Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 16 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 23- Rohani Deraman




A
syikin pula tidak rasa kecil hati. Dia merenung setiap langkah kekasihnya itu dengan mata yang berkaca. Sedih dan belas. Dia berfikir lama. Apakah cara untuk dia membantu memulihkan jiwa Muhayat yang sedang sakit itu?
Tidak lama, dia mendapat kekuatan dan ilham. Dia perlu berbuat sesuatu. Muhayat tidak boleh dibiarkan hanyut dengan kesombongannya. Syurga seorang anak ialah di bawah telapak kaki seorang ibu.
Akhirnya dia memandu ke rumah Muhayat.
“Asyikin, masuklah. Tapi Hayat tak ada di rumah. Belum balik lagi,” kata Kartina ketika menyambut Asyikin di muka pintu.
“Mak cik, Syikin datang nak jumpa mak cik. Syikin dah jumpa Hayat tadi. Dia  tak tahu pun Syikin ke sini,” balas Asyikin pula.
        
“Oh, ya ke? Kalau macam tu, duduklah. Mak cik buat minuman dulu ya. Kebetulan mak cik ada buat karipap ayam untuk minum petang. Tunggu ya,” kata Kartina, mesra.
“Mak cik, boleh Syikin jumpa pak cik sekali?” tanya Asyikin sebelum kaki Kartina melangkah pergi.
“Ada apa sebenarnya Syikin? Pak cik tu tak boleh terkejut. Jantungnya belum begitu kuat. Mak cik tak nak dia terkejut,” jawab Kartina dengan cuak. Asyikin tidak pernah datang tanpa Muhayat. Dan sekarang dia minta untuk bercakap dengan Ahmad Adham juga. Hati Kartina menjadi tidak keruan. Muhayat ada buat salahkah?
“Mak cik, tak ada apa yang mustahak. Syikin saja nak kita bertiga duduk berbincang. Ada perkara yang nak Syikin cakap, tapi percayalah. Ia bukan cerita yang mengejutkan,” kata Asyikin dengan senyum. Dia tahu hati Kartina sedang mengesyaki sesuatu.
Kartina segera memenuhi hajat Asyikin. Dia segera ke bilik bacaan. Ahmad Adham sedang berbaring sambil membaca sebuah buku.
“Abang, bakal menantu kita datang. Dia nak cakap dengan abang,” kata Kartina.
“Siapa? Asyikin?”
Kartina angguk bersama senyuman. Ahmad Adham bangun. Dia membetulkan baju dan kain pelikat yang dipakainya. Hatinya juga berdenyut cuak. Mereka berjalan ke ruang tamu.
“Apa khabar pak cik?” tegur Asyikin, sambil bangun dengan hormat menyambut Ahmad Adham.
“Alhamdulillah Syikin. Pak cik ni macam nilah,” jawab Ahmad Adham, dengan mesra.
Mereka duduk. Kartina menuangkan minuman kemudian menghulurkan kepada Ahmad Adham dan kepada Asyikin.
“Pak cik, mak cik, Syikin minta maaf kalau apa yang akan Syikin kata ini akan mengganggu fikiran mak cik dan pak cik. Syikin memang dah habis fikir. Dan inilah keputusannya. Dah tak ada cara lain cara lagi,” kata Asyikin.
“Katakanlah Syikin. Baik atau buruk, kami akan terima,” balas Ahmad Adham pula. Kartina duduk di sebelah suaminya dengan dada berdebar.
Asyikin mencari-cari ayat yang sesuai untuk memulakannya.
“Apakah yang Muhayat dah buat pada kamu? Adakah dia...” Wajah Kartina semakin cuak.
“Mak cik,  tolong jangan syak dia yang bukan-bukan. Dia lelaki yang baik. Ini tak ada kena mengena dengan kami. Ini mengenai mak cik dan ayahnya,” potong Asyikin dengan cepat.
Kartina dan Ahmad Adham berpandangan. Mereka semakin keliru.
“Berterus teranglah Asyikin. Jangan buat kami semakin berdosa dengan syak wasangka,” kata Ahmad Adham.
Asyikin tidak berlengah lagi. Semua yang dia tahu diceritakan. Peristiwa Kartina keluar dari bilik Kamaruzaman itu diluahkan dengan teragak-agak. Namun, selepas semuanya terluah dia menarik nafas lega. Sangat lega.
Kartina menahan sebak. Air matanya menitik laju. Sejak Muhayat mengesyakinya, dia seperti direjam. Sangat terluka dan sakit hatinya. Namun, sebelum ini dia masih kurang yakin dengan kemarahan Muhayat itu. Dianggapnya Muhayat hanya terkeliru dan tersalah anggap.
            “Abang, hinanya saya di mata dia ...” Kartina tersedu-sedu. Merembes air matanya.  Ahmad Adham ikut sendu dengan sedu sedan isterinya. Dadanya bergoncang.
            “Mak cik Tina memang ke bilik Pak cik Zaman malam itu. Pak cik yang suruh sebab Pak Cik Zaman demam. Hayat dah salah sangka. Dia mengesyaki tanpa usul periksa. Dia melukakan hati kami, Syikin,” kata Ahmad Adham, perlahan.
            “Syikin percaya cakap Hayat tu? Sebesar kuman pun mak cik tak ada niat nak curang pada suami mak cik. Kami bertiga dah berjanji untuk menjadi sahabat dunia dan akhirat. Sumpah, mak cik tak ada perasaan apa-apa kepada Pak Cik Zaman,” kata Kartina dengan tangisannya.
            Ahmad Adham menarik tubuh Kartina ke dalam pelukannya. Sangat belas dia melihat keadaan kartina itu.
            “Mak cik, maafkan Syikin. Syikin dah cuba nasihatkan dia. Hari ni, dia marah sangat dengan Syikin kerana suruh dia minta ampun pada mak cik, pak cik dan ayahnya.” Air mata Asyikin ikut menitis lantaran bersimpati melihat dan mendengar rintihan Kartina.
            “Terima kasih kerana Syikin tak mengesyaki kami,” kata Ahmad Adham.
            “Syikin memang percaya mak cik tak bersalah. Hayat yang salah faham. Tapi, Syikin gagal pujuk dia. Tak tahulah apa jadi pada hubungan kami selepas ini. Dia memang tak suka ditegur dan dinasihati. ”
               
            “Maafkan mak cik. Kerana mak cik, Syikin dan Hayat bergaduh.”
            “Jangan cakap macam tu, mak cik. Yang benar tetap Syikin akan benarkan. Dia memang bersalah. Cuma dia yang tak nak mengaku kesalahannya,” balas Asyikin dengan cepat.
           
                                               
KARTINA merenung kembali kepada masa lalunya. Hidupnya disia-siakan oleh Kamaruzaman lalu dia membawa diri bersama bayi yang dikandungnya. Muhayat dilahirkan tanpa sesiapa. Kemudian Ahmad Adham telah memberikan kehidupan yang mewah dan sempurna segalanya kepada mereka.
Namun, kenapa Muhayat tidak mengenang budi? Kenapa dia begitu tega melukakan hati orang yang pernah berjasa kepadanya?
“Tina, sabar ya.” Ahmad Adham selalu memujuknya.
“Tina yang sepatutnya cakap macam tu dengan abang.”
“Kenapa Tina cakap macam tu?”
“Sebab Muhayat tu ...”
“Abang tak pernah bezakan Muhayat dan anak-anak abang. Abang dah bela dia selama dua puluh lapan tahun. Abang sayang dia sejak dia dalam kandungan Tina lagi. Dia anak abang.”
Kartina semakin terharu dan rasa kesal.
“Kita beri peluang Hayat berfikir dulu. Jangan marah dengan dia,” kata Ahmad Adham menggenggam tangan Kartina.

Mereka memang cuba memberi peluang. Setiap hari menunggu Muhayat sedar dan datang memohon maaf. Namun sudah beberapa bulan, semuanya tidak berlaku. Muhayat pergi dan balik ke rumah itu dengan muka selamba. Dia seperti tidak pernah melakukan kesilapan yang melukakan hati  Kartina dan Ahmad Adham.
Hubungan mereka semakin renggang. Muhayat seolah-olah cuba menghindarkan diri dari bertembung dengan Kartina dan Ahmad Adham. Rumah itu semakin sepi. Mukhlis dan Masyila sibuk dengan urusan kerja mereka.
“Kenapa kita mesti lalui semua ini? Masa kecil, dia sangat menghormati dan sayang kita. Bila dah dewasa, dia syak kita tanpa usul periksa. Sepatutnya dia kenal siapa ibunya ini,” kata Kartina, perlahan.
Ahmad Adham hanya diam. Dia sendiri tidak ada jawapan untuk soalan itu.  Tingkah laku Muhayat ibarat angin di musim tengkujuh. Ia juga ibarat tsunami yang sangat dahsyat!
Tsunami itu telah membadai laut hati Ahmad Adham, Kartina dan Kamaruzaman. Ketiga-tiganya lemas dan hanyut serta hampir musnah jiwa raga mereka.
                                                                       
SELEPAS pertemuan di hospital tempoh hari, Kamaruzaman semakin susah untuk dihubungi. Puas Ahmad Adham menelefon, namun tidak berjawab. Puas juga dia mengirim mesej, juga tidak dijawab.
“Benar-benar dia merajuk dengan kita, Tina.”
“Dia merajuk dan terluka. Kasihan dia, bang,” keluh Kartina pula. Dia tahu memang Kamaruzaman sangat terluka.


“Tak mengapalah kalau Muhayat tetap tak nak terima saya, tapi dia tak boleh nak tolak awak. Dia juga tak boleh nak marahkan Tina. Ini ibu dia...” kata Kamaruzaman dengan wajah sedih, sebelum mereça bertolak balik ke Ipoh.
“Biarlah. Dia masih nak berfikir tentang kita. Kita berikan dia masa untuk berapa lama pun,” jawab Ahmad Adham pula.
“Maafkan saya, Adham.”
“Untuk apa?”
“Anak saya telah melukai hati awak. Tentu awak amat kecewa dengan dia.”
“Saya kecewa kerana dia tak hargai awak sebagai ayah kandungnya.”
“Dia berhak berbuat begitu sebab saya tak pernah jaga dia. Dia tak rasa kasih sayang dan perhatian saya.”
“Itu bukan salah awak. Awak sendiri tak tahu kelahiran dia ke dunia ini.”
“Tidak ada sesiapa yang bersalah. Kita sedang menjalani ujian dan dugaan ALLAH. Kalau kita sabar dan berserah, maka kita akan berjaya dalam ujian ini. Sabarlah bang,” pujuk Kartina. Dia bukan sekadar memujuk Ahmad Adham, tetapi memujuk hatinya juga. Kalau boleh dia tidak mahu langsung menyimpan rasa kecil hati terhadap Muhayat. Dia mahu melupakan dan menganggap Muhayat tidak pernah berkata apa-apa dan menyakitkan hatinya. Namun, dia tidak mampu. Hati seorang ibu sangat tersinggung.
“Janganlah kecil hati dengan dia, Tina.” Itu yang selalu Ahmad Adham ucap setiap kali dia merungut. Sayang sungguh suaminya itu dengan Muhayat. 
“Kenapa dia tak datang dan tanya saya? Kenapa mesti nak simpan syak itu di dalam hatinya. Itu  yang buat saya tersinggung. Selama berpuluh tahun, dia tak pernah simpan rahsia dari. Saya tahu semua isi hatinya. Kali ini ...”
                 Ahmad Adham hanya mampu mengeluh. Lama dia diam berfikir.
                 “Nampaknya kita kena pergi jauh dari sini, Tina.” Akhirnya itu yang keluar dari bibir Ahmad Adham.
                 “Nak ke mana bang? Inikan rumah kita.”
                 “Tak salah kalau kita tinggalkan rumah ini seketika demi kebaikan semua.”
                 “Maksud abang? Kita pindah dari sini?”
                 “Bukan pindah tapi berhijrah. Mungkin selepas kita tiada, baru Muhayat dapat berfikir dengan tenang dan waras,” jawab Ahmad Adham sambil merenung ke langit malam yang kelam.
                 “Tapi, kita nak ke mana? Nak ke rumah Marsyila di Kota Kinabalu?”
                 Geleng.
                 “Habis kita nak ke mana?”
                 “Kita ke Johor. Kita cari Kamaruzaman. Kita tinggal dengan dia di sana.”
                 “Abang? Kenapa abang berfikir macam ni?” Kartina tersentak. Dia benar-benar tidak menyangka kalau cadangan itu keluar dari bibir suaminya. Ahmad Adham mengajak dia tinggal dengan Kamaruzaman, bekas suaminya!
                
                 “Entahlah. Hanya ini yang mampu abang fikir sekarang. Abang rasa bersalah pada Zaman. Abang juga rasa kesal dengan sikap Hayat. Jadi, rasanya tak salah kita pergi dari sini dan tinggal dengan Zaman. Mungkin kita dapat mengubati luka hatinya,” jawab Ahmad Adham.
                 “Tidakkah kita akan buat Abang Zaman semakin rasa bersalah? Tidakkah kita akan terus menyusahkan perasaannya. Abang, Tina tak sanggup nak tengok dia sedih dan tertekan lagi. Tina bimbang kita akan mengeruhkan lagi keadaan.”
                 Ahmad Adham angguk. Benar juga kata-kata  Kartina itu.
                 “Lagipun, dia dah tak jawap panggilan kita. Macam mana kita nak ke sana. Kita tak tahu dia ada di mana,” tambah Kartina lagi.
“Kita cuba tanya pada Firdaus. Biar abang telefon dia sekarang,” kata Ahmad Adham. Dia mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Firdaus.
Kartina cuba mendengar. Tidak lama, Ahmad Adham mengucapkan selamat salam dan mematikan talian. Wajahnya murung.
“Kenapa bang?”
“Zaman tak ada di JB.”
“Dia ke mana?”
“Kata Firdaus, dia ada di satu tempat. Tapi dia tak boleh beritahu tempat itu. Kamaruzaman tak nak jumpa sesiapa. Ya ALLAH, dia benar-benar terluka,” rintih Ahmad Adham.
“Abang kena cakap dengan Hayat suruh minta maaf. Kita tak boleh tunggu dan lihat macam ni, bang. Hayat mesti bertanggungjawab atas semua ni,” kata Kartina, cuba bertegas.
Ahmad Adham mencuba. Malam itu, dia menunggu Muhayat pulang di ruang tamu. Kartina tidak ada bersamanya. Dia diberi peluang bersendirian dengan Muhayat. Bercakap secara lelaki.
Lama. Ketika matanya hampir terlelap, baru dia mendengar deruan enjin kereta Muhayat memasuki halaman.
“Hayat, boleh abah cakap sikit?”
“Cakaplah abah. Ada yang mustahak ke?” tanya Muhayat dengan senyum sinis.
“Kenapa Hayat cakap macam tu? Apakah ada yang mustahak baru abah boleh bercakap dengan Hayat?” Ahmad Adham rasa kurang senang.
“Bukan macam tu. Tapi sejak akhir-akhir ni, kita seperti tak ada suara lagi nak bercakap. Abah dan ibu berubah wajah. Saya jadi terasing dan takut nak menegur,” jawab Muhayat.
Ahmad Adham seperti diberi ruang untuk bercakap.
“Hayat, pernahkah Hayat tanya kenapa ada benteng antara kita sekarang?”
“Tak perlu tanya. Hayat tahu abah marahkan Hayat kerana lelaki itu.”
“Lelaki mana? Dia ayah kandung kamu! Kamu sedar tak?” Suara Ahmad Adham mula meninggi.
Muhayat rasa sebal. Sejak Kamaruzaman muncul, nada suara Ahmad Adham sering meninggi kepadanya.

“Abah tahu kenapa kamu benci dan marah sangat dengan kami.”
“Hayat tak pernah benci abah. Hanya Hayat tak suka dengan ...”
“Kamu patut minta ampun dari ibu dan ayah kamu, Hayat. Kamu dah salah sangka. Memang malam itu, ibumu ada ke bilik ayahmu. Ayahmu demam. Abah yang suruh ibumu hantar ubat. Mereka tak lakukan apa-apa. Kamu berdosa kerana menaruh syak kepada ibumu yang setia,” potong Ahmad Adham. Dia sudah tidak tertahan dengan sikap Muhayat.
Muhayat diam. Di wajahnya langsung tidak terukir rasa bersalah.
“Hayat, pergilah minta ampun pada ibumu. Pergilah juga kepada ayah kandungmu.” Ahmad Adham sangat mengharap.
“Tengoklah nanti, abah.” Muhayat bangun dan berjalan ke arah biliknya tanpa menoleh.
Hati Ahmad Adham tiba-tiba berdenyut. Nasib baik Kartina tidak ada bersama ketika itu. Kalau dia ada sudah tentu hatinya semakin terluka!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan