Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 6 November 2018

CINTA REMAJA




            Pernah jatuh cinta?  Sudah tentu, setiap daripada kita pasti pernah jatuh cinta ketika usia meningkat remaja.  Ada yang mengatakan, perubahan hormon seorang remaja bermula ketika usia 10 tahun, ketika ini, perasaan ingin mengenali manusia berjantina lain sudah ada.  Namun, masih terbatas kerana rasa malu yang masih menebal dalam diri.  Biarpun hati suka kepada seseorang, rasa suka itu disimpan dalam hati. 
            Semakin mereka meningkat remaja, 13-16 tahun, ketika inilah jiwa mereka berperang dengan diri sendiri.  Mula sudah mencari ruang dan peluang untuk cinta dan mencintai.  Kejadian-kejadian rogol dan perlakuan bebas lelaki dan perempuan mudah berlaku jika tidak dibendung dan disekat dengan cara yang betul.  Bagaimana?  Ibu ayah risau tak? 
            Setiap daripada kita punya cara pendidikan dan mendidik dengan cara yang berbeza.  Ada ibu ayah yang tidak kisah pun anak-anak ada teman lelaki atau perempuan.  Ada juga ibu ayah yang mengawal pergaulan anak-anak agar tidak terjebak dalam masalah.  Hari ini, pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah perkara biasa  Di sekolah lagi anak-anak remaja ini sudah berani bermain cinta.
            Saya juga pernah jatuh cinta, bukan sekali, tetapi berkali-kali.  Kadangkala saya terfikir, lelaki A yang saya kenali, adalah pasangan saya sehingga akhir hayat, tidak berapa lama berkawan, tiba-tiba hubungan terputus.  Bertemu lelaki B, sangkaan tetap sama, masa dan ruang yang diambil untuk mengenal hati budi, kononnya, berakhir juga dengan perpisahan.  Ironinya, tidak seorang pun lelaki yang saya kononnya suka atau cinta, menjadi imam saya. 
            Apabila mempunyai anak perempuan, dan anak-anak terlibat dengan cinta, baik lelaki dan perempuan, sebagai ibu yang mempunyai pengalam yang sama dengan mereka, tentulah saya akan cuba yang terbaik untuk menasihati mereka.  Tidak semua cinta pertama akan membawa bahagia sehingga ke jinjang prelamin.  Apatah lagi di usia yang masih muda dan mentah.  Saya dan suami masih berpegang dan yakin, setiap manusia yang dilahirkan di dunia ini ada jodoh mereka masing-masing.  Tidak perlu tergesa-gesa mencari, jodoh itu pasti akan datang sendiri.  Jika belum bertemu jodoh, usah risau, kerana Allah swt telah menentukan pasangan kita masing-masing.
            Pengalaman banyak mengajar saya untuk mendekati dan menasihati anak-anak perempua  saya erti cinta yang sebenar.  Anak kedua pernah suka seseorang, oleh kerana kami membataskan pergaulannya, perasaan itu pernah diluahkan tetapi masih terjaga adab dan akhlak. Dengan cara lembut dan bajk saya dan suami menasihatinya agar tidak terbawa-bawa perasaan cinta itu sehingga menganggu pelajaran.  Sayangi diri sendiri, barulah boleh kita sayangi orang lain.  Jika benar lelaki itu jodoh kita, pasti dia akan hadir dan menjadi imammu.  Saya tidak pernah marah jika anak perempuan saya suka kepada seorang lelaki, itu adalah normal bagi seorang perempuan.  Tetapi, sebagai seorang Islam, Melayu dan berpendidikan agama, pastinya ada batasan yang perlu dan wajib dijaga.  Dalam semua perkara, cinta atau tidak, maruah dan harga diri wajib dijaga dan diutamankan. 
            Anak bongsu saya paling berani, menulis surat cinta sehingga tertangkap oleh ustazahnya.  Pecahlah rahsia kenapa sering sakit kepala. Sedang asyik menghafal al-Quran, dalam hati ada seseorang, tidak boleh focus, sakit kepala menyerang.  Saya tidak marah, kerana adalah perkara biasa, seorang remaja seusia anak bongsu saya akan jatuh cinta kepada manusia yang berlainan jantina.  Cuma, bagaimana cara saya mengatasi masalahnya dan menyelami hati seorang remaja seperti anak saya.
1)      Saya menasihatinya, bahawa tidak salah jatuh cinta.  Ini normal, biasa sebagai seorang manusia sudah tentulah akan suka kepada lawan jantinanya.  Tetapi, tidak sesuai jatuh cinta dalam usia yang muda dan masih belajar.  Sebaiknya dalam usia yang muda, sepatutnya pelajaranlah yang paling dicintai.

2)      Saya menyuruh dia bertaubat, banyakkan berzikir, bawa bertenang, lupakan cinta yang ada di hati, perlahan-lahan buang. Kerana jika benar lelaki yang disukainya itu adalah jodohnya tidak akan ke mana-mana. Pasti akan kembali kepadanya juga.  Paling penting, cintai Allah dan Rasul terlebih dahulu, sebelum menerima cinta seorang bernama lelaki dalam usia yang terlalu muda.


3)      Sebagai seorang yang beragama Islam, maruah dan akhlak yang baik adalah utama.  Cinta akan datang selagi ada ruang dan peluang.  Tidak boleh berjumpa, ada batasan  dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Tidak ada seorang lelaki di dunia ini akan memilih seorang perempuan yang rendah akhlak dan murah harga dirinya.

4)      Lelaki yang baik adalah untuk seorang perempua  yang baik.  Mungkin pada pandangan seorang remaja yang cetek, kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya adalah yang terbaik.  Saya terangkan, salah jika dia berfikir begitu.  Masih banyak waktu, masih panjang masa untuk memilih.  Bukan dia yang pilih, tetapi Allah swt yang akan memilih untuknya.  Siapakah lelaki yang bakal menjadi pasangan hidupnya.  Jika dia menjadi seorang muslimat yang baik, taat kedua orang tua, menjaga hubungannya dengan Allah swt dan sayang akan Rasulullaah saw, Allah akan hadirkan seorang lelaki yang terbaik dalam hidupnya. Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa menyerahkan hati kepada seorang lelaki yamg tidak lagi dipastikan bahawa dia adalah jodohmu.

 Biar siapa pun anak kita, aliran apa yang dipelajari, naluri usia remaja suka dan ingin bercinta tetap ada.  Bezanya, adalah cara pergaulan dan bagaimana cinta yang ada di hati mereka itu direalisasikan. 
            Bagi anak-anak yang belajar dalam bidang agama, rasa cinta dilahirkan dengan cara yang terbatas, diam-diam suka, jika berbalas, surat cinta bertukar tangan. Kecuali, mereka berjumpa secara rahsia tanpa pengetahuan orang tua.  Remaja yang sedang dilamun cinta, mudah menipu.

  Bagi anak-anak remaja yang terlepas bebas dan aliran Kebangsaan, rasa cinta boleh diluahkan dengan mudah, kerana tiada keterbatasan dalam pergaulan, boleh bertemu dan  berbual mesra, jika tidak dibendung takut-takut menjadi perkara yang tidak baik pula.Ketika inilah, kedua orang tua memainkan peranan untuk menasihati  mereka agar tidak terburu-buru jatuh cinta. 
            Sebagai ibu ayah, kadangkala kita tidak boleh menjadi penghalang, tetapi jadilah kawan yang boleh menasihati mereka, mendekati dan memujuk serta terangkan bahawa jodoh untuk mereka akan hadir juga.  Terangkan juga kepada mereka, bahawasanya lelaki yang baik tidak akan sesekali menyentuh mereka selagi belum ada ijab dan Kabul.
            Ya, ada orang berfikir, jodoh perlu dicari.  Bagi saya tidak, jodoh adalah ketentuan Ilahi.  Kadang-kadang yang mencari tidak juga jumpa-jumpa.  Tetapi yang menunggu dan menanti dengan penuh yakin, bahawa jodohnya telah ditetapkan oleh Allah swt  selalu mendapat jodoh yang terbaik. 
            Dekatilah anak remaja kita.  Perhatikan perubahan diri mereka, perasaan mereka, sebaik sahaja usia mereka menjangkau 10-16 tahun.  Seringlah bertanya.  Seringlah bercerita bahayanya bercinta di usia remaja.  Kepada yang mempunyai anak remaja lelaki, nasihatilah mereka agar tidak menyentuh anak perempuan orang.  Begitu juga yang mempunyai anak perempuan remaja berceritalah agar mereka tahu menjaga keterbatasan dalam pergaulan.  Sudah pasti kita tidak mahu rasa cinta ini memusnahkan masa depan mereka. Tentunya kita tidak mahu rasa cinta ini menjadi penyebab lahirnya anak yang tidak sah taraf. 

            Baik atau buruknya bercinta ketika usia remaja,  sebagai ibu ayah, kitalah penentunya.

#ghostwriter

Tiada ulasan:

Catat Ulasan