Cari Blog Ini
Khamis, 29 November 2018
GLOBAL IKHWAN SDN. BHD
GLOBAL IKHWAN SDN. BHD.
Syarikat apakah ini?
Kelahiran ia dari kejatuhan Al- Arqam yang diharamkan pada satu ketika dahulu. Ketika itu Al-Arqam sudah pun mula ada perniagaan sendiri, malah sampai ke peringkat antarabangsa. Pengharaman kumpulan tersebut tidak pernah mematahkan semangat sebahagian daripada ahli-ahlinya untuk tetap berjuang meneruskan hidup.
Bagaimana mereka melakukannya? Bagaimana masih kekal bergaya biarpun dilanda pelbagai dugaan dan cubaan. Biar apapun orang kata, mereka tetap menjadi diri mereka sendiri. Membina empayar perniagaan, bukan sahaja di Malaysia, tetapi sehingga ke luar negara. Ya, mereka mampu bertahan, biarpun ekonomi negara dilanda badai, kerana struktur ekonomi mereka sudah stabil. 45 tahun mereka berjuang memperluaskan perniagaan mereka, sedangkan kita tak pernah ambil peduli pun akan kehadiran mereka, kecuali ketika kumpulan itu diharamkan.
Hari ini, GISB Holdings boleh dibanggakan sebagai satu syarikat milik orang Islam. Siapa kata orang Islam tidak boleh berjaya? Lihatlah! GISB atau dikenali sebagai Global Ikhwan Sdn Bhd adalah buktinya. Mempunyai pelbagai jenis perniagaan, daripada Pendidikan, hiburan, pasaraya, produk pembuatan makanan, klinik, butik, hotel/homestay, semuanya ada. Tiada satu perniagaan pun yang tidak mereka terokai. Orang yang berjaya adalah mereka yang tidak mengenepikan agama dalam mencari dunia.
Apa yang saya lihat dan baca, hubungan antara mereka, sifat jujur, ikhlas dan bertanggungjawab telah membawa mereka ke gerbang kejayaan. Sikap toleransi, saling berganding bahu, tiada khianat, tiada dengki dan iri hati telah membawa kejayaan yang besar buat mereka.
Berpusat di Bandar Country Homes Rawang, GISB semakin berkembang. Mempunyai barisan pengurusan yang mantap dan berwibawa, tidak mustahillah syarikat ini tetap terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa.
Tiada yang mustahil, selagi rajin dan bersungguh-sungguh ingin berjaya.
Orang Islam dan Melayu, BOLEH!
http://corporate.gisbholdings.com/
Khamis, 15 November 2018
ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ
Bagaikan berada di taman-taman syurga, Setiap hari berkumandang suara
mereka. Bermula seawal 4.30 pagi sehingga jam 7.00 bergema suara
selawat, zikir, tahmid dan takbir. Bergema suara mereka memuji dan
membaca kalimah-kalimah suci, 5 kali sehari.
Suasana yang
mendamaikan hati Halwa telinga hanya mendengar suara mereka berzikir
dan membaca al-Quran. Terharu melihat mereka mampu membaca doa-doa
tahlil dan doa selamat. Mampu berpuasa Isnin dan Khamis tanpa culas.
Bertahun-tahun. Hebat mereka! Kuat semangat mereka. Biarpun payah dan tertekan kerana tidak boleh main-main ketika belajar.
Bukan mudah mendidik anak-anak yatim ini menjadi seorang anak yang mampu membaca al-Quran dan solat dengan tertib dan baik.
Menyaksikan mereka membesar di hadapan mata, setiap hari setiap masa.
Biarpun anak orang, bagaikan anak sendiri. Bangga melihat pencapaian
mereka dalam hidup seharian.
Tidak bergelumang dengan gajet, tv
atau berpelesaran di luar sana tidak mengenal siang atau malam. Masa
terisi dengan sebaiknya. Mereka lalui dengan tabah dan sabar. Hanya
yang kuat semangat sahaja akan berjaya mengharungi dan mempelajari adab
dan akhlak dengan jayanya.
Nikmat apakah yang ingin dipersoalkan lagi?#maahadazzeinalmakkisgbuluh
#sekolahpondok
#hafalalquran
Isnin, 12 November 2018
NERACA NISA' - SAMBUNGAN BAB 1
Nisa’ mengetap bibir menahan
gejolak rasa amarah yang sedang merusuh dan tumbuh laju di hatinya. Hembusan
taufan kemarahan yang tidak mampu dibendung melanggar setiap laluan urat saraf
menuju ke sanubarinya. Mahu sahaja diamuk keluarga pelajar perempuan itu.
Maruah dan harga dirinya sekeluarga
sedang diracik-racik halus, dibuang dalam kumbahan, dihina dan dikeji begitu
buruk sekali. Sekurang-kurangnya, sisa-sisa kumbahan masih boleh diguna pakai, diangkat dan diproses semula,
diasingkan, diolah semula, diproses dan dijadikan baja, sedangkan nama baik
suami dan keluarganya? Akan dipaksa berkubang terus di situ, jika mengikut kehendak
hati ahli keluarga pelajar perempuan itu, apakah yang mereka mahu sebenarnya?
Berbuai rasa sebak di dada, menghantui
setiap nafasnya yang dihembus turun naik. Bagaimanakah mungkin dia melupakan
kejadian tersebut? Terkenangkannya kemarahan dan kepedihan oleh rasa tersinggung pada wajah suaminya ketika itu.
Ingatkan selesai setelah pelajar itu dihalau keluar dari rumah kebajikan
tersebut kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya, benar-benar memeranjat dan melukakan.
Cuaca tenang dan terang di luar
tidak menggambarkan suasana dalam hatinya ketika itu. Hembusan angin petang
menampar pipinya. Dia terus duduk resah gelisah di hadapan pondok wakaf yang
terletak di laman Rumah Kebajikan Permai.
Terbayang-bayang kembali bagaimana pada hari itu, para pelajar Rumah
Kebajikan Permai kembali ke asrama setelah bercuti hari raya puasa selama 10 hari.
Pada seawal 9.00 pagi, para pelajar sudah kelihatan berbondong tiba di rumah kebajikan, dengan berkemeja putih, berseluar merah
hati bagi pelajar lelaki dan berbaju kurung merah hati serta bertudung hitam
bagi pelajar perempuan. Wajah-wajah mereka yang ceria disambut dengan gembira
oleh Harris yang berjubah berwarna krim dan berkopiah putih. Nisa’ pula berjubah hitam dan
bertudung senada. Terpancar kegembiraan pada wajah pemilik Rumah Kebajikan Permai itu, menyambut kepulangan anak-anak
didiknya dengan hati yang terbuka.
Para waris yang menghantar sebagai
pengiring tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana telah mendidik
anak-anak mereka menjadi insan yang berakhlak dan beradab. Mereka mendekati dan
menghulurkan tangan bersalaman dengan Nisa’.
Kepada Harris, ucapan terima kasih tidak henti-henti diucapkan.
Kebanyakan pelajar hanya ada ibu, ayah mereka sudah meninggal dunia.
“Terima kasihlah Umi Nisa’, Abah Harris ... kerana
mendidik anak saya. Hamdan sudah banyak
berubah. Rajin solat, cakap pun lembut saja dengan saya. Rajin di rumah. Tidak lagi marah-marah macam dahulu,” ujar ibu Hamdan, ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak. Sejak kematian
suaminya beberapa tahun yang lalu, dialah yang menguruskan segala-galanya. Hamdan
anak sulung daripada tujuh
beradik.
“Saya hanya buat apa yang patut,
puan. Kita
sama-sama berdoa agar anak-anak yang ada di sini berjaya di dunia dan akhirat,”
jawab Harris sambil meletakkan tangan pada dada dan menunduk perlahan.
“Yalah puan, kita sama-samalah
berdoa agar mereka berjaya. Inilah yang mampu kita lakukan agar anak-anak ini
menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa. Kami hanya pendorong, semuanya
kehendak Allah SWT jua,”
sampuk Nisa’ pula. Dia
memeluk erat ibu Hamdan.
Bagi Nisa’, wanita itu cukup kuat dan
tabah. Kalaulah dia mengalami nasib seperti itu, belum pasti dia mampu
melakukannya. Setiap orang diuji mengikut kemampuan diri masing-masing.
“Ini ada sedikit kerepek pisang yang
saya buat sendiri, hanya inilah yang mampu saya beri kepada anak-anak dan keluarga umi,”
kata seorang lagi ibu yang turut menghantar kembali anaknya setelah lama
bercuti.
“Terima kasih, ini pun sudah cukup,” ucap Nisa’ sambil tangannya
menyambut bekas plastik yang berisi kerepek pisang itu.
Seorang demi seorang waris datang
mengucapkan terima kasih. Nisa’ benar-benar terharu dengan ucapan dan kata-kata yang menyentuh hatinya
itu. Bukan meminta balasan, sekadar ucapan terima kasih sudah cukup buatnya dan
suami.
Pelbagai juadah turut dibawa
bersama, kerepek, biskut, dan roti mengikut kemampuan mereka sebagai sedekah
dan sumbangan. Makanan itu akan dihidangkan nanti ketika waktu makan anak-anak.
Mereka akan makan makanan yang
terhidang di dalam talam, kebiasaannya setalam empat orang. Sebelum
makan, para pelajar akan membasuh tangan, kemudian duduk menghadap rezeki yang terhidang.
Para pelajar diajar membaca doa
makan seusai membasuh tangan, kemudian mencicip sedikit garam pada hujung jari manis dan
menjamah sepotong buah. Cara duduk juga mengikut sunah, kaki kanan didirikan,
dirapatkan ke sisi perut dan punggung diletakkan di atas kaki kiri. Sewaktu
makan, tiada siapa pun dibenarkan berbual atau bercakap-cakap, hanya
menggunakan isyarat tangan atau mata. Makanan dibahagikan sama rata dan jika berlebihan, ketua talam akan membahagikan dengan
kawan-kawan yang lain. Sama rata, sama rasa. Tiada yang terlebih dan tidak pula
yang terkurang.
Senyuman terukir pada wajahnya. Nisa’ memerhatikan Seha,
pelajar perempuan yang berusia 12 tahun, yang terakhir tiba. Wajah pelajar itu riang, berbaju
kurung merah hati, pakaian seragam rumah kebajikan dan bertudung labuh berwarna
hitam. Ceria wajahnya setelah lama bercuti. Nisa’ menyambut dan memeluknya
erat, seorang pelajar yang agak lemah dalam pelajaran, namun rajin menolongnya
di dapur. Bukankah budak perempuan itu dan semua pelajar, mereka juga sudah
seperti anak-anaknya?
Biarpun bukan dia yang melahirkan
mereka, tetapi
dia yang menjadi penjaga mereka, kini. Pelajar itu mendekati suaminya pula. Tangan dihulur untuk
bersalaman. Kehadirannya ditemani oleh
opah dan ibu saudaranya. Mereka asyik bercerita tentang sambutan hari raya
tahun ini. Nisa’ turut
mendengarnya, cerita mereka membuatkan dia teringatkan pada sambutan hari raya
dia dengan keluarga sendiri di kampung.
“Lepas ini, kami hendak ke rumah emak Seha, ada jamuan
raya,” ujar emak saudara Seha, bertubuh
sederhana besar orangnya, berbaju kurung, tudung separas pinggang.
“Oh, bagusnya!” Nisa’ hanya melakarkan
senyuman. Dia terus mendengar cerita mereka dan memberi segenap perhatian kepada cerita yang menyinggah
telinga. Seha sudah lama kehilangan ayah, sejak dia dilahirkan. Emaknya baru sahaja berkahwin semula
setelah sekian lama menjadi balu.
“Nak ikut!” Seha yang sejak tadi
menelinga sahaja, tiba-tiba bersuara.
“Mana boleh, baru saja sampai di sini,” tingkah
opahnya. Orangnya bertubuh gempal dan rendah. Berbaju kurung berwarna krim,
sesuai dengan kulitnya yang sawo matang. Bertudung labuh.
Wajah
Seha sedari tadi riang lantas bertukar muram.
“Yalah, baru balik, takkan nak
ponteng pula?” sampuk Nisa’, membuntang matanya memandang Seha yang muram.
Seha mula membebel yang bukan-bukan. Mula keluar pelbagai cerita tentang
ustazahnya pula. “Aduhai, anak!” detik hati kecil Nisa’. Pelajar itu sudah mula merengek dan menangis, merayu dan meminta kepada opahnya. Nisa’ hanya memerhatikan
sahaja. Dalam hati, hanya Allah SWT sahaja
yang tahu.
“Abah cabul Seha!” kata Seha, keras.
“Apa?” Nisa’ hampir menjerit. Dia
bingkas bangun dan mendekati Seha yang duduk berhampiran dengan opahnya. Tanpa
sedar, Nisa’
menarik tangan Seha dengan agak kasar.
“Apa awak cakapkan ini, Seha?”
Seha menjegilkan mata memandangnya.
Berdebar hati Nisa’. Opah dan emak saudara Seha terkedu dan tidak terkata apa-apa memandang
wajah Nisa’ penuh
cuak.
Nisa’ pula memandang wajah emak
saudara Seha dan opahnya silih berganti.
Dia menjadi serba salah, tiba-tiba dia terpandangkan wajah suaminya. Adakah
suaminya sanggup melakukannya? Seperti tebuan terbang masuk ke telinganya, seperti itulah dia rasakan ketika mendengar kata-kata Seha tadi. Ya,
Allah! Kejamnya ayat yang keluar dari mulut pelajar kecil itu. Suaminya sudah
lama kembali berehat di rumah setelah menyambut para pelajar rumah kebajikan
itu.
“Hamdan! Hamdan! Panggil abah,
cepat!” jerit Nisa’ kepada
salah seorang pelajar yang sedang bermain di laman rumah kebajikan itu.
Hamdan berlari ke dalam rumah. Seha kelihatan
menggelabah, pucat lesi wajahnya. Opah Seha sudah mula menangis dan
berkali-kali memohon maaf. Emak saudaranya mula memarahi Seha. Terasa hatinya
ditikam berkali-kali, membuak-buak darah merah mengalir keluar, lukanya sangat dalam, hampir menghancurleburkan perasannya ketika itu. Beberapa
minit kemudian,
suaminya keluar dari rumah. Nisa’ menarik tangan suaminya. Nisa’ dapat merasakan wajahnya sudah memucat lesi seperti orang sakit yang tidak akan sembuh lagi.
“Cuba Seha cakap seperti tadi!” arah
Nisa’. Masih bergetar
jantungnya, degupannya masih kuat.
“Abah Harris, maafkan Seha, dia
tidak tahu apa yang dia cakap! Maafkan kami juga, Abah Harris,” kata opah
dengan tangisan yang masih berbaki. Wajahnya muram dibasahi air mata.
“Ya, Abah Harris. Maafkan Seha. Seha, minta maaf dengan abah!” kata emak saudara
Seha pula.
“Abah cabul Seha!” tuduh Seha sambil
menangis.
“Apa?” Harris terkejut seperti
terkena serangan jantung. Hampir dia jatuh terduduk. Dia yang berusia awal
50-an itu, bagaikan dipukul dengan penukul besi, menghentam belakang tubuhnya, terhuyung-hayang dia berdiri,
cepat-cepat dia memegang kerusi berhampiran.
“Abang dengar, kan?” bentak Nisa’ memandang wajah
suaminya. Dia masih cuba menenangkan
diri. Masih cuba tidak menerkam dan memarahi suaminya sendiri, tergugat sedikit
kepercayaannya. Cuba meyakinkan dirinya
bahawa suaminya tidak melakukan perkara sekeji itu.
Opah dan emak saudara Seha tidak
berbuat apa-apa. Hanya menangis dan cuba menenangkan Seha. Sesekali terdengar
Seha dimarahi oleh emak saudaranya.
Nasib baik tiada sesiapa di situ ketika itu. Para waris yang menghantar anak-anak mereka sudah lama
meninggalkan Rumah Kebajikan itu. Pelajar-pelajar sibuk di bilik asrama masing-masing dan sebahagiannya pula bermain di laman rumah
kebajikan tersebut.
“Awak cakap apa ini, Seha? Bila saya
lakukannya?” marah Harris tanpa mempedulikan opah dan emak saudara Seha.
“Abang!” pintas Nisa’, memandang wajah Harris
tanpa mengerdipkan kelopak matanya. Terasa dikhianati oleh suaminya sendiri. Semakin
hebat degupan jantungnya memukul perasaan hampa yang sedang menggila dalam
diri. Seperti halilintar memuntahkan pancarannya tepat ke hati.
“Gila! Abang takkan melakukan kerja
laknat itu, Nisa’!” luah Harris, tegas.
Matanya tajam memandang Seha. Pelajar itu terus melarikan matanya daripada memandang Harris.
“Opah dengar, kan? Seha!” Nisa’ menahan amarahnya.
Pelajar perempuan itu menunduk.
“Saya tidak suka pelajar saya
sengaja mereka cerita bohong begitu! Cerita awak bukan sahaja merosakkan nama
baik saya, tetapi
juga merosakkan nama baik Rumah Kebajikan Permai, para pelajar di sini juga. Eloklah
awak keluar sahaja dari sini, Seha. Saya tidak mahu tengok awak berada di sini
lagi!” halau Harris, wajahnya mencuka.
“Abang!” Nisa’ cuba menahan tindakan
suaminya. Dia tidak mahu menjadi manusia yang kejam hanya mendengar cerita
bohong pelajar tersebut yang masih kanak-kanak itu. Tetapi, dia bukan berada di tempat suaminya, dia
tidak dapat menggambarkan apa yang suaminya rasai setelah difitnah sedemikian
rupa.
“Keputusan adalah muktamad!” tegas Harris
sebelum berjalan laju kembali ke rumah yang menjadi tempat tinggal mereka
sekeluarga, rumah yang berada di dalam kawasan rumah kebajikan itu.
“Ya Allah! Umi Nisa’, mana saya nak hantar
cucu saya belajar lagi? Saya tak mampu nak sara dia, itu sebab saya hantar ke
mari, janganlah buang dia,” luah opah Seha dengan linangan air mata.
“Yalah, Umi Nisa’, jangan halau anak
saudara saya,” rayu emak saudara Seha.
Nisa’ mengetap bibir, marah dan
simpati silih berganti. Berkocak jiwanya mendengar rayuan kedua-dua insan yang menjadi
penjaga Seha itu. Sejurus itu, kelihatan Harris bergegas datang kembali ke
pondok wakaf semula dengan sekeping sampul surat.
“Mak cik, bawalah cucu mak cik balik! Saya tak mahu pelajar seperti dia
berada di rumah kebajikan saya. Ini buku bank dan duit simpanannya, terima
kasih,” kata Harris. Dia menyerahkan sampul surat yang berisi buku bank dan
duit milik Seha.
“Abah Harris, sabarlah. Seha hanya reka cerita saja. Dia memang macam itu, di rumah
pun dia buat begitu juga. Habis abang-abang, pak cik-pak cik dan datuknya
dituduh mencabul dia. Abah Harris, maafkanlah dia. Kalau dia dikeluarkan dari
sini, dia hendak belajar di mana?” kata opah dengan deraian air mata, matanya
memandang wajah cucunya yang turut menangis di sebelahnya.
“Itu bukan urusan saya, mak cik!
Sila keluar dari sini!” halau Harris yang ternyata tidak dapat memaafkan Seha.
“Abang!” bantah Nisa’ yang kian serba salah. Pandangannya
dilepaskan ke arah
Seha yang sedang berendam air mata, mata mereka saling bertembung.
Seha sudah disayangi seperti anak kandungnya sendiri, sama seperti dia
menyayangi semua penghuni di Rumah Kebajikan Permai. Seha dihantar ke situ oleh
opah dan emak saudaranya. Dia sudah lama kehilangan ayah, dia anak
tunggal. Emaknya baru sahaja berkahwin sekali
lagi. Ayah tirinya tidak mahu menjaganya.
Terpaksalah opahnya mengambil alih menjaga cucunya yang seorang itu.
Kenapa semuanya ini berlaku? Dugaan apakah ini? Kenapa ia
datang bergolek seperti buah durian yang gugur sendiri di celahan pokok
menuruni bukit, tanpa ada apa-apa petanda pun. Tidak seperti hujan yang turun
membasahi bumi, akan ada awan hitam yang berarak mendung, petir dan guruh
saling sambung-menyambung
memberitahu penduduk bumi akan kehadirannya. Angin kuat menampar pepohonan yang tumbuh subur dan
melata di pekarangan rumah kebajikan.
Dengan riak yang amarah, opah dan emak saudara Seha menarik tangan Seha masuk ke dalam perut kereta
milik emak saudaranya, selepas memohon maaf dengan Nisa’.
Nisa’ tidak mampu berkata
apa-apa, jiwanya galau, perasaannya kucar-kacir, antara suami dan Seha. Siapa yang perlu dipercayainya ketika dan
saat itu? Sejak peristiwa itu, perasaan
bimbang silih berganti. Sesekali dia menyuarakan perasaannya kepada suaminya, jawapannya begitu tenang dan sabar. Ingatkan
perkara itu akan berakhir begitu sahaja. Rupa-rupanya, tidak. Kusangka pantai tidak akan berubah, biarpun ombak sering menghempasnya,
rupa-rupanya tidak.
Keresahan yang dirasakan sejak
peristiwa suaminya difitnah Seha, akhirnya terjawab. Bagaikan badai menghempas
pantai, mengocak pepasir yang bertapa tenang di gigi air, mencuit rasa bimbang
yang tidak keruan.
Tiga orang anggota polis dan dua
orang emak saudara Seha telah merempuh masuk ke dalam rumah kebajikan. Mereka
datang dengan dua buah kenderaan, satu kenderaan polis dan sebuah kereta sedan,
mungkin milik salah seorang emak saudara Seha, pelajar itu tidak pula kelihatan.
Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Ada urusan lain
di luar. Para pelajar pula sedang menghafal hafalan mereka di bahagian aula
atau surau di rumah kebajikan itu. Jantung Nisa’ berdegup kencang. Terasa
getar di tangannya, berdebar hatinya menyambut kehadiran mereka. Apa yang sedang
berlaku? Malapetaka apa pula ini?
“Tuan Harris ada?” tanya salah
seorang anggota polis yang berpangkat inspektor, tanpa memberi salam atau memperkenalkan diri. Wajahnya serius.
“Dia tidak ada, tuan. Keluar sebentar tadi, ada urusan di
luar,” jawab Nisa’ cuba menahan
gejolak perasaannya yang bagai dilanda tiupan angin kencang yang datang secara tiba-tiba. Masih
tertanya-tanya tujuan kehadiran anggota polis dan keluarga di sebelah pihak
Seha. Apa yang mereka mahu? Walaupun sesungguhnya dia sudah seperti dapat
meneka jawapan pada soalannya tadi. Semakin laju degupan jantungnya. Tiupan angin bimbang bertiup laju di hatinya. Seperti
terbayang-bayang dan dapat meneka apa yang bakal berlaku.
“Apa tujuan tuan puan datang ke mari?” tanya Nisa’, cuba menenangkan
diri. Di dalam hati, hanya Allah SWT jua yang tahu.
“Kami datang ini hendak menahan Tuan
Harris atas tuduhan mencabul pelajar bawah umur. Ini surat waran tangkap untuk
Tuan Harris,” jawab tuan inspektor yang bernama Hisyam itu.
Surat waran tangkap ditunjukkan
kepada Nisa’. Terkedu dia melihatnya. Tertulis pada borang itu nama suaminya,
alamat tempat tinggal dan kesalahan.
“Apa? Astaghfirullahhal‘azim! Tuan tersilap
maklumat agaknya!” Nisa’ terkejut mendengarnya, walaupun dalam hatinya, dia sudah dapat meneka akan
tujuan kehadiran mereka.
Namun, dia tidak menyangka perkara yang bermula daripada cerita rekaan
seorang kanak-kanak nakal dan tidak cukup matang itu akan sampai ke pengetahuan
pihak polis dan menjadi seserius itu. Dia tidak menyangka sama sekali, pihak
keluarga Seha akan membuat laporan polis, padahal, sebelum itu mereka sendiri
mengaku bahawa Seha pandai mereka cerita.
Tidakkah mereka tahu, pelajar itu telah berbohong! Dia sendiri berkali-kali
bertanyakan hal tersebut kepada suaminya, malah kepada para pelajar yang lain. Tidak
pernah suaminya atau Seha berdua-duaan. Mana mungkin perkara itu berlaku?
“Kami terima laporan siap dengan
buktinya sekali dan kami berhak menahan Tuan Harris!” ujar Inspektor Hisyam.
Nisa’ mengetap bibir.
“Bukti apa? Sampai hati tuan buat
suami saya seperti ini! Sampai hati puan-puan fitnah suami saya!” kata Nisa’, marah. Tidak pernah dia
menyangka sama sekali, tergamak keluarga itu melayan fitnah pelajar tersebut.
“Kami telah buat pemeriksaan
terhadap pelajar itu di hospital, memang ada kesan pencerobohan pada faraj
pelajar tersebut. Itu telah disahkan pihak hospital sendiri,” terang Inspektor
Hisyam.
Bagaikan panahan petir menyambar
tubuhnya, menggigil seluruh sendi dan tulang kaki Nisa’, terasa lembik tubuhnya. Dia
terduduk dan beristighfar berkali-kali, bergetar bibirnya. Matanya menikam
tajam pada wajah
kedua-dua orang
emak saudara Seha, yang seorang memang amat dikenalinya dan sering datang
menziarahi Seha, yang seorang lagi tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
Tidak punya masa untuk bertanya atau
beramah mesra. Wajah sombong mereka dipandang seketika. Dia menggeleng
kekesalan. Nasib baik tiada sesiapa di situ. Hanya dia seorang sahaja berhadapan dengan barisan rombongan yang
ingin menangkap suaminya itu. Kalau tidak, pasti malu besar dia sekeluarga.
“Tidak mungkin! Tidak mungkin,
tuan!” kata Nisa’. Dia yakin bukan suaminya yang lakukan.
Ya Allah, Engkau berikanlah aku kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian
yang maha besar ini!
“Boleh saya buat pemeriksaan di
kawasan ini dan bertanyakan beberapa soalan pada para pelajar yang ada?” soal
Inspektor Hisyam. Wajahnya masih seperti tadi, serius dan tidak langsung mahu
tersenyum.
“Pergilah tuan, tiada apa yang ingin
kami rahsiakan!” ucap Nisa’. Hatinya masih marah, terhunus pedang yang tajam, hanya menunggu untuk
mencincang mereka yang telah merobek luka, menghancurleburkan perasaannya ketika itu.
Jiwanya sedang memberontak, melanggar pokok-pokok kecewa yang sedang tumbuh
subur. Berkali-kali dia menelefon suaminya agar pulang segera. Jawapannya,
dalam perjalanan dan jalan raya sedang sesak. Keadaan sudah menjadi berat,
sudah menjadi kes polis.
Nisa’ tidak sanggup duduk
menghadap keluarga Seha. Mahu tidak mahu Nisa’ terpaksa mengiringi salah seorang daripada anggota polis itu melawat
kawasan rumah kebajikan dan berjumpa dengan para pelajar terutama pelajar perempuan.
Kenyataan mereka diambil oleh salah seorang anggota yang turut hadir bersama.
Ustazah yang bertugas turut disoal siasat oleh pihak polis. Tampak wajah
terkejut ustazah itu. Renungannya
tajam menikam wajah-wajah manusia yang berada di persekitaran Rumah Kebajikan
Permai. Apa yang mereka cari? Bukti? Kesilapan? Atau dosa?
Bibir dan hatinya tidak
berhenti-henti berzikir. Lahaulawala quataillabillah tidak putus-putus meniti bibirnya.
Mencari kekuatan dalam diri, memberi ketenangan di hati. Dadanya berdebar kuat seperti hendak
melompat keluar memuntahkan sesal dan menahan getar yang teramat.
“Kenapa suami saya diperlakukan
seperti ini!” bentak Nisa’. Marahnya berapi-api. Sakit hatinya, pedih jiwanya.
“Sabar puan, kami masih menyiasat
perkara ini. Kalau suami puan ditahan pun, hanya untuk disoal siasat,” pujuk salah seorang anggota polis yang turut hadir
bersama untuk menangkap suaminya.
“Ini bukan soal ditangkap untuk apa
tuan! Tapi, soal
maruah kami! Maruah suami saya, keluarga saya. Maruah rumah kebajikan ini!
Suami saya tidak buka rumah kebajikan ini hanya untuk mencemarkan maruah
dirinya! Ini semuanya fitnah, tuan! Fitnah!” desis Nisa’ yang terus menjelaskan tentang bagaimana dia sentiasa berada di sisi
suaminya, 24 jam sehari, melainkan dia ke tandas atau ada urusan di luar,
selalunya,
suaminya akan turut berada bersama-sama dengannya.
“Saya faham perasaan puan, undang-undang
tetap undang-undang. Jika ada laporan, pasti ada tangkapan dan kes. Kami hanya menjalankan tugas
yang diamanahkan,” jelas anggota polis itu sebelum berlalu meninggalkan Nisa’ sendirian.
Ya, undang-undang tetap
undang-undang. Tetapi, jika undang-undang dibuat sehingga mampu menganiayai orang lain, bolehkah
dia membiarkannya? Nisa’ mengeluh berat.
Rumah Kebajikan Permai, Pusat
Penjagaan Anak Yatim itu ada peraturannya sendiri. Para pelajar perempuan tidak
sewenang-wenangnya dibenarkan keluar bersendirian, selalunya akan ada yang
menemani hatta hendak ke tandas sekalipun.
Bagaimana mungkin suaminya boleh dan sempat melakukan pekerjaan terkutuk
itu. Itu sebab, sukar untuk dia menerima
tuduhan yang dilakukan Seha terhadap suaminya.
Hampir sahaja Nisa’ hendak menjerit, tetapi
memikirkan itu bukan cara seorang perempuan yang diberi kekuatan dan kesabaran
menghadapi ujian yang telah ditakdirkan itu, dia segera mengawal perasaan. Ya
Allah! Ya Allah! Berikanlah kami kekuatan, doa Nisa’ dalam
hati. Kebetulan pula, hari ini anak-anak dan suaminya berpuasa. Ujian yang berat sungguh.
Benar-benar menguji dirinya dan suami.
Bunyi enjin kenderaan memasuki
kawasan rumah kebajikan membuatkan Nisa’ bingkas bangun dan menuju ke tempat letak kereta yang berhampiran, tidak
jauh dari kawasan asrama perempuan. Wajah suaminya yang baru turun dari kenderaan
dipandang seketika.
“Abang!” rintih Nisa’. Namun, secepat itu dia bagaikan
mati kata-kata. Dadanya sebak, jiwanya
retak seperti dihempas ke batu, lemas seolah-olah ditarik oleh lautan yang
sedang mengganas.
“Sabar! Semua ini ujian!” ucap Harris,
lalu melangkah pantas ke pondok gazebo yang terletak di bahagian hadapan rumah
kebajikan. Tempat para pelajar dan waris berkumpul apabila tiba waktu ziarah.
Nisa’ mengekori langkah
suaminya, begitu juga anggota polis yang membuat pemeriksaan tadi. Ustaz dan
ustazah yang sedang mengajar turut berhenti dan ternyata mereka juga ingin tahu
apa yang sedang berlaku. Wajah mereka muram, saling bertanya sesama sendiri. Saling
menyoal Nisa’ juga,
namun tidak terkeluar dari bibir Nisa’ untuk menceritakannya. Dia benar-benar kerisauan.
Harris menghulurkan tangan untuk
bersalaman dengan Inspektor Hisyam, pegawai penyiasatan kes cabul tersebut.
Nisa’ menahan sendu. Menahan
air mata daripada mengalir. Tidak sanggup melihat apa yang berlaku. Tidak
pernah terduga di benaknya bahawa perkara itu akan berlaku dalam keluarganya.
“Kami terpaksa menahan Tuan Harris,
harap boleh beri kerjasama dan ikut kami ke balai. Ini waran tangkap atas nama
Tuan Harris,” kata Inspektor Hisyam, sekali lagi waran tangkap itu ditunjukkan,
kali ini kepada orang yang akan ditangkap.
“Baik tuan,” jawab Harris.
“Abang!” bantah Nisa’, seraya menerpa ke arah
suaminya.
“Awak bertenang. Kita di pihak yang
benar. Biarlah mereka jalankan tugas yang diamanahkan,” ujar Harris, wajahnya
masih tenang, tutur katanya masih lembut.
Bagaikan tiada apa yang berlaku.
“Jaga anak-anak, tenangkan mereka. Tak
lama. Nanti abang balik semula. Jadual rumah
kebajikan biar berjalan seperti biasa,” pesan Harris lagi. Matanya redup
memandang wajah Nisa’.
Nisa’ segera menekup mulutnya,
menahan tangisannya sendiri. Tidak sanggup melihat suaminya digari seperti
penjenayah yang telah melakukan jenayah berat. Ya Allah! Suaminya sudah
dijadikan penjenayah!
“Ini balasan puan berdua? Setelah
apa yang saya dan suami buat untuk Seha!” marah Nisa’ meledak juga. Matanya
membuntang tajam memandang wajah kedua-dua
emak saudara Seha yang kelihatan kemas bergaya. Macam orang
berpangkat besar. Cara puan berpakaian
dan tengok kenderaan puan, macam orang senang. Tapi, kenapa hantar Seha tinggal
di rumah kebajikan, ya?” soal Nisa’ dengan wajah cuak.
“Kami ada bukti!” tukas emak saudara
Seha yang bercermin mata hitam sambil memandang sinis ke arah Nisa’.
“Bukti? Bukti apa? Jika memang ada
bukti sekalipun,
apakah bukti itu berpunca daripada kata-kata Seha? Jangan hendak bermain
sandiwara di sini!” pintas Nisa’, kegeraman.
Kedua-dua emak saudara Seha itu
mendengus sinis dan terus melangkah masuk ke dalam kereta milik salah seorang
daripada mereka. Nisa’
memandang dengan mata yang berapi-api, kalau boleh mahu disembur ke arah dua orang
manusia itu. Kejam!
Langgan:
Catatan (Atom)