Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 29 Disember 2017

PERCUTIAN MENARIK


















Setiap tiga bulan sekali, kami pasti akan keluar bercuti bersama anak-anak yatim didikan kami.  Destinasi dipilih secara rambang.  Kali ini, kami bercadang bercuti ke sebuah tempat yang ada kolam renang sahaja. Percutian kali ini hanya santai-santai sambil merehatkan minda.
Masuk melalui tol  Alor Gajah, pertama kali saya menjejakkan kaki di Alor Gajah, pemandangan di kiri kanan sangat cantik dengan barisan rumah penduduk kampung, ada juga kawasan peninggalan sejarah Allahyarham Dol Said, kami juga melalui sebuah kampung yang cantik namanya Cherana Putih, menurut suami, seperti nama zaman Hang Tuah.  Ya Allah! Indahnya ciptaan Allah, dikelilingi Banjaran Titiwangsa, Alor Gajah menarik dengan gayanya tersendiri.   Sebuah kampung yang damai dan tenang.  Di kiri kanan jalan, akan kelihatan, gerai-gerai kecil berjualan hasil kerjatangan penduduk kampung, tidak ketinggalan makanan tradisional Melaka yang terkenal, dodol dan wajik, ada yang dimasak di kawasan gerai, memang menarik.
 
Tempatnya terletak di sempadan Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.  Kami bertolak dari Maahad Az Zein Al Makki Sg. Buluh sekitar jam 9.30 pagi.  Sampai di destinasi kami Kolam Renang Marine Arm yang  terletak di kawasan Kampung Seri Kendong di dalam daerah Rembau hampir pukul 11.30 pagi.  Kawasannya terletak di tebing Banjaran Tititwangsa.

            Terletak di kawasan kampung, agak tenang, dan tersorok ke dalam.  Di kelilingi kehijauan hutan belantara, pemiliknya seorang bekas pekerja kapal, membangunkan sebuah kawasan rekreasi yang menarik biarpun tidak berapa kemas kerana masih dalam pembinaan.  Paling menarik, kolam renangnya, air yang mengalir datangnya sumberi mata air dari atas bukit berdekatan.  Kolamnya juga luas dan besar, mampu menampung pengunjung yang ramai.  Airnya tidak berkalorin, segar dan sejuk.  Berbumbung, pengunjung akan selesa dan tidak perlu berjemur menahan cahaya matahari.
            Bentuk hadapan kolam seperti kepala kapal agak unik.  Bangunan yang dijadikan ruang pejabat dan chalet juga seperti ruang pejabat yang terdapat di dalam sebuah kapal.  Turut disediakan sebuah dorm yang mampu memuatkan berpuluh orang dalam satu masa, beberapa buah chalet dan surau.  Bilik air yang banyak.  Ada ruang untuk menjalankan aktiviti barbeque, ada sebuah café yang dibuka hanya ketika hujung minggu dan  untuk tempahan berkumpulan.
            Beberapa perkhidmatan juga disediakan, seperti mendaki bukit dan menghayati keindahan alam, belajar berenang dengan cara yang pantas, menurut pemilik, tiga sahaja, seseorang yang tidak boleh berenang, akan mahir berenang menggunakan kaedah yang diajarnya. 
            Jalan masuk ke Kolam Renang Marine Arm terletak di simpang empat, ke Tampin, Rembau dan Alor Gajah.  Ketika berada di kawasan tersebut, terasa seperti berada di dalam dua negeri dalam satu masa.  Daerah-daerah itu bersempadan.  Mahu makan malam di Melaka, atau Negeri Sembilan, boleh, boleh saja. 
            Pekan kecil Kampung Seri Kerding tidaklah begitu menarik, tidak banyak bangunan, hanya ada sebuah Taman Selera atau Kedai Mara dan sebuah bangunan setingkat di seberang jalan.  Deretan kedai di dalam Taman Selera memang menarik hati, apa yang menarik?  Makanannya, terdapat beraneka jenis masakan Negeri Sembilan dan juga Melaka.  Pilih sahaja.  Cara susunan dan ulam-ulaman yang terhidang pasti menarik selera sesiapa sahaja, terutama mereka yang sedang kelaparan.  Harga berpatutan.  Tidak terlalu mahal dan tidak terlalu murah.    Cuma aspek kebersihan kurang ditekankan terutama jika sebuah Taman Selera yang berkongsi ruang makan.  Harga Masak Lemak Cili Api Daging Salai RM7.00 seorang makan.
            Di seberang jalan ada sebuah restoran menjual masakan panas.  Boleh tahan sedapnya. Harganya pun biasa-biasa saja yang terdapat di pasaran.  Sepinggan nasi ayam berharga RM5.00. 
            Kalau ke kiri dari kawasan Kolam Renang Marine Arm, menuju ke Tampin, sebuah pekan kecil yang agak sibuk, ada Mydin dan Giant.  Kalau terus akan masuk Kampung Cherana Putih yang terletak dalam daerah Alor Gajah.  Di kampung tersebut ada sebuah kolam air panas.  Kami singgah juga, tetapi tiada apa yang menarik, apatah lagi hadir waktu tengahari, dan kolam tersebut tidak berbumbung. Rasa-rasanya nak tahan rasa panas air tersebut atau panas teriknya matahari.  Kami tidak tunggu lama, hanya seketika sebelum singgah untuk menjamah buah durian yang mahal harganya, tetapi tuan empunyai gerai baik hati, memberi harga yang murah kepada kami, dapatlah anak-anak didik kami menikmati durian kampung di tepi jalan.
            Malamnya pula, seorang kenalan kami membawa kami merasa sate yang sedap di Bandar Tampin, Sate Zol, orang begitu ramai, padat, sejam kami menunggu sebelum dapat menikmati sate daging yang garing dan kuahnya yang  sedap. 
            Rupanya kawasan tempat kami menginap tidaklah jauh dari A Famosa sempatlah juga kami singgah di A Famosa Mall yang menjual semua barangan berjenama. Sekadar menikmati keindahan di dalam Mall tersebut.  Menurut teman kami, setiap malam ada pertunjukkan bunga api sekitar 9.45 malam.  Kami tidak sempat menikmatinya gara-gara menunggu sate. 
            Tiga hari dua malam menghabiskan masa di Rembau dan kawasan persekitarannya, bolehlah dikatakan menarik juga.  Bersenang-senang dan bersantai-santai.  Apa yang penting, anak-anak didik kami gembira, kami juga boleh berehat.
            Sebelum pulang, kami di bawa ke Pekan Tampin sekali lagi untuk menikmati cucur udang Alor Gajah yang dikatakan sedap.  Rugilah tak cuba, bukan mudah hendak datang jauh-jauh.  Memang sedap, cucur udang selain daripada cucurnya, kuahnya juga harus sedap. Baharulah terasa nikmatnya makanan tersebut.  Alhamdulillah, sekali lagi ada orang belanja.
            Malam sebelumnya, kami diraikan oleh teman kami ke rumahnya, menikmati makan malam yang enak dan menarik.   Dimasak sendiri oleh tuan rumah, mee hailam dan nasi goreng cina berserta ayam percik yang istimewa, hanya dijual dua hari sahaja dalam seminggu.  Terlupa pula namanya.  Hanya ada di Pekan Tampin. 
            Malaysia punya banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, ada yang berbayar, ada juga yang percuma.  Terpulang kepada diri sendiri untuk memilih yang terbaik untuk bercuti bersama-sama keluarga. 
            Begitu juga dengan makanan.  Sememangnya makanan di Malaysia beraneka jenis dan enak-enak belaka.  Masyarakat yang berbilang kaum dan etnik menambah cantiknya negaraku ini.

Isnin, 4 Disember 2017

Mudahnya Mengundang Dosa Mengumpat Berjemaah.


Waktu kejahilan melanda, bercerita dan bercakap/ mengumpat/ mengadu domba tentang orang lain seronok belaka, apatah lagi, orang yang kita kata itu kita cemburu dan dengki dengan kehidupannya.
Kita mulalah, bercakap, berbuih-buih mulut. Sedikit pun tidak berasa bersalah di hati. Malah puas hati,ditambah orang yang kita kata itu pernah meluahkan masalahnya kepada kita, janjinya jangan beritahu orang lain. Tapi, kita tak amanah, kita tak jujur. Bertaburanlah cerita itu tersebar dek kerana mulut kita.

Waktu itu skop bercerita dan orang yang menjadi mangsa kita adalah jiran tetangga, orang yang kita kenal, buruk-buruk pun waktu Hari Raya masih boleh minta maaf dan ampun.
Apabila sudah belajar, faham, tahu dosa pahala, perlahan-lahan berubah. Bila saja ada datang sipenyampai, cepat-cepat teringat akan adegan makan daging mentah dan busuk di neraka nanti. Nau'zubillah...

Hari ini, dunia mengumpat dan mengata tersebar luas. Orang yang kita kata dan kutuk itupun kita tak kenal. Terlihat saja satu cerita yang kita rasa orang itu salah dan tidak betul, maka ramai-ramai kita kutuk berjemaah. Tidak kira, orang itu tua atau muda. Kita hilang rasa hormat, hilang rasa belas sesama kita.

Ya Allah! Bagaimana kita nak minta maaf kepada orang yang kita umpat, keji dan kutuk itu? Tidakkah kita tahu bahawa dosa kita takkan terampun selagi orang yang kita umpat itu ampunkan.
Lalu, kita bawa bersama dosa tersebut ke akhirat. Waktu dihisab, orang yang kita umpat itu akan ambil pahala kita. INGAT! Jangan sampai MUFLIS di akhirat nanti!

Berapa banyak kisah tular kita kongsikan? Berapa banyak perkara yang tidak berfaedah kita kongsi dan orang lain sama-sama mengeji dan mengata? Tahukah teman-teman semua, itu termasuk dosa Mengumpat dan Mengata.

Banyak sangatkah amalan kita? Baik sangatkah kita? Maksumkah kita? Tanamlah azam tidak mahu lagi berkongsi cerita yang boleh membuatkan kita terpalit dosa. Berazamlah hendak menjadi sebaik-baik insan seperti mana kita diciptakan oleh Allah Swt.

Kalau ingin TULARKAN sesuatu, tularlah kisah orang miskin dan susah yang memerlukan bantuan. Atau rumah anak yatim, sekolah pondok yang memerlukan sumbangan. Atau mereka yang sakit memerlukan derma. Carilah yang baik-baik saja.

Sebelum dosa kita terus menimbun, bawalah insaf dan sedar diri, bahawa AKU JUGA INSAN YANG LEMAH DAN BERDOSA!

Dosa dengan Allah terampun dengan ISTIGHFAR, tapi dosa kita dengan manusia lain tidak akan terampun selagi kita tidak diampunkan oleh orang yang kita sakiti.

#muhasabahdiri
#insafdengandosasendiri
#takutmurkaAllah

Sabtu, 2 Disember 2017

BUKU: HARGA SEBUAH TABLET


HARGA SEBUAH TABLET
Antologi Cerpen Kanak-Kanak.
Dewan Bahasa dan Pustaka.
RM9.00 sebuah.

Seseorang itu akan menjadi bijak, matang dan pandai berfikir jika minat membaca dan membeli buku-buku yang bermanfaat dan bermutu juga.

Seperti buku ini, sesuai dibaca semua golongan. Buku yang baik menjana jiwa yang suci bersih.

Sempena cuti sekolah yang akan datang, dapatkan buku ini dengan segera!

Jika berminat boleh dapatkan buku ini daripada Tuan Editornya Pak Cu Hamidi Md. Yudin.

#bukukanak-kanak
#dbp
#nilaisebuahtablet

SIHAT SEBELUM SAKIT

Sihat sebelum sakit.

Waktu sihat, kita lupa diri, apabila sudah sakit mulalah tanam nazar kononnya setelah sehat akan benar-benar beribadat. Betulkah? Atau kita akan kembali ke asal ketika kita tidak sakit?

Manusia mudah lupa. Tetapi, Allah tidak. Kita cepat mengalah, cepat bosan, mudah putus asa, kecuali mereka yang benar-benar beriman.

Wahai teman, rebutlah peluang ketika sehat ini untuk betul-betul mengabdikan diri kepada Allah. Jangan tunggu sehingga tangan kita sudah tidak mampu diangkat baru kita berfikir untuk berdoa.

Jangan tunggu sehingga kaki kita tidak lagi mampu melangkah baru kita nak mencari ilmu dan ke majlis ilmu.

Jangan tunggu sehingga mulut kita tidak mampu dibuka baru kita hendak berzikir membaca al Quran.
Hidup di dunia hanya sementara, jangan tunggu nyawa kita dicabut baru kita hendak berasa sesal.

Setelah berada di alam barzakh kita ingin kembali ke dunia serta berjanji akan beribadat hanya kepada Allah, ketika itu segalanya sudah terlambat wahai teman.

Jangan kita menjadi manusia yang akan menyesal kerana tidak menurut perintah Allah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Untuk berubah ke arah kebaikan, usah ditangguh lagi. Kita tidak tahu bila akan meninggalkan dunia ini.

#nasihatdirisendiri

DI PADANG MASYAR

Di Padang Masyar nanti setelah mendapat kitab amalam, maka akan bertayanganlah segala perbuatanmu ketika di dunia, sejak dilahirkan sehinggalah ke hari kau meninggal. Terlihatlah segala kebaikan, dosa dan keaibanmu.

Ketika itu rasa malu tidak bererti lagi, hanya akan tertunduk menunggu hukuman daripada Yang Esa.
Segala amalan dan perbuatanmu akan dihisab. Beruntunglah mereka yang baik sejak baligh sehinggalah pada hari pengakhiranmu.

Sentiasalah berasa berdosa, agar kita sentiasa beristighfar dan dekat dengan Allah swt. Berbuat baiklah sentiasa, jangan buang masa. Setiap saat nafas ini akan dikira.

Beribadatlah, berdoalah, keluarlah mencari ilmu akhirat, amalkanlah. Kasihanilah diri sendiri.
Mati itu pasti! Seksaan kubur itu benar! Syurga neraka juga benar! Bukan cerita dongengan? Bukan kisah mitos! Allah Ada!

Mohonlah kebaikan di dunia dan akhirat. Jangan bawa keluargamu ke neraka! Bawalah mereka ke syurga.

#muhasabahdirisendiri

MUDA SEBELUM TUA


Muda Sebelum Tua

Jangan tunggu tua baru nak bertaubat dan beramal ibadat. Kita tak tahu, adakah kita akan sihat selamanya? Takkan sakit? Tetap segar bugar seperti waktu usia muda? Kita juga tidak tahu bila ajal akan tiba?

Wahai teman-teman, ketika usia kita masih muda, usahlah sia-siakan waktu sedang kuat, tegap, masih laju berlari dan berjalan untuk melakukan perkara yang sia-sia.

Gunakanlah waktu masih boleh mendaki,memanjat, laju berjalan, kuat berfikir, tidak lupa untuk cari ilmu, beramal ibadat, buat baik kepada orang lain, bekerja untuk agama.

Jangan sesekali berkata, 'Dah tua nanti ibadatlah'. Allah! Kita takkan tahu masa hadapan kita. Jangan sampai menyesal.

Jangan sampai kecewa. Kerana, ketika tua kita terlantar dan tidak berupaya lagi untuk bergerak. Makan disuap, mandi orang mandikan? Jika itu terjadi, bagaimana kita hendak bergerak? Beribadat? Hadir majlis ilmu?

Nasib kita tidak sama, keadaan diri kita juga berbeza, usah tunggu sehingga terlewat untuk melakukan semua kebaikan dan beribadat.

Tepuk dada, tanya diri sendiri jalan yang mana harus dipilih?

#salamzohor
#muhasabahdiri
#kejarlahsyurga

BELAJARLAH AKHLAK

Belajar adab dan akhlak cukupkah hanya tiga hari dua malam atau dua hari semalam? Ajarlah adab dan akhlak kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Perlukah pukul anak jika tak solat? Wajib, itu yang disuruh oleh Rasulullah saw, jika umur 9 tahun anak-anak tidak solat. Allah akan pelihara hamba-hambaNya yang tidak meninggalkan solat dan melakukannya dengan sempurna.

Ajarilah anak-anak ada sikap malu kepada orang lain. Malu jahat, malu pakai ketat, malu tak solat, malu tak pandai membaca al Quran. Malu adalah separuh daripada iman. Malulah Allah.

Jika kita tidak tahu menghormati orang lain, adakah anak-anak akan menghormati orang di sekelilingnya? Hormatilah sesiapa sahaja walaupun tukang sapu sampah.
#muhasabahdirisendiri
#islamituindah