Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 25 Mac 2014

RUNCING - KARYA ZHARULNIZAM SHAH Z.A


RUNCING ( ISBN 978 983 124 921-5
Zharulnizam Z.A
2014
Alaf 21
RM21.00
519 m/s
Kisah mistik, tentang kejahatan manusia yang mendampingi iblis laknatullah.   penyerahan kepada Yang Satu iaitu ALLAH SWT.  Jalan cerita di bahagiakan kepada dua zaman.  Kisah pada tahun 1920-an dan 1960-an.  Latar tempat di Tanah Jawa dan juga di Tanah Melayu selepas merdeka.  Kisah yang menarik buat hati terus melekat untuk mengetahui kesudahan cerita.  Tidak sabar untuk menghabiskannya sehingga ke ayat terakhir. 
Banyak kisah tauladan yang baik.  Boleh dikutip dari bab ke bab.  Tertarik  watak Haji Ipin, Kiai Mahadi dan Kiai Samsudin.  Taat dan patuh serta tunduk hanya kepada ALLAHSWT.  Kepercayaan dan keyakinan kepada Yang Satu begitu teliti penceritaannya.  Bagaikan terasa keagungan  Tuhan Yang Satu.  Menyentuh hati  bagaimana nilai persahabatan antara Kiai Samsudin dan Haji Ipin yang begitu erat.
Penulis juga mencipta watak Kiai Samsudin dengan begitu baik sekali.  Membuktikan hati yang suci mampu menjadikan seorang manusia itu cemerlang dalam apa sahaja bidang yang diceburi, itulah yang berlaku kepada Kiai Samsudin, anak muda biasa sebelum ini hanya  menjadi kelasi kapal. 
Begitu juga watak Haji Ariffin atau Haji Ipin yang begitu taat  dan sujud serta  bergantung hanya kepada ALLAH Yang Esa.
Kisah mistik di gambarkan dengan jelas dan terang.  Bagaikan dapat membayangkan kepada mangsa yang ditimpa  penyakit buatan orang itu.   Bagaimana Tok Batin Uda  menggunakan ilmu mistiknya untuk menyakitkan Haji Ipin sehingga menemui ajal. 
Kekuatan  ayat-ayat Al-Quran dibuktikan dengan bersahaja dan terkesan di hati, betapa mukjizat al-Quran tiada  bandingannya.  Hanya kalimah ALLAH mampu menundukkan ilmu hitam.
Kesopanan dan kemuliaan seorang perempuan Islam dan Melayu juga dipaparkan dengan baik dan jujur seperti harapan seorang ayah agar anak-anak gadis di luar sana mampu seperti Melur, Seri Bakawali dan Mas Merah. 
Sengaja tidak mengulas  tentang cerita novel ini.  Dapatkan karya ini. Kisah lain dari yang lain.  Tidak akan kecewa memilikinya.  Banyak nilai-nilai murni serta keyakinan kepada ALLAH dipaparkan dalam karya ini.  Tahniah penulis seperti yang pernah dikatakan oleh Ketua Editor kami.  Kak Saadiah bahawa bakal penulis Thriller/ Mistik no 1 Negara, mampu duduk  sebaris dengan penulis thriller no 1 negara  Ramli Awang Murshid .

Isnin, 10 Mac 2014

Kau Pergi Tak Kembali...







Pecah jua takungan  air mata yang tersimpan kemas di tempat dia melihat dunia.  Rasa gugur jantungnya menerima berita yang tidak pernah terduga olehnya.  Malah tidak pernah menyangka perkara itu akan berlaku kepada dirinya sendiri.  Barangan hantaran yang telah ditempah dan sudah siap sepenuhnya tersusun kemas di katil yang bakal menjadi bulan madu terindah dalam hidupnya.  Terasa sebak dan  berat dadanya.  Pakaian nikah dan persandingan tergantung kemas di dalam almari.  Semakin dilihat, semakin pedih   rasa di hati.  Mahu sahaja dia membuangnya jauh-jauh agar tidak kelihatan lagi. 

Masih terngiang-ngiang di telinganya rayuan tunangannya agar membenarkan dia pergi  berkursus ke Beijing.    Pada  hal hanya seminggu sahaja lagi majlis pernikahan dan persandingan mereka akan berlangsung.  Bukan dia tidak izinkan tetapi persiapan semakin sarat harus difikir dan diselesaikan.  Kenapa di saat-saat akhir?  Geram bercampur sebal di hati. 

“Abang gantikan orang, pihak syarikat minta abang pergi.  Kawan abang yang sepatutnya pergi, isterinya  melahirkan jadi dia tidak boleh ikut serta,” mempamerkan wajah mohon simpati.  Ikmal  memaniskan muka.  

“Tak boleh ganti dengan orang lain ke?”  rengek Haniza, mencuka. 
               
 “Hanya ada dua orang yang pakar dalam bidang abang ini. Abang dan kawan abang.  Macam  abang cakap tadi, kawan abang isterinya bersalin, jadi hanya abang yang tinggal.  Dia tidak boleh hadir, abang kenalah gantikan.  Sehari sebelum majlis, abang baliklah.  Masih sempat lagi,”  kata Ikmal meyakinkan.
  “Hish, kalau abang tak balik macam mana?  Tersangkut dengan amoi Beijing ke?  Nanti Hani putih mata aje,”  masih tidak mahu mengizinkan.  Berat benar hatinya hendak melepaskan pemergiaan tunangan tersayang.  Hubungan terjalin sekian lama akhirnya termeterai dengan pertunangan dan  mereka bakal disatukan tidak lama lagi. 

Hati siapa yang tidak riang dan gembira, orang tersayang akan menjadi pasangan hidup.    Mereka akan bersatu dalam majlis yang serba mewah dan meriah.  Perancangan yang telah diatur sejak dua bulan yang lalu.  Setiap hari dia akan meneliti rancangan jadual majlis persandingan dan majlis akad nikah.  Tersenyum sendiri memikirkan  hari berbahagia yang bakal berlangsung itu.

                “Hani!  Tolonglah.  Izinkan abang pergi, ya?” rayu Ikmal.  Wajah penuh mengharap.  Dia tidak boleh menolak kerana ini permintaan tempat dia bekerja.  
                “Nantilah, Hani fikirkan dulu ya,” hanya itu yang mampu diberitahu.  Resah mencengkam hati.  Bimbang menerpa tanpa dipinta.  Risau mengulit diri. 
                “Abang kena beri jawapan segera, mereka hendak tempat tiket kapal terbang, penginapan mana boleh beri keputusan lewat!”  Ikmal  bimbang.  Kenapalah sukar sangat Haniza ingin benarkan dia pergi.  Sepanjang mereka bertunang bukan tidak pernah dia keluar negara, malah kerap juga.   Dia faham mungkin Haniza risau tentang majlis perkahwinan mereka.  Tetapi masih ada waktu untuk dia menguruskannya nanti.  Segala persiapan yang lain sudah selesai. Hanya menunggu harinya sahaja.
                “Tak boleh berkompromi ke syarikat abang itu?  Lepas kahwin ke?”  Haniza cemberut.
                “Tak boleh!  Bengkel itu bukan ditentukan oleh syarikat, tetapi dianjurkan oleh syarikat lain. Syarikat abang cuma  hadir sebagai peserta.  Lagipun bengkel atau kursus ini jarang diadakan.  Bila mendapat tahu dan tawaran, terus sahaja majikan abang menerima.  Bukan abang seorang yang pergi.  Berbelas orang.  Hani jangan bimbang ya,”  masih terus memujuk.  Merayu dan mengharap  Haniza akan bersetuju.
                “Kalau Hani tak benarkan? Abang akan pergi juga?”  bermain dengan teka teki, ingin mengetahui perasaan sayang tunangannya itu terhadap dirinya.
                “Ini soal periuk nasi abang Hani, tempat abang cari makan, tempat abang bekerja.  Selama ini  Hani tidak pernah kisahpun, kenapa kali ini begitu keras dan susah untuk mengizinkan.  Abang boleh aje pergi tanpa beritahu Hani.  Tapia bang masih ada perasaan ingin berkongsi  dengan Hani, cuba faham situasi abang!” Ikmal hampir  hilang sabar.  Sejak setengah jam tadi dia merayu dan mengharap  namun Hani bermain-main pula.  Esok jawapan harus diberi.  Bukan masanya untuk  bergurau senda atau menguji perasaan masing-masing.  Ini bukan soal kesetiaan atau soal ketidakjujuran.  Ini melibatkan soal kerja.  Sebagai bakal isteri Haniza seharusnya memahami keadaannya.  Majlis perkahwinan mereka masih ada ahli keluarga yang  boleh membantu.  Bukan Haniza terpaksa buat sendiri.  

                Wajah Haniza bertukar kelat.  Suara tinggi Ikmal menyentap hatinya.  Sepanjang mereka bersama belum pernah Ikmal meninggikan suara kepadanya.  Marah benar nampaknya. 

                “Pergilah, kalau dah nak sangat!   Jangan sampai tak balik sudahlah!”  rungut Haniza.  Dengan berat hati terpaksa membenarkan.  Dia tidak mahu hubungan  dingin disaat-saat tibanya hari berbahagia mereka berdua. 

                “Izinkanlah dengan redha dan ikhlas, bukan terpaksa atau dipaksa,”  pujuk Ikmal.  Wajahnya melakarkan senyuman. 

                “Yalah, nak buat macam mana?  Nak pergi sangat, Hani izinkanlah,”  mengendurkan perasaan sendiri.  

                “Bila abang akan bertolak?”  Haniza memandang wajah riang Ikmal yang setia di hadapannya. 

                “Lagi dua hari, sempat kita pergi selesaikan apa yang tertangguh,”  Ikmal melemparkan senyuman. 

                Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur tenang.  Tidaklah terlalu ramai pengunjung, tidak seperti waktu musim Haji.  Haniza menarik beg pakaian Ikmal sambil tersenyum.  Beberapa rakan sekerja  bakal suaminya turut menumpang mereka.  Saling berbual dan berborak kosong.  Jelas terpancar  keriang di wajah masing-masing.  Ada yang baharu pertama kali menaiki kapal terbang merasa kecut perut.   Haniza tidak lupa memesan cenderhati dari negara tembok besar itu.  Terutama kain suteranya yang cantik dan berkualiti. 
  
                “Sepanjang abang tak ada nanti, jaga diri baik-baik tau. Awak itu berdarah manis, banyak dugaan yang menanti,” pesan Ikmal. 

                “Jangan pandai-pandai nak pujuk kita, awak tu pun sama,  jangan nak main mata dengan amoi di sana.  Ingat, awak tu sudah bertunang dan bakal jadi suami orang,” pesan  Haniza. 

                “Insya-ALLAH, segalanya akan dipermudahkan.    Hani tunggu kepulangan abang ya,”  Ikmal  mengenyitkan mata.  Mereka saling bertatapan dan tersenyum. 

                “Hey, apa nombor pesawat kita?” tanya salah seorang  rakan sekerja Ikmal,” 

           “MH370lah,” jawab Ikmal sambil mengambil beg pakaiannya daripada Haniza.  Mereka sudahpun berada di  bahagian  pendaftaran.    Haniza menunggu di sebelah sewaktu Ikmal mendaftarkan diri serta  beg pakaiannya.  Begitu juga rakan-rakannya yang lain.  Kelihatan penumpang berbaris panjang.  Semuanya menaiki kapal terbang yang sama.  Haniza sempat mengacah seorang bayi yang comel.  Bayi itu tersenyum manis.   

                 “Suka kanak-kanakkan?  Sabarlah…  nanti kita ada anak sendiri,” usik Ikmal. 

                  Laju sahaja tangan Haniza memukul lengan Ikmal.   

 Setelah mendaftar , mereka terus ke ruang menunggu.  Masih sempat untuk berbual panjang.  Masih punya waktu.  Ramai warga cina berbaris panjang di lorong pendaftaran MH370.  Mata Haniza leka memerhati gelagat mereka.  Mungkin baharu selesai melawat Malaysia dan hendak kembali ke tanah air mereka.  Haniza tersenyum sendiri.       

                “Hani…  dalam hati abang hanya ada Hani sahaja.  Abang hanya sayangkan Hani seorang.  Selama-lamanya.  Sehingga ke syurga,”   kata Ikmal meyakinkan Haniza.  Dia tidak pura-pura, dia bersungguh-sungguh dan benar-benar menyintai gadis itu.  Bakal suri hatinya. 

    Haniza menunduk malu.  Diapun mencintai lelaki itu sepenuh hatinya.  Semoga bahagia milik mereka.  Haniza memandang sayu langkah Ikmal melepasi pemeriksaan  Imigrasen.  Tangannya melambai lemah, hatinya diulit pilu dan sayu.  Walaupun  belum lagi berpisah jauh, namun perasaan rindu sudah mula memutik di hati.  Sempat lagi lelaki itu mengucapkan perkataan sayang kepadanya dan melayangkan ciuman  di angin lalu.  Haniza menunggu sehingga kelibat Ikmal menghilang dari pandangannya.  Hari semakin menjauh malam.  Dia mengeluh.  Penat pula terpaksa memandu seorang diri pulang ke rumah.  Tadi adiknya hendak menemani dia tidak benarkan.  Konon ingin berdua-duaan dengan  bakal suaminya, akhirnya ada juga yang menumpang.    Haniza berdoa dalam hati semoga Ikmal selamat pergi dan selamat kembali.
Peristiwa beberapa jam yang lalu bagaikan baharu sahaja  berlaku.  Berita yang  diterima daripada  keluarga tunangnya  hampir mencabut nyawanya. Terlalu terkejut dan tergamam.  Sukar untuk dia mempercayainya.  Dia   yang menghantar tunangnya itu ke lapangang terbang.  Mereka sempat bergurau  dan saling berjanji untuk masa hadapan sendiri.  Tidak mungkin pesawat itu hilang?  Ke mana?  Di mana?  Apa yang berlaku? Pesawat itu mengalami kerosakankah?  Berbagai persoalan bermain di benaknya.  Rasa lemah seluruh tubuhnya.  Kakinya tidak mampu berdiri teguh.  Dadanya sebak sarat dengan kesedihan dan kepiluan menangisi kehilangan orang tersayang.  Menyesal pula mengizinkan Ikmal pergi.    Dia beristighfar berkali-kali.  Takdir ILAHI jangan hendak disanggah.  Semuanya ada hikmah tersendiri.

           Apakah kebimbangan yang bersarang di hatinya beberapa hari yang lalu kerana dia benar-benar akan  kehilangan orang tersayang?    Kebimbangan yang menumbuk sanubarinya kerana sudah terlintas perkara  buruk yang bakal terjadi?  Entah berapa banyak tisu menjadi pengesat air matanya yang mengalir.  Menangis dan menangis.  Tidak tahu apa yang harus dia lakukan.  Menunggu dan mengharap.  Masa terus berlalu.  Orang tersayang masih belum ditemui.  Bukan seorang, malah semua penumpang yang menaiki pesawat tersebut.  Wajah-wajah duka yang menunggu dengan sabar berita tentang pesawat tersebut dipandang satu persatu.  Mereka juga bimbang dan risau, sama seperti dirinya.  Mengharap semua penumpang kembali dengan selamat.  Majlis pernikahannya akan berlangsung seminggu lagi.     

Resah, risau, bimbang, pilu, sedih semuanya bersarang di dada.  Tidak sabar rasanya ingin mengetahui apa yang berlaku dan sudahkah pesawat itu ditemui?  Tiada lagi senyuman yang  terukir di bibirnya.    Hanya air mata teman yang setia sejak tiga hari lalu.   Puas ahli keluarga memujuk dan memberi semangat.  Tetapi semangat itu bagaikan mati bersama kehilangan pesawat yang membawa Ikmal dan kawan-kawannya ke Beijing.  Doa juga dipanjangkan, merayu dan meminta agar semua penumpang selamat  kembali, biar berada di manapun.  Disorok atau di bawa lari tidak kira apapun berlaku biarlah ada jasadnya.  Bukan harapan dia seorang diri tetapi harapan ahli keluarga  penumpang pesawat tersebut.  Mungkin mereka juga sedih seperti dirinya.  Mereka juga bimbang dan risau sama sepertinya.   


Kalaulah dia  benar-benar berkeras tidak mengizinkan Ikmal pergi sudah tentu mereka akan menyulam bahagia .  Kalaulah Ikmal tidak berkeras hendak pergi juga sudah pasti ini mereka masih boleh bergurau senda.  Kalaulah majikan Ikmal tidak memaksa sudah pasti dia masih bersama Ikmal.  Haniza terus beristighfar tidak perlu memarahi takdir yang ditentukan kepadanya dan Ikmal.  Air mata meluncur laju.   Geram juga  mendekati. Marah dengan kedegilan tunangnya itu.  Ya, ALLAH sesungguhnya aku hambaMu yang lemah, bisik hati kecil Haniza sendiri.


Jawapan kepastian masih belum diterima.  Majlis perkahwinannya juga terpaksa ditangguhkan.  Seluruh ahli kelurga kedua belah keluarga sedang berduka.  Bukan keluarganya sahaja malah keluarga penumpang pesawat itu turut bermandi air mata.  Tidak tahu berbuat apa-apa.  Menunggu dan berharap sambil berdoa semoga semuanya selesai segera.    Haniza memandang  gambar Ikmal  digenggaman dengan harapan tinggi tunangannya itu akan kembali.

Jumaat, 28 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 41

Bab 41

HUJAN yang turun membasahi bumi semakin melebat. Dalam sehari dua ini, hujan kerap benar menyirai bumi Janda Baik. Kadang-kadang turunnya disertai dengan angin kencang serta ribut petir, kadang-kadang turunnya tak disangka-sangka membuatkan Siti Asiah terkejar-kejar menyelamatkan pakaian yang tersidai di ampaian.
Desahan hujan yang turun menenggelamkan bunyi sebuah kenderan pacuan empat roda yang menghampiri rumah tersebut.
Siti Asiah yang sedang menyediakan roti bakar untuk hidangan minum petang juga tidak menyedari kehadiran dua orang manusi yang sedang mendaki tangga menuju ke serambi.
“Wah, wah, wah!”
Suara yang tiba-tiba menyapa gegendang telinganya membuatkan Intan Juliana terkejut besar lalu membelingas. Matanya bertentangan dengan renungan tajam milik Sahara, isteri Johan yang ternyata membencinya.
Sahara menoleh ke arah anak muda yang berada di sisinya.
“Tengok tu, Hambali. Nilah rupanya tuan puteri yang bersemayam kat sini selama ni!” Dan, kata-katanya sarat dengan nada ejekan serta kebencian.
Anak muda yang dipanggil Hambali itu hanya mendiamkan diri.
“Sampai bila kau nak berada di sini?” sergah Sahara.
Intan Juliana tidak menjawab.
“Kenapa kau diam? Hey, dah dua bulan kau bersemayan kat sini wahai Tuan Puteri. Kau tahu tak cuti sekolah akan tiba tak lama lagi dan anak-anak uah aku nak datang kemari. Aku ni bukannya nak menghalau kau, Ju, tapi kau faham-fahamlah sendiri.”
Intan Juliana menyengih.
“Kalau aunty nak halau saya keluar dari sini kenapa tak tunggu sampai uncle Johan pulang dari KL? Saya ke sini atas jemputannya dan tak manis rasanya kalau dia pulang nanti saya tak ada. Kalaupun nak halau saya keluar, tunggulah sampai dia balik dulu,” jawabnya.
Jawapannya itu membuatkan Sahara semakin marah.
“Hey, kau tu tak sedar diri ke yang aku tak pernah sukakan kau? Aku isteri Johan tau, dan aku jugak berhak terhadap rumah ni. Kalau aku nak kau keluar dari sini, kau kena keluar tau!” Suaranya melengking di ruang tamu.
“Dasar muka tak tahu malu. Rumah kita nak dijadikan macam rumah dia pulak!”
“Okey, saya akan keluar dari sini tapi macam yang saya katakan tadi... saya kena tunggu sampai Uncle Johan balik dulu!” Intan Juliana berkeras.
“Hei, perempuan! Kau tu siapa dengan laki aku, hah? Sementara aku berpeluang jumpa kau ni, cuba kau terangkan pada aku sikit apa hubungan kau dengan dengan laki aku? Kau dengan dia ada hubungan sulit ke?”
“Ma, cukuplah tu, ma. Mari kita balik.” Anak muda yang sedari tadi hanya mendiamkan diri, tiba-tiba bersuara.
“Kau diam, Hambali! Selama ni mama dah cukup bersabar dengan kerenah mereka berdua ni. dulu papa kau tergila-gilakan emaknya sampai sanggup tunggu perempuan yang sedang nazak tu dikatil hospital, sekarang dah tak ada emak dengan anaknya pulak!” Sahara mengirai-ngirai kainnya.
“Ma, sudahlah tu ma. Kalau papa tahu kita...”
“Kau takut apa kau marahkan kita, Hambali? Papa kau tu jantan tak berhati perut, tahu tak! Perasaan mama ni dah hancur, Hambali. Dah hancur! Semuanya gara-gara perempuan ni dan emak dia. Hey betina, kalu kau masih ada maruah, kau berambus ajelah dari rumah ni! Faham tak!”
Hambali segera memaut tubuh ibunya dan memimpinnya turun dari rumah itu. Siti Asiah yang baru menyedari kehadiran mereka segera merapati Intan Juliana yang tunduk merenung lantai.
“Sabarlah, Cik Ju.” Pujuk Siti Asiah.
“Kenapa mereka benci Ju, Kak Siti? Kenapa? Apa salah Ju? Berdosakan kalau Ju menumpang kasih seorang ayah pada Uncle Johan?” rintihnya.
“Maafkanlah mereka, Cik Ju. Mereka dah salah faham dengan Cik Ju.” Pujuk Siti Asiah.
“Tapi memag betul cakap aunty Sahara tu. Dia pun berhak terhadap rumah ni. Malam nanti kak Siti kemaskanlah pakaikan kita, ya. Sebaik aje Uncle Johan pulang dari KL, kita tinggalkan rumah ni.”
“Kita nak ke mana, Cik Ju? Balik ke KL?”
Intan Juliana hanya mendiamkan dirinya.

DIA hanya memandang dari jauh gelagat lelaki itu. Lelaki yang bukannya muda lagi. Lelaki yang sudah memutih uban di kepalanya dan jalur-jalur usia sudah meniti di wajahnya. Bak kata orang, dunia dah kata pergi, kubur dah kata mari.
Tapi gelagat lelaki itu tidak selari dengan usianya yang sedang menuju senja. Lagaknya bagaikan orang muda. Dia tanpa segan silu bergurau senda dan bergelak ketawa dengan seorang perempuan muda yang selayaknya dipanggil anak.
Johan geleng kepala. Wajah arwah Nuraini menjelma di ruang fikir. Secebis kekesalan muncul di jiwanya tatkala hati kecilnya tertanya-tanya apakah yang pernah dilihat perempuan itu dulu dalam diri Datuk Kamarul hingga tega membiarkan cintanya berkelana ke dasar yang infiniti?
Kenapakah Nuraini hanya mahu menjadi temannya dan bukan kekasih?
“Nur, kau takkan bahagia dengan Kamarul. Aku tahu siapa sebenarnya dia, Nur.” Itulah kata-kata kejam yang pernah keluar dari mulutnya dalam usaha untuk merebut kasih Nuraini.
Entahlah, dia yang mula-mula mengenali gadis keturunan Melayu-Pattani itu. Dia yang mula-mula menyemai cinta, tetapi setelah munculnya Kamarul, cinta Nuraini berpaling kepadanya pula. Alangkah tidak adilnya!
Mungkinkah ini yang dinamakan tiada jodoh? Ada keserasian, tapi tiada jodoh? Dan berdosakah dia kalau sesekali menyalahkan takdir yang masih tidak mempertemukan jodohnya dengan perempuan itu walau setelah dia bergelar janda Datuk Kamarul?
“Jangnlah kau kesali permainan takdir, Jo.mungkin kita hanya sesuai sebagai teman baik, dan bukannya sebagai teman hidup. Aku tau kau sayangkan aku. Tapi antara kita jodoh yang memisahkan.” Itulah yang pernah diucapkan Nuraini padanya.
“Aku sanggup memperisterikan kau, Nur!”
“Apa yang kau cakapkan ni, Jo? Aku tak sanggup digelar sebagai perampas. Jodoh kau dengan Sahara. Pulanglah pada isteri dan anak-anak kau, Jo. Cuma satu aje yang aku minta, Jo. Intan Juliana tak pernah dapat kasih sayang seorang ayah. Aku harap kau dapat berikan kasih seorang ayah pada dia.”
Dia menggenggam jari-jemari sejuk Nuraini. Dan mereka menitiskan air mata bersama-sama. Itulah kali terakhir dia melihat senyuman Nuraini kerana keesokan harinya dia menerima panggilan telefon menyatakan bahawa perempuan itu telah kembali ke alam yang kekal abadi.
Wajah Intan Juliana menyapa ke ruang mata. Kalau ibunya menderita bergelar janda dalam usia yang muda, nasib Intan Juliana pula lebih malang lagi. Dia telah diperkosa entah oleh siapa dan kini mengandungkan pula anak ‘haiwan’ yang telah memperkosanya.
Alangkah malangnya nasib kau, Ju.
Dan mengenangkan penderitaan Intan Juliana itu, dia tiba-tiba diamuk marah terhadap lelaki yang sedang bergurau senda dengan seorang gadis seusia Intan Juliana. Dengan perasaan geram, dia mengepal penumbuknya lalu menghentak meja. Meja yang tidak berdosa itu bergegar.
Beberapa orang pengunjung coffee house yang menyedari api amarah yang membuak-buak di dadanya itu, menoleh ke arahnya. Dia tidak menghiraukan mereka, sebaliknya melangkah menghgampiri lelaki yang mencetuskan kemarahan di hatinya itu.
“Jo, kau pun ada kat sini. Duduklah... aku kenalkan kau dengan Melissa.” Selamba Datuk Kamarul memperkenalkan perempuan berketuranan Cina yang menemaninya itu kepada Johan.
“Marul, I ada hal nak cakap dengan you ni... tentang anak perempuan you, Intan Juliana.”
Nama yang baru disebut oleh Johan itu tadi bagaikan merenggut kegembiraanya. Dia menggoyang-goyangkan tangannya. Menyedari yang dirinya tidak diperlukan lagi, perempuan yang menemaninya segera meninggalkan meja itu kepada mereka berdua.
“Kenapa kau bangkitkan tentang dia lagi, Jo? Kan aku dah terima dia sebagai anak aku. Tak cukup lagi ke? Sejak dia lahir, aku memang tak pernah rapat dengan dia kan? Apa yang kau orang semua mahu? Hubungan mesra macam mana lagi yang harus aku tunjukkan pada dia?” Datuk Kamarul berkata sambil mengurut-urut dadanya.
Melihat keadaan itu, Johan menjadi cemas. Dia tahu bahawa lelaki itu mempunyai sejarah penyakit jantung. Namun, dia tidak akan berundur lagi. Dia harus meluahkan segalanya-galanya kepada lelaki itu.
“Marul, masih belum terlambat lagi untuk kau jalankan kewajipan sebagai seorang ayah pada dia.” Kata Johan.
“Tapi aku dah ada Suzi... cukuplah!”
“Suzi anak kau. Intan Juliana pun anak kandung kau, Marul. Kenapa kau nak sisihkan dia pulak? Hanya kerana ibunya isteri kedua dan telah kau ceraikan maka kau sisihkan dia? Dia sendirian sekarang ni setelah ibunya meninggal, Marul. Kasihanilah dia.”
“Ya, arwah Nuraini memang pernah jadi isteri aku. Aku pernah memilikinya, tapi kau tak tahu betapa seksanya kalau hanya memiliki sekujur tubuh sedangkan hatinya dah diberikan pada orang lain!”
“Jo, aku ceraikan dia dulu bukan atas desakan keluarga atau bini tua aku, tahu tak! Aku ceraikan dia sebab nak bagi laluan pada kau. tapi aku pelik kenapa kau tak kahwin dengan dia sedangkan dia dah aku ceraikan?” suara garau Datuk Kamarul menerjah ke gegendang telinga.
“Kenapa kau tak kahwin aje dengan janda aku, Jo? Kenapa? Kenapa kau sia-siakan ruang yang dah aku kosongkan tu? Kenapa?” soal Datuk Kamarul bertalu-talu.
Johan bungkam. Situasi itu benar-benar mencengkam perasaannya.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 40

40

JOHAN tergelak kecil melihat Intan Juliana terkial-kial menarik kailnya yang dipagut ikan. Dia bersyukur kerana gadis itu sudah mula menerima hakikat kehidupannya walaupun hakikat itu amat perit untuk ditelan. Perempuan mana yang dapat menerima hakikat bahawa dirinya sedang mengandungkan benih perogolnya? Perempuan lain mungkin akan mengikut nasihat doktor supaya kandungan itu digugurkan. Tapi Intan Juliana pula mengambil keputusan untuk melahirkan benih perogolnya yang masih bebas. Jelaslah bahawa Intan Juliana bukan sembarangan perempuan. Dia juga seperti ibunya, lambang seorang wanita yang kuat dan tabah!
Telah hampir sebulan setengah Intan Juliana dan pembantunya yang setia, Siti Asiah, menumpang di rumah rehatnya yang terletak di sebuah kampung berhampiran Tasik Chini walaupun mendapat tentangan keras daripada isterinya sendiri. Memang sejak dahulu Sahara mencemburui hubungan baiknya dengan arwah Nuraini. Kini setelah kematiannya, cemburu itu beralih pula pada anak perempuannya, Intan Juliana. Nyata sekali, perempuan dan perasaan cemburu memang tak boleh dipisahkan walaupun dia menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia ada menaruh hati pada anak bekas kekasihnya itu.
Dia telah menganggap Intan Juliana bagaikan anaknya sendiri. Lebih-lebih lagi setelah dia dan Sahara tidak dikurniakan anak perempuan. Setelah insiden di malam jahanam itu, dia tak akan mengabaikan Intan Juliana walau bagaimana hebatnya halangan dan larangan isterinya. Perempuan itu kini telah menjadi tanggung jawabnya. Alangkah baiknya kalau Sahara dapat berbaik-baik dengan Intan Juliana, desis hatinya sambil segera menghampiri Intan Juliana yang masih terkial-kial hendak menarik mata kailnya.
“Ikan haruan ni kalau dibuat gulai darat memang sedap.” Kata Siti Asiah apabila Intan Juliana menayangkan dengan bangga hasil tangkapannya.
“Masak ajelah apa-apapun, Kak Siti. Asalkan sedap sudahlah, betul tak uncle?” soalnya dengan manja ke arah Uncle Johannya. Lelaki itu angguk sambil tergelak kecil.
“Ju, sampai bila Ju nak berada di sini?” soal Johan setelah Siti Asiah berlalu.
“Kenapa? Uncle tak suka Ju kat sini?”
“Bukan macam tu. Ju jangan salah faham.”
Intan Juliana merenung jauh. “Ju rasa tenang berada di sini, uncle. Jauh dari hiruk-pikuk kota dan jauh daripada manusia-manusia yang ganas.”
“Tapi bagaimana dengan kerjaya Ju? Bagaimana dengan galeri lukisan Ju di KL tu? Uncle tak kisah selama mana pun Ju nak tinggal di sini tapi suatu ketika nanti Ju kena juga tinggalkan tempat ni dan berdepan dengan realiti. Kerja Ju... client dan kawan-kawan Ju selalu tanya tentang Ju. Yusuf pun selalu call uncle tanya tentang Ju.” Terang Johan.
Intan Juliana menoleh ke arahnya. Nama yang baru saja meluncur keluar dari mulut lelaki itu nyata menyentak emosinya.
“Yusuf?”
“Ya, Yusuf Hakimi. Dia benar-benar risau tentang Ju.”
“Uncle tak cerita apa-apa pun tentang kejadian yang menimpa Ju tu pada dia kan, uncle?” soalnya dengan gusar.
“Tak! Kan uncle dah janji nak tutup mulut pasal tu.”
“Ju tak mahu dia jatuh kesian dengan Ju. Ju tak mahu susahkan hatinya, uncle.” Rintih Intan Juliana. Dada Johan turut sebak. Dia tahu hanya Yusuf Hakimi saja kunci keceriaan perempuan itu. Malangnya, lelaki itu telah berpunya. Alangkah baiknya kalau dinyahkan saja perempuan bernama Zulaika daripada muka bumi ni, hatinya mendesis.
“Tapi dia kan kawan baik Ju. Apa salahnya berkongsi masalah? What’s friends are for?”
“No!!!” jeritan Intan Juliana benar-benar mengejutkan Johan.
“Okey... okey! Uncle minta maaf. Uncle faham dan hormat pendirian Ju. Selain daripada Yusuf ada sorang lagi lelaki yang sangat kerap menghubungi uncle untuk tanyakan tentang Ju...”
“Siapa?”
“Zack.”
“Zackhary?” soalnya. Johan mengangguk.
“Dia betul-betul risau tentang Ju. Malah dia sering merayu untuk bercakap dengan Ju.”
“No... no... no, uncle! Ju tak nak bercakap dengan sesiapa pun baik dengan Yusuf mahupun Zackhary. Ju mahu dibiarkan bersendirian.” Tingkah Intan Juliana dengan tegas. Johan hanya mampu mengangguk sahaja.

UNTUK KESEKIAN KALINYA dia berdiri di hadapan galeri yang bukan saja berkunci malah siap bermangga. Dia hairan kemanalah pemilik galeri itu pergi sedemikian lama. Bukan perangai Intan Juliana untuk meninggalkan kerjanya begitu saja.
Pasti ada yang tak kena, desis hatinya dengan perasaan risau.
Tidak cukup menziarahi galeri lukisan yang terketak di Bangsar, dia juga menjejaki Intan Juliana sehingga ke banglonya yang tersergam di Persiaran Tasik Titiwangsa. Hairan bin ajaib, pintu pagar dan rumah juga berkunci. Malah papan tanda ‘UNTUK DIJUAL’ yang terpampang besar juga semakin menambah tanda soal di hatinya.
Pelbagai cara digunakannya untuk mencari teman baiknya itu tapi semuanya gagal. Mula-mula dahulu dia dapat menghubungi Johan untuk bertanyakan tentang Intan Juliana dan jawapan yang diterimanya ialah gadis itu sedang bercuti rehat dan tak mahu diganggu. Lama-kelamaan Johan juga sudah malas hendak menjawab setiap kali dia menelefon ke talian bimbitnya.
Ke mana kau, Intan? Apa yang terjadi pada dirimu?
Bam! Tiba-tiba tubuhnya berlanggar dengan seorang lelaki.
“Sorry!” ucapnya dan mata keduanya bertentangan. Serasa macam pernah lihat lelaki ni, desis hatinya dan tiba-tiba dia teringat bahawa lelaki itulah yang pernah keluar makan malam dengan Intan Juliana di sebuah restoran mewah lama dahulu.
“Err... tak apa!” lelaki itu juga seolah-olah mengenalinya. “Macam pernah jumpa.”
“Saya... Yusuf Hakimi.”
“Saya Zack... Zackhary Iskandar.”
Mereka bersalaman. “Ya, saya pun rasa memang kita pernah jumpa. Saudara ni kawan pada Intan Juliana, pemilik galeri ni kan?” soal Yusuf Hakimi.
“Ya.” Sahut pemuda itu.
“Saudara tahu tak dia di mana sekarang? Saya... saya ada order sebuah lukisan dari dia, tapi dah hampir dua bulan dia tak datang kerja. Dia juga tak dapat dihubungi.” Yusuf Hakimi mencipta alasan yang dirasakan lojik untuk dipersembahkan pada jejaka kacak yang kelihatan gelisah di depannya itu.
“Err... saya pun sebenarnya sedang cari dia ni. Saya pun tak tahu di mana dia berada. Saya minta maaf kerana tak dapat menolong.”
Yusuf Hakimi mengeluh mendengar jawapan pemuda itu. Dia benar-benar kecewa.

“FATIN bunting pelamin.” Kata-kata Fatimah itu benar-benar mengganggu emosinya. “Kawin aje terus lekat. Dah sebulan setengah usia kandungannya. Dia mabuk teruk terutamanya waktu pagi. Mengidam asam boi aje. Hari-hari Fauzan belikan dia air asam boi.” Begitu ceria suara Fatimah di corong telefon. Ceria seorang ibu apabila mengetahui bahawa anaknya yang suatu ketika dulu adalah seorang anak gadis bermasalah, kini sedang berbahagia di sisi suami yang dapat mengawal dan menjaganya.
Zulaika tergelak. Nyata dibuat-buat.
“Ika pun tumpang gembira. Bila mak cik nak datang sini pula?”
“Nampaknya sekarang ni belum boleh lagilah, Ika. Mak cik kena jaga Fatin yang masih mabuk tu. Bila kandungannya dan nak masuk ke tiga atau empat bulan nanti mungkin baru mabuknya akan kurang.” Fatimah beralasan. “Kau jangan kecil hati pula ya!”
“Taklah, mak cik. Sampaikan salam Ika pada Fatin ya.”
“Eh, ni Si Fatin nak bercakap dengan kau.” Kata Fatimah sebelum sempat dia meletakkan telefon.
“Ika! Ni akulah, Fatin.” Suara Fatin Adiba kedengaran di corong talian.
“Ya, Fatin! Aku dengar cerita kau mengidam asam boi, betul ke?”
Fatin Adiba mengekel. “Aku suka benda-benda masamlah, Ika. Kalau pekena nasi aje rasa nak muntah. Kau tak tengok lagi badan aku ni, dah jadi kurus macam batang mancis.”
“Lebih kurus daripada aku semasa kat kampung dulu?” soal Zulaika membayangkan masa silamnya ketika tenaga mudanya diperas di warung Fatimah.
“Ala, kau ni! Janganlah sebut lagi peristiwa yang dah lalu tu.”
“Aku minta maaf.”
“Tak apa! Eh, kau dengan Abang Yusuf bila lagi? Tak teringin ke timang cahayamata?”
“Err... belum rezeki kami. Apa-apapun aku ucapkan tahniah pada kau, Fatin.”
“Yelah, Ika! Kalau difikir-fikirkan... lucu jugak. Aku dengan Abang Fauzan macam ekspres rakyat, laju je. Nikah tergesa-gesa lepas tu terus melekat.” Tutur Fatin Adiba dengan ceria.
Mereka ketawa. Lebat!
“Yelah, kau tu ekspres rakyat. Aku dengan Abang Yusuf macam kereta lembu.” Sahut Zulaika selepas tawa mereka reda.
“Dah belum rezeki korang berdua, apa nak buat? Sabar jelah!” tukas Fatin Adiba sebelum menamatkan perbualan mereka lewat petang itu.
Dia dibungkus oleh kesunyian yang mencengkam. Suaminya masih belum pulang walaupun jam hampir menuding ke pukul enam setengah petang. Dia meraba-raba perutnya yang masih kosong dan tertanya-tanya bilakah benih cinta suaminya akan melekat di situ.
Apa yang tak kena dengan aku ni, hatinya menyoal. Dia pernah mendesak suaminya agar mereka bertemu dengan doktor untuk mengetahui apa masalah sebenarnya tapi Yusuf Hakimi yang kurang bersetuju.
“Kenapa perlu tergesa-gesa nak jumpa doktor, Ika? Usia perkahwinan kita pun belum sampai lima tahun. Abang tak mahu pertemuan demi pertemuan kita dengan doktor nanti buat kita tertekan. Lagipun abang sekarang ni sedang sibuk memajukan syarikat abang. Abang rasa Ika pun sekarang ni sangat sibuk menyiapkan projek buku kanak-kanak dengan syarikat penerbitan tu kan?” kata-kata Yusuf Hakimi yang sarat dengan kebenaran itu membuatkan Zulaika terdiam.
“Ika percaya bahawa anak itu rezeki Allah Taala, tak?”
Zulaika angguk. “Ika percaya, bang.”
“Kita terus berusaha dan berdoa. Abang pasti suatu hari nanti doa kita akan dimakbulkan Tuhan.” Yusuf Hakimi memberi semangat padanya.
Dia meraba perutnya lagi. Mungkin ada hikmah di sebalik kelewatannya dan suami memiliki cahayamata sendiri, desisnya dan hati menjadi tenang.