Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 15 Jun 2014

ULASAN PANDORA BUAT INSYIRAH- ANIS AYUNI.









Pandora Buat Insyirah ( ISBN  978983124950-5)
Anis Ayuni
2014
Alaf 21
Ms 603

                Penulis yang mempunyai barisan peminat dan pembacanya tersendiri.  Siapa yang tidak kenal Anis Ayuni sudah menghasilkan 11 buah novel bersama Alaf 21. Ini Novel ke 12 beliau. 

Insyirah Hayati terpaksa berkorban masa dan waktu demi menjaga ayahnya yang sakit kanser.  Terpaksa berulang alik dari rumah ke hospital dan ke sekolah.  Pada masa yang sama dia bakal menduduki SPM.  Memerlukan waktu untuk mengulangkaji pelajaran dan ke sekolah.  Kerana simpati seorang anak  dia sanggup ponteng sekolah.   
Dari kejauhan sinar mata Insyirah dan kelembutan wajahnya telah mengamit  Dr. Mirza untuk mendekati gadis ini.   Kebetulan Dr. Mirza adalah doktor di hospital tersebut dan pernah merawat ayah Insyirah.  Dr. Mirza simpati dengan keadaan   Insyirah.  Memberi tusyen kepada gadis itu agar boleh lulus cemerlang dalam peperiksaan SPMnya nanti.
Dalam kerisauan yang melanda di jiwa, Insyirah diuji lagi, begitu juga ayahnya.  Ibunya beralih kasih kepada lelaki muda.  Hubungan yang sudah terjalin begitu lama akhirnya roboh ditengah jalan.  Insyirah tidak mampu berbuat apa-apa untuk memujuk ibunya agar tidak meninggalkan ayah yang sedang sakit tenat.  Kejamnya seorang isteri meninggalkan suaminya ketika dalam keadaan sakit dan tidak mampu diselamatkan lagi.
Berbagai dugaan terpaksa dihadapi oleh gadis ini, demi kelangsungan hidup, kehilangan ibu yang mencintai lelaki lain, menunggu saat-saat kematian ayahnya yang semakin nazak.  Terpaksa bergelut dengan peperiksaan SPM penentu masa depan.

Dalam hati dia berjanji tidak akan jatuh cinta selagi tidak menghabiskan pelajarannya.  Walaupun di hati sudah  menitis titik-titik sayang kepada Dr.Mirza yang telah banyak membantunya.  Namun perasaan itu tidak terucap dengan kata-kata.  Akhirnya membeku di hati. 
Bahagiakah ibu Insyirah setelah berkahwin muda?  Bagaimana keadaan ayahnya, adakah akan pulih?  Bagaimana gadis ini meneruskan hidup tanpa bimbingan dan kasih sayang kedua orang tuanya?  Adakah cintanya  pada Dr. Mirza akan bersambung dan membawa bahagia?

Kalau hendak tahu, dapatkanlah karya ini.

Kisah keluarga yang menyayat hati.  Kisah pengorbanan seorang anak dan rasa kejam seorang isteri yang mementingkan diri sendiri demi kebahagian yang belum pasti.  Ada kisah cinta yang manis manja.  Ada rasa suka, duka dan gembira bercampur baur dalam karya ini.  Cemburu dan iri hati turut terselit di dalamnya kerana itulah sikap manusia yang busuk hatinya.  Inilah sikap seorang anak yang sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik.

Gaya bahasa mudah difahami.  Plot  cerita yang lancar.  Latar tempat banyak di hospital namun tetap menarik. 

Khamis, 5 Jun 2014

WAJAH-WAJAH MEREKA YANG BERBAKTI KEPADAKU DALAM DUNIA PENULISAN

Che Tuan Ana Balqis-  Seorang Novelis.  Orang yang telah mencantikkan karya AKU TURUT BAHAGIA sehingga nampak hidup dan dekat dengan pembaca.  Terima kasih sifu.  Jasa sifu tak pernahku lupa.



       Monalita Mansor-  Seorang Penulis, Novelis dan juga mengajar membina BLOG DAN MENULIS  secara online.  Telah mengajar saya membina blog dan mencantikkan lagi blog ini.  Terima kasih Cikgu.     



Sifu Azmah Nordin, seorang penulis yang pernah memenangi Sea Award.  Tidak pernah menyangka akan berguru dengan beliau.  Sentuhan beliau membuatkan aku boleh menulis karya berat.  Tunjukajar sifu akanku kenang sehingga ke syurga.  Terima kasih Sifu.

WAJAH-WAJAH MEREKA YANG BERBAKTI KEPADAKU DALAM DUNIA PENULISAN.


                             RUSMAN NORDIN-  orang pertama  yang mengenali bakat saya.


                                                      
Wahba atau Dr. Wan Hamzah -  Bekas  Editor Utusan Karya. -  Sifu pertama saya dalam dunia penulisan.  Beliaulah yang telah menawarkan saya belajar menulis cerpen secara pos.  Sejak itu baharulah karya saya diterima setelah mengetahui caranya.    Terima kasih Sifu.





























Selasa, 3 Jun 2014

CINTA DI BLUE MOUNTAINS- Puteri Andalas










Cinta di Blue Mountains( ISBN978983-124937-6
Puteri  Andalas
Alaf 21 (2014)

Fahmi Sazly dicintai dalam diam.  Namun dia hanya seorang wanita yang sudah terdidik dengan adab dan sopan.  Tidak mungkin dia memulakan langkahnya dahulu.  Akhirnya dia memilih Dani yang terlebih dahulu mengapai cintanya.   Namun hubungannya  dengan Dani ditentang hebat oleh kedua orangtuanya.  Dia dihalau keluar dan tidak dibenarkan kembali ke rumah.  Awadilia akur namun rasa rindu yang mendalam tidak mampu ditahan.  Hanya surat dititipkan tetapi tidak berbalas.
Surat daripada Fahmi Sazly membuatkan hatinya tidak keruan.  Air mata kecewa mengalir tanpa dipinta.  Hatinya tergerak dengan rasa rindu yang teramat sangat terhadap kedua orangtuanya.  Rupanya mereka telah pergi meninggalkannya.  Dengan perasaan rasa bersalah yang menebal di hati, Awadilia akhirnya pulang ke tanah air bagi menyelesaikan peninggalan arwah kedua orangtuanya.  Pertemuan kembali mengimbas kenangan lama yang masih mengusik jiwa.

Dalam hati teringatkan Fahmi Sazly, kehadiran Syammil Boyce mengundang perasaan aneh di hatinya.  Lelaki itu mempunyai senyuman dan menyukai bauan yang sama  dengan Dani.  Ah, kehalusan hati membuatkan rasa cinta kepada arwah suaminya tidak pernah padam.  Lelaki itu benar-benar mengingatkan dia kepad arwah suaminya.  Awadilia tidak mahu terlalu tergesa-gesa.  Harapan keluarga  Fahmy Sazly dan keluarganya juga perlu diambil kira.  Kenangan lama menjerha tidak berhenti-henti.  Setiap langkahnya ketika dikampung halaman mengundang duka di hati.
Cuba mendekati kembali Fahmi Sazly  tetapi tetap tidak kesampaian  Mungkin bukan jodoh mereka.  Maka perpisahan terjadi juga.  Lamaran Syammil Boyce dan keluarganya tidak juga ada jawapan.  Memberi ruang dan waktu untuk dia berfikir dan membuka pintu hati yang tertutup sekian lama. Kenapa Famy  Sazly memungkiri janji sedangkan dia juga menyintai Awadilia.  Mampukah cinta Syammil Boyce diterima Awadilia?  Apa yang ditinggalkan oleh kedua orangtua Awadilia untuk dirinya?  Mampukah dia melupaka kenangan lama dan kembali ke Australia?  Semuanya akan terjawab di dalam novel ini.

Puteri Andalas, mengenali karyanya terlebih dahulu, baru orangnya.   Karyanya berada di dada akhbar dan majalah, ketika itu sama-sama mencuri perhatian juri di akhbar dan majalah keluaran Utusan.  Kagum dengan pencapaian beliau apabila memenangi HADIAH SASTERA  lewat cerpen-cerpennya yang singgah menjadi santapan mata.  Pernah terfikir, hebatnya beliau menulis.  Mampukah aku menjadi seperti dirinya?  

Membaca karya beliau membuat hati terbuai sama, lembut selembut orangnya.  Menggunakan POV 1 penulis menyampaikannya dengan baik dan tidak terasa  menghabiskan satu buku.  Negara Australia digambarkan dengan baiknya membuatkan  fikiran turut membayangkan tempat-tempat yang menjadi pilihan penulis untuk dijadikan latar tempat di dalam karya ini.  Banyak imbas semula namun masih boleh memahami susunan ceritanya.  Kepada yang berminat kisah keluarga dan cinta, bolehlah mendapatkan karya ini. 

ULASAN KAPSUL NURANI




‘Anakku, andai kamu tidak mampu menjadi seperti sunga nadi kehidupan, cukuplah kami menjadi segelas air penghilang kehausan.  Andai kkami tidak mampu menjadi seperti bulan  menyuluh gelapnya malam, cukuplah kami menjadi bintang mencantikkan malam.  Andak kami tidak mampu menjadi bumbung untuk mereka menumpang teduh, cukuplah kami menjadi lantai  untuk mereka duduk...’ ( Karya Hatim Ahmad- Nak jadi Macam Ayah) kata-kata yang sungguh indah dan mengesan di jiwa.  

Bagi saya karya yang ada di dalam buku kecil ini sungguh menarik.  Bukan sahaja ada cerita malah ada inti yang ingin disampaikan.  Ada pengalaman, ada cerpen dan ada motivasi diri.  Semuanya terangkum dalam satu buku.  Mampu buat  kita tersenyum, ketawa dan menangis serta muhasabah diri.  Karya yang sepatutnya dibaca dan disimpan sebagai khazanah bangsa di masa hadapan.  Bagaikan sebuah travelog saya menyusuri setiap nukilan.  Karya yang biasa namun hebat isinya.    Tahniah kepada barisan penulis dan penerbit juga  yang telah berjaya membawa satu cerita dalam seribu makna.  Bagaikan antologi cerpen tetapi berbagai tema dan genre.  Terpikat hati membacanya.

Sabtu, 31 Mei 2014

JODOHKU SAMPAI JUA





Nota cinta terakhir daripadanya kugenggam erat, hampir renyuk dan hancur di dalam jari jemariku.  Kuramas dan kuramas sehingga lumat jadinya. Tidak perlu berpatah arang hanya kata-kata yang menghiris hati.  Aku menyeka air mata yang mengalir atas kekecewaan semalam yang masih belum runtuh di dalam hati.  Kekecewaan yang mampu menghentikan seluruh nafasku.  Bagaikan nyawa terlucut dari badan. Bagaikan roh yang sedang menunggu waktu untuk berpisah dari jasadnya.  Dia merenyuk hatiku ke dalam lubang yang paling dalam.  Sukar untuk mencari jalan keluar dan bernafas seperti biasa semula.  
   
Sakit seluruh anggota tubuh sama sakitnya hatiku sekarang.  Rasa ditumbuk bertubi-tubi.  Rasa diragut dengan kasar akar jantungku.  Rasa berselerak seluruh jiwaku.   Rasa ingin mati dan tidak mahu bercinta lagi. Rasa ingin terjun dari bangunan yang paling tinggi di dunia ini.   Tidak akan mendekati cinta, tidak akan jatuh cinta lagi.  Tidak akan mahu mengenali mana-mana lelaki kerana hatiku hanya untuk dia.  Dia yang telah berlalu pergi, dia yang telah meninggalkanku tanpa rasa belas ehsan di hati.  Dia yang telah meragut kebahagian yang pernah aku miliki.Itukah yang dirasakan oleh mereka yang gagal dalam percintaan?  Itukah yang aku rasakan ketika dan saat ini?  Air mata mengalir lagi tanpa kupinta dan paksa.  Kenapa, patah sayapkah aku sehingga tidak mampu terbang lagi?  Air mataku letakkan di jari, kuperhati dan lihat kejernihannya.  Berbaloikah air mata ini mengalir kerana percintaanku yang gagal di tengah  jalan?  Wajibkah aku menangisi lelaki yang tidak tahu menghargai cinta suciku?  Wajarkah aku merana kerana seorang lelaki yang tidak tahu nilai seorang perempuan?
Kedukaanku tiada nilainya di mata ALLAH SWT kerana aku menangisi insan yang tiada apa-apa hubungan denganku.  Dia bukan sesiapa untukku.  Dia bukan suamiku juga?  Tiada ikatan yang kukuh antara kami hanya  hubungan seorang lelaki dan perempuan yang  salah di sisi syariat kehidupan seorang Islam dan  Melayu yang penuh adab dan sopan.  Murahnya air mataku jika tangisanku tadi kerana dia.  Kenapa aku tidak menangis kerana takutkan ALLAH SWT atau rindukan Rasulullah SAW?  Atau aku menangis kerana rindukan syurga ALLAH dan takutkan seksaan neraka-NYA?
Ah, hati seorang perempuan, itulah jadinya jika sudah mengenal cinta.  Kegagalan dalam percintaan umpama dunia sudah kiamat.  Patah tumbuh, hilang berganti bagaikan tidak sesuai diucapkan di hati.    Bagi hati ini, hanya dia lelaki yang wujud di dunia ini.  Tiada dua, tiada tiga.    Air mata diseka dengan hujung jari.  Surat yang hancur lebur seperti lebur hatiku ketika itu dibiarkan bertaburan di lantai.  Berterbangan ketika ditiup angin. Tanpa arah tuju seperti hatiku ketika ini.
Menangis air mata darah sekalipun tidak mungkin merubah apa-apa.  Dia tetap pergi ke dalam pelukan perempuan lain yang bukan mahramnya.    Aku hanya mampu gigit  jari, menangis dan menangis. Sanggup dia meninggalkanku hanya kerana…

“Ala, yang…  sekali ini sahaja.  Abang berjanji akan bertanggungjawab.  Ayang kena buktikan cinta ayang kepada abang.  Abang cintakan ayang setengah mati!  Abang nak hidup bersama ayang selama-lamanya,” rayunya kepadaku pada suatu malam waktu aku dan dia baru pulang menonton wayang tengah malam di sebuah panggung wayang. 

“Apa abang cakapkan ini?  Sudah lama kita berkenalan, sebelum ini abang tidak pernah begini?”  kataku kehairanan.  Matanya yang bersinar penuh mengharap kutatap lama, mencari kesekian kali kejujuran di mata itu.  Namun hampa.  Sinar rakusan syaitan yang menghuni memandangku dengan kejahatan yang bernafsu-nafsi.  Lupa Tuhan, lupa diri, lupa siapa aku di sisi.
“Rugilah kita hanya berkawan, pegang tangan pun tidak pernah, bagaikan orang dari padang pasir atau orang kampung  kuno yang tidak bertamadun.  Tengok kawan-kawan abang, ke mana sahaja berdua sudah seperti suami isteri.  Kenapa abang tidak boleh seperti mereka sedangkan kita sudah lama bersama?”  katanya lagi.
Aku terkedu mendengarnya.  Akalnya  mana?  Sihat atau sakit?  Adakah selama kami berkawan bertahun-tahun lamanya dia berasa rugi?  Rugikah dia kerana mengenali diriku yang berasa bersalah di dalam hati kerana keluar berdua-duaan dengannya sedangkan yang ketiga  adalah syaitan  sewaktu kami bersama.  Biarpun dia tidak memegang tanganku, tetapi keluar bersama dengannya sudah mampu mengundang  dosa dalam diri.    Aku masih berpegang teguh dengan tali syariat walaupun sedikitku longgarkan lantaran takut menjadi anak dara tua  kerana tiada lelaki yang berani mendekati atas sebab keegoanku tidak mahu berpacaran.  

“Maafkan ayang, kerana tidak mungkin ayang menyerahkan satu-satunya harga dan maruah diri kepada lelaki yang belum bergelar suami.  Tangan tok kadi belum digenggam, lafaz ijab dan Kabul  belum pernah berlaku.  Tidak mungkin sama sekali.  Biarpun ayang cinta sepenuh hati namun cinta ayang  berlandaskan agama dan syariat.  Maruah ayang untuk suami ayang sahaja.  Kalau abang tidak suka dan terus memaksa,maafkan ayang.  Tidak mungkin ayang menyerahkannya.”  Hatiku dirundung duka.   

Wajahnya yang cemberut, merajuk minta dipujuk kubiarkan sahaja.  Tidak berbaloi merayu orang yang pendek akalnya.  Diakah lelaki yang layakku jadikan suami?  Mampukah dia menjadi ketua keluarga sedangkan belum lagi jadi suami sudah meminta yang  tidak sepatutnya seorang lelaki minta daripada seorang perempuan yang bukan isterinya.  Tergamaknya dia menghancurkan kepercayaanku yang tidak pernah berbelah  bahagi terhadapnya selama ini.  Kuingatkan dia seorang yang jujur dan ikhlas.   Kufikirkan dia tidak sama seperti lelaki yang bertebaran di luar sana menghirup madu kaum Hawa tanpa rasa bersalah di hati.  Malah bangga  bercerita kerana rakan-rakan kehebatan mereka diranjang, meragut madu milik kekasih hati selepas itu ditinggalkan pergi, habis madu sepah dibuang. Itulah yang berlaku.
“Kalau begitu kata ayang, abang tidak boleh tunggu ayang.  Kalau tidak sanggup bermakna ayang tidak cintakan abang.  Kita berpisah sahaja!  Ramai lagi di luar sana yang sudi,”  katanya sambil mencebir ke arahku. 
“Baiklah, ayang rela kita berpisah, jika itu sudah kehendak abang,”  kataku dengan hati yang bergetar.  Tergamaknya dia?  Sukar untuk aku percaya?  Lelaki yang kulihat selama ini lembut penuh sopan, solatnya…  ah! Kenapa solatnya tidak menjadi pembenteng diri menghalang dari perkara engkar dan mungkar?  Tidakkah dia tahu dosanya zina?  Aku bukan baik sangat namun aku tidak sanggup menempuh neraka dan kemurkaan ALLAH SWT terhadapku.  Aku tidak mahu mencemarkan tubuhku dengan noda dan dosa yang tidak mungkin tertanggung olehku.
Dia melangkah pergi meninggalkan aku sendiri di dalam keheningan malam yang semakin suram dan kelam.  Aku memandang kiri dan kanan, tiada kelibat manusia di situ.  Aku melangkah laju menuju ke  hentian teksi dan pulang ke rumah.    Dan hari ini surat itu hadir menoktahkan hubungan kami.  Aku menangis bukan kerana kecewa, tetapi aku menangis kerana aku mampu melawan hawa nafsuku dari terpengaruh dengan kehendaknya.  Aku menangis bukan kerana aku hampa lantaran cintaku hancur di tengah jalan, tetapi aku menangis gembira kerana aku dapat menyelamatkan maruah dan harga diriku dan keluarga.  Aku menangis bukan kerana aku kehilangannya tetapi aku menangis kerana aku berjaya mempertahankan kesucian diriku dari  menjadi santapan manusia yang berhati syaitan.  Aku menangis kerana aku menangis bukan kerana aku dikecewakan tetapi aku menangis kerana aku takutkan ALLAH SWT.
Cebisan surat aku sapu bersih.  Kumasukkan ke dalam tong sampah.  Biarlah lelaki itu berlalu pergi.  Tiada ruginya.  Mungkin dia bukan jodoh yang baik buatku.  Sememangnya tiada jodoh antara kami, aku redha.  Usia yang meningkat membuatkan ahli keluarga sering bercakap sesama sendiri.  Adakala malu terasa, ada ketika hiba menyapa.  Namunku pekakkan mata, kubutakan telinga.  Biarlah mereka bercakap selagi daya. Aku tidak rugi apa-apa. Penat berkata-kata, berhentilah mereka.  Ke tempat kerja aku lebih senang sendiri.  Kalau yang menghampiri hanya tahu meminta itu ini.  Bukan aku jual mahal tetapi menjaga maruah diri,  aku perempuan beragama Islam, Melayu bangsaku, perlu bangga dalam hati dari mana asal-usulku. 
Jika bukan diriku sendiri menjaga maruah dan harga diri, siapa lagi?   Cinta datang dan pergi, tidak semestinya lelaki atau perempuan itu akan jadi suami atau isteri.  Jodoh ketentuan ILAHI.  Bagiku jangan mudah menyerah, jangan mudah lemah.  Pujuk rayu sebelum ijab dan kabul hanya seruan syaitan mengundang duka di hati satu ketika nanti.   Aku tidak sanggup hadapi jika perkara itu berlaku.  Dia kononnya ingin bertanggungjawab sesudah maduku diserap.  Tetapi mahukah dia bertanggungjawab jika rahimku sudah subur benihnya yang minta dipertanggungjawab? Zuriat yang lahir pasti tidak tahu keturunannya. Mahukah dia? 
Kenapa tidak tunggu sehinggga kami bersatu dengan ijab dan kabul?  Kenapa?  Kerana dia bukan lelaki sejati, jujur dan bertanggungjawab baik kepadaku dan agamaku.  Lelaki sejati akan hadir di sisi bertemu orangtuaku menyatakan hasrat ingin memperisterikanku.  Ingin jadikanku ratu hatinya. Dengan ijab dan kabul kami sama-sama menyulam bahagia.  Zuriat yang lahir sudah tentu tahu keturunannya.  Kebahagian tercipta dengan restu keluarga dan rahmat ALLAH SWT. 
Masa berlalu pergi, dia sudah menghilangkan diri entah ke mana pergi.  Aku tidak lagi berasa hati.  Kehidupanku lebih ceria disamping keluarga tercinta.  Suatu hari  satu rombongan tiba di rumah.  Ayah dan ibu kalut menyediakan itu  dan ini.  Aku tidak pula bertanya siapakah gerangan mereka.  Bagiku tetamu yang hadir membawa berkat dan rahmat kepada tuan rumah.  Kusambut  dengan mesra bersama ahli keluarga yang lain.  Ayah dan ibu melayan mereka begitu baik sekali.  Tersenyum melihat kerahmahan mereka.  Rupanya kenalan lama ayah dan ibu.  Padanlah begitu mesra mereka bersama.
Usai tetamu pulang, ayah dan ibu memanggilku ke ruang tamu.  Mata mereka berkaca memandangku, senyuman terukir di bibir, saling berpandangan, saling tersenyum.  Bagaikan ada sesuatu yang bermain di minda mereka.  Aku kehairanan, apa sebenarnya yang ada di hati mereka.  Tidak sabar aku ingin mengetahuinya.
“Tadi yang datang itu, kawan ayah dan ibu.  Mereka datang ada hajat besar,”  kata ayah.
“Ya, kami sudah lama kenal.  Jarang berhubung sebab masing-masing sibuk.  Sebenarnya dia datang hendak meminang Along, mereka sudah melihat along, gambar along sudah pun diposkan kepada anak mereka yang belajar di United Kingdom.  Anak mereka terus setuju, minggu hadapan mereka hantar rombongan meminang terus bertunang, sebulan selepas itu terus bernikah, along setuju tak? Lagipun anak mereka ibu kenal sangat.  Baik, rajin solat dan hormat orangtua.  Tidak mencari sendiri kerana yakin dengan pilihan ibunya.  Inginkan perempuan yang tahu syariat dan  berpegang teguh dengan agama seperti along,”  kata ibu, matanya memandangku dengan penuh harapan. 
Aku terdiam seketika. Berfikir sejenak.  Wajah keriangan kedua orangtuaku tatap lama.  Cepatnya gambarku diposkan.  Teknologi sekarang. 
“Along ikut sahaja, jika baik bagi ayah dan ibu, baiklah bagi along,”  jawabku sebagai anak yang taat dan setia.  Jodohku sampai juga.  Mungkin inilah raja di hatiku.  Orang yang akan membawa aku kebahagiaan dunia dan akhirat.  Malam nanti aku akan buat istikharah meminta petunjuk daripada Yang Esa.  Semoga langkah yangku ambil ini terbaik buatku dan bakal pasanganku nanti.  Semoga kami ada jodoh, dari kata-kata ibu, dialah orang yang kucari.  Senyuman terukir di hati.  Doaku dimakbulkan ALLAH SWT.  Mencari lelaki yang mampu membimbingku di dunia dan akhirat.  Membawaku ke syurga dan menjauhkan aku dari neraka.