KERANA AKU ISTERI BIDAAN
TULIP UNGU
INSTENS
RM27.00
665 muka surat
Saya
tengok karya ini diwall penerbitnya.
Hanya memandang, tengok tajuk macam tidak berminat untuk
memilikinya. Kenapalah isteri bidaan,
fikir dalam hati saya. Baru-baru ini ke
Terengganu, tidak sah kalau tak singgah di kedai peminat novel Melayu tetapi
berbangsa cina. Kebetulan beliau juga
menjual novel, beliau pun memperkenalkan saya buku ini, katanya menarik,
semalam sahaja dia baca sehingga habis. Wah! Saya yakin dengan citarasa pembaca ini, maka
dengan senang hati saya sambar sajalah. Kebetulan
tiada lagi buku yang hendak dibaca ketika sedang bercuti itu. Selalunya bawa dua buah, tetapi entah kenapa
kali ini berjalan saya bawa sebuah sahaja.
Maka buku cerita ini menjadi santapan mata saya. Dua hari masa saya ambil untuk
menghabiskannya.
Tahniah kepada penulis,
satu tema yang berat tetapi digarap dengan cara yang santai dan mudah difahami
jalan ceritanya. Ada nilai pengajaran
yang bagus di dalamnya. Tahniah juga kepada penerbit Intens yag berani
mengetengahkan jalan cerita seperti ini.
Cerita
bermula dengan prolog seorang gadis GRO yang
berpakaian seksi menemani dua orang lelaki di sebuah kelab malam. Seorang lelaki yang memang menjadi temannya
tetapi kehadiran seorang lelaki lagi membuatkan gadis itu hampir pengsan
melihatnya. Lelaki itu amat dikenalinya.
Siapakah lelaki itu? Bagaimana
gadis GRO itu mengenali lelaki itu?
Raina seorang gadis yang
agak liar mempunyai seorang kekasih bernama Aznor, dia benar-benar cinta kepada
lelaki itu dan berangan untuk berkahwin dengan Aznor, namun dibantah oleh kedua
orang tuanya. Aznor tidak bekerja
dan menjadi kutu rayau, itu sebab
keluarga Raina tidak senang anak gadis mereka berkawan dengan lelaki itu.
Farel, seorang banduan
yang baharu sahaja dibebaskan dari penjara.
Dia mengusahakan kebun pisang dan menjual hasil pisangnya kepada isteri
Imam Long yang mengusakan gerai goreng pisang.
Farel jatuh hati dengan anak Imam Long bernama Solleha yang baik
akhlaknya. Berangan-angan ingin
memperisterikan gadis itu. Farel tidak disukai oleh penduduk kampung kerana dia
bekas perompak dan ayahnya pula seorang perogol. Dia sering dihina dan dipandang benci oleh
penduduk kampung, kecuali keluarga Imam Long yang yakin lelaki itu boleh
berubah.
Borhan
yang serik dan pening memikirkan perangai lepas bebas Raina bercadang untuk
mengahwinkan anaknya dengan Haji Meon,
seorang duda dan usia hampir sebaya dengannya.
Raina memberontak, dia tidak setuju dikahwinkan dengan lelaki yang sudah
tua itu. Raina mencari akal sehingga
akhirnya dia dikahwinkan dengan Farel.
Kenapa Farel? Bukan Aznor? Hah! Banyak konflik berlaku bermulanya perkahwinan
Farel dan Raina. Bagaimana Raina boleh
menjadi seorang GRO setelah berkahwin dengan Farel? Adakah Farel sanggup menjadikan isterinya
seorang GRO? Bagaimana Raina boleh
meyakinkan keluarganya agar mengahwinkan dia dengan Farel sedangkan selama ini
dia tidak berapa kenal pun lelaki itu?
Kalau ulas panjang lebar, memang tak habis. Kenalah dapatkan buku ini untuk mengetahui
cerita selanjutnya. Memang ada adegan
yang sweet-sweet sedikit, tetapi pengajarannya
juga ada. Antara pengajaran yang
boleh diambil iktibar kepada anak-anak gadis yang membaca karya ini adalah.
1) Jangan percaya kepada cinta seorang lelaki yang manis hanya di bibir sahaja. Kalau sudah meminta kepada yang tidak
sepatutnya, haruslah angkat kaki dan carilah lelaki yang jauh lebih baik
daripada yang ada.
2) Ikut nasihat orang tua.
3) Jangan ikut hati, kelak mati, itulah yang berlaku kepada Raina sehingga dia
menyesal seumur hidup atas tindakan yang tidak bermoralnya itu.
4)Jangan tabut fitnah akibatnya diri sendiri yang tanggung, jika fitnah yang
dibuat menjerat diri sendiri.
5)Berterus-terang dalam apa sahaja keadaan, bersikap mendiamkan diri mampu
membakar diri jika perkara itu tidak baik untuk diri sendiri dan orang
sekeliling.
Kepada peminat novel Melayu, karya ini sememangnya tidak menghampakan. Jalan
cerita yang menarik, dilakarkan dengan baik, plotnya yang lancar dan disulami
dengan imbas semula yang tidak mencacatkan jalan cerita. Tahniah kepada Tulip Ungu dan semoga
menghasilkan karya yang bermutu dan diminati pembaca.