Cari Blog Ini
Memaparkan catatan dengan label CERITA KEHIDUPAN.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label CERITA KEHIDUPAN.. Papar semua catatan
Selasa, 25 April 2017
BAGAIMANA CERITA KEHIDUPAN MENDAPAT CERITA.
Sewaktu mula-mula menulis, setelah saya menghantar manuskrip cerpen atau novel, asyik kena tolak sahaja, maklumlah tiada ilmu tentang penulisan. Saya main terjah sahaja, selagi berani dan tidak putus asa. Dalam kepala, perlu masuk pertandingan agaknya, baharulah diri dikenali dan ada rumah penerbitan akan ambil saya jadi penulis mereka.
Lewat 90-an, pantang ada pertandingan atau sayembara, semuanya saya akan masuk, biarpun tidak menang, saya tidak pernah kenal putus asa, cuba dan cuba. Setelah novel pertama saya diterbitkan. Pada tahun 2013 saya terbaca keratan iklan tentang sayembara menulis novel kanak-kanak dan remaja anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Kebetulan sedang berehat menulis novel seterusnya. Tidak salah mencuba, kalah menang bukan penting pun, yang penting adalah saya mencuba.
Syarat untuk sayembara itu adalah bebas, tetapi mesti dimasukkan tentang isu semasa dan jalan cerita perlu ada motivasi diri. Berhari-hari saya mencari intipati cerita yang sesuai dengan kehendak pihak penganjur. Hendak buat kisah apa? Kisah siapa? Cerita apa? Bagaimana?
Membaca suratkhabar, mendengar cerita, mendengar berita di media eletronik tentang para pelajar yang tidak suka sekolah, ponteng sekolah, malas belajar, tidak ada kesungguhan untuk belajar membuatkan saya terfikir, kenapa tidak saya melakarkan cerita yang mampu memberi motivasi diri kepada pelajar di luar saya, apa yang perlu mereka lakukan jika berada dalam keadaan tertentu.
Kisah remaja, tentulah berkisah tentang kehidupan mereka. Dunia mereka. Saya bayangkan zaman persekolahan saya. Saya mendapat pendidikan di sekolah bandar, bercampur dengan tiga kaum utama. Saya paparkan tentang sebuah keluarga yang hidup sederhana, punya anak ramai, ibu tidak bekerja, ayah hanya membawa teksi. Apa bentuk motivasi yang perlu saya masukkan? Ya, saya perlu lahirkan seorang pelajar yang punya semangat tinggi dan kental untuk membantu pelajar lain untuk berjaya dan mengejar cita-cita. Saya juga terapkan, sekali gagal, tidak selamanya gagal. Orang yang lemah atau bodoh boleh berjaya jika dia berusaha. Hanya orang MALAS sahaja yang tidak akan berjaya.
Apa isu semasa yang ingin saya masukkan? Keldai dadah yang sedang hangat ketika itu di dada suratkhabar. Saya masukkan cerita itu ke dalam CERITA KEHIDUPAN. Saya juga tidak lupakan kebaikan dan persahabatan. Kasih sayang sesama insan, biarpun berlainan agama dan bangsa. Hidup boleh jadi baik, jika semua positif dan bersangka baik. Itulah yang ada dalam CERITA KEHIDUPAN.
Lama menyepi, tidak dengar khabar berita, saya tidak menaruh harapan yang tinggi, bagi saya ramai lagi penulis yang hebat akan ikut masuk bertanding. Kalah menang, saya terima sahaja. Pada suatu hari, saya menerima panggilan telefon daripada pihak Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sudah lupapun sebenarnya. Alhamdulillah, sama sekali tidak menyangka, pertama kali menulis novel remaja, karya ini terpilih sebagai pemenang. Saya tanya kepada pihak penganjur, dapat nombor berapa? Mereka kata, tunggu sehingga hari penyampaian hadiah. Wah! Satu kejutan!
Saya akur, tunggu dan menunggu sehingga tarikh dan hari penyampaian hadiah. Allahu Akbar! Tidak menyangka sama sekali, karya ini menang tempat KEDUA. Senyuman saya mekar kembang sepanjang majlis, di kiri kanan saya orang-orang hebat dalam dunia penulisan novel remaja dan kanak-kanak. Terasa kerdil sungguh diri saya ketika itu. Tetapi semangat juang saya tidak pernah luntur. Naik ke pentas mengambil hadiah yang lumayan daripada pihak penganjur. Terasa hati berbunga riang. Berkali-kali tanya diri sendiri, AKU MENANG? AKU MENANG?
Hendak tahu bagaimana rasanya memenangi sesuatu pertandingan itu, tanyalah kepada orang yang pernah bertanding. Keterujaannya tidak berhenti hanya satu titik. Kepada ibu ayah di luar sana, bolehlah dapatkan karya ini untuk dijadikan bahan bacaan kepada anak-anak. Semoga bermanfaat buat mereka.
Karya yang sesuai dibaca oleh para remaja di luar sana untuk memotivasi diri.
Selasa, 20 Oktober 2015
CERITA KEHIDUPAN
CERITA KEHIDUPAN - Kisah sebuah keluarga yang tinggal di bandar besar
bersama dengan tujuh orang anaknya yang masih bersekolah, Si Ayah
pemandu teksi, si ibu buat kuih untuk dijual. Duduk pula di rumah
pangsa yang hanya ada dua buah bilik.
Anak sulong tidak berapa pandai dalam pelajaran dan akhirnya bekerja di sebuah restoran sebagai pembantu kedai. Tanam azam untuk menyambung pelajarannya semula.
Anak yang kedua bercita-cita besar untuk menjadi pemimpin negara, katanya nak jadi pemimpin negara kena pimpin keluarga dan rakan-rakan di sekolah dahulu.
Anak sulong tidak berapa pandai dalam pelajaran dan akhirnya bekerja di sebuah restoran sebagai pembantu kedai. Tanam azam untuk menyambung pelajarannya semula.
Anak yang kedua bercita-cita besar untuk menjadi pemimpin negara, katanya nak jadi pemimpin negara kena pimpin keluarga dan rakan-rakan di sekolah dahulu.
Anak sulong nyaris jadi KELDAI DADAH, nasib baik mendapat kawan yang
baik dan menasihatinya buat laporan polis. Akhirnya dalang tersebut
berjaya ditangkap. Bagaimana dia melakukannya? Kenalah baca karya ini.
Anak ketiga agak malas belajar tetapi sayangkan keluarga, akhirnya berubah.
Bagaimana cerita ini berkembang? Hendak tahu? Dapatkan buku di Koperasi Dewan Bahasa Pustaka. Novel remaja pertama tulisan saya yang memenangi Sayembara menulis novel remaja dan kanak-kanak anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah, karya ini juga telah masuk ke Perpustakaan Desa seluruh negara.
Apa yang ingin saya sampaikan dalam karya ini? Bukan ingin mengajar tetapi berharap biar miskin harta jangan miskin semangat. Biar tak berduit jangan jual maruah dan harga diri anak-anak bangsa sendiri.
Anak ketiga agak malas belajar tetapi sayangkan keluarga, akhirnya berubah.
Bagaimana cerita ini berkembang? Hendak tahu? Dapatkan buku di Koperasi Dewan Bahasa Pustaka. Novel remaja pertama tulisan saya yang memenangi Sayembara menulis novel remaja dan kanak-kanak anjuran Koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka. Alhamdulillah, karya ini juga telah masuk ke Perpustakaan Desa seluruh negara.
Apa yang ingin saya sampaikan dalam karya ini? Bukan ingin mengajar tetapi berharap biar miskin harta jangan miskin semangat. Biar tak berduit jangan jual maruah dan harga diri anak-anak bangsa sendiri.
Rabu, 24 September 2014
CERITA KEHIDUPAN - BAB 10
Nadia mendekati
Ainah yang sedang menunggu bas. Dia
menyentuh bahu Ainah. Gadis manis itu menoleh. Nadia melemparkan senyuman. Nadia hanya berbaju t-shirt dan seluar
track-suit. Mungkin keluar berjoging.
“Ainah nak pergi
kerja ke? Bawa kuih-kuih ini?” Tanya Nadia ramah. Ainah memandang dua buah bekas plastik yang dibawannya.
“Iya kak Nadi,
emak letak kuih di tempat Ainah kerja,”
cerita Ainah. Nadia mengangguk.
“Jomlah, akak
hantarkan. Kereta Kak Nadi ada di depan
itu sahaja. Jom,” pelawa Nadia, sambil
memuncungkan bibirnya. Ainah
serba-salah.
“Tidak mengapalah
kak. Menyusahkan Kak Nadi sahaja. Ainah sudah biasa naik bas.” Ainah menolak dengan baik.
“Jangan macam
itu. Kitakan jiran juga. Tiada salahnya Kak Nadi membantu, kebetulan
Kak Nadi hendak cari sarapan.” Nadia
masih mengajak. Ainah mengeluh dan
berfikir sejenak. Akhirnya dia mengalah.
“Kak Nadi cuti
ke? Rasanya sudah lama Kak Nadi tidak
balik, lebih kurang tiga tahun, hari raya pun Kak Nadi tak balik juga.” Ainah menoleh ke arah Nadia yang sedang
memandu. Besar sangatkah gaji Kak Nadia
di luar negara sehingga mampu pakai Mercedez Benz. Dia bukan tahu sangat soal kereta ini. Hanya tahu beberapa jenis sahaja, itu pun
kereta buatan tempatan. Kereta luar
negeri hanya beberapa nama yang dia tahu.
Seperti Toyota, Nissan dan
Mercedez Benz yang biasa dilihat di jalan raya.
“Cuti sebulan,
bulan depan Kak Nadi kembali ke luar negara,” Nadia memandang sekilas. Ainah mengangkat kening dan
mengangguk-anggukkan kepala macam burung belatuk.
“Mak masih buat
kuih? Ayah masih bawa teksi?” Nadia bertanya.
“Iya, kak. Adik-adik masih sekolah. Banyak perlu belanja. Pendapatan ayah tidak menentu. Kak Nadi sendiri tahukan, berapa sangatlah
pendapatan pemandu teksi. Persaingan
semakin banyak. Semua orang sudah mampu
membeli kereta. Kenderaan awam pula
semakin hebat dan selamat serta memuaskan hati pengguna. Orang ramai semakin tidak berani naik teksi sebab ada kes jenayah yang dilakukan oleh pemandu
teksi. Di tambah pula sekarang ini ada
teksi untuk wanita. Orang lelaki tidak suka naik teksi. Kaun wanita pula hanya memilih pemandu teksi wanita untuk
keselamatan diri. Terpaksalah ayah
bekerja lebih kuat, kadang-kadang sampai sehari suntuk. Ainah pun tak tahu macam mana nak bantu
ayah. Emak pun begitu juga. Ainah kesian pada mereka kak. Siang malam bekerja mencari duit untuk
membesarkan kami. Ainah pula tidak
belajar bersungguh-sungguh sehingga SPM pun gagal. Ainah hanya mampu dapat kerja sebagai
pembantu restoran sahaja kak,” cerita
Ainah panjang lebar.
“Sabarlah
Ainah. Nanti sampai waktu Ainah untuk
hidup senang dan pakai kereta mewah
macam Kak Nadi.” Pancing Nadia.
“Kak Nadi kerja
apa di luar negara? Sampai boleh pakai
kereta mahal seperti ini?” Ainah
mengusap tepi tingkap kereta tersebut. Kagum sungguh dia melihat kemewahan
Nadia. Sedangkan anak jirannya itu hanya
bersekolah setakat tingkatan tiga sahaja sebab Nadia sudah tidak berminat untuk
sambung belajar lagi. Nadia selalu
ponteng sekolah, hisap rokok, melawan cikgu-cikgu, akhirnya dia dinasihatkan
berhenti sahajalah.
“Itulah, Ainah
ingat orang tidak berpelajaran seperti Kak Nadi tidak boleh berjaya? Tengok Kak Nadi sekarang. Tentu cikgu-cikgu Kak Nadi kalau tengok kakak
sekarang pasti berputih mata.” Kata
Nadia bangga. Ainah tersenyum.
“Tahniah
kak,” Ainah menoleh memandang wajah
Nadia yang sudah banyak berubah. Semakin cantik, begitu juga tubuh Nadia
semakin seksi.
“Ainah tidak teringin ke jadi macam Kak Nadi? Kalau Ainah mahu, Kak Nadi boleh bantu? Kerjanya pun tidak susah. Hanya hantar barang, seminggu adalah beberapa
kali. Upah yang diterima juga lumayan. Kalau setuju, Kak Nadi boleh ajar Ainah
bagaimana. Bukan susah mana pun. Senang
sahaja.” Terus memujuk. Dahi Ainah berkerut.
“Berapa upahnya
kak? Hendak juga Ainah tahu?” Ainah sedikit teruja. Nadia ketawa.
“Dalam dua
sehingga lima ribu, tergantung berapa jumlah
harga barangan yang dibawa.”
“Mahalnya! Ainah kerja sebulan siang dan malam pun belum
tentu dapat sebanyak itu,” Ainah
tersenyum. Terkejut pun iya.
“Barang berharga
tentulah harga upahnya pun mahal,” kata
Nadia lagi. Ainah mengangguk. Dia
berfikir sejenak.
“Nantilah Ainah
bagi tahu emak dan ayah kalau hendak tukar kerja, nanti mereka risau pula. Lagi pun Ainah kena juga bagi notis
sebulan pada majikan Ainah supaya sempat
dia cari pengganti Ainah nanti,”
“Eh, tak boleh
kata Ainah pergi kerja. Cuma beritahu
Ainah pergi bercuti atau dapat tawaran bercuti di luar negara. Lagi pun seminggu hanya beberapa kali sahaja
keluar menghantar barang.” Nadia tersengih.
Semakin berlapis kedut di dahi Ainah.
“Kenapa pula? Takkan
tak boleh beritahu keluarga?”
“Memang tak boleh,
itu prosuder syarikat tempat Kak Nadi bekerja.”
“Okeylah, bagi
Ainah fikir dululah. Terima kasih kerana
sudi tumpangkan Ainah. Kalau Ainah sudah dapat jawapan, Ainah bagi
tahu Kak Nadi, ya.” Ainah keluar dari
perut kereta. Setelah menunggu seketika
sehingga kereta Nadia menghilang dari pandangan mata barulah dia berjalan
menuju ke restoran tempatnya bekerja.
Sudah pukul 7.00 pagi.
Restorannya juga sudah pun buka.
Baru minggu ini restoran itu dibuka lebih awal dari biasa. Pelanggan tetap ramai biar pukul berapa pun
dibuka. Restoran ini menjadi pilihan
kerana makanannya yang enak, sedap dan persekitarannya juga bersih serta
selesa.
“Yam, aku nak
tanya kau. Kalau ada orang tawarkan kau
kerja dengan upah ribuan ringgit hanya untuk menghangtar barang, kau terima
tak?” Ainah menjunamkan matanya
memandang Mariam yang sedang menjamu selera.
Mariam tersedak. Dia
menepuk-nepuk kepalanya. Ainah menggelengkan kepala.
“Gaji ribuan
ringgit, hantar barang? Barang apa? Kenapa mahal sangat? Kita kerja punyalah teruk hendak cecah seribu
ringgit pun susah,” Mariam
mencebik. Dia tidak percaya ada kerja
yang begitu mudah tetapi dapat upah tinggi.
Dahinya berkerut memandang wajah Ainah.
“Itulah aku tanya
kau? Kau percaya ke?” Ainah meneguk air sirapnya sehingga habis.
“Aku tak
percaya. Kau bukan ada kelulusan tinggi,
kenapa nak bagi kau ribuan ringgit?
Barang itu, barang apa? Takkan
hantar barang kau boleh dapat ribuan ringgit, macam tak logik sahaja
bunyinya. Seolah-olah ada yang tidak
kena. Jangan-jangan jadi keldai dadah
tak?” Teka Mariam.
“Hish! Tidak mungkin? Anak jiran aku itu memanglah nakal waktu
sekolah tetapi tidak mungkin dia menjadi pengedar dadah pula? Tidak baik menuduhkan kalau tiada bukti?”
Ainah menafikan.
“Kenapa kau naif
sangat Ainah. Barang apa yang begitu
tinggi nilainya. Cuba kau fikir, lepas
itu upahnya, lumayan hanya kerja sehari sahaja, itu pun hanya hantar barang?
Kau tak syak ke? Kau pernah dengar
keldai dadah? Berapa ramai dah rakyat
Malaysia yang tertangkap kerana membawa dadah, sedangkan mereka tidak tahu
barang yang dibawa itu adalah dadah.
Mereka ditipu dengan kata melancong, di suruh bawa beg berisi
dadah. Mereka sendiri tidak tahu. Bila ditangkap baru tahu barang yang dibawa
adalah dadah. Hendak mengatakan barang
itu bukan milik mereka tidak ada bukti.
Orang yang menyerahkan barang tersebut pula terus menghilangkan diri. Akhirnya duduk dalam penjara, kau nak ke?” Mariam mengerling. Ainah mengherotkan bibirnya. Mungkin ada betul juga kata-kata Mariam
tadi. Mungkin betul Nadia adalah
pengedar dadah antarabangsa. Siapa tahu?
“Kau rasa, apa
harus aku buat? Kalau aku tolak nampak
sangat yang aku tahu kegiatan dia? Kalau
aku terima, nyawa aku jadi galang gantinya,”
Ainah berfikir sejenak.
“Apa kata kau
bantu polis untuk tangkap Nadia
ini,” cadang Mariam.
“Gila kau! Dia tu anak jiran aku, kesian Mak Timah nanti
bila anak kesayangannya di tangkap,”
Ainah tidak setuju. Mariam
menepuk meja.
“Kasihan? Orang
macam itu tidak perlu belas kasihan!
Berapa ramai pemuda pemudi kita mereka rosakkan? Mereka hidup mewah, berapa ramai ibu dan ayah
menangis kerana anak mereka menjadi penagih dadah? Jika kau berpeluang memerangkap seorang, kau
membantu dan menyelamatkan ramai pemuda-pemudi kita. Kau tak ingin ke jadi wira pada negara? Wira bukan hanya memegang senjata atau pergi berperang. Menyelamatkan anak bangsa dan rakyat ini dari
penagihan najis dadah boleh dikatakan wira juga. Kalau aku jadi kau, aku terus
buat laporan polis. Bekerjasama dengan
polis, biar tertangkap pengkhianat bangsa, agama dan negara itu. Aku sangat pasti, kawan kau itu pengedar
dadah antarabangsa. Hairan ya, bagaimana
dia boleh terlepas?’ panjang lebar
kata-kata Mariam.
“Sesekali kau
berhujah bernas juga ya,” usik Ainah.
“Kau ingat, kau
sahaja yang pandai bercakap, aku juga
boleh apa?” Mariam menyengih.
“Ketawa, ketawa
juga. Kau kena pergi buat laporan polis,
aku akan teman kau. Kalau boleh hari
ini. Biar dia ditangkap. Geram pula aku mendengarnya. Aku benci pengedar dadah. Sakit hati aku mendengar orang yang
memperolehi kemewahan atas kejatuhan dan kemusnahan orang lain. Tiada perasaan dan perikemanusiaan. Orang seperti ini tidak sayangkan negara,
agama dan bangsa sendiri. Mementingkan
diri sendiri sahaja,” berapi kata-kata Mariam.
“Takutlah, macam
mana jika tekaan kita salah? Itu sudah
menfitnah namanya,” Ainah bimbang dia
tersilap anggap.
“Pergi dahulu,
kita tengok apa pandangan pihak polis.
Kalau mereka memerlukan kau menyamar membantu menangkap kawan kau
ini, buat sahajalah.”
“Gila kau? Tidak pasal-pasal keluarganya dan jiran tetangga
aku boikot keluarga aku nanti,” Ainah
serba salah. Mariam menepuk lengan
Ainah.
“Kau kena ingat,
siapa lebih penting, negara atau hanya satu-satunya keluarga kau?”
“Hish! Tak berani aku.” Ainah menolak. Mariam mencebik.
“Kita bekerjasama
dengan polis, mereka tentu tahu nak buat apa,”
cadang Mariam. Terpancar
keyakinan di wajahnya. Ainah cuak. Bagaimana jika andaiannya itu salah? Tentu dia telah menganiaya orang yang tidak
berdosa. Bagaimana pula jika perkara itu
benar? Dia telah membunuh beribu-ribu
orang atau mungkin jutaan orang, siapa yang tahu.
Mariam pula puas
memujuk Ainah agar membuat aduan.
Perkara itu tidak harus dibiarkan.
Semakin lama dibiarkan semakin rosak anak Malaysia secara khasnya. Begitu juga semakin rosak anak dunia secara
amnya. Mariam tidak berpuas hati. Seharian dia merenggek dan memujuk agar
Ainah bekerja sama dengan polis. Dia
benci pengedar dan penagih dadah. Mereka
melakukan kerja yang tiada akal, merosakkan orang lain demi keuntungan diri sendiri. Memang selayaknya pengedar dihukum
gantung.
“Hish! Kau tak jemu ke seharian kau merenggek dengan
aku, rimas tahu,” Ainah mengeluh dan
berlalu mengangkat pinggan-pinggan yang berada di atas meja. Mariam turut membantu sambil membebel. Beberapa rakan sekerja yang mendengar hanya
menggelengkan kepala.
“Selagi kau tidak
setuju, selagi itu aku akan paksa,” Mariam tidak berputus asa.
“Okeylah, waktu
rehat petang nanti kita pergi, minta khidmat nasihat pihak polis. Aku cuma bimbang jika tekaan aku salah sahaja. Aku tidak mahu menjadi penabur fitnah,” Ainah mengeluh. Mariam terdiam.
“Nanti kau cuba
risik lagi, dapatkan lebih banyak maklumat,
orang macam ini harus kita hapuskan,”
kata Mariam penuh semangat. Ainah
kembali tersenyum.
“Iyalah,
Yam.” Ainah menggelengkan kepala. Dia kembali ke ruang depan kedai, menyusun
semula kerusi, memeriksa bawah meja jika ada sampah, membersihkan meja yang
kotor. Majikannya seorang yang cerewet,
restorannya harus bersih dan tersusun kemas.
Begitu juga bilik air, dua jam sekali wajib dibersihkan.
Ainah dan Mariam
terdiam mendengar kata-kata dari Inspektor
Nazri. Mereka saling berpandangan
apabila sahaja gambar Nadia ditunjukkan kepada mereka. Rupanya gambar Nadia sudah dihantar merata
balai polis sejak sebulan yang lalu.
Dahi Ainah berkerut. Baru dua
minggu anak jirannya itu pulang ke Malaysia.
Dia dicari oleh pihak Interpol juga.
Terkedu Ainah seperti tidak percaya.
Selama ini anak jirannya itu bergaya dan kaya dengan hasil jualan dadah.
“Saya mahu awak
bekerja sama dengan pihak polis, terima tawaran dia. Tahulah kami untuk tindakan selanjutnya. Selalunya orang yang dijadikan mangsa akan
dibiarkan pergi sendirian menghantar barang.
Sedangkan cadangan awal Cik Nadia akan ikut bersama, tiba-tiba dia akan
ubah fikiran ada sahaja alasannya. Jika
tertangkap, hanya orang yang membawa barang dan dia akan terlepas begitu
sahaja. Jika barang itu lepas, dia juga
yang akan dapat keuntungannya. Nampaknya
awak orang baru yang akan dipergunakannya pula.
Sudah ramai yang menjadi keldai dadah ini tertangkap dan
menjadi penghuni penjara luar negara.
Sudah ada yang dihukum mati.
Sedangkan ada yang tidak tahu mereka membawa dadah bersama. Bagus, Cik Ainah, awak datang berjumpa
polis. Jangan mudah percaya dengan
tawaran lumayan, percutian di luar negara. Kena tengok siapa yang tawarkan,
hati-hatilah jika tidak nyawa jadi
galang gantinya.” Nasihat Inspektor Nazri.
“Kalau dia syak
bagaimana?” tanya Ainah bimbang.
“Awak jangan
menggelabah, tenang. Fikirkan apa yang
awak lakukan ini demi anak bangsa negara kita, jangan biarkan orang seperti ini terlepas,” Inspektor Nazri memberi semangat. Belum apa-apa, tangan Ainah sudah seram
sejuk. Mampukah dia melakukan tugas
tersebut? Memerangkap penjenayah
antarabangsa merangkap anak jirannya
sendiri. Takut pun ada. Setelah diberi
penerangan panjang lebar apa yang harus dia lakukan barulah Ainah yakin. Demi negara dan anak bangsanya dia akan
lakukan. Biarpun nyawa jadi galang
gantinya. Sekurang-kurangnya dia ada juga
menabur bakti pada negara. Walaupun tidak seberapa. Bukankah sebagai rakyat negara ini seharusnya
dia mencurahkan bakti pada negara ini.
Jangan hanya pandai meminta, tetapi harus juga pandai memberi, kata
ustaznya dahulu, waktu dia bersekolah.
“Aku bangga dengan
kau Ainah.” Mariam menyengih. Ainah tersenyum.
“Belum tentu
berjaya lagi, jangan bangga awal,” Ainah
menunduk. Bimbang pun ada, takut pun ada
juga. Balik sahaja di rumah dia akan ke
rumah Nadia untuk memberi keputusannya.
Harap Nadia tidak mensyaki apa-apa.
Kata Inspektor Nazri dia harus berlagak biasa wajah jangan tunjukkan
rasa takut dan bimbang seperti merancang
sesuatu. Orang seperti Nadia pintar
meneka jika ada sesuatu yang tidak ken, lagi pun mereka bukan bergerak
sendirian. Setiap tindak tanduk ahli
kumpulan tersebut diperhatikan. Ainah
juga harus berhati-hati. Ainah
mengeluh. Mampukah dia berlagak biasa
sedangkan dia akan berhadapan dengan penjenayah antarabangsa. Dia harus berani. Demi negara, detik hati kecilnya.
“Jangan bimbang,
aku yakin kau boleh, Ainah,” Mariam
memeluk bahu Ainah. Mereka berjalan
pulang kembali ke restoran tempat mereka bekerja. Dalam hati, Ainah asyik berkata-kata ‘Aku
boleh’.
Dengan penuh yakin
Ainah tidak terus pulang ke rumah. Dia menelefon Nadia dan menunggu di ruang
bawah flat mereka. Dalam berani itu
tetap ada rasa takutnya juga. Dia harus
yakin pada dirinya sendiri.
“Hah, macam
mana? Sudah setuju ke? Sudah beritahu
orang tua Ainah. Jangan kata Ainah
hendak hantar barang atau ada urusan kerja.
Bagi tahu yang Ainah dapat tiket percuma ke luar negara.” Nadia memandang wajah anak jirannya tidak
berkelip.
“Ayah dan emak
saya tak kisah, lagi pun bila lagi dapat berjalan melihat tempat orang. Selain melihat tempat orang boleh pula dapat
upah yang lumayan. Saya nak tolong orang
tua saya, kak Nadi,” kata Ainah penuh yakin.
Wajahnya masih seperti biasa, agaknya.
Dia menelan air liur sendiri. Dia
telah berbohong, kedua orang tuanya belum tahu perancangannya itu.
“Kakak faham,
kitakan sudah lama berjiran. Keadaan
keluarga kita sama sahaja Ainah, itu sebab kakak nak tolong Ainah. Kalau Ainah
sudah setuju, nanti kakak akan uruskan semua perkara, Ainah tunggu bawa badan
sahaja.” Nadia tersenyum puas. Dapat ‘orang’ baru harap semuanya berjalan
lancar dan selamat. Lagi pun muka Ainah
seperti orang baik-baik tentu pihak berkuasa tidak akan syak apa-apa. Harap kali ini barang ratusan ribu ringgit
itu boleh dibawa keluar. Tidak sia-sia
dia balik kali ini. Dapat anak didik
baru siapa yang tidak suka. Tentu
ketuanya juga suka. Semoga semuanya berjalan lancar seperti yang
dirancang. Nadia tersenyum puas.
“Kalau macam itu,
Ainah minta diri dulu. Letih sangat ni Kak Nadi, baru balik kerja.” Ainah melangkah bangun. Nadia mengangguk dan tersenyum. Mereka beriringan menuju ke rumah
masing-masing. Ainah menarik nafas lega
kerana Nadia yakin dengan ceritanya. Ya,
dia memang ingin menolong keluarganya tetapi bukan dengan hasil duit dari
kemusnahan orang lain. Biarlah dia jadi
kuli di restoran Pak Haji Idris sehingga
akhir hayatnya sekali pun asalkan halal.
Biar penat tetapi hasil titik peluh sendiri.
“Bila semua sudah
siap, nanti akak bagi tahu Ainah kita pergi buat pasport antarabangsa,
ya,” Nadia tersenyum riang. Ainah menyengih. Buat pasport antarabangsa? Ratusan ringgit juga terpaksa di keluarkan.
“Baik kak,” Ainah melangkah masuk ke dalam rumahnya yang
riuh rendah dengan suara adik-adiknya yang masih belum tidur. Esok tidak sekolah jadi mereka mengambil peluang untuk bermain
dan menonton sampai lewat malam. Nadia
terus pulang ke rumahnya. Ainah menarik nafas
lega urusannya dengan Nadia sudah selesai satu langkah.
Tunggu langkah seterusnya.
Langgan:
Catatan (Atom)


