia tinggal dekat dengan Sungai Simpang Kanan yang tidak pernah berhenti mengalir. Dia bahagia saban hari dapat solat berjemaah di surau kampungnya yang telah merakam beribu memori manis saat dia membesar.

Tetapi, semuanya adalah percaturan ALLAH, dia akhirnya pergi jua meninggalkan kampung halaman. Dan pemergian itu bukan kehendak hatinya namun...pemergian itu adalah kerana terpaksa. Kerana dia perlu menjaga maruahnya dan maruah insan-insan yang dikasihinya. Adakah dia akan kembali? Dia sendiri tidak tahu. Dia hanya menyerahkan segala-galanya kepada ALLAH yang satu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan