Suara
burung merbuk yang sedang bermain-main di laman rumah membuatkan Zakuan
tersenyum riang. Pasangan merbuk itu
sering mencari rezeki di celahan rerumput yang tumbuh segar di laman rumah yang
terjaga rapi. Zakuan melangkah keluar
dari perut kereta. Dia mengeliat,
menegangkan kembali urat-urat pinggang yang terasa sengal dan lenguh, tidur
dalam keadaan duduk sewaktu menemani ayahnya malam tadi. Dia melangkah menuju ke arah rumah. Daun tingkap nako sudah terbuka, membenarkan
udara segar menyingah masuk.
Daun pintu yang tidak berkunci
ditolak perlahan. Dia menjengahkan
kepala dahulu, tiada sesiapa di ruang tamu.
Kaki kanan melangkah masuk, diikuti kaki kiri pula. Belum sempat dia mengalihkan tubuh, sebutir
suara menyapanya.
“Dari mana? Pagi ini baru balik?” Salmah berdiri di muka pintu biliknya yang
berhadapan dengan ruang tamu. Matanya tajam memandang wajah anak bujangnya itu,
panggilan telefon tidak berjawab. Tiada
berita disampaikan, menunggu sehingga kesiangan, bayangan anak itu tetap tidak
kelihatan. Berkecamuk hati dan fikirannya sepanjang malam, melawan rasa resah,
bimbang dan tidak keruan silih berganti.
Menunggu dengan sabar panggilan daripada anak tersayang. Akhirnya mata
tertutup, terjaga ketika azan subuh berkumandang.
“Wan…” Zakuan diam sejenak. Cerita apa yang perlu
diberitahu? Dia tidak pernah berbohong,
ibunya pantang jika dia berbohong, dan dia tidak diajar berbohong.
Salmah mendekati anak
sulongnya. Wajah itu dipandang
seketika. Dia beralih melangkah ke arah
sofa dan terus melabuhkan punggung. Dia
berpeluk tubuh. Matanya masih melekat
pada wajah Zakuan, mengharap jawapan daripada anak muda itu.
“Wan kemana?” tanya Salmah sekali
lagi.
“Wan teman ayah di hospital, ibu,”
jawab Zakuan jujur.
Salmah menarik nafas panjang. Dia mengetap bibir. Panggilan ‘ayah’ seperti panggilan maut
buatnya, pedih dan menyakitkan. Layakkan
lelaki yang tidak bertanggungjawab itu dipanggil ayah? Layakkah dilayan baik dan sesantun itu?
“Kenapa dengan Wan ni? Kenapa tidak dengar langsung cakap ibu!”
bentak Salmah kegeraman, geram, marah, sakit hati, semuanya dirasakan.
“Ayah sakit ibu, salahkah Wan bantu
ayah?” soal Zakuan, bukan menidakkan kata-kata ibunya, tetapi dia tidak pernah
menyimpan dendam pada ayahnya itu. Malek tetap ayahnya biar buruk pun layanan
lelaki itu terhadap dia dahulu.
“Sakit ibu? Sakit hati ibu? Bagaimana?” soal Salmah
keras. Dia menumbuk-numbuk dadanya. Menahan sebak yang mula menyentap jantung
hatinya. Berdengung rasa telinganya
kepanasan mendengar kata-kata Zakuan tadi.
“Ibu, buanglah dendam ibu itu. Wan tak nak kita jadi manusia yang pendendam,
selama ini ibu mengajar perkara yang baik-baik sahaja pada kami adik
beradik. Kenapa susah sangat ibu nak
maafkan ayah? Berilah ayah peluang
kembali menjadi insan yang berguna, ayah dan bertaubat ibu, ayah bukan
seperti dulu lagi,” terang Zakuan.
“Kau tak tahu kesakitan yang selama
ini ibu tanggung, Wan! Keperitan dan kepedihannya tidak kau rasakan! Ibu yang
tanggung semuanya!” bentak Salmah. Apa yang anaknya itu tahu? Dia yang menanggung segala-galanya. Penghinaan yang tidak pernah surut, kata-kata
keji dan umpatan silih berganti. Tidak mampu dia ucapkan keparahan hatinya itu. Luka yang tidak sukar untuk sembuh. Sakitnya tidak mampu diubati dengan menelan
ubat tahan sakit. Sakit yang tidak
ubatnya.
Zakuan mendekati ibunya, duduk
berteleku, mengenggam erat jari jemari ibunya.
“Ibu tetap ibu Wan. Hati Wan tidak pernah berubah, tetap sayang ibu. Tapi, Wan takkan wujud tanpa ayah. Wan tidak mahu berdendam dengan ayah,
fahamilah perasaan Wan, ibu,” rayu Zakuan. Dicium telapak tangan itu
bertalu-talu. Air matanya gugur di
pipi. Hatinya hiba, jiwanya sendu,
kedua-duanya orang terpenting dalam hidup.
Tanpa mereka dia tidak akan dapat melihat dunia. Kenapa dia harus dan terpaksa memilih satu
antara dua? Sedangkan dia boleh memiliki dan menyayangi serta berbakti kepada
kedua-duanya.
“Ibu tak mampu menerima lelaki itu,
Wan tak faham ke?” herdik Salmah sekali lagi.
Ya, hatinya keras, hatinya sakit, jiwanya terseksa, tidak mungkin dapat
diubati. Semakin dia melihat wajah itu,
kenangan silam pasti menerja dalam fikiran. Mengganggu tidur malamnya, menerpa
masuk dalam mimpinya. Kenapa anaknya itu
tidak mahu memahami? Tangan direntap kasar. Rajuknya semakin panjang, sakit
hatinya semakin dalam. Salmah bingkas
bangun.
“Ibu tidak mahu Wan jadi anak
derhaka. Wan pilih antara ibu dan lelaki
itu. Ibu tak nak Wan rapat dengan dia,
begitu juga Zara! Faham tak!” jerkah Salmah. Nafasnya turun naik. Dia menekan
dada kirinya terasa perit. Dia mendengus
kasar. Langkah diatur terus menghilang
ke dalam bilik, daun pintu dihempas kuat. Gedegang!
Zakuan beristighfar berkali-kali,
rajuk ibunya sukar dipujuk. Dia bingkas
bangun dan duduk di sofa, wajahnya keletihan, sudahlah tidurnya tidak menentu
malam tadi, ingatkan sudah sampai rumah boleh berehat, melelapkan mata yang
kantuk dan merehatkan tubuh yang letih.
Dia hanya mampu mengeluh dan mengeluh melihat sikap amarah ibunya
terhadap ayahnya, Malek.
Zakuan menyandar di sofa. Otaknya
berjalan memikirkan cara bagaimana untuk memujuk hati ibunya agar mampu
memaafkan. Tiada jalan, tiada daya dan
upaya hanya kepada Allah dia berharap dapat mengubah hati ibunya.
Petang nanti baharu dia ke hospital
semula melawat ayahnya. Ibu? Biarlah melawan rajuknya, nanti akan sejuk
sendiri. Itulah Salmah, ibunya yang
mudah merajuk dan mudah sejuk, tapi
tidak dalam hal ayahnya, Malek. Dendam kesumat tidak pernah padam. Keperitan yang lalu masih mencengkam kuat di
hati ibu tua itu. Tertanam kukuh,
berakar tungjang, tiada siapa yang mampu mencabutnya. Hanya doa yang dipanjatkan, agar segalanya
berubah, begitu juga hati ibunya yang sekeras batu itu.
Zakuan melangkah menuju ke
biliknya. Berhenti sebentar di hadapan
bilik ibu, menahan rasa sebak seketika.
Maafkan Wan ibu, detik hati kecilnya.
Bukan bermaksud ingin menyakiti, bukan ada niat untuk melawan. Tetapi Wan ingin menjadi anak yang berbakti,
meraih cinta Ilahi melalui ayah dan ibu, bisik hatinya lagi. Langkah disambung
semula menuju ke biliknya yang hanya sebelah bilik ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan